Kidman singgah di sebuah kedai serbaneka untuk membeli sekotak rokok dan beberapa gula-gula getah. Waktu-waktu tengah malam begini, memang jarang sekali malahan tiada sesiapa yang keluar untuk membeli barang kecuali jika benar-benar kecemasan.
Sebaik sahaja memasuki kedai itu, Kidman dapat berasai angin dingin bertiup; bukan datang dari dalam kedai sebaliknya tidak diketahui arah puncanya.
Seorang pekerja lelaki, matanya sembam masih lagi ramah menyambut kedatangan Kidman. Kidman meneka pekerja itu merupakan seorang pelajar di sebuah universiti bekerja separuh masa mencari duit belanja berdasarkan lantai di kawasan kaunter dipenuhi dengan sebuah komputer riba dan beberapa buah buku rujukan.
Tidak mahu menyibuk urusan orang lain, Kidman menuju ke peti ais lalu mengambil sebotol kecil air berkarbonat perisa anggur. Kemudian Kidman ke kaunter meminta sekotak rokok sambil tangannya sendiri mencapai beberapa gula getah di situ. Dia sudah mengeluarkan dompet, bersiap sedia untuk membuat pembayaran menggunakan kad kredit.
Sementara menunggu jumlah harga yang perlu dibayar, ekor mata Kidman meliar menjeling keretanya di parking luar. Setelah itu, matanya tertarik untuk melihat muka depan surat khabar di atas kaunter yang tidak habis terjual hari itu.
‘Seorang wanita ditemui pengsan di tengah jalan berhampiran pinggiran hutan. Siapalah perempuan yang malang tu? Kesian tapi bukan masalah aku,’ komennya di dalam hati.
Kidman tidak berniat untuk melanjutkan pembacaan, sejenak dia merenung foto terpapar untuk berita berkenaan; seorang wanita dalam pakaian hitam berbaring di atas jalan tar, tentu sekali sedang dalam keadaan tidak sedarkan diri bersesuaian dengan headline dibaca.
Tengkuknya berasa ditiup-tiup bayu lembut membuatkan dia geli lalu dia mengurutnya. Kidman mendengar bunyi seseorang bernafas kuat disertai dengan bunyi seakan berdesir seperti ular menunggu masa untuk mematuk bisa kepada mangsanya.
‘Kidman…’ Teguran dengan suara halus gemersik menggegarkan sukma membuatkan Kidman berasa terbuai-buai diawangan bagai orang mengantuk disorong bantal.
Setiap objek dalam kedai serbaneka termasuk pekerja itu menjadi kabur dan kelihatan seperti berwarna kelabu ibarat filem hitam putih sebelum menjadi berganda-ganda dan bersedia untuk menghempapnya. Dalam keadaan begitu, Kidman berasakan seseorang sedang memeluknya dari belakang lalu membawa sisi sedarnya ke sesuatu alam yang aneh.
‘Sayang…’ Kata-kata lembut seseorang begitu dekat dengannya disertai dengan hembusan nafas hangat pada belakang leher Kidman.
Kidman menjadi benci melihat situasi sedang berlaku sekarang. Orang yang paling dia benci dan tidak sabar untuk melihat hari kematiannya terjadi masih hidup lagi. Dia juga tidak menafikan hatinya menjadi puas melihat kemalangan kereta di hadapan akibat kegagalan mengawal kenderaan semasa turun bukit lalu menghentam penghadang besi jalan.
Membutang bulat matanya melihat seorang lelaki melebihi usia separuh abad berusaha keluar dengan menolak pintu kereta. Setelah berjaya, dia melangkah dengan terhuyung-hayang seperti orang mabuk menuju ke tempat duduk sebelah menempatkan seorang perempuan. Dengan bersusah payah membuka tali pinggang meliliti perempuan yang merupakan isterinya sebelum sedaya upaya mengeluarkan dari dalam perut kenderaan.
Jari telunjuk disuakan dengan takut-takut ke lubang pernafasan wanita itu. Masih bernafas, dia mengucapkan Alhamdulillah berkali-kali, harapannya bernyala kembali.
“Tolong bertahan… sayang!” katanya dalam suara bergetar-getar, dahi isteri dikucup membuatkan Kidman memerhati dari dalam kenderaan diparking tidak jauh dari situ, terbakar dengan api cemburu yang meluap-luap.
Kidman melihat beberapa kali lelaki itu terjelepok kerana tidak larat untuk mengeluarkan Manisah dalam keadaan cedera parah sebegitu.
