Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 4

Pagi-pagi lagi kenderaan sudah memenuhi jalan raya besar di bandar itu. Bunyi bingit pelbagai kenderaan sudah membuatkan dia lali sepanjang bekerja di ibu kota itu. Jarum jam tangan menunjukkan ke angka 8:30 pagi, ada lagi beberapa minit sebelum waktu pejabat tiba. Michael Angle lebih selesa datang ke tempat kerja dengan menggunakan LRT agar tidak terperangkap dengan kesesakan jalan raya di samping tidak perlu runsing memikirkan untuk mencari parking. 

Setelah keluar dari stesen LRT, menuntut untuk berjalan kaki melalui jejantas yang mengambil masa kira-kira 5 minit sebelum tiba ke pejabatnya. Semasa menggunakan jejantas, sengaja berhenti sejenak untuk melihat-lihat kenderaan bertali arus di bawah, melihat betapa sibuknya manusia pada awal pagi. 

Michael Angle menghidupkan aplikasi perakam suara dalam telefon pintar miliknya. Menjadi tabiatnya, apabila ingin bercakap mengenai sesuatu yang dirasakan bermakna dan memberikan kesan dalam kehidupan, dia akan merakamnya. Sempat dia melihat beberapa rakaman sebelum ini, sudah banyak rakaman suara direkodkan. Tunggu masa yang sesuai untuk dimainkan kembali dan ditulis beberapa kata kunci penting dalam buku catatan bertindak sebagai diari pengingat.

“Hairan… hidup kelihatan bebas tetapi menjadi hamba kepada wang,” terucap ayat yang bermain di minda saat ini.

Itu analoginya mengenai manusia yang kadangkala banyak menghabiskan waktu dengan bekerja berbanding melakukan perkara lain. Keluar subuh-subuh, pulangnya sudah tidak kelihatan matahari. Begitulah dirinya juga, sama seperti manusia yang lain. Terasa ingin mentertawa diri sendiri apabila menyedari hakikat itu.

Sunyi dan kesepian dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Tiada suri yang menghiasi rumahnya, suram rasanya apabila berada di rumah. Bayang-bayang seseorang perempuan sering muncul sesekali, perempuan itu berlagak layaknya sebagai seorang isteri melayani suami. Cuma, seringkali dia menidakkan kerana dirinya bujangan selama ini. Oleh itu, dianggap itu hanyalah imaginasi akibat sudah lama membujang. 

Diam di situ, membiarkan tubuh yang dibaluti baju kemeja dijamah angin pagi. Beralun-alun rambut ditiup angin sepoi-sepoi bahasa, wajahnya kekuningan disimbah mentari pagi. 

Dari atas juga, dia dapat melihat pelukis-pelukis plein-air di kaki lima bangunan kedai. Barangkali mereka baru tiba di situ kerana Michael Angle melihat mereka sedang berbual-bual santai sambil mengeluarkan peralatan yang diperlukan seperti bangku lipat, papan lukis dan macam-macam lagi. 

Terdetik di dalam hatinya, bagaimana pelukis-pelukis itu akan melakukan pekerjaan mereka jika kawasan mereka dibahangi dengan matahari atau pun dihujani secara tiba-tiba nanti? Selain itu, apa yang bakal mereka lukis di situ? Barangkali, permandangan pagi di bandar besar yang sesak dengan kenderaan atau pun kerenah-kerenah penghuninya?

Entahlah, Michael Angle hanya mampu berteka-teki sahaja. Lagipun, itu pertama kali dia melihat mereka di situ sepanjang perjalanan ke tempat kerja. Boleh jadi sahaja, dia yang tidak menyedari kewujudan pengkarya-pengkarya itu pada hari-hari sebelumnya akibat terlalu fokus dengan hal hidupnya. Tidak tahulah, apa yang sedang berlegar dalam fikirannya ketika itu.

Mungkin tahu sedang diperhatikan, Zaqwan yang berada dalam kalangan pelukis menoleh memandang Michael Angle sambil meleretkan senyuman mesra. Michael Angle terkesima tetapi, tidak pula memalingkan pandangan apatah lagi membalas kembali senyuman Zaqwan yang berbaju kemeja kotak-kotak berwarna coklat dan memakai French beret berwarna hitam. Michael Angle berasakan cita rasa Zaqwan itu mungkin akan diminatinya suatu hari nanti. 

MAGICAL JEWELRY - Bangunan dua tingkat di mana ruang bawahnya merupakan toko kedai aksesori pelbagai jenis keluaran syarikat mereka direka dengan konsep moden dan mewah, menggunakan cat dinding putih di samping chandelier dengan juntaian rama-rama tersergam indah di tengah siling memancarkan cahaya keemasan. Meja-meja pameran menyilaukan pandangan mata dengan cahaya aksesori berkerlipan indah, pasti menarik perhatian sesiapa sahaja untuk menyingahinya.

Tingkat atas merupakan pejabat pentadbiran yang dibahagikan kepada beberapa unit termasuk unit perekaan. Secara umum, unit-unit itu direka dengan berkonsepkan moden masa kini. Hampir keseluruhan dinding diperbuat daripada gelas kaca jernih menampakkan permandangan luar dan membenarkan pencahayaan semula jadi menerangi ruang dalam. Reka bentuk dalaman lebih santai, tiada lagi kubikel yang menghalang antara satu sama lain tambahan lagi perabotnya bersifat ergonomic. 

