Kidman membuka kelopak mata dalam keadaan terkejut, masih berada dalam bilik bacaan dalam keadaan terlentang di atas lantai. Badannya lenguh-lenguh ibarat malam tadi dia terlebih melakukan senaman di gim. Perlahan-lahan dia berusaha bangun dari perbaringan, kawasan leher yang sakit seperti dicengkam kuat seseorang diurut-urut.
Kidman mencapai cermin kecil yang terdapat dalam laci meja terus matanya terbeliak. Melalui cermin berbentuk bulat, terlihat kesan-kesan lebam pada kawasan leher dan mukanya. Bertambah terkejut melihat tepi bibirnya pecah. Apabila dibelek-belek anggota badan lain, terdapat kesan lebam-lebam seperti dipukul kuat seseorang.
“I’m just dreaming…” katanya sambil melihat kesan-kesan lebam itu, “… atau itu bukan mimpi?”
Glock 42 di atas meja menarik perhatiannya. Cermin diletakkan kembali di atas meja lalu membelek-belek senjata api itu. Terimbau kisah malam tadi ketika sedang membelek senjata api itu.
“Patut aku buang sahaja dari hari tu!”
Amarahnya meluap-luap di awal pagi. Tanpa berfikir panjang, senjata api dibuang masuk ke dalam bakul sampah. Tapi, itu tidak lama kerana kemudian, dia mengambil semula senjata api itu, menyesal kerana bertindak terburu-buru. Jika dibuang di situ, padahnya pasti diketahui orang lain misalannya pekerja pembersihan rumah yang datang seminggu sekali.
Paling ingin dielakkan olehnya ialah persepsi buruk orang lain terhadap dirinya. Imejnya sebagai orang berjaya dalam sesuatu bidang diceburi secara sah itu mesti terjaga walhal ada rahsia lain di sebalik kerjanya.
Kidman turun ke bawah setelah membersihkan diri lantas terus menuju ke ruangan dapur. Standard sarapan pagi untuknya sudah terhidang, pasti pembantu rumah yang bertugas pada waktu pagi sudah masuk bekerja awal-awal pagi lagi. Selalunya, seawal pukul 6:30 pagi pembantu rumahnya tiba. Sekarang sudah menunjukkan pukul 7:10 pagi.
Seperti biasa, dua keping roti bakar bersama dengan telur separuh masak, buah tembikai sepotong dan air suam kosong buatnya. Lelaki separuh abad itu tidak menggemari minuman manis pada waktu pagi, mudah muntah jika dia mengambilnya.
Tepat-tepat dia melabuhkan punggung, pembantu rumah wanita dalam lingkungan usia lewat 30-an muncul lantas menyerahkan sampul surat putih bersaiz panjang kepadanya. Tiada butiran pengirim sampul membuatkan dia tertanya-tanya, adakah sampul itu dikirim secara langsung terus ke dalam peti surat tanpa melalui sistem pengeposan sedia ada?
Terdapat dua keping kertas putih berlipat di dalam sampul. Lipatan kertas pertama dibuka, terbeliak biji mata membaca tulisan tersebut.
‘Aku tahu… kau masih tertanya-tanya apa yang berlaku akibat dari pistol tu? Tak apa, aku ada sesuatu untuk bagi kau ingat!’
Tergopoh-gapah dia membuka lipatan kertas yang kedua. Terasa jantungnya hampir tercabut membaca fotokopi keratan surat khabar. Mengigil-gigil tangannya membaca berita mengenai tembakan di sebuah funfair. Baru teringat dengan jelas mengenai peristiwa yang sudah lama dilupuskan daripada ingatan.
Hari yang sebenarnya dirancang untuk membunuh Zainuddin akan tetapi entah macam mana tembakannya tersasar ke arah Manisah.
Imbas kembali…
Beberapa tahun lepas…
Kidman gembira Manisah sendiri yang mengajaknya datang ke rumah untuk minum petang. Akibat teruja, Kidman tidak langsung mencicip minuman teh hangatnya. Dia merenung setiap inci wajah Manisah, perempuan yang dirindui setiap hari selama puluhan tahun ini. Pendek kata, dia menjadi gila bayang akan seseorang yang ditakdirkan bukan menjadi miliknya. Sampai ke saat ini, dia tidak mampu menerima takdir jodoh mereka.
Manisah perasan sahaja dirinya ditenung tanpa berkelip oleh Kidman. Dia tidak peduli dan hanya meneruskan hirupan kopi O panas. Dirinya sudah lali dengan perangai Kidman yang masih tidak dapat menerima hakikat jodoh mereka.
“Manis… saya ada hadiah untuk awak,” ujar Kidman, meletakkan sekotak kecil di atas meja lalu ditolak mendekati Manisah.
Tanpa banyak bicara, Manisah mengambilnya. Sebaik sahaja penutup kotak dibuka, dia melihat sebentuk cincin permata di dalamnya seperti yang dijangkakan. Tanpa mencubanya, kotak itu ditutup kembali lalu diletakkan di atas meja semula. Air mukanya langsung tidak menggambarkan dia gembira dengan hadiah itu sekaligus membuatkan senyuman Kidman bertukar kelat.
“Kidman… awak kawan yang baik. Kawan yang banyak membantu saya dari awal kita berkenalan sampailah kini. Dan saya, kawan yang sudah lama mengenali awak… saya ada permintaan dan berharap ditunaikan.”
Cepat-cepat Kidman membalas walaupun memang kecewa dengan penolakan secara tidak langsung di samping kata-katanya memang menyakitkan hatinya, “Apa dia Manisah? Saya sudi penuhinya.”
