Jam tangan dilihat, sudah pukul 7:15 petang. Sebentar lagi akan pasti akan berkumandang azan maghrib. Dia harus lekas memandangkan mahu singgah membeli makan malam. Kepenatan membuatkan dia tiada keinginan untuk memasak sendiri di rumah hari ini.
Nada dering telefon pintarnya mengejutkan dia, spontan mengurut dada sambil menutup mata serta menarik nafas untuk menenangkan diri sebelum mengangkat panggilan. Tertera nombor peribadi pada skrin. Tiada persoalan mengenai identiti pemanggil walaupun selalunya dia akan was-was untuk mengangkat panggilan yang menggunakan nombor peribadi. Berdasarkan pengalaman lalu, selalunya itu panggilan daripada para penipu atas talian ataupun dikenali sebagai scammer.
“Kau takut?” ugut pemanggil misteri tanpa sempat Dahlia membuka mulut bertanya.
Dahlia terkejut dengan suara pernah didengari sebelum ini dan tentu tidak mahu untuk mendengarnya lagi. Seluruh tubuh menggigil hebat sampai terketap-ketap gigi.
“Kenapa perlu takut Dahlia? Kaukan penjaga aku. Lama sekali kau menjaga aku dan aku perlu mengucapkan terima kasih kerana sudah menjaga aku baik-baik.”
Hilai tawanya menakutkan apatah lagi galeri mulai gelap setelah tamat waktu operasi. Dahlia berseorangan membuatkan bulu romanya tegak mendadak.
“Siapa ni? Jangan main-mainkan aku! Aku muak dengan rasa ini… rasa seperti ingin mati!” tengking Dahlia, matanya terbeliak besar, tiada masa untuk melayan panggilan palsu daripada sesiapa pun terutama scammer.
“Kalau macam tu…” Pemanggil itu ketawa kecil. “… mati jelah!”
Terbeliak mata Dahlia mendengarnya.
Terburu-buru Dahlia memandu keretanya untuk pulang ke rumah. Dirinya bagai terasa diekori sejurus menerima panggilan berbaur ancaman baginya. Dan, identiti pemanggil tadi masih begitu misteri. Rancangan untuk membeli makan malam lenyap begitu sahaja, rasa lapar yang menguasai pun hilang begitu.
Secara mengejut dia menekan brek apabila tiba di halaman rumahnya sehingga terlanggar tong sampah di halaman rumahnya sendiri. Ironinya, dia tidak peduli langsung untuk membetulkannya kembali sebaik sahaja keluar dari dalam perut kereta.
Dahlia menghidupkan lampu ruang tamu rumah. Apabila sudah terang benderang, Dahlia pantas mengatur langkah menuju ke meja kerja yang terletak di ruang tamu. Tidak teragak-agak dia menekan punat on pada komputer riba yang tersedia di atas meja. Terasa lambat sekali komputernya memulakan operasi walhal tempoh diambil adalah normal. Dia sahaja yang tidak sabar-sabar.
Mata mengerling melihat jarum jam dinding, dekat nak pukul 8:00 malam.
“Sempat lagi,” katanya sambil jari-jemari menggerak-gerakkan tetikus mencari sesuatu dari dalam komputer riba.
Matanya tidak terlepas langsung daripada memandang skrin.
Tanpa disedari Dahlia, seseorang sedang berdiri di belakangnya. Nafas seseorang itu ditahan-tahan agar Dahlia tidak menyedari kehadirannya. Kedua-dua tangan bersedia seakan mahu menerkam Dahlia yang leka dengan kerjanya tanpa menyempat menukar pakaian kerja.
“Baaa!” sergah seseorang dari belakang Dahlia membuatkan dia yang sedang ralit mencari sesuatu dalam folder komputer terperanjat dan melatah-latah tidak cukup nafas.
“Aduh… kau ni Sarah! Nak tercabut jantung aku boleh buat lauk. Apa orang kata tu, makan nasi berulam jantung!” marah Dahlia, mengurut dadanya berulang kali.
Sarah ketawa. “Tinggi sangat metafora kau ni, sampai mengarut aku dengar! Kau buat apa tu? Sibuk nampak? Takkan pula kerja pejabat sampai bawa balik ke rumah. Rajin betul! Harap bos naikkan gaji kau supaya berbaloi sikit pengorbanan kau. Bukan senang nak dapat pekerja bagus begini.”
