“Jangan Manisah… jangan! Apa yang awak sedang buat ni?” tegah Kidman dengan penuh cemas.
Kidman cuak, tenaga Manisah melebihi tenaga seorang lelaki. Perempuan itu dengan agresif membenamkan Kidman ke tengah laut. Terkapai-kapai Kidman berusaha mengambil nafas di permukaan air laut sambil kakinya menendang-nendang ke atas agar tidak tenggelam. Semakin dicuba, dirasakan tenaganya melemah dan hampir-hampir lemas dibuatnya, dtambah lagi rasa cemasnya hanya merisikokan bahaya.
Sebelum kejadian ini terjadi, Manisah mencapai tangan Kidman dan hati lelaki itu berbunga-bunga, menyangka Manisah ingin bermesra dengannya. Kidman terpukau saat Manisah menariknya dengan lembut menuju ke permukaan air. Semakin lama, semakin ke tengah laut dan ombak mulai mengganas menghempas tubuh mereka berdua. Apabila kepalanya ditekan kuat ke dalam air, barulah Kidman tersedar akan keberadaan mereka.
“Bodoh… manusia bodoh! Manusia yang dibutakan dengan cinta. Kasihan, cinta tak kesampaian sampai tak dapat bezakan siapa aku sebenarnya,” bisikan itu menyingah di telinga Kidman yang hampir lemas.
Penglihatan Kidman samar-samar dapat melihat Manisah menyeringi bertukar menjadi satu rupa yang lain. Untuk berasa menyesal, sudah terlambat kerana tubuhnya perlahan-lahan ditelan air laut. Tenaganya sudah habis untuk melawan ombak yang mengganas. Dia berputus asa, mungkin itulah hari terakhir hidupnya.
Hanya kedengaran sisa gelembung udara keluar dari lubang hidung di samping hilaian seseorang yang gembira dengan kejadian menimpanya. Sebelum kelopak mata terkatup sepenuhnya, birunya air laut tidak setenang seperti selalunya.
Kidman bangun dalam keadaan terkejut, dadanya berombak. Tangannya sudah dipasang tiub saliran air masuk ke dalam badan, pakaiannya juga sudah bertukar. Berdasarkan suasana dalam bilik itu, dia berasa sedang berada di hospital. Dia meraup wajah, keliru dengan apa yang telah berlaku kepadanya semalam. Sebelah sisi berasakan itu hanya mimpi namun, sebelah sisi mengiyakan realiti bahawa dia hampir mati ditenggelamkan dalam laut oleh insan tersayang.
“Alhamdulillah, syukur awak dah sedar,” tegur suatu suara, duduk di sofa berhampiran.
Belum pun dapat menghadam situasi sebenar, dia dihambat kejutan lagi dengan kedatangan musuh ketatnya.
“Rita?” soal Kidman, ragu-ragu dengan ilusi dihidangkan.
Kalau itu memang benar Rita, jauh sekali perjalanan musuhnya untuk menjejaki lokasi percutiannya. Tiada sesiapa tahu ke mana lokasi percutiannya. Ada apa dengan kedatangannya? Dia hanya pergi bercuti, bukannya sedang melakukan perjalanan bisnes dengan pelanggan yang berpotensi bekerjasama pada masa akan datang. Sudahpun begitu, percutian itu bertukar menjadi percutian ngeri sepanjang hidupnya dan akan dikenang selalu.
“Ya, I datang melawat,” jawab Rita dengan lemah-lembut dan tidak angkuh seperti biasa.
Rita perlahan-lahan berjalan menuju ke katil Kidman, dia duduk di kerusi betul-betul di depan Kidman.
“You datang nak mengejek I?” tanya Kidman, tidak senang dengan renungan simpati ditunjukkan Rita.
“Hisy, ke situ pula! Kita memanglah musuh dalam bidang barangan kemas tapi itu tak beribuna I perlu bergembira atas kecelakaan menimpa you. I masih berhati perut tau! Bukan kerja I nak ketawakan sesuatu peristiwa yang hampir menyebabkan you mati,” balas Rita, kedengaran ikhlas namun Kidman tetap sahaja ragu-ragu untuk mempercayai perempuan itu.
“Jadi, kemalangan tu betul,” keluh Kidman dan dia kecewa dengan pelakunya.
Langsung terlupa untuk bersyukur dia terselamat dan masih bernafas di dunia ini.
Terburai ketawa Rita. “Sorry, I tak bermaksud nak ketawa. Tentu sahaja you masih mamai-mamai… kesan ubat.”
“Hmmm,” balas Kidman, tentu tidak gembira dengan reaksi Rita.
“Satu Malaysia dah tahu berita you hampir lemas di laut. Masing-masing spekulasi yang you mempunyai musuh dalam selimut. Tapi, dia orang mungkin lupa… musuh ketat you tu hanyalah I sahaja. I kecewalah kalau you ada musuh lain. Susah nanti you nak tumpukan perhatian kepada I,” bebel Rita.
“Lemas? Cepat betul berita tu tersebar,” balas Kidman dengan terkejut, dia tidak dapat menerima hakikat.
Paling ditakuti, kejadian itu hanya menyebabkan bisnesnya terjejas.
Kidman mengeluh sambil memegang dahi, kesalnya dalam hati Manisah merupakan pelaku peristiwa itu.