Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 28

Masam mencuka mukanya kerana terserempak dengan seseorang paling ingin dielakkan untuk bertemu. Hujan lebat menyebabkan dia berjalan pantas memasuki kafe berhampiran tanpa mempedulikan wanita yang disifatkan sebagai penyibuk. 

“Relakslah, kita bukan orang asing pun,” kata perempuan itu menuturkan ayat yang paling menyakitkan hatinya hari ini.

Perempuan bernama Rita mengikuti rapat langkahnya, Michael Angle terasa ingin mengherdiknya supaya tidak mengikutinya. Mujur sahaja kewarasannya masih ada dan dia juga mahu menjaga air muka sendiri semasa berada dalam khalayak ramai.

“Selamat datang.” Kedengaran suara pekerja iaitu Fahmi menyapa ketika Michael Angle membuka pintu masuk.

“Ops, sorry!” Seseorang tidak sengaja menolaknya dari belakang Michael Angle.

Tajam renungannya ke arah seorang gadis yang dirasakan berada di awal 20-an. Gadis itu menggaru kepala sambil tersengih. Dia juga kebasahan seperti dirinya kerana di luar hujan turun dengan lebat. 

“Saya tergesa-gesa tadi sampai tak nampak encik dekat sini. Sorry, encik!” Antara serius dan tidak serius kata-katanya.

Saat dia menyebak rambut ke belakang, Michael Angle terpegun dengan kecantikan semula jadi perempuan muda itu.

“Hei, Manisah!” sapa Fahmi secara spontan. 

Mereka saling berbalas lambaian, sepertinya mereka berteman. Belum apa-apa, Michael Angle sudah berasa kecewa dalam diam.

‘Manisah?’ Barulah Michael Angle dapat mengetahui nama gadis itu. ‘Semanis senyumannya.’ 

Dia yang jarang tersenyum, automatik menghadiahkan senyuman kepada gadis bernama Manisah.

‘Seronok bertemu dengan awak.’ Suara itu muncul dengan laju di telinganya.

Terperanjat Micheal Angle dibuatnya, dia merenung dalam-dalam wajah Manisah yang masih rancak berborak dengan Fahmi.

Kedengaran dehaman Rita dari belakang untuk menyedarkan Michael Angle daripada lamunan. “Takkan kita nak berdiri sepanjang masa?”

Rita memang sengaja melanggar bahu Michael Angle. Selamba dia mengambil tempat duduk dengan gaya lagaknya tersendiri. 

Michael Angle terasa mahu pergi sahaja dari situ sekarang juga mengenangkan kewujudan Rita yang menjengkelkan. Apabila dilihat luar, hajatnya terbantut terus. Hujan tidak berhenti malahan menjadi lebat. Dia sendiri tidak membawa payung. Untuk meredah sahaja, hawa sejuk hujan mencengkam sampai ke tulang. Sekarang ini pun, dia sudah mengigil-gigil. 

Michael Angle terpandangkan Manisah yang kelihatan semangat dan tidak lekang dengan senyuman. Apabila pandangan mereka bertembung, cepat-cepat Michael Angle mengalihkan pandangan dengan buat-buat memandang sekeliling kafe itu. Terdetik perasaan bercampur baur dalam hatinya, gembira seperti dapat bertemu sang kekasih hati yang sudah lama terpisah. Pada masa yang sama, kesayuan menyelubungi sanubari tanpa sebab. 

Tanpa menunggu lama, Manisah mengambil tempat berhampiran dengan meja Rita dengan hanya selang dua meja. Mereka duduk bertentangan.

Senyuman Manisah kepada Michael Angle mencairkan hati lelakinya. Tidak lama itu, gadis itu mengeluarkan telefon pintarnya. Dia sudah dengan dunianya sendiri manakala Michael Angle kekal berdiri sambil tidak berkelip memandangnya. Biarlah dia menghayati kecantikan semulajadi Manisah. Nanti-nanti, pasti dia akan menjadi seperti pungguk rindukan bulan. Masa yang tersisa, tidak akan disia-siakan sama sekali.

“Ini menu kafe kami. Puan…” Fahmi memulakan bicara. Pantas Fahmi meletakkan buku menu di atas meja. Percakapannya dipotong oleh Rita dengan pantas. 

“Cik…” kata Rita dengan tegas dan sedikit angkuh sebelum menjeling Michael Angle yang tidak mahu duduk lagi itu. “Bagusnya kau berdiri sepanjang hari macam robot!” 

Michael Angle berdengus dengan sindiran sedemikian.

‘Kenapa kau pula di sini? Penyibuk!” jerit hati Michael Angle, merenung tajam Rita.

Dengan kasar Michael Angle menarik kerusi di meja lain berhampiran, tidak ingin dia duduk semeja dengan perempuan yang hanya mengganggu hidupnya. Pada masa yang sama, tempat duduknya betul-betul berdepan dengan Manisah. Pemilihan dibuat kerana dia ingin menghayati persona gadis itu. Bila difikirkan, adakah dia sedang jatuh cinta pada pandangan pertama? Cinta itu memang buta dan tiba dalam keadaan yang tidak mampu untuk diteka.

Rita perasan akan tingkah laku Michael Angle tidak berkelip memandang Manisah. Sekilas dia menjeling memandang Manisah yang tenggelam melayani telefon pintarnya. Jelas kelihatan riak wajah Rita tegang seperti menahan rasa cemburu.

Kuat dia berdengus, hati perempuannya cemburu dan rasa ingin sekali dicucuk biji mata Michael Angle dengan sebarang objek tajam agar tidak terus menghayati kecantikan Manisah. Mujur sahaja di atas meja kafe itu tidak diletakkan dengan kutleri.

