Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 54

Apabila mata dibuka, segalanya terlihat samar-samar sebelum dapat melihat dengan jelas akan keberadaannya. Dia terperanjat, tempat inilah yang paling ingin dielakkan. Perasaan marahnya menyala-nyala. 

Mawar hairan melihat dirinya didudukkan di atas sofa di dalam bilik itu. Dia ingin berdiri namun pergerakannya terbejat, kedua-dua tangannya berikat di belakang dengan tali jut. Dia meronta-ronta dengan kuat sambil menyumpah seranah kerana terperangkap dalam situasi sebegini.

Bersama menemani dirinya yang sedang berusaha melepaskan diri, Beethoven Symphony No.9 kegemaran Zainuddin dan Manisah pada dulu-dulu semasa mereka masih bersama. Lagi meluap kemarahan Mawar, dia benci akan lagu yang hanya mengingatkan dia kepada Manisah. Mawar menjerit sekuat hati dengan keadaan dirinya yang lemah tidak berdaya melepaskan diri daripada situasi sebegini. Dia merenung pemain piring itu

“Kau tunggu… nanti bila aku dah berjaya lepaskan diri… aku akan pecahkan kau!” hambur Mawar, merenung pemain piring hitam yang memainkan Beethoven Symphony No.9.

Tiba-tiba dia berhenti meronta, baru dia ingat selama ini pemain piring hitam terletaknya di ruang tamu dan bukan di bilik tidur milik Zainuddin dan Manisah. 

“Siapa yang mengalihkannya? Tangan aku… tangan aku… siapa yang ikat?”

Kepala Mawar masih bersisa rasa pening. Dia cuba mengingati apa yang berlaku kepadanya malam tadi sambil memejam mata. Terbayang-bayang suasana di ruang tamu dan seterusnya terdapat seseorang yang tidak dapat dipastikan siapa, datang membawakannya kek. Mawar melihat dirinya sendiri menikmati suapan demi suapan kek sampailah dia rebah tidak sedarkan diri. 

Mendadak Mawar membuka mata kembali, matanya terbeliak sambil dadanya turun naik akibat terlalu marah. Imbasan peristiwa terasa seperti mimpi di malam hari yang tidak mampu untuk diingati dengan baik sekali.

Krek… engsel berbunyi apabila pintu bilik ditolak seseorang. Mawar yang bermuka comot berdebar-debar menantikan jasad dari balik pintu. Dia sudah lama tidak berasa setakut begini, hatinya berasa tidak sedap kerana berasakan terdapat sesuatu yang tidak baik akan berlaku kepadanya nanti.

“Sayang…” panggil Zaqwan tanpa sebarang riak emosi pada wajahnya.

Mendatar sahaja air mukanya mendekati Mawar. Dia berdiri sahaja tanpa membukakan ikatan tangan Mawar sambil terus menerus menatap wajah isterinya. Kemudian beralih pandangan kepada tali yang mengikati isterinya. Semacam ada senyuman sinis pada bibirnya.

“Sayang… tolong bukakan ikatan ni,” pinta Mawar, masih tidak dapat menghadam situasi saat ini.

Zaqwan tidak menurut malahan dahi Mawar yang lebam pula disentuh. Barulah Mawar tersedar akan lebam yang didapatkan di dahi sebelah kanan. Dia mengetap gigi menahan geram apabila teringat lebam yang berpunca daripada hentakan kepala daripada Manisah apabila mereka saling mendekat semalam. Dia menahan mulutnya daripada meluahkan kata-kata ibuian, senyuman palsu dipasang seperti biasa untuk mengelakkan syak wasangka suaminya.

Tidak lama itu, Zaqwan melekapkan tapak tangan ke pipi Mawar. Renungan Zaqwan yang selalunya penuh dengan cinta kini, hanyalah renungan kosong tanpa sebarang perasaan. Hal ini sedikit menggusarkan Mawar.

“Sayang?” panggil Mawar dengan tujuan untuk menyedarkan Zaqwan.

Tidak semena-mena, bibirnya pula diletakkan dengan jari telunjuk Zaqwan.

“Syhhh! Biarkan kita menikmati irama ini,” katanya merujuk kepada lagu yang terpasang.

Zaqwan terus duduk bersandar pada dinding sambil menutup mata. Mulutnya bergumam mengikuti irama.

“Sayang… awak… awak tahu sesuatu… kan?” soal Mawar, meluahkan pertanyaan yang sudah lama terbuku semenjak mencelikkan mata tadi.

Zaqwan tidak mengendahkan pertanyaan itu.

“Sayang…” Mawar cuba memanggil Zaqwan yang tidak membalas pertanyaan tadi. Diam-diam, dia masih mencuba meleraikan ikatan tali di tangan.

