Mawar menghentikan perbuatan mengubah karangan bunga mawar putih yang dijual sebagai tanda penghormatan untuk si mati. Sekuntum mawar mutih dibelek lalu ditatap setiap incinya untuk memastikan tiada sebarang kecacatan pada gubahannya nanti. Memang kehidupan seharian bekerja, dia sudah begitu lali melihat segala macam bunga. Hari ini, Mawar Putih membuatkan dia berasa muak kerana teringatkan seseorang yang dibenci.
“Sampai kau mati pun… suamiku itu masih berduka dan meratapi dalam senyap. Aku pula… aku muak untuk berpura-pura berasa empati terutamanya untuk kau… Manisah!” bicaranya dengan suara keras sambil menggenggam hancur sekuntum mawar putih sehingga durinya mencederakan lalu mengalirkan darah pekat dari celahan telapak tangan.
“Bu… kenapa ini ibu?” tegur Siti dengan terperanjat, meluru mendapatkan Mawar sebaik tiba dari mengambil bunga di bahagian belakang.
Tisu pada kaunter diambil lalu dilap-lap untuk membersihkan luka tangan Mawar. Dia hanya merelakan Siti mengubatinya, luka di tangan tidak separah luka di hatinya.
‘Sampai ke hari aku mati pun… dendam kau masih tidak habis?’ Celah suara mirip seseorang yang benar-benar dikenalinya membuatkan dia mendadak bangun dari duduk.
“Ibu… ibu kenapa?” soal Siti terpinga-pinga.
Mawar tidak membalas, pandangan terpegun dengan seseorang dalam suatu bentuk yang tidak jelas sedang berdiri pada kaki lima bangunan bertentangan dengan kedainya.
“Ibu…” panggil Siti sebaik sahaja Mawar muncul dari ruangan belakang. Dia ke bilik air untuk membasuh tangan.
“Ya, Siti… ada apa?” Mawar bertanya dalam nada suara tidak puas hati.
“Ini… ada seseorang ingin tahu mengenai karangan bunga untuk acara kematian,” beritahu Siti menyebabkan Mawar terkejut.
“Di mana dia?” soalnya, keras.
Jika mengikut perasaannya ketika ini, mahu sahaja dia menghalau tetamunya. Namun, bisnes tetap bisnes dan wang tidak datang seperti air yang mengalir. Selagi mempunyai kesempatan dan peluang, selagi itu dia akan berusaha mendapatkan wang kerana wang itu raja pada zaman moden ini. Mawar tersenyum sinis mengingati kenyataan yang sering diulang-ulang dalam perniagaan.
“Dia sedang duduk di situ ibu.” Siti menunjuk ke arah ruangan santai untuk pelanggan sementara menunggu pesanan mereka disiapkan.
Mawar melihat seseorang, mungkin lelaki sedang membaca surat khabar. Mungkin mendengar perbualan mereka, lelaki itu meletakkan surat khabar dan seterusnya berdiri berpaling memandang mereka.
Mawar dihambat kejutan berganda. Senyuman manis palsu dilakar terus mati begitu sahaja.
“Puan berpengalaman dalam mengarang bunga untuk simbol kematian pasti akan mengesyorkan saya Chrysanthemums. Well, untuk menzahirkan rasa simpati kepada keluarga si mati. Atau tak pun, mungkin sahaja bunga Lili Putih dan mungkin juga Mawar Putih. Mawar… itu nama puan jugakan?”
Lelaki itu memetik jari sebelum menuding ke arahnya. Lagilah Mawar berasa dipanah petir tanpa henti. Lelaki itu ketawa melihat Mawar tergamam, seronok dengan gurauan kasarnya sendiri.
“Apa kata kalau saya minta puan pilihkan saya bunga Daisi sebagai simbol permulaan kepada kehidupan baru saya? Dan…” Lelaki itu terjeda bicara hanya untuk ketawa mengejek, “… bantu saya juga untuk pilihkan bunga lambang kematian untuk puan pula.”
