Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 45

Partikel habuk yang berada di udara tersekat di kerongkong sehingga terbatuk beberapa kali. Pernafasannya juga terganggu kerana tidak selesa dengan bauan hapak di ruang tamu itu. Sesekali terlanggar sarang lelabah yang menyebabkan dia menyapu rambutnya. 

Angin berdesir menyapa lembut pendengarannya. Kain langsir buruk berterbangan ditiup angin. Dari tingkap yang terbuka, sinar cahaya matahari condong ke barat menyilaukan retina matanya. Segera Dahlia menghalangnya dengan tapak tangannya. Agakannya, sekarang dia berada pada waktu petang.  

Ting. Ting. Ting! Bunyi piano dimainkan secara rawak mengejutkannya. Dengan matanya sendiri, Dahlia melihat papan piano bergerak memainkan not secara rawak dengan laju. Terundur-undur dia ke belakang dengan laju sambil tangannya memaut erat laci di tepi dinding sehingga akhirnya dia berasakan telah terlanggar sesuatu. 

Sebaik sahaja menoleh ke belakang terus jantungnya berdengup laju kerana penglihatannya tertangkap susuk wanita yang sedang duduk membelakanginya. 

“Si gadis pembunuh?” teka Dahlia berdasarkan naluri hatinya.

“Dahlia…” tegur seseorang dari belakang.

Dahlia meremang apabila suara wanita itu seakan disambut dengan bunyi lolongan anjing sambil angin begitu dingin menyapa tubuhnya.

Si gadis pembunuh dengan penampilan yang biasa dilihat Dahlia muncul betul-betul di depan matanya.

“Ini mimpi… kan? Aku hanya bermimpi!” 

Dahlia dengan penuh ketakutan apabila tiba-tiba sahaja bola mata Si gadis pembunuh bertukar merah dan tidak seperti manusia normal. 

“Jangan dekat dengan aku!” Dahlia memberi amaran.

Si gadis pembunuh tidak mempedulikan amaran itu, dia mendekati lalu mendongakkan dagu Dahlia menggunakan jari telunjuk. Dia gembira melihat Dahlia begitu ketakutan sekali sampai berpeluh lebat.

“Aku takkan apa-apakan kau. Kaukan… penjaga aku. Kaukan yang membawa aku keluar dari situ,” kata Si gadis pembunuh, begitu dekat sekali wajah mereka bertembung sehingga Dahlia terpaksa memalingkan muka kerana takut melihatnya begitu.

“Aku… aku… bukan aku!” nafi Dahlia sambil tergeleng-geleng kepala.

“Betullah tu. Mana ada orang yang akan mengaku bersalah apabila berbuat salah. Macam kau…”

Si gadis pembunuh melalu-lalukan jari-jemari ke muka Dahlia. Kukunya yang tajam menerbitkan rasa ngilu pada Dahlia.

“Salah? Aku tak buat salah! Jangan hasut fikiran aku untuk aku mengaku benda yang tak pernah aku buat!” 

Dahlia menekup kuat kedua-dua telinga, dia tidak ingin mendengar ayat seterusnya seakan tahu apa yang akan dituturkan Si gadis pembunuh.

“Tu pun betul juga, hanya pelaku sebenarnya sahaja tahu yang sedang dia buat. Kau… perlukan sesuatu, kan dengan membawa aku keluar dari situ?”

Dahlia seperti sukar bernafas mendengarnya, dia gugup. Spontan mulutnya hampir terlopong, tidak tahu untuk menuturkan jawapan yang sesuai.

“Apa yang kau sedang kerjakan, Dahlia?”

“Aku… aku…” Dahlia terputus kata-kata, Si gadis pembunuh lenyap sebegitu sahaja menjadi serpihan pixel berwarna-warni.

Dahlia terduduk di atas lantai, merenung kata-kata terakhir Si gadis pembunuh.


Terbangun mendadak dari tidurnya dalam kegelapan ruang tamu. Rupanya dia terlelap di meja kerja semasa menyiap kerjanya sebaik sahaja pulang ke pulang. Hanya diterangi dengan lampu-lampu jalan diluar. Nafasnya kencang, spontan memegang dahi sambil cuba memikirkan mimpinya. Ingatan tentang mimpinya samar-samar. 

Telinga terganggu dengan bunyi violin yang berjaya membuatkan hatinya terasa pilu. Dahlia kenal bunyi itu. Dijeling skrin komputer, ternyata terpasang Tchaikovsky - Violin Concerto (second movement) di aplikasi Youtube. Pantas mencapai tetikus dan rakus menekan butang pangkah pada browser kerana tidak ingin mendengar gesekan viola yang membuatkan hatinya pilu tanpa diminta.  

“Argh, padah tertidur waktu senja… sekarang dah nak tengah malam baru terjaga!” Dahlia menarik rambut sendiri lalu menyandarkan badan. Tersedawa dia mengeluarkan angin dari dalam badan. 

Sudah jam 12:05 tengah malam sewaktu dia melihat jam pada skrin komputer. Cuba meraih kesedaran di alam realiti setelah terbangun dari tidur dan termimpikan perkara yang bukan-bukan.

Ting! Telefon pintarnya berbunyi, skrinnya menyala. Dahlia dihambat kejutan lalu terus membukanya. Ada satu emel baru masuk, emel yang sering ditunggu-tunggu selama beberapa bulan ini.

Laju sahaja matanya membaca mesej terkandung dalam emel sebelum tiba-tiba dia bangun lalu melonjak bahagia sendirian di ruang tamu yang gelap.

“Yes… yes! Akhirnya… impian bertahun-tahun terlaksana!”

Bersemangat sekali Dahlia sambil mengepal penumbuk dan melompat tidak tentu arah. Berdengup kencang jantungnya gara-gara terlalu gembira. Pipinya terasa panas dan memerah menerima perkhabaran berita gembira terbabit.

Telefon pintarnya berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Segera dia mengangkatnya tanpa melihat nama pemanggil akibat terlalu gembira.

“Helo?” katanya, ringkas dan tidak mampu menyorokkan nada suaranya yang ceria.

Anehnya, Dahlia mendengar pemanggil itu ketawa kecil. Lama-lama kedengaran menyeramkan dan meremang bulu roma dibuatnya pada tengah-tengah malam.

“Macam mana dengan berita itu wahai penjagaku? Seronok? Mesti seronokkan dapat menceritakan dan memberitahu semua orang tentang kisah aku.” 

Dahlia berkerut dahi, kegembiraannya mati sebegitu sahaja.

“Macam mana… macam mana kau tahu?” soal Dahlia, sudah berasa seram sejuk.

Dia berasa diperhatikan, pantas dia menoleh ke arah tingkap. Beberapa saat lepas, ekor mata seakan-akan terlihat bayang-bayang hitam berlarian dengan pantas di luar tingkap. 

“Tahulah…” kata-kata sang pemanggil terjeda. “… aku… di sebelah kau!” 

Automatik Dahlia menoleh ke kanan, telefon pintar terlepas dari pegangan tangan. Dia dihambat kejutan berganda dari alam mimpi lagi sampailah sudah terjaga di dunia nyata. Entah macam mana, Dahlia berasakan pandangan matanya berpinar-pinar sebelum jatuh pengsan di atas lantai.

Sebelum matanya tertutup rapat, dia bagai melihat gerak bibir kelibat serba hitam di depannya berkata, “Pinjam badan kau.”


Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.