Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 44

Apabila tiba di kaunter, dia menjadi buntu seketika kerana tidak tahu arah tujuan. Hatinya menjadi sayu berada di situ. Ramai pesakit sedang menunggu giliran untuk menerima rawatan berkaitan penyakit mereka. Telinganya sayup-sayup menangkap suara mereka menangis meratapi pemergian orang tersayang.

Pada pemikiran Zaqwan, hospital memberinya keinsafan secara tidak langsung untuk terus bersyukur dengan nikmat kesihatan diberi selama ini. Nikmat kesihatan diberi harus dijaga sebaik mungkin melalui pemakanan seimbang dan kerap melakukan aktiviti senaman sekurangnya 3 kali seminggu.

Baru sahaja mahu beberapa tapak melangkah, tiba-tiba rengekan bayi kedengaran kuat di ruangan menunggu. Ibunya begitu susah hati menenangkan bayinya yang sedang meragam itu.

Zaqwan menjadi pilu, dia mendapatkan mereka berdua di ruangan menunggu lantas terlupakan urusan sebenarnya di situ.

“Apa yang jadi dengan anak puan?” soal Zaqwan sebaik sahaja duduk di sebelah ibu muda yang beriak risau.

“Anak saya demam sejak dari semalam,” balasnya sambil mendodoi bayi yang berusia dalam 5 bulan itu.

Zaqwan menyentuh pipi bayi itu, terasa panas. Sedih rasa hatinya melihat bayi itu sedang berada dalam keadaan tidak sihat.

“Dah buat pemeriksaan? Apa kata doktor?” soal Zaqwan dengan penuh kerisauan.

Ibu muda itu menggeleng, terpamer riak sedih pada wajahnya.

“Belum lagi… lepas ni giliran saya,” balasnya.

Melihat Zaqwan seakan mahu mendukung bayi itu menyebabkan ibu muda itu menyerahkan bayinya ke pangkuan Zaqwan. Dia menyambutnya dengan senang hati. 

‘Comelnya… kalaulah aku juga mempunyai anak,’ keluhnya dengan kesal.

Belum rezeki mereka untuk menimang cahaya mata setelah mendirikan rumah tangga hampir lima tahun.


Mawar benci melihat situasi itu sebaik sahaja dia tiba di pintu masuk utama perkarangan hospital. Dia melihat Zaqwan begitu bahagia bermain dengan bayi yang sudah berhenti merengek itu. Bayi itu ketawa-ketawa diagah Zaqwan, nampaknya suaminya itu begitu pandai mengambil hati bayi yang sedang sakit itu. Ibu muda tadi sudah mula tersenyum dengan reaksi positif yang ditunjukkan bayinya. 

“Patutlah kau terburu-buru keluar dari rumah. Jumpa skandal dan anak haram kau, ya?” 

Mawar sudah salah sangka dengan apa yang sedang terbentang di hadapan. Dia mengetap gigi atas bawah, penumbuknya sudah dikepal sambil dadanya berombak menahan marah. Dengan selambanya, dia mengambil sebuah pasu bunga kecil di atas meja kaunter lalu mengatur langkah perlahan-lahan menuju ke arah Zaqwan yang masih tidak menyedari kehadirannya.

Tahulah nanti dia akan kerjakan suaminya dan seseorang yang disangkakan sebagai perempuan simpanan Zaqwan.

“Argh!” jerit Mawar kerana terkejut secara tiba-tiba apabila dirempuh seseorang.

Mawar terjatuh tertiarap di atas lantai, habis basah bajunya terkena sesuatu bersifat cecair. Ambil dihidu, baunya seperti air minuman berperisa oren. 

“Buta ke?” marahnya kepada sang pelanggar yang merupakan seorang perempuan.

“Sorry… sorry!” Seseorang itu meminta maaf dengan bersungguh-sungguh sambil berulang kali mengangguk kepala.

Mawar berasa tindakan perempuan itu hanyalah menjengkelkan. 

Perempuan itu menyentuh baju Mawar, kononnya mahu membersihkan kotorannya. Mawar menepis dengan kasar tetapi tetap sahaja perempuan itu mengelap baju Mawar dengan menggunakan sapu tangan yang didapatkan entah dari mana.

“Argh, mana dia?” rungut Mawar apabila kelibat Zaqwan sudah tiada di situ.

Hanya tinggal ibu muda dan bayinya. Itupun mereka sedang menuju ke bilik pemeriksaan.

“Argh, tepilah! Penyibuk!” tengking Mawar membuatkan perempuan itu terkedu.

Dengan kasar Mawar menolak perempuan itu menjauhinya lantas bangkit. Pandangan matanya melilau, dia sudah kehilangan jejak suaminya. Dia menjeling perempuan tadi yang tersengih-sengih ke arahnya tanpa rasa bersalah. 