Di situ juga Mawar mahu pitam jika boleh. Kata-katanya menusuk tajam ke kalbu, spontan dia mengelus tangan seraya terus memalingkan wajah. Mawar diselubungi kegelisahan yang begitu hebat sehingga dirasakan mampu mendengar bunyi jantungnya sendiri.
‘Hari ni memang hari malang aku. Celaka!’
“Finally, welcome back my dear self!” jerit lelaki itu dengan penuh dramatik seperti dalam pertunjukan teater sambil mendepakan kedua-dua tangan lalu mendongak kepala memandang siling.
Terpana Mawar dibuatnya, penumbuk dikepal kuat sehingga menggigil. Dia teringatkan senjata api sebagai pertahanan diri tersimpan rapi di peti besi keselamatan rumahnya. Tidak sabar rasanya mahu memuntahkan peluru senjata berkenaan sekaligus menembusi tempurung kepala lelaki biadap di hadapannya.
Imbas kembali…
Setahun lalu…
Mereka sudah selesai menikmati makan tengahari di dalam sebuah kompleks beli-belah. Mereka berjalan masuk ke dalam kereta dengan perasaan senang hati.
“You fikir apa yang I fikir?” bicara Mawar sebelum memandang Kidman di tempat duduk pemandu.
Dari tempat parking kereta, mereka dapat melihat tingkah laku Aniq Zafran, berjalan mendapatkan motosikal.
Jari-jemari bermain-main pada stereng kereta. Kidman melihat Aniq Zafran sudah memakai topi keledar, bila-bila masa lelaki itu akan meninggalkan kompleks beli-belah.
Semasa dari hospital setelah menghantar Zaqwan untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan dialami, Kidman tahu jejak mereka diekori seseorang. Firasat itu dikuatkan lagi dengan pertembungan dengan Aniq Zafran, dia perasan sahaja cuma, berpura-pura tidak nampak lalu mengabaikan apa dilihatnya. Sengaja membuatkan musuhnya percaya bahawa penyamaran mereka berjaya mengaburi matanya.
“Detektif pemula tu… suka menyibuk dan berlagak tahu!” sumpah Kidman sambil kuat menggenggam stereng.
“Sayang sekali, kalau dia fikir dia bijak… kita boleh lagi bijak beberapa langkah daripada dia,” balas Mawar, sempat membetul-betulkan solekan pada wajah sambil ekor mata sesekali mengerling dan memerhati Aniq Zafran yang membelek-belek sesuatu pada telefon pintar.
“Kita boleh beri dia amaran. Anggaplah sebagai cenderamata kerana menyibuk,” balas Kidman, bola mata mengekor pergerakan motosikal Aniq Zafran berlalu tidak jauh dari mereka.
Mereka berpandangan, faham dengan pemikiran masing-masing. Senada dan seirama, bersetuju dengan tindakan yang akan diambil Kidman selanjutnya.
“Shall we?” tanya Kidman, mula memasuki gear.
“Sure!” sambut Mawar, teruja dan tidak sabar melihat nasib Aniq Zafran hari ini.
Kereta itu mulai bergerak perlahan-lahan keluar meninggalkan parking, sengaja tidak mengekor terlalu dekat untuk mengelakkan mereka kedapatan.
“Slow and steady,” kata Kidman, memakai cermin mata hitam.
Lampu isyarat bertukar merah tepat-tepat ketika Aniq Zafran mahu melintasi jalan di seberang. Bersiul-siul menunggu lampu isyarat bertukar hijau sambil memerhati kenderaan lain melintas. Sementara itu, kereta dipandu Kidman betul-betul berhenti bersebelahan dengan motosikalnya. Sinis pandangan mereka berdua, tidak sabar untuk melakukan aksi seterusnya.
Sebaik sahaja lampu isyarat bertukar hijau, Aniq Zafran terus memecut laju motosikalnya dan Kidman sekadar mengekor rapat sebelum memotong dan bergerak seiringan dengannya. Tidak teragak-agak, Kidman memusing stereng ke kiri dengan laju sebelum menghentam motosikal Aniq Zafran.