Zaqwan membuka mata, dia menjeling tajam ke arah Mawar. 

“Cuba awak diam sebentar? Biarkan lagu ini habis.” Keras sekali suara Zaqwan membuatkan Mawar terkedu kerana tidak pernah suaminya bertingkah seperti itu. 

Dalam beberapa minit mereka tidak berbicara sampailah lagu tadi habis. Zaqwan berdiri, mematikan pemain piring hitam. Dia merenung tajam ke arah Mawar yang terkulat-kulat menantikan bicara seterusnya terkeluar dari mulut suaminya. Sebaris senyuman sinis yang tidak putus-putus terlakar pada wajah suaminya membuatkan Mawar mengiyakan perasaan tidak enak dalam hatinya.

Semasa Zaqwan melangkah menghampirinya, dia mencuba untuk bangun namun terduduk kembali akibat batasan pergerakan.

“Apa yang awak nampak semasa memandang ke arah katil?” Soalan terpancul dari bibir Zaqwan membuatkan Mawar berkerut dahi. “Awak nak saya ceritakan apa yang pernah berlaku dalam bilik ini?” soal Zaqwan, berjalan mengelilingi Mawar.

Asakan pertanyaan membuatkan Mawar berasa sesak untuk menjawab. Peluhnya berlahan-lahan menitik di dahi, bukan kerana panas akan tetapi akibat terlalu berdebar.

Secara tidak sengaja, Mawar melihat imbasan Manisah terbaring dan tidur lena di atas katil. Dia terkejut kerana imej itu muncul seperti filem sedang ditayangkan di layar perak. Dia melihat dirinya di masa lalu masuk ke dalam bilik sambil menatang dulang berisi nasi, lauk-pauk dan juga segelas air kosong. 

Mawar berdebar-debar menantikan aksi seterusnya. Dia sebenarnya tahu apa yang akan berlaku. Benar, imbasan Mawar masa lalu terus menyimbah air kosong dalam gelas ke arah Manisah. Terbatuk-batuk Manisah, bangun secara terkejut dengan sergahan sebegitu. Dulang diletakkan dengan kasar di atas meja lampu bersebelahan katil.

“Anak kau dah pergi kerja. Aku tak perlu berpura-pura berlakon menjadi menantu yang baik. Makan sendiri. Aku banyak kerja nak buat dan… oh ya, mati lagi baik daripada hidup menyusahkan orang!” kata Mawar tanpa belas kasihan sebelum berlalu meninggalkan bilik Manisah.

Imbasan itu lenyap sekelip mata. Takut-takut Mawar menoleh memandang Zaqwan yang sedang tersengih-sengih di depan tingkap, tidak kena langsung dengan situasi ketika ini. Zaqwan kelihatan seperti merenung mentari pagi yang semakin bersinar. Mawar turut mendongak pandangan, dia berimaginasi dapat keluar dari rumah itu dan berlari ke mana sahaja asalkan tidak berdekatan dengan suaminya yang bersikap pelik pada hari ini.

Slik! Dengan laju langsir ditarik menutupi tingkap. Gelaplah bilik itu tanpa cahaya. Mawar menjerit terkejut lantaran termenung sebentar tadi. Dia tidak dapat melihat apa-apa objek di dalam ruangan tanpa cahaya, tambahan pula dia mengelabah dan tidak dapat menenangkan diri. Hampir menangis dibuatnya di dalam kegelapan tanpa sebarang cahaya.

Mawar menjerit lagi, hampir putus nafas akibat Zaqwan tidak semena-mena muncul di depan mukanya bersama dengan cahaya lampu suluh. Wajahnya menyeramkan di samping dia menyeringi menampakkan gigi dalam keadaan sebegitu. 

“Terkejut, bukan?” tanya Zaqwan dan yang pasti lelaki itu sendiri tahu apa akan jawapannya.

Dada Mawar berombak, dia tidak mampu berkata apa-apa dan hanya menunggu babak seterusnya. Lampu suluh dimatikan, Zaqwan beralih ke dinding menghidupkan suis lampu bilik lalu terang-benderang serta-merta.

“Selalunya keadaan bilik ni… tak segelap tadi. Bergantung kepada siapa yang sedang berada di dalamnya. Hati gelap sampai tak nampak jalan untuk bertaubat.” Zaqwan berkias kemudian mengeluh.

Air matanya mulai mengalir di pipi sebelum menitik jatuh ke lantai. Dia menekup wajahnya sendiri, bahunya terhenjut-henjut menahan sebak yang sudah lama bersarang namun ditahan sahaja dari tadi. Mawar tergamam, dia kaget melihat perubahan Zaqwan yang tidak mudah untuk difahami. Dengan wajah yang basah, Zaqwan menoleh memandangnya.

