Aniq Zafran mengunci pintu kafe, hanya lampu kelip-kelip menghiasi dinding luar dibiarkan menyala. Sebelum meninggalkan tempat itu, dia memandang sejenak persekitannya. Lama sungguh dia tidak berkunjung ke kafe, sudah genap setahun tiada banyak perubahan. Siang tadi, dia memerhati dari kejauhan, nampaknya bisnes yang dahulunya diusahakan bersama adiknya berkembang maju.
“Aku bangga dengan kau,” katanya, mendongak memandang papan tanda kedai.
Sunshine Café, nama yang dipilih mereka berdua sebagai simbolik kepada harapan untuk menyaksikan kafe itu sentiasa bersinar dalam hati setiap pengunjung melalui hidangan minuman berasaskan kopi terbaik buat mereka. Pembukaan kafe itu diilhamkan daripada kegemaran mereka terhadap kopi dan sanggup untuk mempelajari pembuatan minuman kopi yang sempurna.
“Oh… hujan lagi!” Rintik-rintik gerimis memberat dengan cepat menjadi hujan lebat.
Aniq Zafran mengambil keputusan untuk berteduh sebentar di luar kafe. Malas rasanya mahu meredah hujan lebat untuk pulang ke tempat tinggalnya. Langit hitam pekat basah ditenung sejenak.
“Setahun rupanya dan banyak betul benda terjadi,” keluhan terluah berat.
Imbas kembali…
Kira-kira setahun yang lalu sebelum menghilangkan diri…
Aniq Zafran melihat hujan yang turun dengan lebat di luar tiada tanda-tanda akan berhenti dalam masa terdekat. Pelanggan kurang mendatang pada waktu hujan lebat begini tambahan lagi jam sudah menghampiri jam 6:00 petang. Dalam beberapa jam lagi dia akan menutup operasi kafe. Sementara tiada pengunjung, dia menyapu lantai membersihkan debu-debu.
“Bang… aku balik dulu. Nak study,” tegur Fahmi, muncul dari bahagian belakang dengan sudah siap sedia dengan pakaian hujan. Dia akan pulang ke rumah dengan menaiki motosikal.
“Okey, baik-baik,” balas Aniq Zafran melihat Fahmi dengan topi keledar.
Aniq Zafran sudah siap menyapu. Setelah itu, disusun cawan dan gelas sudah siap dibasuh ke tempatnya. Kemudian, menuangkan kopi O panas ke dalam satu cawan untuk diminum bagi menghangatkan badan dalam kesejukan udara akibat petang ini.
“Selamat datang ke Sunshine café,” ucap Aniq Zafran apabila terdengar pintu ditolak seseorang.
“Terima kasih. Hujan lebat hari ini,” kata seorang lelaki berbasa-basi semasa memasuki kafe, menutup payung lalu disandarkan sebelah pintu.
“Kopi… encik?” tanya Aniq Zafran beramah mesra, sudah mengambil satu cawan baru lalu menuang kopi o panas ke dalamnya.
“Terima kasih… very nice.” Dia terima pelawaan itu, menarik kerusi lalu duduk.
Dengan penuh nikmat, dia mencicipnya. Kehangatan minuman mengembalikan haba badan.
“Encik dari mana?” tanya Aniq Zafran melihat beg kerja jenis bimbit milik lelaki itu di atas meja kaunter. Gatal betul mulutnya untuk bertanya.
“Dari sekolah. Hari ini pulang lewat kerana memeriksa hasil kerja pelajar saya. Tak sangka hujan pula,” jawabnya dengan jujur.
“Berjalan kaki?” soal Aniq Zafran dengan sengaja. Melihat reaksi lelaki itu mengangguk, dia bertanya lagi, “Tentu jarak rumah encik dengan sekolah tak begitu jauh.”
“Betul sekali. Dan café ini terletak di tengah-tengah antara rumah saya dengan sekolah. Asbab hujan, sampai juga saya di sini dan bertuah sungguh dapat menikmati kopi yang penuh dengan keikhlasan ini,” beritahunya, sempat menyelitkan pujian membuatkan Aniq Zafran berbunga-bunga seketika.
“Wow! Mendalam sekali penghayatan cikgu…” Malu-malu pula Aniq Zafran sambil mencuba mengumpan lelaki itu untuk menyebutkan namanya.
