Pagi yang damai dan tenang terus bertukar hingar-bingar dalam sekelip mata. Siren polis kedengaran dari jauh menyerbu perkarangan bangunan Galeri Seni Antonio. Disyaki Galeri Seni Antonio diceroboh masuk perompak malam tadi setelah mereka menerima panggilan kecemasan daripada petugas. Paling membuatkan syak wasangka mereka benar, pengawal keselamatan bertugas pada malam hari turut tidak kehilangan di pondok pengawal. Sistem pada setiap pintu keluar masuk bangunan tidak berfungsi menguatkan lagi andaian mereka.
Laungan amaran diberikan dan apabila tidak mendapat sebarang respon, pihak berkuasa mengambil keputusan untuk memecah masuk ke dalam bangunan dengan berhati-hati. Keadaan yang kecoh-kecoh sebegitu membuatkan kawasan sekeliling dikerumuni orang ramai walaupun sudah diarahkan untuk beredar dari situ memandangkan risiko terhadap ancaman bahaya yang tidak terjangka.
Seseorang menyaksikan kejadian itu dari dalam kereta dengan penuh perasaan marah. Misinya gagal buat kali pertama dalam hidupnya bergelumang dengan kegiatan mencuri karya dari Galeri Seni Antonio. Dengan kasar, dia memasuki gear lalu memecut laju meninggalkan Galeri Seni Antonio.
Lopak air besar dilanggar sahaja sehingga airnya terpercik ke arah seorang pejalan kaki yang kepalanya ditutupi dengan selendang hitam jarang. Tubuhnya dibaluti dengan baju kurung tradisional tanpa corak, turut berwarna hitam. Sang pejalan kaki menampakkan sengihan seolah tidak terkesan dengan kejadian itu malahan, dia bangga kejadian menimpa Galeri Seni Antonio berlaku juga hari ini. Baginya, mereka yang terlibat harus diajar lambat-laun.
Pandangan matanya terarah kepada Galeri Seni Antonio yang sedang dikepung pihak berkuasa. Sekuntum mawar hitam diletakkan perlahan-lahan di atas jalan tar.
“Udara pagi ini sangat segar. Lama sekali aku duduk tidak mampu untuk bergerak secara bebas. Aku suka dengan perasaan hari ini. Bebas dan aku akan membuat mereka menyesal!” bisiknya sendirian disertai ketawa kecil dari balik wajah dilindungi selendang hitam.
Kedua-dua tangan digenggam kuat sehingga kuku tajam hitamnya mencengkam lalu mencederakan telapak tangan. Darah menitik sedikit demi sedikit di atas jalan tar.