‘Apa yang perlu aku buat kepadanya?’ Zaqwan merintih dalam hati.


Mawar menggosok pergelangan tangan setelah dilepaskan oleh Zaqwan daripada ikatan tali. Dia memandang Zaqwan yang masih tidak berganjak melutut di depannya. 

“Maafkan saya… sayang. Saya… saya…” bicara Zaqwan, tidak mampu menghabiskan kata-katanya.

“Saya nak ke bilik air,” potong Mawar, tidak mahu mendengar niat sebenar suaminya.

Tipu kalau dia tidak terasa hati dengan tindakan Zaqwan memperlakukan dirinya sebegini walau apa sebabnya. Dia bangun dan terus keluar dari bilik milik ibu bapa mentuanya. Pintu dihempas kuat, memang sengaja dia berbuat sedemikian.

“Baiklah…” balas Zaqwan sebaik sahaja bayangan Mawar lesap di depan mata.

Lemah sahaja suara Zaqwan, hanya mampu memerhati dengan berat hati.


Paip sengaja dibiarkan terbuka, biarkan bunyinya menguasai segenap ruang bilik air. Dia tidak mahu rungutan kemarahannya kedengaran sampai ke luar bilik air. Mawar merenung pantulan wajah sendiri pada cermin dengan garang. Dia mengenggam penumbuk sebelum dilepaskan ke permukaan cermin. Rentak seribu kacanya, buku limanya berdarah-darah lalu menitik perlahan-lahan di atas lantai.

Zaqwan yang berada di bilik Manisah, dapat mendengar dengan jelas bunyi kaca berderai jatuh ke lantai. Dia segera keluar menuju ke ruang dapur lalu memandang pintu bilik air tertutup rapat.

Mawar di dalam bilik air sudah menarik-narik rambut sambil menahan mulutnya daripada menghamburkan jeritan. Dia tidak lepas-lepas memerhatikan wajahnya yang serabut pada pantulan cermin retak.

“Rahsia aku dah terbongkar ke? Tak guna!” katanya dengan suara ditahan-tahan, tidak mahu Zaqwan mendengarnya. “Tapi, macam mana dan sejauh mana dia tahu rahsia aku?”

Tuk. Tuk. Tuk. Kedengaran ketukan seseorang pada pintu dari sebelah luar. Mawar berdengus namun tidak bertanya kerana dia yakin Zaqwan yang mengetuknya. Biarkan… biarkan lelaki itu tertanya-tanya. Serpihan kecil kaca pecah diambil, dia menggenggamnya dengan geram.

“Sayang…” terjeda ayat Zaqwan, mencari idea untuk meneruskan perbualan. Matanya sempat lagi tertumpu pada skrin telefon pintar, menunggu dengan penuh debar seseorang yang lain menghubunginya.

Mawar membasuh tangan, air merah mengalir membasahi lantai. Penutup lubang sinki sengaja tidak dibuka. Tuala kecil pada pemegang sebelah sisi diambil, dia menekup dengan kuat pada lukanya agar cepat kering darah yang mengalir. Bibir bawah digigit, menahan kesakitan yang tidak separah luka hatinya. 

Setelah diyakini lukanya kering, Mawar mencampakkan tuala ke lantai dengan kasar. Dia mematikan pili air. Rambut yang agak berserabut, dirapikan seadanya menggunakan sikat dari dalam almari balik cermin retak.

“Sayang…” tegur Zaqwan setelah Mawar membuka pintu bilik air.

Lirikan matanya dapat melihat cecair merah menitis di lantai lantas mengejar Mawar yang pantas berjalan tidak mengendahkannya. 

Di ruang tamu, Mawar dapat melihat beg tangannya di atas sofa. Dia mencapainya lalu membuka zip beg. Apabila tangannya tersentuh sesuatu di dalam tanpa melihatnya, dia tersenyum kerana sudah tahu apa akan isinya.

Sesuatu berbentuk botol yang terletak bersebelahan beg tangannya tadi menarik perhatiannya. Penutup botol dibuka, dia melihat beberapa pil putih di dalamnya. Botol tidak berlabel tetapi dia seakan dapat meneka tujuan pil itu digunakan.

“Oh… ini yang membuatkan aku terseksa dan pengsan malam tadi? Cis… kenapa tak bunuh je aku?” 

Pantas dia menjeling Zaqwan yang sudah muncul di depan mata. Riak wajah Zaqwan kelihatan terkejut melihat Mawar memegang botol itu. Tanpa mempedulikan suaminya, Mawar mencampak botol itu ke tempatnya berasal. Dia berlaga bahu dengan suaminya dengan niat untuk menyakiti hatinya. 