Pagi ini, sama seperti pagi-pagi sebelumnya di mana masih belum ramai yang memasuki pejabat memandangkan waktu operasi bermula dari jam 9:00 pagi sehingga 6:00 petang. Jarum jam dinding baru menunjukkan 8:45 pagi. 

Kerjaya sebagai pereka barang kemas yang didapatkan dengan pemalsuan dokumen semasa pemohonan jawatan di situ. Orang sumber pula, sememangnya Noraini yang bijak menyamar. Ternyata pihak Human Resource syarikat itu terpedaya dengan mudah segala-galanya. Gigih sungguh mereka selama beberapa bulan mengkaji latar belakang syarikat dan juga memasuki kelas-kelas penggunaan software dan aplikasi tertentu seperti Adobe Photoshop serta latihan simulasi suasana kerja di dalam bidang itu. Dia mempunyai sebab tertentu memilih syarikat berkenaan untuk melaksanakan misinya.

‘Easy… easy meh!’ Katanya dengan bongkaknya dalam hati, ingin sekali melompat bintang kerana gembira penyamarannya berhasil dan tidak terbongkar setakat hari ini.

Cermin mata berbentuk bulat tersangkut pada batang hidung dibetul-betulkan ala-ala seorang penyiasat. Tidak selesa rasanya kerana cermin mata itu asyik melorot ke bawah. Aniq Zafran tidak menghadapi masalah rabun sama ada rabun jauh mahupun dekat. Cermin mata dipakai hanyalah sebagai salah satu cara penyamaran agar tidak ketahuan tujuannya melakukan penyiasatan. Misai palsu pula dipakai agar tidak ketara identiti sebenarnya.

Dalam diam-diam, Aniq Zafran berasakan dia seperti Detektif Conan. Tergelak-gelak mengingatkan usul penyamarannya, geli hati rasanya.

“Good morning,” tegur Michael Angle sebaik sahaja memasuki ruangan pejabat dengan suara mendatar tanpa dapat dibaca emosi paginya, mencuba untuk berlagak tenang selepas apa yang dilaluinya sepanjang perjalanan ke tempat kerja. 

Hayati bersiul perlahan untuk menarik perhatian Aniq Zafran. Lelaki itu hanya mengangkat bahu menandakan dia tidak tahu emosi Michael Angle pada pagi itu. Itu kebiasan mereka berdua tiap kali Michael Angle tiba di pejabat pada waktu pagi. Michael Angle seorang yang sukar diramal perangainya dan pendiam serta hanya akan bercakap apabila perlu sahaja.

“Masih lagi dengan design tu?” tegur Aniq Zafran sekadar berbasa-basi sambil mendekati ruangan kerja rakannya itu apabila melihat Michael Angle sudah mengeluarkan Ipad dari dalam beg kerja. 

Tanpa perlu menjawab pertanyaan kawan sekerjanya itu, Michael Angle menjeling dengan ekor mata sambil menyelak fail yang mengandungi beberapa rekaan untuk gelang tangan yang tidak kunjung siap sehinggakan ketua mereka tidak mampu untuk memarahinya.

Apabila tiada sebarang respon diterima, Aniq Zafran menggaru kepala untuk memikirkan idea lain dalam berbicara. Laju dia mengambil sehelai kertas yang dikeluarkan dari fail oleh Michael Angle.  Lakaran rekaan gelang tangan menggunakan motif yang tidak dapat dijelaskan subjeknya. Subjek itu lebih kepada abstrak dan sekali imbas menyerupai ranting pohon berwarna hitam yang meliliti lengan si pemakai.

“Misteri tapi menarik. Nice and good try,” komen Aniq Zafran sudah seperti ketua unit sambil mengurut dagu, memikirkan motif rekaan yang sememangnya pernah dilihat sebelum ini.

‘Boleh jadi saja hal sebenarnya, design ni mempunyai kemiripan dengan karyanya sebelum ini.’ Dalam diam, Aniq Zafran mempunyai kesimpulan sambil memerhati air muka tegang lelaki itu.

Michael Angle tidak senang dengan sikap rakan sekerjanya yang suka menyibuk dengan kerja dilakukannya. Dengan kasar keras, dia menarik kertas itu daripada tangan Aniq Zafran tanpa sebarang senyuman dan wajahnya akan sentiasa masam mencuka sepanjang masa.

“Wo...  wo...  wo, relaks!” Aniq Zafran buat-buat terkejut tapi dia sudah sedia maklum dengan sikap rakan sekerjanya itu. 

Kedengaran Hayati ketawa kecil sambil mengunyah roti dan menyebabkan Aniq Zafran mencebik geram.

“So, kali ni kau mengambil inspirasi apa?” Aniq Zafran sekadar mahu mendengar sendiri daripada mulut Michael Angle.

“Kalau kau tak ada urusan dengan aku… boleh pergi dari sini?” Suaranya tegang tanpa memandang rakannya itu, tangannya sibuk menaip sesuatu pada papan kekunci komputer pejabat.

‘Penyibuk dan mereka akan sentiasa kekal begitu!’ Michael Angle menyumpah dalam hati.

Lagi sekali dia menjeling menandakan ketidaksenangan dengan kehadiran lelaki itu. Terus kecut perut Aniq Zafran dibuatnya.

“Haaa… oh ya! Banyaknya kerja aku belum siap. Boleh pula aku lupa!” kata Aniq Zafran dengan alasan yang sengaja dicipta.

Gelak Aniq Zafran pun kedengaran serba salah.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.