Terkejut Aniq Zafran dihimpit dari kanan secara tiba-tiba, terhuyung-hayang kenderaannya. Mujur sahaja, dia sempat mengimbangkan motosikal dengan baik daripada terjatuh di tengah jalan. Aniq Zafran tidak berniat untuk memberhentikan kenderaan di laluan kecemasan. Dia tertoleh-toleh ingin melihat siapa pemandu itu. Hatinya terbakar dengan tingkah pemandu kereta itu.
Kidman dapat membaca reaksi ingin tahu lelaki itu. Tingkap kereta diturunkan, menjeling ambil tersengih meleret lalu melambai tangan. Mawar turut sama melambaikan tangan, tersenyum puas dapat mengenakan lelaki itu.
Terbeliak Aniq Zafran melihat Kidman dan Mawar, pertemuan yang sungguh tidak tersangka langsung.
Dari gerak mulut Kidman, Aniq Zafran seakan dapat melihat lelaki itu berkata, “Long time no see!”
Dan, sekali lagi Kidman memusing stereng ke kiri. Kali ini, impaknya lagi kuat daripada tadi sehingga menyebabkan Aniq Zafran gagal mengawal pemanduannya lalu terbabas dan menghentam penghadang jalan.
Tersenyum-senyum sambil kedengaran tawa halus mereka melihat keadaan Aniq Zafran melalui cermin sisi, tidak bergerak langsung. Darah merah membasahi jalan raya.
“Cenderamata yang rare dan kemalangan sebegitu boleh membawa maut. Paling tidak, cacat seumur hidup! Berbaloi, kan?” kata Mawar, berpuas hati dengan keadaan itu.
Kamera smartphone dibuka, video ringkas berjaya dirakamkan sebagai kenang-kenangan untuk si pecundang seperti Aniq Zafran.
“Sesuai untuk mereka yang selalu menyibuk.” Kidman masih memerhati menerusi cermin sisi tanpa fokus dengan pemanduan.
Nampaknya, mereka menganggap nyawa manusia itu murah.
Bahu Mawar turun naik menahan marah dan pipinya merona merah padam. Kedatangan Aniq Zafran ke Roselinda Florist ibarat mencurah minyak ke api yang marak.
Tidak semena-mena Aniq Zafran menepuk tangan ibarat selesai menyaksikan persembahan lakonan Mawar.
“Kenapa kau datang menyibuk ke kedai aku? Kau tak takut aku ragut nyawa kau? Kau baru sahaja mendedahkan diri kau masih hidup. Dasar bodoh,” ugut Mawar.
“Saja, nak tengok kerjaya haram puan berada dalam ambang kehancuran. Kes ni dah menjadi kes polis dan bukan hanya bawah penyiasatan saya selaku detektif pemula. Selama ni puan bijak… melakukan art theft terhadap karya terpamer di galeri ayah kandung puan. Nah… persoalannya, takkan ayah puan dah bosan bersengkongkol dalam kerja haram ni lalu melaporkan kepada polis? Hmmm, tapi pelik juga sebab ayah puan dengarnya ditahan polis atas tuduhan menjual karya palsu kepada collector. Jadi, siapa agaknya yang sedang mengenakan puan? Mungkin saja, individu tu dalang sebenar kejadian ni.”
Terkesima Mawar dengan beberapa fakta kes baru disebutkan Aniq Zafran. Tidak sangka langsung sejauh itu Aniq Zafran mengetahui hal berkaitan.
Untuk menunjukkan dia tidak terkesan langsung dengan fakta itu, Mawar berpura-pura ketawa lucu.
“Alang-alang tu, bagitahu sekali siapa yang mengupah awak untuk menyiasat hal ni? Ex-client I yang beli koleksi lukisan dipalsukan tu? Dasar orang yang bodoh kerana tak tahu menilai mana yang palsu dan asli. Padanlah muka mereka kerana mengkayakan orang tamat seperti aku ni! Money is king dan aku sanggup berbuat apa sahaja untuknya!”
“Arwah bapa mentua awak.” Laju sahaja Aniq Zafran membalas membuatkan tawanya mendadak mati.