“Saya sudah begitu lama bersubahat dengan awak. Selama beberapa tahun saya bekerjasama untuk membawa keluar lukisan-lukisan Zainuddin tanpa disedari olehnya dan kini… saya rasa sangat berdosa kerana menipu dia. Suami saya itu… suami yang baik. Saya nak berhenti daripada kegiatan ni dan semoga awak pun merestui pemergian saya daripada kumpulan kita ni.” Panjang lebar bicara Manisah mengundang rasa kecewa yang menggunung dalam jiwa Kidman.
“Tapi, Manis…”
“Saya tak nak hidup saya bergelumang dengan dosa sepanjang hayat. Rasa bersalah ini selalu menghantui saya dan saya hampir gila memikirkannya.”
“But…”
“No but… Kidman! Saya dah tak nak bekerjasama dan kalau awak masih berdesak… saya takkan teragak bagitahu semua dekat Zainuddin bahawa awak kawan yang tak berguna kerana menjual lukisannya yang telah dipalsukan!”
“Kalau awak bagitahu semua… kegiatan awak pun akan terbongkar juga!” ugut Kidman, mulai naik suara.
“Biar… biar! Saya dah bersedia dengan segala kemungkinan!”
“Manis…” Kidman tidak jadi meneruskan perbualan apabila melihat kereta Zainuddin meluncur masuk ke perkarangan rumah.
“Hai semua!” tegur Zainuddin kepada mereka berdua di beranda itu.
Kidman bermasam muka, dia tidak menjawab apa-apa. Kotak berisi cincin permata diambil dengan kasar sebelum dimasukkan ke dalam poket suit baju. Lambaian Zainuddin kepadanya hanya dipandang sepi, sempat lagi menjeling tajam.
“Hei…” tegur Zainuddin apabila Kidman hanya berjalan berlaga bahu dengannya tanpa sebarang kata-kata.
Kidman terus masuk ke dalam kereta, dia menghidupkan enjin dan sengaja menekan minyak sampai berbunyi kuat keretanya.
“Aku bunuh kau Zainuddin. Kau hanya penghalang,” tekadnya sebelum meninggalkan perkarangan rumah dalam keadaan marah.
“Kenapa tu sayang?” tegur Zainuddin dengan terpinga-pinga.
“Tak ada apa, abang. Dia sibuk tu,” dalih Manisah sambil menguntum senyuman manis untuk mengelakkan syak wasangka Zainuddin.
Selama beberapa hari Kidman mengintip pergerakan mereka berdua untuk melaksanakan hajat yang sudah lama disimpan. Dipendam lalu menjadi dendam yang tidak mampu dipadamkan. Dia sendiri yang memilih jalan seperti itu. Banyak-banyak bunga yang mahu kumbang sepertinya, langsung tidak diendahkan. Kononnya, cinta matinya hanya untuk Manisah sahaja. Itupun, cinta yang bertepuk sebelah tangan.
“Bencinya tengok kau bersuka ria sedangkan aku di sini menderita!” luah Kidman dari jarak yang tersorok daripada penglihatan mereka.
Akhirnya, taman tema dipilih sebagai lokasi untuk melancarkan serangannya. Bertambah tekad apabila terpaksa menjadi penonton setia drama romantik Zainuddin dan Manisah. Mereka tentu bersikap riang sepanjang meluangkan masa bersama dengan mencuba pelbagai permainan di situ. Keseronokan mereka memuncak apabila memilih untuk menaiki Euro Wheel.
“Aku tak nak benarkan korang naik Euro Wheel memandu asmara. Aku akan pastikan kau Manisah… melihat kematian Zainuddin. Meriah betul hari kematian kau dengan jerit-pekik pengunjung.”
Kidman ketawa terbahak-bahak bagai sudah lenyap sepenuhnya sikap kemanusian. Dia hanya berharap, riwayat seseorang yang pernah digelar sebagai sahabat sehidup semati berakhir dengan segera. Oleh itu, dia akan boleh mengambil alih tempatnya di samping Manisah.
Semasa Zainuddin dan Manisah melintasi Merry Go Round yang rancak dengan gelak tawa para pengunjung, masa itulah Kidman memasang target lalu melepaskan tembakan. Gegak-gempita suasana dibuatnya. Masing-masing lari menyelamatkan diri kerana menyangka tembakan rambang telah dilepaskan pengganas.
Kidman yang menyangka tembakannya mengenai Zainuddin, ketawa terbahak-bahak. Saat dia mahu sekali lagi susuk tubuh yang tumbang ke tanah yang disangka Zainuddin, tawanya terus mati. Terbeliak besar biji mata melihat Manisah rupanya yang terkena tembakannya. Laju sahaja dia berlari mahu mendapatkan Manisah.
Tidak sampai beberapa langkah, dia terhenti. Terlupa bahawa dialah suspek lalu mengubah arah larian, mahu menyelamatkan diri dek tidak mahu kedapatan oleh pihak polis. Bergema kuat siren polis mengecutkan hatinya. Cepat betul pihak polis bertindak.
Dalam usaha menyelamatkan diri, dia meraung sekuat hati. Tidak sudah-sudah dia meibui diri sendiri akibat kesilapan yang mampu meragut nyawa orang tersayang.
Esoknya, Kidman terperap di rumah menanti berita mampu menarik nafas lega apabila Zainuddin masih tidak tahu akan rancangan jahatnya, telah memberitahu Manisah sudah sedarkan diri. Kecederaannya tidak parah, peluru sipi-sipi terkena pada bahunya. Kidman berpura-pura menzahirkan rasa simpati kepada Zainuddin.
Dengan beraninya, dia memunculkan diri melawat Manisah.