Mereka menikmati spageti carbonara sebagai menu makan malam hari ini. Dari tadi Zaqwan perasan Mawar hanya menguis makanan sambil termenung panjang memikirkan sesuatu yang tidak ingin dikongsi bersama. Terlalu jarang Mawar berahsia dengannya, apalah agaknya yang terlalu rahsia itu sampai tidak mahu dikongsi bersama?
‘Perempuan tak guna… kemunculan kau hanya menghalang aku untuk mengecapi bahagia,’ luah Mawar dalam hatinya.
Berlaga-laga garpu dengan pinggan kaca itu menghasilkan bunyi bising. Mawar mengetuk garpu ke permukaan pinggan tanpa sedar. Semakin lama, semakin kuat dan tidak semena-mena dia menghempas garpu ke meja dengan sepenuh tenaga; perbuatan yang sering dilakukan jika marah dengan sesuatu namun tidak pernah terlihat oleh Zaqwan selama ini.
Dada Mawar berombak seperti marahkan sesuatu, terperanjat Zaqwan dibuatnya.
“Sayang?” tegur Zaqwan dengan suara yang paling lembut, mengembalikan isterinya ke alam nyata.
“Oh…” Mawar terpinga-pinga bagai baru terjaga dari tidur.
Baru Mawar sedar dia bukan berada sendirian di meja makan. Dia hanya mendiamkan diri dan tidak memberi reaksi yang hanya mengundang tanda tanya kepada Zaqwan.
“My mistake…”
“Awak stress dengan kerja ke? Ada sesuatu berlaku di kedai? Cuba cerita dengan saya,” pinta Zaqwan, ingin mengetahui sebab Mawar bertindak gila beberapa hari ini.
Automatik Zaqwan terbayang tingkah gila Mawar di Roselinda Florist semalam. Zaqwan sedaya-upaya menyingkirkan apa yang dilihatnya semalam secara tidak langsung dia menafikan Mawar pernah bertindak sedemikian lantaran rasa cintanya yang setinggi gunung Everest. Semakin ingin dilupakan, semakin jelas terbayang di dalam fikiran.
Mawar menyebak rambut berjuntaian di dahi ke belakang. Rasa cemasnya datang secara tiba-tiba. Dia memegang belakang leher dan tidak berani untuk bertentang mata dengan Zaqwan lalu mendadak berdiri, memegang pinggan yang masih berisi makanan tanpa luak langsung menuju ke sinki.
“Hmmm… saya tengah senggugut. Saya tak selera nak makan. Lepas ni saya nak baring dekat bilik,” beritahu Mawar dengan alasan tidak logik sedangkan tidak berada dalam keadaan uzur.
Makanan dalam pinggan dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah bersebelahan sinki tanpa rasa bersalah.
“Patutlah… awak rehatlah,” balas Zaqwan, dalam diam dia mengesyaki memang ada benda tidak kena dengan isterinya.
Dia tahu Mawar sedang berbohong. Mereka baru sahaja selesai menunaikan solat maghrib secara berjemaah. Masakan secepat itu Mawar uzur, fikir Zaqwan dengan logik.
Paip sinki dipulas, Mawar membiarkan air mengalir buat seketika.
“Kau berminat dengan anak aku?” ujar Manisah, ibu mentuanya pada hari pertama mereka berjumpa di dalam rumah itu.
Mawar tersentak, dia menoleh ke sisi kiri. Bayangan Manisah ketika itu bagai diulang tayang saat ini. Air mukanya serius dan nada suara kedengaran tegas; tidak seperti boleh dibawa bergurau. Mawar benci akan itu! Dia berasa mahu menghempas pinggan tadi sampai berkecai.
Memandangkan Zaqwan masih berada di situ, dia hanya mampu menahan diri daripada bertindak gila. Penumbuk dikepal kuat secara tersembunyi sambil merenung air mengalir.
Imbas kembali…
Duduk Mawar serba tidak kena ketika ini, hujung baju dipintal-pintal sambil menundukkan pandangan. Sesekali dia mencuri pandang ke arah Manisah yang sedang menuang teh hijau direneh di dalam teko tanah liat ke dalam cawan bulat.
“Minumlah,” pelawa Manisah dengan serius tanpa senyuman, meletakkan secawan teh hijau panas di hadapan Mawar. Suaranya kedengaran tegas sekali.
