Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 25

Michael Angle tidak mempedulikan bahawa Encik Antonio mempunyai tetamu perlu dilayan. Dia mencelah di tengah-tengah perbualan Encik Antonio yang sedang menerangkan sesuatu kepada pengunjung untuk pameran bertemakan self portrait pada hari itu. 

Pemilik galeri itu berasa tidak selesa dek kerjanya diganggu tanpa sebarang temu janji. Dia mencuba mengawal riak wajah tidak puas hatinya dihadapan pengunjung.

Dengan rendah hati, dia memohon maaf kepada pengunjung sebelum ingin segera berlalu dari situ. Tiada mood untuk dia bertemu dengan Michael Angle. Dia dapat menangkap makna kedatangan lelaki itu secara tiba-tiba.

“Sorry… I’m really busy today! Can you… please go!”

Encik Antonio bengang akibat Michael Angle menghalang jalannya. Suaranya tinggi menarik perhatian pengunjung. Cepat-cepat tersedar, dia berdehem sambil menata rambut tersedia kemas.

“Dahlia… boleh tolong encik ini keluar?”

Encik Antonio memetik jari memanggil Dahlia kebetulan lalu di situ. Terangguk-angguk Dahlia dan pantas bertindak.

“Encik, mari ikut saya.” Suaranya kedengaran tegas dan tidak main-main.

Tiada sebarang respon daripada Michael Angle. Tekadnya bulat untuk bertemu dan bertanyakan sesuatu pada pemilik galeri itu. Tajam matanya sahaja merenung perempuan akhir 20-an itu dengan ekor matanya sehingga membuatkan Dahlia terpaksa melarikan pandangan. Perempuan itu berasa tidak selasa dan serba salah.

Tidak menunggu lama, Encik Antonio pantas meninggalkan tempat itu dengan agak tergesa-gesa. Lagi baik dia segera menghindarkan diri daripada seseorang yang mengganggu harinya. Pantas lagi Michael Angle mengejarnya.

Dahlia terjerit-jerit secara automatik memanggilnya membuatkan keadaan menjadi huru-hara sebentar. Terpaksa pula Dahlia meminta maaf kepada mereka dan memberi pesan supaya teruskan untuk melihat pameran sedang berlangsung.


Michael Angle tidak puas hati dengan tindakan Encik Antonio mencuba mengelak daripada bercakap dengannya. Tujuannya hari ini mahu mendapatkan jawapan diingini walau dengan apa cara sekalipun setelah tidak berjaya pada hari itu. 

“Are you really busy or… pretending?” katanya dengan suara keras saat pemilik galeri itu memusing tombol pintu pejabatnya. 

Encik Antonio yang membelakangi Michael Angle sekilas menjeling dengan ekor mata sebelum terus memasuki biliknya sambil diikuti laju oleh Michael Angle bermuka serius memanjang.

Michael Angle memerhati segenap ruangan pejabat itu dan terarah kepada Encik Antonio yang tidak habis-habis mencari sesuatu dalam almari besar di tepi dinding seolah-olah tidak mempedulikan kedatangannya. 

Tangan Michael Angle tersentuh sesuatu di atas meja, dia tersenyum sinis. Dengusannya mampu didengari Encik Antonio yang berpura-pura menyibukkan diri.

“Boleh dianggapi sebagai pengumpul arca dan peminat anggur.”

Tangan Michael Angle memegang sebiji buah anggur ungu diambil dari bakul kecil di atas meja. Pandangnya terarah ke beberapa arca disusun elok di almari kaca berhampiran. 

“Anggur, macam mengharapkan tuah dalam hidup. Arca tu pula… semuanya bermotifkan haiwan liar ditemui di dalam hutan. Arca harimau bintang, gajah, singa dan badak air. Encik minat dengan haiwan liar ataupun gemar mengembara ke kawasan hutan?” 

Encik Antonio melihat lelaki itu sebagai seseorang yang perlu dihadapi dengan berhati-hati. 

“Arca tu… milik adik saya. Dia memang gemar dengan alam semula jadi.”