Zaqwan tidak mampu menahan diri daripada bergenang tangis sebaik sahaja pintu wad dibuka. Wajah insan tersayang yang paling dirindui setelah pemergiannya selama setahun begitu betul-betul berada di hadapannya sedang memandangnya dengan penuh kasih sayang.

“Ibu…” panggil Zaqwan dengan penuh rasa tidak percaya.

Air mata Zaqwan menitik laju secara automatik. Langkahnya longlai, hampir menjatuhkan diri ke lantai.

Manisah sudah teresak-esak menangis sambil terangguk-angguk mengiyakan apa yang dilihat Zaqwan.

Paha dicubit dengan sekuat hati untuk memastikan dia tidak tertidur lalu bermimpi yang bukan-bukan lantaran menanggung rindu terhadap ibunya. Dia mengadu kesakitan dan tanpa ragu-ragu terus berlari-lari mendapatkan Manisah yang duduk di atas katil. Sang ibu dipeluk erat seseolah tidak mahu dilepaskan buat selama-lamanya.

“Zaqwan… anakku,” panggil Manisah, mengusap lembut ubun-ubun kepala anaknya. 

“Ini bukan mimpi… kan? Kalau ini mimpi, saya tak nak bangun daripada tidur saya.”

Pelukan dua beranak semakin kuat. Mereka tidak ingin berpisah lagi.

“Ya, anakku. Ini bukan mimpi, ini kenyataan yang ibu masih hidup. Ibu bersyukur nyawa ibu masih panjang untuk melihat kau mengecap kebahagian.”

Manisah berulang kali mengucup dahi anak tunggalnya bersama dengan Zainuddin. Semakin mengalir deras air matanya apabila dirasakan figura arwah suaminya berdiri berhampiran pintu, tersenyum bahagia menyaksikan pertemuan mereka anak beranak. Terharu dibuatnya kerana bayangan suaminya mendekati lantas memeluk mereka berdua. Manisah berasa hidupnya menjadi lengkap semula.

“Tapi, saya tak mengerti. Ibu…” Zaqwan kehilangan kata-kata, dia tidak mampu menyambung kembali kata-katanya kerana terlalu sebak.

Manisah hanya mengangguk, dia faham apa yang ingin diluahkan oleh anaknya. Dia mengesat air mata Zaqwan yang mengalir di pipi menggunakan jari-jemarinya.

“Masih hidup? Allah menggerakkan hati saya untuk datang menyelamatkannya,” celah Aniq Zafran yang masuk ke dalam bilik itu sambil tersenyum.

“Kau…” Zaqwan tidak mampu untuk berkata apalagi, keliru sekali dengan semua perkara yang berlaku dalam seharian ini.

Zaqwan terkejut melihat kemunculan Aniq Zafran.

“Kita pernah bertemu… ketika encik mengendap seseorang beberapa hari lepas. Ingat?” beritahu Aniq Zafran sambil memetik jari.

“Maaf… saya terlambat,” celah Noraini sambil tercungap-cungap akibat berlari masuk ke dalam bilik.

Mata mereka semua tertumpu kepada Noraini yang memasuki bilik itu dengan tersenyum mesra sambil membongkokkan badan untuk tujuan menyapa mereka di dalam.

“Mak cik…” sapa Noraini dengan lembut kepada Manisah, gembira melihatnya sihat.

“Ibu encik dalam keadaan baik setelah ditemui tidak sedarkan diri di jalan raya beberapa hari lepas,” beritahu Aniq Zafran tanpa dipinta.

“Bukan ke ibu saya…” Zaqwan tidak sanggup menuturkannya.

“Dah meninggal dunia?” sambung Aniq Zafran.

Mereka membiarkan perbualan itu tergantung. Lain masa masih ada untuk bertanya. Untuk tika ini, Zaqwan ingin menghargai saat bahagia bersama dengan ibunya. Dia tidak putus-putus mengucapkan Alhamdulillah.

Aniq Zafran memerhati sahaja dua beranak itu saling melepaskan rindu. Sebetulnya, dia dan Noraini sudah menjaga Manisah semenjak dari wanita itu kemalangan jalan raya. Si gadis pembunuh muncul di depan pintu agensi penyiasatnya. Dia membawa bersama Manisah lalu menitipkan pesanan untuk menjaganya sebelum menghilangkan diri.

Aniq Zafran tergeleng kepala. Si gadis pembunuh itu aneh. Benci kepada Manisah kerana cemburu tetapi dalam masa yang sama tetap sahaja menyelamatkan Manisah. Namun, semua itu logik sahaja kerana tanpa Manisah, Si gadis pembunuh tidak dapat wujud di dunia ini. Mereka saling memerlukan. 


Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.