Dahlia berada di ruang pameran galeri melayani kunjungan dua orang pelajar dari sebuah universiti yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai koleksi lukisan pada pameran kali ini.
Tanpa membuang masa dan terlalu memikirkan persoalan tadi, Dahlia mempersilakan pelajar-pelajar tersebut ke kaunter pertanyaan bagi sesi soal jawab. Senang sekali hatinya menerima kedatangan mereka kerana boleh saling bertukar-tukar idea walaupun sedikit.
Ternyata Dahlia sudah siap sedia menyambut kedatangan dua orang pelajar itu dengan hidangan minuman teh O panas bersama dengan kuih karipap, donut dan juga nasi leibu. Harum wanginya membuatkan dirinya sendiri tidak sabar menikmati juadah tersedia yang dihantar oleh pekerja kafe Galeri Seni Antonio.
“Jemput makan semua. Kita santai-santai,” ajak Dahlia dengan ramah.
Malu-malu mereka mengambil minuman yang terhidang. Dahlia tersenyum, mengerti sahaja akan hal itu. Dia sendiri pernah berasainya semasa zaman belajar dahulu.
“Mengapa pada pameran kali ini, Galeri Seni Antonio memilih tema ‘Self-potrait’?” Soalan yang menarik daripada pelajar bernama Suriah.
Dapat dilihat pelajar-pelajar terbabit merakamkan perbualan suara melalui telefon pintar mereka. Tangan masing-masing sudah bersedia untuk mencatat isi penting daripada perbualan. Tentu sahaja untuk memudahkan tugasan akan datang kelak.
Sebenarnya, Dahlia sudah pun menerima senarai soalan yang akan ditanya kepadanya pada hari ini melalui kiriman emel daripada pelajar itu. Sempat Dahlia mengumpul beberapa bahan agar dapat menjawab soalan dengan lancar, tidak menyampaikan perkara salah dan tentu mahu memuaskan hati si penyoal.
Beberapa kali dia mendeham, bersedia untuk menjawab soalan.
“Untuk pameran kali ini, tema ‘Self-potrait’ diketengah bagi memberi peluang kepada para pengkarya kontemporari mempamerkan eksperimen diri di dalam karya mereka. Eksperimen daripada segi penerokaan pelbagai media dan teknik dalam meluahkan dan menvisualkan diri mereka berkaitan dengan kehidupan lalu, apa yang sedang mereka rasa dan juga perjalanan mereka sepanjang bergelar artis. Kebanyakan daripada lukisan untuk pameran kali ini, tidak pernah diperlihatkan kepada khalayak ramai.”
“Idea ini tercetus apabila seorang rakan pemilik galeri iaitu Encik Antonio telah membincangkan dan mencadangkan idea untuk mengadakan pameran self-potrait. Sudah agak lama tertangguh. Baru kini, terlaksana impian mereka. Terdapat pelbagai halangan dalam merealisasikan impian ini yang tidak dapat dinyatakan.”
Terangguk-angguk mereka mendengar penerangan itu. Jelas dan padat.
Setelah selesai pelajar-pelajar itu menikmati sarapan ringan yang disediakan, Dahlia membawa mereka untuk melihat-lihat self-potrait di ruangan pameran. Tujuannya untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai apa yang sedang diterangkan.
“Terdapat 50 lukisan ‘self-potrait’ pada pameran kali ini,” kata Dahlia sebelum itu.
“Termasuk karya-karya yang hilang dalam rompakan kira-kira 2 minggu lalu ke… cik Dahlia?” Bagai disentap kuat jantung dengan soalan tidak terjangka seperti itu.
Apabila sudah ditanya, Dahlia akan sedaya-upaya untuk tidak mengecewakan mereka. Keluhan halusnya terluah namun, agak kelihatan bagi beberapa pelajar di situ.
“Terdapat lebih kurang dalam 5 buah lukisan dicuri ketika kejadian menjadikan total lukisan yang tinggal 45 buah sahaja. Pihak galeri telah mencuba memujuk beberapa pengkarya untuk mempamerkan lukisan mereka untuk mencukupkan jumlah dan akhirnya, mereka menyertai jua pameran ini. Awal-awal tu tentu mereka ragu dengan sistem keselamatan kami. Tapi, selama ni kami menunjukkan prestasi cemerlang untuk sebarang pameran dan berjaya menarik perhatian para collector dari dalam dan luar negara. Pendek kata, kami membantu para pengkarya dalam penjualan karya dan tidak pernah gagal.”
“Lukisan yang dicuri tu termasuk ‘Si gadis pembunuh’ ke?” soal pelajar itu lagi membuatkan Dahlia terkedu. “Lukisan yang terhasil setelah blood, sweat, tear pengkarya.”