“Dah tahu dah,” balas Michael Angle semacam menyindir.

“Pardon? Look… I’m really busy. Maybe…” 

“Jangan risau, saya boleh tunggu seberapa lama,” katanya sambil meletakkan kembali sebiji anggur ke tempat asalnya. 

Michael Angle sudah menarik kerusi lalu duduk dengan selamba sambil menongkat tangan di atas meja. Senyuman sinisnya sengaja diukir untuk membuatkan pemilik galeri itu berasa bersalah kerana tidak melayan dirinya sebagai tetamu.

Encik Antonio mengeluh dan tidak tahu berkata apa, hanya membiarkan Michael Angle meneruskan bicaranya.

“Mungkin tiada sesiapa tahu secara jelas mengenai ‘Si gadis pembunuh’. Tiada info jelas di Google mahupun artikel surat khabar. Hanya info sama diulang-ulang sehingga saya terpaksa bertanya sendirian. Lagi… lagi… dan lagi apa? Takkan itu sahaja yang ada?”

Nada suara kedengaran tenang pada permulaan namun berubah kepada agresif pengakhirannya sambil dirinya mengangkat tinggi kedua-dua tangan seperti menagih jawapan. 

Encik Antonio terkedu dan kelihatan gelisah. Kerap kali dia mengelus tangan sendiri, dahinya berkerut seperti sedang memikirkan sesuatu.

“Mungkin Encik mengetahui sesuatu.”

Cepat-cepat Encik Antonio mengelak pandangan Michael Angle yang tepat pada matanya. 

“Maaf… untuk itu saya tidak mempunyai info secara mendalam. Karya itu terlalu dilindungi oleh Encik Antonio.” Sejenak Michael Angle mengingati perbualannya dengan Dahlia. “Encik takut?”

Encik Antonio meneguk rakus sebotol air mineral terdapat di atas meja.

“Apa yang saya beritahu awak, itulah yang saya tahu. Saya rasa urusan kita sudah berakhir. Saya tak nak berkasar dengan you. Berapa lama you tunggu di sini pun, I’ll never tell you more because I don’t know,” cakapnya laju dan menggeletar. 

Michael Angle memerhati sahaja pemilik galeri itu meletakkan dengan kasar botol mineral sehingga mewujudkan bunyi kuat. 

“Marah… kenapa?” 

“You…” Encik Antonio kehilangan kata-kata. “Sudah, you boleh keluar! I busy… can you understand me? Zamri… come in please,” katanya dengan kasar sebelum menekan interkom memanggil pengawal bertugas.


“Lepaslah! Aku tahu jalan keluar… tak payah nak tunjuk!” Marah Michael Angle semasa diheret Zamri di lobi Galeri Seni Antonio.

Para pengunjung berasa takut dengan tindakan agresif Michael Angle. Begitu juga Zamri agak terkulat-kulat dimarah sedemikian rupa.

Michael Angle masih tidak berpuas hati dengan kunjungan tanpa jawapan hari ini. Dia merenung tiap muka pengunjung yang sudah berbisik-bisik akibat perlakuannya. Blazer dipakainya diperkemas, habis kusut semasa diheret oleh Zamri tadi.

Zaqwan berada di meja kaunter, sedaya-upaya menyorokkan kedatangannya. Dia membetul-betulkan topi dipakai untuk menyembunyikan wajah agar tidak ketahuan akan kehadirannya di situ oleh Michael Angle. Risalah tersedia di atas meja kaunter, sengaja dibelek-belek tanpa membacanya.

“Dia dah pergi,” tegur Dahlia, turut berada di situ.

Dahlia turut sama gerun melihat Michael Angle mengamuk tadi. Macam manalah agaknya Encik Antonio berhadapan dengan pengunjung membuat perangai seperti Michael Angle tadi, fikirnya,

“Thank you,” balas Zaqwan sambil tersenyum.

Risalah diletakkan kembali ke tempatnya.

“Awak kenal ke dia tu? Dah dua kali buat kecoh.”