‘Padan muka!’ Kidman mengejek dalam hati, puas melihat keadaan itu.
Tiba-tiba perlakuan lelaki itu terhenti kerana terhidu sesuatu menggusarkan perasaan.
“Bau minyak!” Hampir menjerit lelaki itu, dia yakin sekali tumpahan minyak sedang berlaku. Apa-apa perkara buruk bakal berlaku dalam beberapa minit atau… beberapa saat sahaja lagi!
Lelaki itu membaca basmallah. Akhirnya, dia berjaya membawa isterinya keluar dari kenderaan mereka. Selaju mungkin dia menjauhi kenderaannya, tidak semena-mena bunyi letupan kuat menerjah pendengaran. Serentak itu, hampir-hampir sahaja mereka berdua melambung ke udara impak daripada letupan kuat itu.
Lelaki itu mendapatkan isterinya tercampak jauh sedikit daripada tempatnya. Seerat mungkin dia memeluk isterinya, dahinya dicium berkali-kali. Air matanya deras mengalir, esak tangis kedengaran kuat.
“Sayang… bertahan!” ucapnya, hampir histeria memandangkan isteri langsung tidak memberi respon akibat impak tadi.
“Sayang…” Panggilnya dengan takut-takut.
Kepala wanita itu terlentok dalam pelukannya, longlai dan langsung lembik seperti sudah tidak bernyawa. Lagi sekali, dia meletakkan jari telunjuk dan… meraung sekuat hati! Nafas isteri tersayang sudah tiada. Dia bagaikan orang gila meratapi kematian insan tersayang.
Air mata Kidman laju mengalir ke pipi, tidak sangka wanita disayanginya mati begitu saja. Mengigil menyaksikan kejadian kehilangan nyawa sebegitu. Dia mengetap gigi kuat, tidak puas hati kerana sepatutnya yang mati ialah lelaki itu bukannya wanita kesayangannya!
“Argh… tak guna! Kenapa bukan kau je yang mati?” bentak Kidman, menghentak-hentak stereng dengan marah sekali.
Tercari-cari Kidman akan senjata api di dalam laci dashboard, “Zainuddin… hari ini akan menjadi hari kematian kau!”
Terburu-buru Kidman keluar dari perut kereta, pintu dihempas kuat begitu sahaja. Dia sudah berdiri di depan lelaki itu dengan menghalangi cahaya matahari terik; wajahnya sukar dilihat Zainuddin kerana silau.
“Ikutlah dia ke neraka…” Kidman sudah hilang sifat kemanusiaannya, muncung pistol bersentuhan dengan dahi Zainuddin.
Sebaik sahaja Zainuddin mendongak, tubuhnya terbaring longlai di atas tanah bersama dengan jasad isterinya. Kedua-duanya terkulai sudah tidak bernyawa.
Kidman ketawa terbahak-bahak sudah serupa seperti orang hilang siuman. Tiba-tiba dia melutut di depan Manisah, merangkulnya sebelum menjerit menzahirkan kesedihan di dalam hati.
“Encik… encik!” Pekerja kedai serbaneka cuba menyedarkan Kidman yang tiba-tiba rebah di atas lantai tidak sedarkan diri.
Kidman terpisat-pisat seperti kelakuan orang yang baru bangun dari tidur. Pantas dia bangkit sambil memegang kepala, terasa berdenyut-denyut dan hampir rebah lagi sekali ke lantai.
“Aku… apa terjadi kepada aku?”
Belum sempat pekerja itu menjawab, Kidman mengambil barangan dibeli yang sudah dimasukkan ke dalam plastik.
“Encik…” Pekerja itu terperanjat.
Kidman terus mengambil kad kredit yang sudah terletak di atas meja kaunter.
“Dah bayarkan?” soal Kidman, melihat pekerja itu mengangguk mengiyakan, dia terburu keluar dari situ.
Masuk sahaja ke dalam perut kereta, Kidman mencekak rambutnya. Dia mengeluh berat berulang kali sambil menghentak stereng sampai sakit tangannya.
“Apa kena dengan aku hari ni?”
Kidman mengelus tangan kanan, jari-jemari berasai cincin yang dipakai pada jari manis.
“Manis…” sebutnya akan nama panggilan seseorang.
Sudah jauh meninggalkan dunia namun, begitu dekat dengan hatinya. Air mata jantan mengalir di pipi tidak semena-mena.