Mawar terangguk-angguk sambil mencapai cawan. Dengan bola matanya sendiri, dia melihat tangannya bergetaran hampir menjatuhkan cawan.
“Terima kasih,” balasnya perlahan dan hampir tidak kedengaran langsung pada pendengaran Manisah.
Sebaik sahaja teh hijau mengalir ke kerongkong, Mawar terbuat muka tidak menyukai minuman itu.
‘Pahit!’ Hanya terluah dalam hatinya.
Manisah mengeluh, dia bersandar ke kerusi kemudian memeluk tubuh memerhati Mawar menikmati minuman dengan takut-takut.
“Kau anak Antonio, betul?” soal Manisah secara tiba-tiba. Dia sudah lama mahu bertanyakan hal itu.
Mendengar itu, hati Mawar mendidih. Dia benci apabila nama bapanya disebut-sebut. Dalam masa yang sama, dia tidak boleh untuk menafikan kewujudan bapa kandungnya walau sejauh mana dia berlari daripada realiti.
“Kalau macam tu… bermakna kau anak saudara Kidman,” sambung Manisah membuatkan Mawar tersentak seketika.
‘Macam mana dia tahu?’
Cawan dipegang kuat dan jika diteruskan, cawan itu pasti pecah berkecai. Dalam tunduknya, dia mencuri pandang ke arah Manisah yang sedang tekun merenungnya dengan begitu serius.
“Kidman dan aku pernah bekerjasama. Kau tahu apa yang Kidman buat di sebalik kerja sebagai seorang ahli perniagaan, kan? Dia yang cuba berselindung dengan kerjaya yang sah di sisi undang-undang…”
Senyuman sinis Mawar mendadak terukir di bibir, teh hijau dalam cawan yang masih tidak luak diletakkan di atas meja dengan penuh tertib. Dia merenung tajam mata Manisah tanpa berkelip.
‘Buat apa aku perlu berasa takut dengannya,’ detik hati Mawar, mencabar dalam senyap. Dia terlupakan dirinya boleh bersikap angkuh kepada orang yang menyakiti hatinya.
“Saya tak mencampuri urusan pak cik saya. Ya, kami memang bersaudara tapi itu tak bermakna saya perlu tahu atau ikut apa dia yang dia buat.” Suaranya kedengaran angkuh, lenyap terus rasa malunya.
Manisah tersenyum sinis dengan jawapan dituturkan Mawar. Dia tidak akan sesekali percaya dengan penafian sebegitu, pembohongan semata-mata!
“Berhenti bersikap seperti seorang gadis yang manis. Kau takkan begitu senang-senang nak jatuh cinta dengan anak aku kalau bukan kerana ada niat tersembunyi. Aku wanita dan aku tahu gaya seorang perempuan jatuh cinta macam mana. Kau tak mempunyai keghairahan seorang pencinta… aku tahu dari mata kau.”
Mawar berasa ingin ketawa mendengar kata-kata berupa bebelan keluar dari mulut Manisah. Akhirnya, tawa kecil terburai jua. Dia sengaja menggunakan telapak tangan untuk menyorokkan dirinya sedang ketawa.
Sakit hati pula Manisah melihat perlakuan kurang sopan perempuan muda itu. Menurutnya, wanita itu memang sengaja mencabar kesabarannya.
“Orang tua yang banyak makan garam dari orang muda, tidak bermakna orang tua selalunya betul. Dahlah tak betul, sakit darah tinggi pula,” sindir Mawar dengan tawa yang masih bersisa.
Manisah berkerut dahi manakala Mawar mulai selesa untuk meneruskan perbicaraan mereka yang sudah semakin panas dan pedas.
“Tak kisahlah mata saya tidak menunjukkan keghairahan seorang pencinta atau apa… yang penting saya memang mencintai anak aunty,” ujar Mawar, acuh tidak acuh sahaja.
Teh hijau dihirup sampai habis walaupun pahit.
“Jangan berbohong. Aku tak nak anak aku ada kaitan dengan…”
“Dengan masa lepas aunty?” Potong Mawar, dia hampir ketawa terbahak-bahak.
“I think… you have something in your mind. Berapa banyak yang kau tahu pasal diri aku?” soal Manisah, mulai bimbang dengan masa lalunya.