“Alah… kawan lama sahaja,” dalih Zaqwan walhal dia sendiri sedang mencari tahu akan identiti Michael Angle. “Eh, kenapa dia datang buat kecoh pula?”

“Entahlah… dah dua kali jugalah dia nak tahu pasal ‘Si gadis pembunuh’,” rungut Dahlia sambil mengeluh.

“Hai… banyak-banyak lukisan yang hilang, itu je yang ditanya? Popular betul lukisan potret arwah ibu saya.”

“Saya sebenarnya dari dulu nak tahu… kenapa lukisan sebegitu cantik diberi nama yang menakutkan seseolah figura dalam lukisan merupakan orang yang kejam? Aspresiasi karya pun… boleh tahan.”

“Hmmm… Cik Dahlia, dah awak tanya ni, sebenarnya saya susah nak jawab. Kisahnya, isteri saya katanya ternampak kelibat macam arwah ibu saya keluar dari gambar dan tak sudah-sudah nak kacau dia. Boleh kata tiap hari jugalah isteri saya akan menjerit-jerit. Katanya, muzik terpasang sendirilah. Hilai tawa bergemalah apalah sampailah dia yang bagi gelaran macam tu dekat lukisan potret tu. Kalau mengenai aspresiasi karya, saya rasa saya tulis lain tapi tak sangka pula bila tiba hari pameran… jadi lain.

“Kacau? Isteri awak ada buat perkara tak elok ke kepada ibu awak masa dia hidup? Jadi, sebab isterilah ni… awak namakan lukisan tu macam tu?” Laju sahaja Dahlia bertanya.

“Ish… tak baik kata macam tu. Mawar tu nampak sahaja garang tapi, dia penyayang. Dialah yang jaga arwah ibu saya masa hidup. Pasal judul lukisan tu, dah macam sebati pula nama tu dengan lukisan itu sampai saya pun tersasul letak nama macam tu. Soalan awak pun dah macam reporter lah. Banyak benda nak tahu. Takut nak jawab.”

Ketawa-ketawa Zaqwan dengan soalan-soalan dikemukakan Dahlia.

“Saya saja je tanya. Yalah, dah saya yang jaga lukisan tu jadi, kenalah ambil tahu kisah di sebalik karya tu,” balas Dahlia dengan teragak-agak, turut sama ketawa mengikut rentak.

Soalan tadi sebenarnya berjaya menyentap tangkai jantung Zaqwan. Dia jadi teringat dengan mimpinya dulu dan kerenah Mawar di dapur rumah hari itu.

“Saya harap lukisan-lukisan yang hilang tu berjaya ditemui suatu hari nanti dan pelakunya menerima balasan yang setimpal. Paling saya harap, lukisan ‘Si gadis pembunuh’ itulah… harap sangat ditemui. Itulah satu-satunya potret arwah ibu saya yang dilukis arwah ayah dengan penuh kasih sayang. Saya yakin dan percaya potret itu ada ceritanya tersendiri dan kita sebagai audiens ni dapat melihat kisah mereka dalam lukisan itu.”

“Insya-Allah suatu hari nanti. Tak jauh pun lukisan tu,” jawab Dahlia, acuh tidak acuh.

“Maksud awak tak jauh?” Kening Zaqwan bertaut, hairan dengan jawapan Dahlia tadi.

“Eh, saya maksudkan… penjenayah tu mesti ada lagi dalam Malaysia ni. Dengan kebolehan polis negara kita, mesti kejap je tu kena tangkap,” jawab Dahlia dengan begitu bersemangat.

“Ya, saya setuju dengan awak.”

“Bincang pasal apa ni? I dengar you ada sebut pasal ‘Si gadis pembunuh’?” celah seseorang membuatkan mereka berdua menoleh.

“Encik Antonio,” tegur Dahlia, sudah berdiri menyambut pemilik galeri itu.

Zaqwan sekadar menyapa dengan lirikan mata sambil mengukir senyuman yang jelas terpaksa. Beberapa saat mereka berdua bertatapan. Riak wajah Encik Antonio serius sahaja.  


Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.