Pintu Sunshine Café ditolak dari dalam. Keluarlah Michael Angle yang sempat mengerling Aniq Zafran tertinjau-tinjau Fahmi di dalam kafe.
“Kau akan berdiri sepanjang masa dekat luar ni? Tak nak masuk jumpa adik kau yang sudah lama menunggu tu? Kau yang tak pernah balik-balik selepas keluar berjumpa dengan Zainuddin setahun dulu,” tegur Michael Angle dengan keras seperti mahu mengajak gaduh.
Aniq Zafran membetul-betulkan jaketnya, berdeham-deham membetulkan tekak. Terasa sedikit malu kedapatan sedang mengintip seseorang di dalam Sunshine Café. Baru dia sedar, Noraini sudah meninggalkannya, mungkin waktu rehatnya sudah habis lalu tidak memberitahunya untuk pergi. Barangkali, Noraini tidak mahu mengganggu dia memerhatikan Fahmi.
“Apa kau tahu pasal adik aku sedangkan kau pun tak tahu diri kau sendiri!” perli Aniq Zafran, tidak mahu kalah dalam berkata-kata. “Okeylah, aku nak masuk pejabat dulu. Dah dekat pukul 2 kau tahu! Lambat-lambat masuk nanti Encik Kamal pandang semacam je. Kalau tak nak kena sembur, baik kita pergi sekarang,” kata Aniq Zafran lagi sambil berjalan beberapa tapak sebelum berhenti mendadak. “Eh, nanti dulu! Kaukan keras kepala, apa peduli pun kalau kena marah.”
Tawanya membuatnya Michael Angle tercabar.
“Boleh tak… berhenti membebel? Kau macam perempuan,” kata Michael Angle, perangai Aniq Zafran dirasakan begitu menjengkelkan.
Aniq Zafran terasa bagai dihempap batu secara tiba-tiba.
“Apa? Ha, yalah! Susah betullah cakap dengan orang macam ni! Dia macam menjadi orang yang berlainanlah kalau waktu siang! Waktu malam lain, waktu siang lain! Hmmm… bilalah dia nak berubah menjadi normal?” Aniq Zafran membebel-bebel sewaktu meninggalkan Michael Angle di luar bangunan Sunshine Café.
Michael Angle menyaksikan Aniq Zafran sehingga menghilang kelibatnya dari situ. Dia terkaku memikirkan kata-kata awal Aniq Zafran tadi.
“Aku… aku tak tahu diri sendiri?” Michael Angle tertanya-tanya.
“Kau macam orang yang hilang ingatan.” Suara perempuan menerpa laju dalam minda membuatkan dia terpusing-pusing mencari kelibat si empunya suara di sebalik manusia lalu-lalang.
Malangnya, manusia sekeliling hanya dengan rutin mereka tersendiri tanpa mempedulikan orang lain. Berjalan pantas sambil membaca sesuatu dalam telefon pintar masing-masing menuju ke pejabat memandangkan waktu rehat tengahari sudah hampir tamat.
Michael Angle terduduk sambil memegang kepala kerana pandangan menjadi samar-samar dan terasa mahu pitam apabila manusia tiba-tiba bergerak dengan laju seperti lajunya pergerakan cahaya. Anehnya, tiada langsung sebarang bunyi. Keadaan menjadi begitu hening. Saat ini hanya kedengaran suara wanita itu bersama dengan keluhan Michael Angle sendiri.
Tidak sampai 5 minit berjalan, tekaknya terasa mual dan ingin muntah. Dia berpaut pada tiang elektrik sambil sebelah lagi tangan menekup mulut dengan kuat untuk menahan diri daripada muntah malangnya, Michael Angle terus menghamburkan isi perutnya di situ juga. Dia benci apabila muntah kerana dia berasa sangat-sangat terseksa.
Hujung baju digunakan untuk mengelap bibir tersisa muntah. Keadaannya terasa begitu lemah dan tidak mampu untuk berjalan betul. Untuk seketika, dia duduk sebentar dan apabila dirasakan sudah memperoleh kekuatan, dia bangun semula lalu berjalan menuju arah yang tidak pasti.
Dari arah bertentangan, Michael Angle perasan akan pejalan kaki tidak jauh darinya dalam pemakaian hoodie menyembunyikan wajah. Mata Michael Angle tajam memerhati perilaku si pejalan kaki, dia berasa tidak sedap hati apabila perasaan gelisah menghurung jiwanya.
Semakin laju dan agresif Michael Angle mempercepatkan langkah, tidak mahu secara tiba-tiba si pejalan kaki mengubah arah lalu kehilangan jejak.
Sebaik sahaja mereka berselisih, Michael Angle tanpa membuang masa terus memaut lengan si pejalan kaki lalu dihumban ke dinding. Langsung tiada bunyi mengadu kesakitan dari mulut si pejalan kaki. Dari wajahnya yang bertutup, Michael Angle terlihat sengihan si pejalan kaki yang ditafsirkan untuk memerlinya.
“Aku sudah kedapatan, ya? Naluri kau sentiasa betul!” Tergerak-gerak bibir si pejalan kaki mengucapkan kata-kata itu.