“Betul. Saya tak nafikan agak banyak juga saya tahu dan mungkin keseluruhan kisah hidup aunty. Mungkin cukup digunakan untuk ugut aunty supaya tak halang percintaan saya dengan anak aunty?”
“Kidman hantar kau untuk memerhatikan aku… kan? Aku tak percaya kau datang tanpa niat. You must have something to do,” duga Manisah sambil berdebar-debar hebat dadanya.
“Hmmm… for what? Saya datang hanya nak berkenalan dengan aunty supaya senanglah nanti bila saya dah jadi menantu aunty. Saya pun dah tak ada ibu, melihat aunty buatkan saya teringat akan mama. Sayang betul waktu bersama kami sungguh singkat.” Mawar, berpura-pura kesal dan bersedih.
Manisah sangsi dengan niat sebenar perempuan muda di depannya itu. Dia akan berhati-hati dengan wanita yang talam dua muka seperti Mawar itu.
‘Dari mana Zaqwan kenal perempuan ni? Aku dah cukup sengsara dihantui masa lepas dan kini, kehadiran perempuan ni buatkan aku sengsara dibayangi masa lepas!’
Telefon pintar milik Zaqwan berbunyi nyaring menarik perhatian Mawar. Dia melihat Zaqwan berkerut-kerut dahi membaca pesanan yang baru diterima. Zaqwan memandang ke arah Mawar yang masih tidak berganjak dari sinki, dia menguntum senyuman yang kelihatan seperti dipaksa-paksa.
Dengan pantas, Zaqwan bangun dari duduk sambil membawa pinggannya ke sinki. Mawar melihat suaminya dalam keadaan tergesa-gesa membuang sisa makanan ke dalam tong sampah sebelum membasuh secara ala kadar pinggannya. Macam sesuatu perkara penting yang tidak diketahui Mawar sedang berlaku.
“Sayang… saya ada urusan nak jumpa klien kejap. Awak hati-hati ya, duduk di rumah,” kata Zaqwan dengan penuh kelembutan untuk membeli jiwa isterinya agar tidak marah dia keluar sebentar.
Mawar tidak sempat bertanya lebih lanjut apabila Zaqwan dengan pantas mengucup dahinya lalu dengan tidak sabar-sabar meninggalkannya sendirian di situ.
“Tipu… selalu tak macam tu pun kalau nak jumpa klien! Jangan-jangan… takkan pula dia curang?”
Mawar tidak lepas daripada membuat andaian yang bukan-bukan. Entah macam mana, dia mengambil cawan yang belum dibasuh dari sinki lalu dihempas ke lantai. Zaqwan yang sudah berada di depan pintu utama mendengar bunyi seakan kaca pecah itu. Oleh kerana mesej tadi, dia mengabaikan sahaja apa yang didengarnya.
Mawar menuju ke ruangan hadapan dengan nafas turun naik. Dia mendengar bunyi enjin kereta dihidupkan. Dari tingkap ruang tamu, dia melihat kereta Zaqwan meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah mereka.
“Aku bunuh kau kalau kau buat yang bukan-bukan! I told you before!”
Dengan rasa tidak puas hati, Mawar mencapai kunci kereta di dalam bekas kaca tepi pintu. Suis lampu dimatikan, dia keluar dari rumah selepas mengunci pintu. Baru sahaja dia membuka pintu kereta, dia teringat akan sesuatu lalu membuka kembali kunci pintu menuju ke bilik tidurnya dalam keadaan tergesa-gesa.
Terbongkok-bongkok Mawar mengeluarkan peti besi di bawah katil. Sebaik sahaja kata laluan ditekan, pintu peti besi terbuka. Dia mengambil sesuatu di dalamnya, sesuatu yang sudah begitu lama tidak digunakan.
“Aku akan bunuh perempuan yang berani-berani usik laki aku!”
Peti besi disorokkan kembali di tempat asalnya. Dia terus keluar, kunci pintu lalu memasuki keretanya. Bergaum kuat enjin kereta, tidak sabar rasanya untuk untuk mengekor pergerakan perjalanan Zaqwan menerusi GPS.
Pasu bunga jiran sebelah dilanggar dengan selamba sewaktu kenderannya meluncur laju di atas jalan raya. Apa dia kisah dengan sikap biadap begitu dalam keadaan hatinya sedang membara-bara dengan api kemarahan dan juga cemburu.