Aniq Zafran ketawa gembira melihat Mawar terdiam begitu sahaja. Itulah reaksi yang diingininya dari sebelum melangkah masuk ke dalam Roselinda Florist. Dia menjadi seronok mempermainkan emosi Mawar, hasil daripada pengalaman menyiasat kes ini.
Mawar tersentak, kemunculan Aniq Zafran pada awal dahulu pun secara tiba-tiba sahaja tanpa petunjuk. Pemuda itu begitu selamba memunculkan diri di Roselinda Florist beberapa hari selepas kemalangan menimpa arwah ibu dan bapa mentuanya dengan mengatakan dia tahu siapa yang terlibat dalam hal itu.
‘Ayah? Adakah selama ni aku sudah disyaki? Sejak bila dan kenapa? Sejauh mana orang tua yang dah mampus tu tahu kegiatan aku atau… Manisah?! Dia ke yang bagitahu kepada suaminya yang dungu tu? Tapi, kalau dia bagitahu… itu hanyalah membuka pekung di dada sendiri. Tindakan tak bijak kerana dia akan dibenci oleh suaminya sendiri!’
Bermacam-macam persoalan bermain di minda Mawar.
“Tapi, itu dulu. Sekarang saya ada client lain yang menyuruh saya untuk menyiasat kegiatan haram puan!” Tambah Aniq Zafran.
Lagi bagai dipanah petir apatah lagi pemuda itu sempat mengenyit mata lalu tersengih menampakkan barisan gigi putihnya.
“Client lain? Siapa?” Nampak sekali saat ini Mawar terdesak sangat-sangat untuk mengetahui individu tersebut.
“Syhhh…” Laju sahaja Aniq Zafran meletakkan jari telunjuk di bibir, “… itu rahsia! Kalau bagitahu sekarang… tak thrill!”
‘Berani orang biadap ni! Aku bunuh dia!’
Sungguh Mawar menahan geram dan sedikit sahaja lagi tangannya mahu mencapai gunting kertas terletak atas meja tidak jauh darinya dan akan dirodok-rodok ke leher lelaki itu sampai tidak bernyawa. Biar menggeletak sendirian di atas lantai.
Mawar memandang Aniq Zafran seperti mahu menelannya hidup-hidup.
“Buat masa sekarang kita chill chill dulu. Tengoklah langkah masing-masing. Maklumlah, dah nak setahun cuti,” kata Aniq Zafran secara tidak serius.
Selamba Aniq Zafran duduk kembali, mencapai surat khabar lalu membacanya. Beberapa saat berlalu, Aniq Zafran menjeling melihat Mawar masih berdiri kejung memerhatinya dengan garang.
“Puan, saya serius untuk membeli bunga Daisi. Takkan puan tak nak ambil wang daripada pelanggan seperti saya ni? Masa itu wang buat puan. Saya yakin puan tak nak buang masa. Business is business walaupun kita saling bermusuh. Remember, puan cakap tadi money is king!”
Mawar menjeling tajam membuang pandangan ke arah lain, dia berdengus kuat. Ada sahaja kata-kata Aniq Zafran mahu menyindirnya.
“Siti… siapkan jambangan bunga Daisi untuk encik ini dan oh ya, jangan lupa Mawar Putih sekali. Mawar Putih itu saya belanja untuk orang yang pernah mati ni. Dengar tak, Siti?” arah Mawar dengan suara tinggi kedengaran marah membuatkan Siti terkulat-kulat untuk membalas.
Mawar bercekak pinggang memandang Siti yang sedari tadi mencuri dengar perbualan mereka sambil berbuat kerja. Bermacam-macam spekulasi bermain dalam minda Siti.
“Ya, ibu!” balas Siti dengan takut-takut, tidak berani langsung memandang wajah majikannya yang menyinga bak singa.
Itulah kali pertama dia melihatnya kerana Mawar itu seorang yang begitu menjaga perbuatannya untuk terlihat manis dan sopan di depan sesiapapun.
Siti terus mendapatkan beberapa tangkai bunga Daisi di dalam balang besar menyiapkan pesanan.