Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 47

Hairan rasanya melihat Roselinda Florist seperti tidak memulakan operasi hari ini. Lampu-lampu tidak terpasang di samping tirai yang menutupi tingkap masih tidak tersingkap oleh pemiliknya. Begitu juga papan tanda operasi yang masih pada bahagian ‘closed’, tidak ditukar untuk memberitahu orang ramai mereka sedang beroperasi.

Zaqwan mengambil keputusan untuk menghubungi Mawar. Malangnya, nombor telefon Mawar tidak dapat dihubungi ketika ini dan terus masuk ke peti simpan suara. Kali pertama dalam hidupnya gagal menelefon isterinya sendiri. Mesej dihantar pada aplikasi Whatsapp pula hanya terdapat satu tanda sahaja menandakan Mawar tidak berada di atas talian ataupun membuka data Internet telefon.

“Ke mana awak pergi, sayang?” keluh Zaqwan, dalam rasa risau ada rasa sangsi dan tidak percaya kemungkinan sebab Mawar membohonginya.

Terik mentari tengahari membuatkan wajahnya basah dengan peluh.

Akhirnya, Zaqwan terus menghubungi Siti. Panggilannya berangkat, kedengaran suara serak-serak basah perempuan itu di talian. Suaranya kedengaran seperti tidak berada dalam kondisi yang baik dan sihat.

“Helo, Siti? Awak berada di mana? Kedai tak buka ke hari ni?” soal Zaqwan terus kepada isi utama panggilan dibuat.

Berdebar-debar hebat Zaqwan menanti jawapan. Entahlah, dia tiba-tiba sahaja berdebar tanpa sebab sampai boleh didengari dengan jelas bunyi jantungnya berdengup kencang.

“Oh… tuan! Saya fikir siapa tadi yang menelefon, mahunya ingatkan scammer! Saya tidak sihat hari ini, saya cuti. Lagian buk Mawar bilang mahu keluar kota melawat saudaranya. Kerna tiada sesiapa yang boleh menjaga kedai maka, tutup,” balas Siti sambil terbatuk-batuk dengan begitu teruk sekali.

‘Keluar kota? Tak pernah pula Mawar bagitahu aku dan kalau memang dia nak pergi pun… dia nak buat apa?’ Detik hati Zaqwan, berdebar dibuatnya.

Tekak Zaqwan terasa kering, dia tidak mampu berbicara apapun, kelu lidahnya. Dia berasa ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku hari ini.

“Tuan?” panggil Siti setelah lama sekali Zaqwan terdiam, menyedarkan lelaki itu daripada lamunan.

“Baik, Siti. Bu Mawar ada beritahu, saya lupa. Maaf ganggu Siti istirehat, moga cepat sembuh, ya,” balas Zaqwan dengan penuh prihatin.

“Terima kasih, tuan,” ujar Siti seadanya sambil terbatuk-batuk lagi. 

Panggilan ditamatkan, Zaqwan termenung memandang Roselinda Florist yang tersergam indah.

Tumpuan Zaqwan terganggu dengan panggilan masuk daripada seseorang. Belum sempat berkata apa-apa sebaik sahaja panggilan dijawab, mata Zaqwan terbeliak besar.

“Saya datang sekarang,” balas Zaqwan dengan risau.

Zaqwan terus berlari deras mendapatkan keretanya yang diparking di situ. Pintu kereta dihempas kuat semasa ditutup, telefon pintar dicampak ke tempat duduk sebelah. Dia memecut laju meninggalkan Roselinda Florist dengan tergesa-gesa. Rasa tidak sedap hatinya seolah terjawab dengan adanya panggilan tadi.


Kidman terjaga daripada tidur apabila sudah menjelang tengahari. Dia bukanlah seorang yang selalu bangun lewat, hanya hari ini sahaja dia terlajak tidur. Kelopak mata dipisat-pisat, pandangan sekeliling masih kabur maklumlah baru sahaja keluar dari alam mimpi. Dia melihat langsir bilik berterbangan ditiup angin laut, terasa mendamaikan keadaan sebegitu. Di kota, jangan haraplah dia akan dapat menikmati permandangan yang menenangkan sebegitu.