“Apa yang ingin cik pesan?” tanya Fahmi setelah Rita tidak bercakap apa-apa.

Fahmi sedar sebenarnya apa yang sedang dipandang oleh Rita. Dia yang mulai terpikat dengan Manisah, berasa tergugat dengan pandangan Michael Angle terhadap gadis yang baru dikenali beberapa minggu lalu.

“Cinamon roll dan ice Americano.” Nada suara Rita kedengaran tegas sambil tidak lepas matanya memerhati Michael Angle, mirip pemangsa menunggu untuk membaham hidangan makan malam.

Buku menu digenggam kuat sehingga disedari Fahmi namun, dia tidak ingin masuk campur dengan permasalahan orang lain.

“Baik…” balasnya, mencatatkan pesanan diminta.

Selesai sahaja urusan dengan Rita, dia tidak menunggu lama lantas mendapatkan Manisah, pelanggan yang ditunggu-tunggu sepanjang hari.

“Bagi saya…” Manisah berkira-kira untuk memesan makanan dan minuman daripada menu. Sejenak dia berfikir memandangkan menu disajikan semuanya menarik. 

Belum sempat dia menyambung ayatnya, Michael Angle sambil mengurut jari-jemari bersuara, “Classic chocolate eclairs… kan?”

Manisah terlopong tidak percaya dengan jawapan itu. Tawanya menggetar hati lelaki Michael Angle dan tidak ketinggalan juga Fahmi. 

“Betul tu. Itu yang saya mahu pesan! Encik pandai membaca fikiran saya!” 

Fahmi hairan, bagaimana orang yang tidak pernah bertemu sesama sendiri dapat meneka dengan tepat akan kegemaran Manisah. Kegembiraan terpancar pada wajah Manisah, lagilah membuatkan Fahmi bertambah hairan. Wanita itu kelihatan begitu bahagia, berlainan dengan air mukanya selama dia mengenalinya.

Pap! Bunyi itu memeranjatkan mereka namun, tidak untuk Michael Angle. Dia memang begitu asyik menghayati wajah Manisah namun itu tidak beribuna dia leka dengan keadaan sekeliling.

Rita menghentak meja sambil dadanya turun naik, bengang menyaksikan sandiwara terhidang depan mata. Kalau nak bersikap romantik pun, tunggulah dulu dia pergi dari sini. Sakit betul matanya apatah lagi hatinya.

Michael Angle cukup tahu dengan sikap wanita itu hanya memerhati dengan ekor mata. Dia tidak ingin peduli apa yang akan terjadi seterusnya.

Dengan kasar Rita mengambil beg tangan di atas meja. Hilang sudah wajah angkuhnya, kini terpamer wajah kelat menahan geram dan juga cemburu yang meluap. Dia merenung sejenak wajah Michael Angle dengan tidak puas hati sebelum menjeling Manisah yang terpinga-pinga tidak mengerti apa-apa. Segera dia berlalu keluar dari kafe sehingga menyebabkan Manisah dan Fahmi tercengang.

‘Perempuan… aku masih tidak dapat memahami perempuan. Mereka seperti makhluk aneh yang sukar difahami. Buku-buku di pasaran tentang hati wanita belum tentu dapat membantu aku untuk memahami mereka.’ Monolog Michael Angle sambil jelingan mengiringi langkah Rita.

Michael Angle tidak akan mengejar Rita. Lebih baik wanita itu pergi dari situ kerana hanya mengganggu hidupnya sahaja. Cukuplah mereka kenal sebagai lawan dalam bidang perekaan barang kemas. Tentu sekali dia tidak mahu menjalin hubungan lebih daripada sepatutnya walaupun perempuan itu sudah beberapa kali cuba untuk memikatnya.

Oleh itu, benarkanlah saat dan tika ini untuk Michael Angle menghayati wajah Manisah yang manis. Angau barangkali dia setelah kelembutan wajah Manisah mendapat tempat di hatinya. 

Dalam masa yang sama, teringat pula akan wajah Rita. Dia cantik dan bergaya seperti wanita moden berkerjaya cumanya sikapnya sangat angkuh dan kelihatan terhegeh-hegeh untuk mendapatkan perhatian di samping selalu ingin menang dalam apa jua perkara menyebabkan Michael Angle berasa rimas. 

‘Hujan di luar sana. Apakah dia akan baik-baik sahaja?’ katanya dalam hati apabila membuang pandangan ke luar, tanpa sebab terfikirkan pula Rita yang angkuh sedang meredahi hujan. Dalam masa yang sama, ‘Argh, perempuan angkuh tu tentu datang ke mari dengan keretanya atau tidak pun, teksi pun banyak. Kenapa aku perlu risaukan dia? Kalaulah engkau pun berlemah-lembut seperti dia.’

Michael Angle terbayangkan Rita saat memandang Manisah asyik tersenyum membaca sesuatu di telefon pintarnya. Jika begitu, pasti dia akan cair dengan Rita yang mengejarnya cintanya selama ini. Musuh tetapi tidak melepaskan peluang menagih cinta.

“Masukkan juga order cinnamon roll dan ice Americano,” putusnya, menyebut dua menu yang sering dipesan Dahlia saat Fahmi mengambil pesanan di mejanya. 

Sebelum keluar dari situ, sempat Michael Angle memandang sejenak Manisah sedang melukis sesuatu dalam buku catatannya.

Menyedari diperhatikan, Manisah mengangkat pandangan dan menghadiahkannya senyuman. Hatinya terpikat sekali lagi dengan senyuman itu.

‘Aku akan cuba mencari tahu pasal kau… Manisah,’ tekad Michael Angle.

‘Cubalah…’ seseorang sentiasa berbisik kepadanya itu membalas kepada suara hati Michael Angle.


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.