Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 55

“Air… air…” rintih Manisah, tekaknya terasa dahaga sekali setelah kira-kira hampir dua hari dikurung di bangunan kilang lama. Tiada sebarang cecair untuk diminum dan selama itu jugalah perutnya kosong tidak diisi.

Cahaya matahari dari celah-celah atap zink yang bocor ditenung sambil berdoa dalam hati agar dirinya segera diselamatkan.

“Aku dah pernah mati sekali. Sampai sekarang aku tertanya-tanya… bagaimana aku boleh hidup kembali?” adunya dalam keadaan merintih. “Mati sekali tapi… diancam bunuh berkali-kali dengan bermacam-macam orang. Aku penat… penat sangat,” sambungnya dalam tawa sambil menangis tidak keluar air mata.

Suaranya juga sudah hampir tidak kedengaran kerana terlalu lemah. Dia menutup mata, ingin memaksa dirinya tidur dalam keadaan sebegitu agar hilang seketika deritanya. Paling ingin dijumpai dalam mimpinya nanti, tentulah arwah suaminya. Dia ingin memeluk lelaki itu dengan erat dan tidak ingin bangun-bangun terus daripada tidurnya.

“Kau fikir aku akan biarkan kau mati begitu sahaja?”

Manisah membuka matanya perlahan-lahan, sekelip mata sahaja dia melihat Si gadis pembunuh berdiri di depannya. 

“Kau… paling tak layak untuk cakap pasal soal hidup dan mati aku!”

“Manisah… kau mesti berdendam sebab aku suka acah-acah kau macam… macam aku cuba tolak kau ke jalan raya dan hampir dilanggar kenderaan tempoh hari di tempat persembunyian kau.”

“Teruskan… teruskan! Kau patut biarkan aku mati!”

“Kau memang kelakar. Kalau aku memang nak bunuh kau… dari masa kau kemalangan bersama dengan Zainuddin lagi, aku biarkan kau mati!”

“Kau… kau selamatkan aku?” soal Manisah, dengan sesuatu yang tidak pernah diketahuinya.

“Kau rasa… siapa sahaja yang akan selamatkan kau kalau bukan sebahagian daripada diri kau?”

“Macam… macam mana kau buat?”

“Manisah… aku tak tergamak untuk katakan kau lembab. Aku mempunyai kelebihan untuk memanipulasi apa yang mereka lihat. Bukankah itu harapan yang kau letakkan semasa Zainuddin bertanya emosi apa yang paling kau ingin dalam lukisan potret kau sendiri? Kau ingin sesiapa sahaja tidak melihat mahupun dosa silam kau terutama sekali Zainuddin dan Zaqwan. Kau hanya mahu kenangan yang indah-indah sahaja bersama mereka dan melenyapkan semua kenangan pahit dalam diri kau. Tapi, pada masa yang sama… kau tidak teragak untuk membalas dendam kepada mereka yang tidak habis-habis menyusahkan kau.”


Imbas kembali…

“Kau nampak… mereka berdua yang berhati jahat tu sedang mengekori Manisah dan Zainuddin semenjak dari rumah lagi,” kata Si gadis pembunuh, di tepi jalan sambil memerhati dua buah kenderaan yang sedang datang ke arah mereka.

Kenderaan yang dipandu Zainuddin membawa Manisah bersama di dalamnya, berlainan dengan sebuah lagi kereta yang jaraknya begitu jauh dengan kenderaan pasangan itu. Di dalamnya terdapat Kidman dan Mawar.

Beralun-alun selendang hitam dipakai Si gadis pembunuh apabila kedua-dua kenderaan itu melalui jalan di sebelahnya. Kelibatnya ghaib pada pandangan manusia.

“Kalau lambat… nyawa mereka akan melayang. Kau senyap sahaja… tak ada apa-apa ke kau nak komen?”

Michael Angle mengeluh. “Perjalanan aku di dunia ini akan segera berakhir.”

Si gadis pembunuh terus menerkam Micheal Angle. “Aku takkan biarkan!” Serentak dengan kata-katanya, Si gadis pembunuh lesap di depan mata.

Michael Angle hanya mahu bersikap putus harapan. Dia memerhati pixel bercahaya menyusup laju ke arah kereta yang dipandu Zainuddin. Kira-kira beberapa meter kereta itu berjalan, Michael Angle melihat jasad Manisah sudah berada dalam pangkuan Si gadis pembunuh manakala, ilusi menyerupai Manisah di dalam kereta diwujudkan untuk mengaburi mata-mata yang melihat. 

“Kau tak nak selamatkan Zainuddin?” tanya Si gadis pembunuh seakan merayu, matanya bergenang air mata. Kali pertama Michael Angle melihatnya.

“Aku… aku tak mampu seperti kau.” Lemah sahaja suaranya, dia sudah pasrah.

“Apa emosi Zainuddin serapkan ke dalam lukisan kau?”

“Belajar memaafkan…”

Si gadis pembunuh terdiam, dia tahu Zainuddin memang seorang pemaaf. Dan akhirnya, hanya Manisah sahaja yang terselamat dalam tragedi menyayat hati itu. 


Air mata Manisah menitik ke lantai. Dia teringatkan arwah suaminya, Zainuddin yang terlibat dalam kemalangan itu.

“Aku pun sedih. Aku sebahagian daripada kau… mesti aku akan sedih. Dalam dunia kau, kau mempunyai Zainuddin sebagai pasangan hidup kau. Aku… aku juga mempunyai pasangan aku walaupun reaksi yang aku terima memang sangat mendukacita. Kadangkala aku diingati… kadangkala aku dilupakan.”

“Sedih?” celah Michael Angle bersama dengan bunyi derap kasut melantun-lantun di kilang tinggal.

Manisah menoleh, dia terkejut melihat rupa Michael Angle yang begitu mirip akan arwah suaminya. 

“Tak… tak… tak mungkin!” jerit Manisah sambil mencuba untuk bangun namun jatuh semula.

“Tak sepantas itu…” halang Si gadis pembunuh, berdiri di depan Manisah.

Si gadis pembunuh tidak mahu mereka berdua saling mendekat. Api cemburunya membara! Michael Angle miliknya di dunia mereka. Manisah milik Zainuddin. Mereka saling berbeza dunia. Wujud kerana emosi yang dicurahkan ke dalam karya.

Ternyata, andaiannya meleset. Michael Angle terus menariknya ke dalam pangkuan, dia dipeluk erat dan kehangatan tubuh mereka yang bersatu memberikan rasa ikatan istimewa yang mengalir dalam hati masing-masing. Si gadis pembunuh terkaku, tidak dapat menolak akan pelukan itu. Egonya runtuh.

Manisah tergamam, dia keliru kerana Michael Angle yang dianggap sebagai suami sebenarnya seakan menduakan dirinya di depan mata. 

“Maafkan aku… kerana membuatkan kau lama menunggu,” bisik Michael Angle mencairkan api-api dendam yang tersembunyi dalam jiwa Si gadis pembunuh. “Aku sudah tahu siapa aku dalam dunia ini untuk kau.”

“Macam mana kau tahu?”

“Terima kasih akan usaha keras kau.”

Buat kali pertama semenjak kewujudannya, dia tersenyum ikhlas. Gembira kerana apa yang selama ini diingin tercapai juga.


Previous: Bab 54
Next: Bab 56

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.