“Taklah… aku hanya teringat sesuatu. Kau pula mengarut sampai ke mana entah.”
“Tentang lukisan ‘Si gadis pembunuh’ tu ke?” soal Sarah tidak mengendahkan gurauan Dahlia.
Dahlia menongkat kening. “Mana kau tahu?”
“Mestilah aku tahu. Banyak-banyak lukisan, yang paling aku cam masa kes kecurian tempoh hari tentulah ‘Si gadis pembunuh’. Apa kau tak ingat kau pernah interview pelukisnya? I think about 1 year ago,” beritahu Sarah siap bercekak pinggang.
Mata Dahlia membutang bulat dan spontan memetik jari beberapa kali, “Betul juga, ya. Patutlah aku rasa macam, rapat sangat dengan karya ni!”
Angin berdesir menyapa telinga Dahlia tiba-tiba sehingga bulu romanya tegak mendadak. “Kan aku dah kata… kau penjaga aku.”
“Kau dengar tak?” soal Dahlia dalam keadaan suara terkejut sampai terbangun-bangun dari duduk memandang sekeliling ruang tamu.
“Dengar apa?” soal Sarah sambil menjongket kening. Serentak itu azan berkumandang dari surau berhampiran. “Dah… dah! Pergi mandi lepas tu solat. Maghrib singkat sahaja waktunya. Tu akibat terlalu kuat bekerja. Kesihatan mental perlu dijaga.”
Pada anggapan Dahlia, Sarah tidak mendengar bisikan tadi.
Sunyi sepi yang dirasakan menjadi bingit dengan suara hiruk-pikuk manusia apabila dia membuka mata. Baru Michael Angle sedar, dia sedang berada di stesen LRT yang begitu sesak dengan orang ramai berpusu-pusu mahu pulang ke rumah dengan segera.
“Apabila aku melalui kafe kegemaran kita… mengapa aku tidak berasakan apa-apa?” Perlahan-lahan, kedengaran lagu berkumandang bersebelahan telinganya.
Baru dia menyedari, dia sedang mendengar lagu melalui telefon pintarnya. Bait lirik lagu itu terasa dekat sekali dengannya walaupun itu kali pertama dia memasang lagu itu.
Volume lagu yang kuat menyebabkan dia tidak mendengar bunyi gerabak seterusnya akan tiba sebentar lagi di stesen itu. Tahu-tahu sahaja, angin kuat menderu menandakan gerabak sedang tiba platform stesen. Selendang tersangkut di leher berkibar-kibar ditiup angin.
“Cinta kita sudah berakhir, akanku padam kau dari ingatan.” Bait lagu yang sedang kedengaran di telinga terasa wujud di alam nyata seperti seseorang wanita membisik halus ke telinga, bukannya datang dari pemain muzik dari telefon pintarnya.
Michael Angle kekal kaku dan tidak berganjak dari tempat dia sedang berdiri walaupun pintu gerabak LRT sudah dibuka. Dirinya bagai hilang kesedaran, hanya jasad tanpa roh.
Mereka sememangnya mahu segera pulang berasak-asak masuk sehingga terpaksa bertolak-tolak. Namun, itu semua tidak sedikit pun tidak menyedarkan Michael Angle untuk segera masuk ke pintu yang bakal ditutup dalam beberapa saat sahaja lagi.
Bep. Pintu gerabak sudah ditutup sebelum bergerak perlahan kemudian laju meninggalkan stesen itu. Selendang terlilit di leher Michael Angle beralun-alun ditiup angin apabila gerabak meninggalkan stesen.
Tepat ianya berlalu pergi, pandangan matanya menangkap susuk wanita dengan cotton bucket hat berwarna hitam menutupi wajah dari platform bertentangan. Namun, senyumannya mengingatinya dengan sesuatu. Beberapa saat dia kaget dan mencuba untuk berfikir akan kewujudan wanita itu.
“Wajah kau dan nama kau… segalanya sama.” Dari balik senyuman, Michael Angle dapat mendengar suaranya seperti dibisik kepadanya.
Jarak kedua platform agak jauh dan mustahil untuk dia mendengar kata-kata wanita itu. Terkebil-kebil dia memikirkan hal itu.