Michael Angle tidak menjawab, dia mengerutkan dahi sambil mempamerkan riak wajah yang mahu mendapatkan penjelasan.
“Argh, muka tu lagi! Muka yang mencari jawapan kepada persoalan yang sudah ada jawapan. Malangnya, kau lupa dan terus lupa! Aku tak sangka, kau akan selemah ini!”
Si pejalan kaki menyingkap wajah sebenarnya tanpa ragu-ragu.
“Kau?” Michael Angle terperanjat, si pejalan itu Manisah yang ditemui di kafe tadi dan juga beberapa hari lepas.
“Ya, di kafe tadi dan sebenarnya kita sering berjumpa cumanya kau sahaja yang selalu lupa dan lupa. Kau lupa aku siapa. Aku terluka tiap kali terlupakan aku dan… aku menderita kau mendekati Rita.”
“Sering berjumpa? Bukan dua kali ke? Semasa hari hujan beberapa lepas dan tadi?” Terbeliak besar mata Michael Angle, menyangka si pejalan kaki menafikan ingatannya.
“Kau… bodoh ke? Kau tak seperti seseorang yang aku kenal dan cintai. Aku bukan orang asing yang patut kau pinggirkan. Akulah kekasih hatimu.”
“Kekasih hati?” Michael Angle sempat termenung memikirkan kalimah itu. “Jangan mengarut! Aku sendirian di dunia ni! Siapa kau? Dan, aku tak bodoh seperti yang kau sangka!”
Manisah berdecit, reaksi yang memang sudah dijangka daripada jejaka pelupa itu.
“Kau… kau ke yang selalu berbisik kepada aku tanpa memperlihatkan jasad kau? Macam mana kau buat macam tu?” soal Michael Angle inginkan kepastian dengan mengaitkan situasi dirinya.
Manisah berdengus, dia benar-benar muak dengan semua ini.
“Kau pun boleh buat begitu. Bukan ke, kau sebenarnya memerhatikan aku juga?” Sindir Manisah.
Pandangan Michael Angle menikam tajam wajah Manisah. “Bila masa?”
“Kau… di mana ada kau, di situ ada aku. Fikirkanlah tentang malam tadi. Di sini…”
“Malam tadi? Sunshine Café?” soal Michael Angle, spontan terpacul dari bibirnya.
Dia sebenarnya tidak ingat apa yang berlaku kepadanya malam tadi.
“Fikir… jangan kecewakan aku,” ujar Manisah, ketawa kecil.
Samar-samar muncul dirinya menjejaki kaki ke Sunshine Café. Dia melihat seseorang wanita dalam persalinan serba hitam dan seseorang lelaki sebagai barista café itu. Dan dia iaitu Michael Angle tertinjau-tinjau tingkah laku wanita itu.
“Kau tahukan apa maknanya tu?” celah Manisah sebelum ketawa besar.
Mata Michael Angle terbeliak besar. “Selama ni, aku mencari tahu mengenai kau? Tapi, untuk apa?”
“Sebab… kau nak melupakan apa yang pernah berlaku dalam hidup kau. Kau buat macam tu bermakna kau melupakan aku. Aku tak suka kau melupakan aku. Aku… aku cinta mati kau!”
Michael Angle diam tidak terkata. Dia melihat pemakaian seseorang yang dipercayai sebagai Manisah mulai bertukar dalam persalinan hitam dan berselendang. Corak pada selendang hitam membuatkan dia memegang untuk menelitinya.
“Terkejut? Sekarang dah tahu kenapa corak tu sama? Itulah jawapan kepada soalan tadi.”
Michael Angle berkerut dahi. Dia masih gagal menyelesaikan kepingan puzzle memberikan jawapan.
“Tak faham lagi? Hanya pengkarya mengenal karya,” beritahu Manisah lagi.
Manisah dalam persalinan hitam berdiri di belakang Michael Angle, dia merebahkan kepala lalu memeluk erat lelaki itu. Michael Angle terperanjat, dalam masa yang pelukan itu menenangkan. Dia mahu membalas namun, egonya melebihi segala-galanya.
“Dalam dunia kita… aku digelar sebagai Si gadis pembunuh. Aku wujud menurut keperluan orang yang melihat aku. Tapi, untuk kau… aku wujud sebagai seorang pencinta. Kau tak rindukan aku?”
Mata Michael Angle terpejam kejap sebelum dia memalingkan tubuh untuk meleraikan pelukan. Dia memegang kuat kedua-dua tangan Si gadis pembunuh.
“Jangan pengaruhi aku… orang asing!” jerit Michael Angle.
Tengkingan Michael Angle membuatkan Si gadis pembunuh ketawa terbahak-bahak. Dia jatuh melutut, telapak tangan bersatu dengan jalan tar. Bahunya terenjut-enjut dan tidak lama itu, dia menangis dengan tersedu-sedunya.
“Arghhh!” Si gadis pembunuh menjerit sepenuh hatinya.
Michael Angle terkedu, dia juga terasa mahu menangis. Kekecewaan yang dikongsi sama rata.