“Sayang… awak nak ke mana?” Zaqwan menarik tangan Mawar, tidak mahu isterinya pergi dari situ.

Mawar membalas dengan tawa kecil. Belum sempat dia membuka mulut, bunyi siren kedengaran sayup-sayup. Tawanya mati, dia berkerut dahi dan seseolah dapat menghidu bahaya mendatang lalu terus menyeluk tangannya ke dalam beg. Objek itu terus dihalakan tepat pada kepala Zaqwan, tergamam terus dibuatnya dek tidak menyangka Mawar boleh jadi gila sebegitu.

“Kau pengkhianat!” jerit Mawar dengan penuh kemarahan, picu pistol ditarik dan hanya menunggu masa untuk dilepaskan. 

“Sayang… saya tak mengkhianati awak. Awak salah sangka ni. Letakkan senjata tu… sayang. Takkan awak tak sayang saya? Saya sayang awak sangat-sangat.” Zaqwan memujuk dengan suara begitu lembut walaupun hakikatnya dia sudah berpeluh-peluh dan berwaspada sambil tidak lepas memandang picu pistol.

Mawar tersenyum senget. “Gelap sampai tak jumpa jalan untuk bertaubat? Aku dah tahu apa kata kau. Kau takkan pernah tahu apa yang aku dah tahu. Kau lambat satu langkah daripada aku.”

Siren kedengaran begitu kuat, Mawar tahu kereta polis sudah tiba di halaman rumahnya. Dia melihat anggota polis sudah siap siaga mahu menuju ke arah pintu masuk. Ketukan kedengaran bertalu-talu menyebabkan Zaqwan beralih pandangan. Malangnya, dia berasakan kepalanya ditunjah sesuatu yang menakutkan dan mampu membuatkan nyawanya melayang dalam sekelip mata.

“Sayang… kalau awak buat macam ni… hanya menyebabkan awak dalam masalah.” Dalam takut, dia masih cuba untuk memujuk.

“Dengan mencederakan awak atau… dengan membunuh awak? Pilihlah… awak nak yang mana satu?” Potong Mawar sebelum tawa kecil. Mendadak tawanya mati lalu merenung tajam wajah Zaqwan, mendekatkan bibir ke telinga Zaqwan lalu berbisik, “Jalan… jalan sampai ke pintu belakang rumah kita ni kalau awak masih sayang nyawa awak. Lakukan dengan senyap.”

Zaqwan akur sahaja, dia perlahan-lahan menapak menuju ke arah pintu belakang rumah. Suara polis kedengaran meminta mereka membuka pintu hanya dibiarkan sepi. 

“Buka… buka cepat pintu!” sergah Mawar dengan tidak sabar apabila Zaqwan teragak-agak. “Jalan sampai ke pintu pagar pula. Lekas sebelum kepala kau pecah… sayang!”

Sampai sahaja di pintu pagar belakang, Zaqwan hairan melihat sebuah kereta sudah menunggu di situ. Sebaik sahaja cermin kereta diturunkan, Zaqwan terkejut bukan alang kepalang.

“Awak…” Tidak sangka sekali Zaqwan melihat Siti rupanya yang mengambil Mawar!

“Kenapa? Terkejut? Simpan sahaja reaksi awak tu kerana sebentar lagi… saya akan kirimkan awak hadiah kerana mengkhianti saya!” ugut Mawar, menjauhi Zaqwan lalu mencapai pemegang pintu kereta untuk dibuka dan masih lagi mengacukan pistol.

Zaqwan risau akan sesuatu yang digelar sebagai hadiah oleh Mawar. 

Mawar sudah berada dalam perut kereta, dia terhibur dengan tindakan Zaqwan seperti cacing kepanasan. Siapa sahaja tidak bersikap sedemikian apabila nyawa terancam. Akalnya panjang sahaja untuk mempermainkan lelaki itu.

“Menarilah sayang!” kata Mawar, tawanya menjadi-jadi sempat membuatkan Zaqwan keliru. Kegilaan perempuan itu sudah sampai ke tahap kemuncak.

Tidak semena-mena, peluru muntah daripada senjata Mawar mengenai lantai di bawah kaki Zaqwan. Lelaki itu terlompat-lompat sambil menjerit-jerit. Pihak polis dengan pantas menyerbu kawasan belakang rumah setelah mendengar huru-hara tercetus di belakang rumah namun, sudah terlambat apabila kenderaan dipandu Mawar meluncur laju meninggalkan kawasan itu.




Previous: Bab 53
Next: Bab 55

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.