Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 58

Televisyen dimatikan setelah berita mengenai pencarian dirinya tersiar hampir setiap jam. Sebatang rokok dinyalakan untuk melegakan tekanan yang diterima. Kidman bersembunyi di sebuah rumah dalam hutan milik Antonio. Salah satu rumah yang dibina Antonio untuk merehatkan diri daripada kesibukan bekerja. 

Rumah itu sudah begitu lama tidak dikunjungi abangnya namun, bekalan elektrik dan air tidak pernah langsung terputus. Antonio tidak pernah culas membayar bil-bil hartanah yang ada walaupun sudah lama tidak mengunjunginya.

Untuk pulang ke rumah sendiri, itu tidak mungkin kerana dia melihat rumahnya berada dalam pemerhatian pihak berkuasa. Wangnya kini hanya cukup-cukup makan sahaja, entah sampai bila dia akan mampu bertahan hidup. 

Semasa berada di hospital tempoh hari, Kidman sudah berasakan keselamatan dirinya bakal terancam lagi. Apatah lagi kemunculan Rita ketika Kidman tidak memakai topeng muka getah semasa dia menggunakan identiti sebagai Encik Kamal. Pada perkiraannya, Rita tidak pernah tahu akan identiti Kidman. Dia mengesyaki identiti sebenar Rita.

Perutnya berkeroncong hebat. Di rumah itu, bekalan makanan yang dibeli beberapa hari lepas sudah habis. Nampaknya, dia terpaksa keluar juga mencari makanan. Dia mengeluh, kalau dia membawa sekali bersama dengan topeng muka getah yang diadun menjadi wajah Encik Kamal, pasti tiada masalah untuk keluar rumah pergi ke mana-mana.


Fahmi tidak habis-habis menepuk dahinya setelah mendengar cerita daripada Aniq Zafran. Kecewanya dapat difahami Aniq Zafran. Untuk menyesal pun sudah tidak berguna, perkara sudah terjadi.

“Dah… dahlah tu! Orang putus cinta pun tak macam kau!” tegur Aniq Zafran, tergelak-gelak sambil menepuk bahu adiknya.

“Tak sangka aku jatuh hati dengan subjek dalam lukisan! Aku dah gila agaknya… jatuh cinta dengan objek tak bernyawa!” keluh Fahmi.

“Bolehlah… agak gila sikit,” sindir Aniq Zafran.

“Kau patutnya sebelahi aku, abang!”

“Yalah… yalah! Dah, cepat bersihkan kafe ni. Kejap lagi pelanggan sampai, kau juga yang susah.”

Fahmi melepaskan nafas berat. Dia mengambil tuala bersih untuk mengelap meja sebelum ketibaan pelanggan pada waktu pagi manakala, Aniq Zafran menatang dulang berisi dua cawan kopi O untuk dinikmati bersama Noraini yang dari tadi tergelak-gelak memerhati kelakuan dua beradik itu.

“Terima kasih,” ujar Noraini setelah menerima huluran kopi daripada Aniq Zafran.

Mereka senyap seketika, menikmati kopi O panas waktu awal pagi. Nikmatnya tidak terkata. Lelah yang dirasakan seakan berlalu pergi begitu sahaja.

“Kecuaian saya membuatkan rancangan kita gagal,” keluh Noraini, mengenangkan bagaimana dia tersilap percaturan dengan menyerbu Kidman semasa di hospital. Tersilap kerana menegur Kidman yang tidak memakai identiti Encik Kamal.

“Tak apalah. Gagal sesekali tidak membuatkan kita gagal selama-lamanya,” pujuk Aniq Zafran.

Berita mengenai Kidman terpapar pada televisyen yang terpasang di Sunshine Café diperhatikan sahaja. 

“Awak rasa bila kes ini akan selesai?” 

“Biarlah masa menentukan. Kita sudah lakukan sebaik mungkin yang kita mampu.”

Ting! Serentak mereka berdua memandang ke arah pintu masuk Sunshine Café.