Apabila dia berkelip mata, susuk wanita itu sudah tiada. Perlahan-lahan Michael Angle melangkah lalu melilau sekeliling mencari kelibat wanita itu. Tanpa dapat dilihat, dia berasakan seseorang menggenggam mesra jari jemarinya sebelum memeluk dari arah depan dengan erat.
“Aku tak mampu memadamkan kau dari hatiku.” Serentak suara itu dibisik ke telinga.
Terungkap secara perlahan akan susuk wanita dikenali namun terlupakan siapa gerangannya. Senyumannya itu, membuatkan hatinya sarat dengan rindu. Kehangatan tubuh bagaikan sudah biasa dirasainya sebelum ini walaupun dia tidak dapat mengingatinya langsung.
Tanpa diminta, mata Michael Angle tertutup. Serentak itu, mindanya tergambar suasana di ruangan putih sebelum bertukar menjadi sebuah ruang tamu rumah dengan perhiasan tidak asing seperti rumahnya sekarang.
Michael Angle menari bersama dengan wanita tidak kelihatan wajah bertemankan muzik klasik romantik. Hairan kerana dia tiba-tiba ketawa riang, perasaan dirasakan sudah lama hilang kebelakangan ini.
“Ayah!” seru kanak-kanak kecil lantas memeluk kaki Michael Angle.
Dengan senang hati, Michael Angle membawa kanak-kanak itu ke dalam dukungannya. Wanita itu turut sama memeluk mereka.
‘Biar pun ini mimpi, aku tak ingin bangun. Biar aku kekal dalam suasana begini.’
“Dengarlah lagu jiwaku…” suara seseorang berbisik kepadanya terjeda apabila kedengaran kuat bunyi gerabak melalui platform.
Apabila dibuka mata, angin sejuk berderu bagai membawa sekali jelmaan jasad wanita tadi. Michael Angle terpegun melihat pixel berwarna-warni meninggalkanya, ingin digapai namun semuanya terlalu pantas berlalu.
Keadaan menjadi sesak seperti tadi. Baru dia tersedar kehadiran manusia yang ingin menggunakan LRT. Orang ramai mula bersesak masuk ke dalam LRT dan menolaknya sehingga dia terdorong ke hadapan.
Untuk kali ini, Michael Angle turut bergegas masuk ke dalam LRT. Dia tidak melupakan kejadian tadi namun, dia cuba untuk berpijak pada bumi yang nyata.
Nasibnya baik, terdapat tempat duduk kosong di sebelah seorang gadis kelihatannya sedang melelapkan mata sebentar sambil telinga disumbatkan dengan earphone.
Apabila sudah keluar dari stesen itu, Michael Angle mendongak memandang malam gelap. Di situ, situasinya agak lenggang dengan kunjungan pengunjung walaupun terdapat beberapa barisan kedai menarik. Mungkin hari sudah mulai malam.
Matanya dipejam sekejap, ingin menghirup udara segar malam sambil-sambil menghilangkan sengal badan seketika. Derianya terhidu bauan kopi yang baru dikisar. Dalam keadaan mata terpejam, dia mengingati dia sedang berdiri berhampiran dengan kafe. Nafsu untuk mendapatkan minuman itu membuak sedangkan dia menikmatinya semasa waktu pejabat.
“Dah sampai ke bulan ke tu?”
Pendengarannya menangkap suara perempuan yang tidak disukai.
Laju sekali Michael Angle membuka mata. Memang benar tekaannya tadi, dilihatnya seseorang yang sangat dikenali dalam bidang barangan kemas sedang duduk di meja luar kafe sambil menyedut kopi ais dengan menggunakan straw.
Lagi bertambah menyampah, sempat perempuan itu menguntum senyuman sinis sambil melambai tangan sebagai isyarat dia di situ.
“Kau…”
Ekor matanya tidak lepas daripada memerhatikan perempuan itu.
“Cheers… chill, okay!”
Perempuan itu mengangkat cawan minuman, mungkin mempelawa untuk minum bersama. Tawa kecil itu menyakiti hati Michael Angle kerana dia menafsirkannya sebagai untuk menyindirnya.
“Jangan berkerut, kau kelihatan tua begitu. Chill, okay?”
Mereka kekal dalam posisi masing-masing dalam suasana rintik gerimis mulai turun. Pandangan sesama mereka seakan tidak mengendahkan rintik gerimis yang mulai bertukar menjadi hujan lebat.
Nampaknya, hujan kerap turun kebelakangan ini.