“Cikgu Zainuddin. Saya mengajar subjek seni di sekolah… untuk tingkatan 6. Tahun depan pencenlah saya.” Tergelak-gelak lelaki itu. “Oh, berhenti pun hujan.” Dia melihat luar apabila tidak kedengaran hujan menitik membasahi bumi, cepat-cepat menghabiskan minumannya.
“Ya, nampaknya sudah berhenti.” Aniq Zafran turut memandang ke luar, lega kerana tidak perlu menempuh hujan lebat dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Saya harus bergegas pulang, orang rumah dah risau. Ini nombor saya, senang-senang call. Kita berbual-bual panjang lagi nanti. Saya senang sekali untuk menunjukkan koleksi karya peribadi di studio rumah.”
Tergesa-gesa Zainuddin mengeluarkan buku nota kecil dan pen dari poket baju lalu menulis nombor telefon bimbit dan diserahkan kepada Aniq Zafran.
“Sure… why not?!” Aniq Zafran senang dengan sikap lelaki separuh abad itu.
Kertas itu disimpan masuk ke dalam poket apron, sudah memasang niat untuk mengenali lebih lanjut dengan Zainuddin.
“Berapa?” tanya Zainuddin mengenai harga kopi.
“Tidak perlu, cikgu. Saya belanja,” pelawa pemilik Sunshine café itu.
“Thank you! Ada masa call saya. I’ll treat you with my coffee… okay?” kata Zainuddin dan Aniq Zafran senang menerima pelawaan tersebut.
Mereka berpisah untuk sementara waktu sebelum berjanji temu pada masa akan datang.
Sudah dua minggu berlalu semenjak pertemuan pertama di Sunshine café, Aniq Zafran mengambil peluang untuk membuat panggilan dengan Zainuddin pada tengahari tadi. Setelah mendapat kata putus, mereka berjanji untuk bertemu selepas jam 5:00 petang.
Aniq Zafran lebih kepada tidak sabar untuk berbual-bual santai dan berkenalan lebih lanjut dengan lelaki sebaya dengan bapanya. Sesekali untuk berjalan ke tempat orang setelah seharian menghadap kerenah pelbagai pelanggan.
“Duduk dulu. Saya ke belakang sebentar. Special coffee for you,” kata Zainuddin ketika mempelawa Aniq Zafran masuk ke ruang tamu.
“Susah-susahkan cikgu pula saya ni,” balasnya, segan secara tiba-tiba tetapi tetap sahaja duduk apabila dipelawa.
Zainuddin ketawa, suka dengan kerenah Aniq Zafran. Sikapnya membuatkan dia tertarik dan berani untuk meninggalkan nombor telefon peribadi dengan harapan mereka dapat bertukar buah fikiran antara dua generasi berbeza.
Setelah Zainuddin meminta diri sebentar, Aniq Zafran memerhati perhiasan perabot ruang tamu. Tampak seperti ruang tamu kebanyakan rumah moden zaman kini. Beberapa tangkai bunga mawar merah segar dalam pasu sederhana besar saiznya terletak di atas meja depan Aniq Zafran. Terasa segar sahaja pengudaraan rumah di samping tingkap-tingkap terbuka luas dan kawasan luar rumah dikelilingi dengan pelbagai tanaman tumbuhan.
Aniq Zafran dapat melihat di suatu sudut ruang tamu terdapat sebuah piano mini. Dia sudah berfikir-fikir, Zainuddin seorang gemarkan muzik. Terbayang-bayang Zainuddin bermain dengan alatan muziknya di situ. Paling menarik perhatiannya, pemain piring hitam di sebelahnya menimbulkan perasaan nostalgia membuatkan lelaki itu berasa kagum.
Seterusnya, tumpuan terarah kepada lukisan potret sederhana besar di dinding.
“Cantik tapi aura dia tu… misteri,” komennya melihat wanita dengan selendang hitam.
Cepat-cepat dia mengalih pandangan. Lama-lama menatap menimbulkan perasaan tidak enak di hati.
Ting. Kedengaran papan piano dimainkan seseorang membejatkan hirupan Aniq Zafran. Pandangan terarah kepada piano, seseorang dalam serba hitam membaluti tubuh duduk membelakangi sambil bermain piano. Lagunya kedengaran syahdu mendayu-dayu seperti sedang merintih.
Bulu romanya tegak tetapi tidak lama kerana menghayati lagu yang sedang dimainkan. Dia tidak tahu apa lagu sedang dimainkan tetapi berjaya memancing hatinya untuk bersedih sama. Seakannya, dia memahami isi cerita lagu itu. Lagu untuk segala keperitan yang dialami selama hidup. Matanya tertutup semasa menghayati isi ceritanya.