Badannya terasa berat sekali untuk bangkit, dia berasa lenguh-lenguh. Mungkin dia tersalah posisi tidur malam tadi. Kidman mengatur langkah keluar dari bilik menuju ke ruang tamu yang kosong. Tiada Manisah di situ, Kidman cuba mencari perempuan itu di bilik tidurnya. Hampa, kelibat Manisah masih tiada. 

Kidman membuang pandangan ke arah luar, dia melihat laut biru indah terbentang di depan mata. Bersinar-sinar dipancar cahaya matahari. Baru dia melihat seseorang perempuan memakai topi yang selalu digayakan para wanita apabila berada di pantai bersama dengan persalinan baju serba putih. Kidman yakin itu Manisah yang berdiri di gigi air di tengah-tengah matahari terik sebegitu.

Tanpa membuang masa, Kidman mendapatkan Manisah yang berdiri sendirian di situ memandang tanpa berkelip ke arah laut.

“Panaslah di sini... nanti kulit muka awak terbakar,” nasihat Kidman sambil menghalang cahaya matahari mengenai wajahnya yang sudah kemerahan-kemerahan menggunakan telapak tangan.

Baru sekejap berdiri di situ, Kidman sudah terasa bahang matahari membakar kulitnya. Kata-kata Kidman tidak diendahkan Manisah yang seseolah tidak mempunyai apa-apa perasaan dalam dirinya. Dia tetap sahaja termenung panjang memandang laut tanpa berkelip. Bibirnya merekah, pucat menandakan tidak cukup air di dalam badan. Mukanya juga pucat dan terdapat kesan seperti lepas baru menangis.

Manisah menutup mata, membiarkan bunyi ombak menghempas pantai menguasai pendengaran. Dia tidak langsung mendengar apa yang dibebelkan Kidman, yang mengajak untuk mencari teduh daripada terik mentari.

Manisah mendengar suara riang antara dirinya bersama dengan Zainuddin bermain air di suatu kawasan laut. Mereka saling mengacah sampailah ombak kuat menghempas tubuh lalu menolak ke permukaan pasir.


Mawar mendongak langit petang yang hampir senja. Remang-remang cahaya matahari baginya begitu cantik disaksikan di atas kawasan bukit sebegitu. Terlalu lama rasanya tidak menyaksikan pemandangan yang mendamaikan sedemikian.

“Manusia tidak pernah tahu bila akan tibanya waktu kematian. Boleh saja jadi ini merupakan permandangan petang terakhir untuk seseorang yang malang,” ujar Mawar seperti berbicara dengan seseorang.

“Hmmm… hmmm…”

Kedengaran Manisah bergumam sesuatu tidak jelas apabila mulutnya diikat kuat dengan kain. Mawar menoleh memandang Manisah, dia tersenyum sinis. Dia berjalan mendekati wanita separuh abad yang duduk di atas tanah dalam keadaan tangan berikat sebelum duduk mencangkung di depan Manisah.

“Nak tahu tak siapa manusia malang tu?” katanya dalam keadaan separuh berbisik.

Manisah meronta-ronta mahu melepaskan diri, matanya terbeliak besar. Manakala, Mawar ketawa terbahak-bahak sambil mendongak langit yang kian gelap. Tidak semena-mena, dia berhenti ketawa lalu pandangan matanya menikam tepat bebola mata Manisah yang terkebil-kebil menahan ketakutan.

“Memandangkan kau ingat semua penyeksaan yang aku pernah buat pada kau… dan juga kau pun tahu siapa pernah bunuh kau dan suami kau semasa balik daripada honeymoon… apa kata, kau mati lagi sekali?! Kaukan dah pernah ada pengalaman jadi, mesti kau tak kekok, kan?” bisiknya kepada Manisah sebelum menujah kepala wanita malang itu dengan kuat.

‘Wanita binatang!’ Batin Manisah menjerit, dendamnya membara mengingatkan masa lalu.




Previous: Bab 46
Next: Bab 48

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.