“Eh, bukan ke setiap lukisan itu blood, sweat, tear juga?” Tiba-tiba seorang pelajar menyampuk dalam keadaan berbisik.
“Ni lain. Dengarnya, lukisan ni kisah hidup tragis pengkarya. Mula dihasilkan setelah ada kejadian duka menimpa isterinya. Subject matter tu mewakili isteri yang menderita dalam diam dan akan membalas dendam apabila tiba masanya,” terang pelajar itu tanpa berlapik.
“Karya itu mewakili insan tercintanya. Adalah beberapa seketika dulu kejadian tak diingini terjadi lalu diabadikan sebagai kenangan.” Pantas Dahlia teringat kata-kata hari itu semasa menerima lukisan tersebut.
“Maaf bertanya… siapa cerita kepada kamu tentang hal ini?” celah Dahlia dengan pantas, malu rasanya kerana dia yang menjaga lukisan itu tetapi tidak tahu dengan lebih menarik akan kisahnya.
“Cerita ni sudah tersebar suatu masa lalu. Masa saya masih di tingkatan 6 lagi. Ada seorang cikgu… tak silap saya namanya cikgu Zainuddin dan saya tak ingat dia mengajar di sekolah mana. Dulu, guru saya yang ceritakan tentangnya semasa berada dalam kelas.”
“Cikgu Zainuddin…” Baru Dahlia teringat dia sendiri pernah menemu bual guru itu dan beberapa malam lepas, dia membuka kembali assignment melibatkan guru itu.
“Dan…” celah pelajar itu lagi menarik perhatian Dahlia. “… ada seorang pemuda di luar galeri tadi panggil saya secara tiba-tiba dan tanyakan tujuan kami datang ke sini.”
“Lelaki? Dia tanya apa?” soal Dahlia penuh dengan ragu-ragu. Sedikit sebanyak, pertemuan dengan pelajar-pelajar itu memberi hikmah lain pula kepadanya.
“Dia kata… galeri ni secara tidak langsung melakukan art theft. Banyak lukisan palsu dijual kepada collector oleh staff dalam galeri ini sendiri. Cumanya perkara ni masih tak disedari sesiapa dalam kalangan collector. Cik Dahlia tak tahu apa-apa ke pasal ni? Tak ada ke dengar gosip-gosip atau tak pun… adakah cik Dahlia terlibat sekali?”
Terkejut Dahlia mendengarnya, terbeliak besar matanya. Sekarang juga Dahlia berasa mahu pengsan di lantai mendengar kata-kata itu.
Masakan selama dia bekerja di situ, tidak langsung dapat mengesan akan perkara itu? Paling mencabar kredibiliti dan maruahnya apabila orang luar lebih tahu akan hal itu berbandingnya.
Setelah selesai sesi temubual yang mencabar itu, para pelajar meminta izin mengundur diri. Dahlia menarik nafas lega, terlepas daripada salah satu hari yang menyeksa dalam kerjayanya. Dia menyambung tugas dengan meninjau ruang pameran galeri yang dikunjungi beberapa orang pengunjung melihat-lihat karya-karya yang dipamerkan.
“Bau cat yang masih baru tak sampai pun sebulan pada semua karya sedangkan karya-karya aslinya mempunyai anggaran usia melebihi 1 tahun. Betul ke karya ini tulen?”
Langkah Dahlia terhenti, tergamam mendengar pertanyaan yang kedengaran sinis sekali. Berdebar-debar tetapi tetap sahaja pantas menoleh ke belakang untuk kepastian.
“Cik Dahlia…” seseorang menegur dari belakang.
Dahlia menguntum senyuman semesra yang boleh menyambut seorang lagi bakal pengunjung walaupun pertanyaan tadi mengguris sedikit sebanyak hatinya.
Aniq Zafran menarik nafas dalam-dalam sambil menutup mata, menghidu sesuatu di situ.
‘Apa dia buat?’ Hati Dahlia berkata-kata, hairan melihatnya.
“Lambang cinta dan keghairahan,” balas Aniq Zafran setelah membuka mata.
“Pardon?”
“Tak ada apa-apa. Saya hanya bercakap mengenai wangian rose dipakai cik Dahlia.”
Dahlia mencuba untuk menghidu bauan pada dirinya, ternyata dia tidak terhidu akan bauan yang disebut Aniq Zafran. Apa yang dihidunya hanyalah wangian Ocean yang selalu dipakai sehari-hari apabila berada di luar rumah.
Melihat Dahlia merenungnya kehairanan, Aniq Zafran menyambung lagi, “Saya ingin berbual panjang dengan cik Dahlia, boleh? Berbual sebagai seorang sahabat lama.”