Bunyi piano terhenti, Aniq Zafran membuka mata. Seseorang dalam serba hitam memainkan lagu lain. Kali ini kedengaran seperti sebuah lagu keriangan, Aniq Zafran mengagak isi cerita mengenai sebuah keluarga.
Muncul pula seorang lelaki mirip seperti Zainuddin tetapi muda beberapa puluh tahun, duduk di situ dan turut menekan papan piano bermain bersama seseorang dalam pakaian serba hitam. Seseorang serba hitam bertukar menjadi seorang wanita muda seusia Zainuddin ketika itu. Gelak tawa mereka melambangkan mereka diselubungi dengan kebahagian hidup berpasangan. Muncul seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan usia 12 tahun memaut bahu mereka berdua. Menurutnya, itu mesti anak mereka.
“Indahnya ikatan mereka,” puji Aniq Zafran melihat mereka saling berpelukan, teringat keluarga sendiri di rumah.
Hampir menitis air matanya ditambah dengan lagu dimainkan. Aniq Zafran menutup mata untuk menghayati lebih lanjut isi ceritanya.
“Tentu kopinya membuatkan kamu terbuai-buai.” Terperanjat Aniq Zafran mendengar suara Zainuddin. Cepat-cepat dia membuka mata.
“Eh, cikgu…” balasnya, apabila dipandang pada sudut menempatkan piano, kosong tiada sesiapa di situ. Dan, itu mengembalikan Zainuddin pada rupanya kini, sudah separuh usia.
“Maaf lambat. Ini… saya bawakan pisang goreng. Panas-panas lagi… sedap makan waktu petang begini bersama dengan kopi panas!” pelawanya dengan sangat ramah.
“Wah… terima kasih cikgu!” Laju sekali dia mencapai seketul pisang goreng, disuakan ke dalam mulut. “Sedap!”
Semasa menikmati hidangan tersebut, matanya tidak reti untuk duduk diam, senyap-senyap memerhati lagi ruangan tamu, terpandang pula foto keluarga dalam bingkai gambar di dinding berhampiran potret wanita misteri.
Zainuddin duduk bersama dengan seorang wanita yang hampir mirip wajahnya, tentu itu isterinya. Di belakang mereka, terdapat seorang lelaki dan perempuan berdiri. Lelaki muda itu lebih mirip dengan wajah Zainuddin, teka Aniq Zafran itu tentu anak lelaki pasangan suami isteri itu. Wanita muda itu pula mungkin menantu kepada mereka berdua.
“Cantik isteri cikgu.” Ringan mulutnya memuji wanita di sebelah Zainuddin dalam gambar itu, tersenyum manis dan menyerlahkan sifat seorang ibu penyayang, teringat ibunya sendiri di rumah.
Zainuddin tersenyum kelat dan Aniq Zafran perasan akan hal itu. Sedikit sebanyak dia serba salah, mungkin itu hal sensitif untuk ditanya.
“Maaf… saya hanya memuji.” Akhirnya itu terucap setelah Aniq Zafran cuba sedaya upaya mencari ayat sesuai untuk menyambung perbualan. Beberapa saat tadi termati akal untuk memproses ayat yang sesuai. Kunyahannya menjadi perlahan.
“Tidak mengapa, tak perlu meminta maaf. Terima kasih memuji isteri saya. Memang betul sekali… dia cantik.” Sedaya upaya Zainuddin menahan sebak di dada, suaranya bergetar kedengaran jelas.
“Dia sakit…” Aniq Zafran tersentak, seseorang berbisik di telinga terus dia memandang sekali lagi foto keluarga.
Direnung dalam-dalam tanpa berkelip wajah isteri Zainuddin, tenggelam dalam tindakan sendiri ibarat sudah berada di tempat lain.
“Hujan dah teduh.” Aniq Zafran menadah tangan, tiada titisan air hujan mengenai telapak tangannya. Buat kali terakhir, bebola mata memandang papan kedai Sunshine Café.
“Nanti-nanti… kau akan tahu juga ke mana aku menghilang,” katanya meninggalkan kawasan itu dengan hati yang berat.
Derapan kakinya kedengaran memecah kesunyian malam. Aniq Zafran tidak tahu bila lagi langkah kakinya akan kembali semula menjengah kafe usaha sama mereka berdua.