“Cik Dahlia…” tegur Aniq Zafran sebaik sahaja melihat tetamu itu.

Dahlia menguntum senyuman. Memang dia datang kerana mempunyai hajat dan kedatangannya tidak sia-sia.


Dahlia menghirup kopi O panas. Aniq Zafran dan Noraini memerhati sahaja dengan sabar, lagipun tiada apa yang perlu dikejar hari ini.

“Terima kasih beritahu pihak polis tentang lokasi Manisah hari itu. Satu lagi nyawa berjaya diselamatkan,” kata Aniq Zafran memulakan perbualan.

Dahlia tersenyum, dia meletakkan cawan. 

“Saya menurut apa yang dikatakan Si gadis pembunuh mahukan,” balasnya.

“Cik Dahlia macam dah terima hakikat apa yang pernah berlaku kepada diri Cik Dahlia.”

“Betullah apa yang awak kata hari itu… kerasukan watak. Saya menjadi watak itu sendiri tanpa sedar dan dapat selami apa yang terjadi pada kehidupan mereka.”

“Betul tu betul. Apa kata kalau Si gadis pembunuh itu memang wujud dalam dunia kita?”

“Saya kurang faham.”

“Tu…” Aniq Zafran menunjuk ke suatu arah.

“Hai kawan-kawan,” tegur suatu suara yang memang mereka kenali.

Mereka melihat tidak jauh dari meja mereka, Si gadis pembunuh sedang mengangkat cawan sebelum dicicip isinya.

“Aku memang wujud… sebagai memori dari seseorang dan dalam memori kalian juga. Sometimes you will never know the value of a moment until it becomes a memory, quotes by Theodor Seuss Geisel,” beritahu Si gadis pembunuh.

Mereka terdiam, merenung kata-kata diucapkan Si gadis pembunuh. Aniq Zafran terperasankan sesuatu, patutlah dia berasa kehadiran Si gadis pembunuh tidak lengkap.

“Mana Michael Angle?”

“Ada… dia sedang selesaikan sesuatu,” balas Si gadis pembunuh secara berselindung.

Jalan raya yang mulai sibuk dengan kehadiran kenderaan direnung sahaja. 


Kidman berang tiada sebarang rangkaian komunikasi di rumah dalam hutan ketika ini. Dia mahu menghubungi Antonio untuk meminta tolong. Apa guna ada abang kalau tidak dapat membantu dalam situasi genting sebegini. 

Cuaca di luar dijenguk melalui tingkap. Dia dapat melihat remang-remang cahaya matahari. Hari sudah mahu menjengah senja dan dia masih belum menjamah sebarang makanan seharian. Hanya meminum Milo 3 in 1 sebanyak tiga kali untuk menghilangkan rasa laparnya. 

Liputan telco muncul pada skrin telefon. Cepat-cepat dia mendail nombor Antonio. Nasibnya baik, Antonio tidak menunggu lama untuk mengangkat panggilan.

“Aku nak keluar dari sini. Kau kena tolong aku. Aku satu-satunya adik kau dan satu-satunya saudara yang kau ada.”

“Setelah anak aku masuk ke dalam penjara?” sindir Antonio dengan tidak puas hati.

“Kau tak boleh nak salahkan aku. Anak kau dah bongkarkan segalanya. Sekarang ni… win win situation!”

“Okey. Dalam jam 11:00 malam nanti… aku datang.”

“Tak boleh cepat lagi ke?” desak Kidman, perutnya berkeroncong hebat dan mindanya tidak mampu berfikir dengan baik.

“Sabar boleh tak? Ke… kau nak kena cekup dengan polis?”

“Fine! Lagi satu… ingat ya, kalau kau tak nak tolong aku… jangan lupa aku masih ada rahsia kau. Kau pun akan meringkuk ke penjara!”

“Anything else?” soal Antonio, mulai bosan dengan mainan ugutan adiknya.

“Tu jelah!” marah Kidman, terus mematikan panggilan.


Previous: Bab 57
Next: Bab 59

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.