Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 7

Suara Aniq Zafran kuat kedengaran menghiasi ruangan pejabat yang sunyi daripada sebarang perbualan kosong para staff.

“Eh, siaran langsung berita tentang pecah masuk Galeri Seni Antonio tadi.” 

Terjeling-jeling staff lain dikejutkan dengan suara kuat Aniq Zafran. Menganggu sahaja masa mereka untuk fokus menyiapkan kerja yang tidak kunjung selesai.

“Kejadian kecurian beberapa karya lukisan di sebuah Galeri Seni Antonio telah disahkan oleh pihak berkuasa sebentar tadi.”

Berita itu ditonton mereka berdua melalui siaran langsung berita dari aplikasi Youtube pada komputer Hayati.

“Macam-macamlah sekarang ni, kan. Risau juga kadangkala,” komen Aniq Zafran kepada Hayati.

Masing-masing fokus mendengar berita itu sambil mengunyah kuih karipap.

“Secara keseluruhannya, lukisan-lukisan yang hilang dianggarkan bernilai setengah juta itu disedari hilang semasa pihak galeri mahu memulakan operasi pagi tadi,” lanjut pembaca berita itu.

“Wah, banyak tu! Kaya… kaya,” komen Aniq Zafran menyebabkan Hayati terangguk-angguk bersetuju. “Apalah istimewa sangat lukisan tu sampai kena curi?” Sambung Aniq Zafran disertai dengan tawa kecil. 

Aniq Zafran tahu sahaja alasan di balik kecurian itu Cuma, saja untuk mengumpan seseorang. Dalam pada masa yang sama, boleh pula terbayang limpahan wang tunai di sekeliling jika dia mempunyai lukisan itu. Jika begitu, seronoknya tidak perlu bersusah payah bekerja selama beberapa tahun.

“Mungkin…” Hayati tidak jadi menjawab kerana dirasakan ada seseorang sedang berdiri di hadapan mereka.

Mereka berdua serentak mendongak pandangan, terus berubah air muka masing-masing kerana seseorang yang tidak ingin dijumpai berada di depan mata mereka sekarang.

“Kuatkan,” satu patah perkataan tetapi ketegasan suaranya membuatkan mereka tergamam dan gementar ditambah lagi reaksi muka pemilik suara itu masam mencuka ditambah dengan jelingan tajam. 

Mereka saling berpandangan untuk melakukan tindakan selanjutnya.

“Apa yang…” Aniq Zafran mencebik dan cuba bertanya tetapi pantas dipotong oleh Michael Angle.

“Kuatkan…” ulangnya lagi tetapi kali ini suaranya sangat tegas berbanding tadi membuatkan Aniq Zafran tergamam.

Cepat-cepat Aniq Zafran mencapai tetikus dari genggaman Hayati yang kaku. Volume komputer dikuatkan sehingga ke tahap semaksimun mungkin sampai boleh didengari satu pejabat. Kedengaran rakan sepejabat merungut namun apa yang penting, jangan kejutkan harimau yang sedang tidur dalam diri Michael Angle. Tidak pasal-pasal, mereka pula ditengkingnya.

Tiada ucapan terima kasih malahan jelingan tajam dihadiahkan menyebabkan Aniq Zafran dan Hayati berasa kekok dan tidak selesa untuk mendengar siaran berita itu bersama-sama dengan Michael Angle. Masing-masing seperti cacing kepanasan dan berharap agar lelaki itu segera meninggalkan mereka. Barulah aman hidup masing-masing.

“Itu…” Tajam matanya memerhatikan sebuah lukisan yang antara turut dilarikan.

Lukisan itu menggunakan subjek matter mirip dengan idea rekaan gelang tangannya pada bahagian selendangnya. Pada mata kasar, audiens mungkin tidak akan perasan. Mereka perlu merapati dan memerhati dari dekat untuk melihat corak dilukis halus pada selendangnya. Hairan kerana Michael Angle tidak menyangka dia mampu melihatnya hanya dari skrin komputer. 

“Tapi, kenapa?” soal Michael Angle sendiri, masih tidak percaya dengan berita yang sedang didengarinya itu. “Si gadis pembunuh… siapa dia?” katanya dengan hairan, membaca kapsyen tertera sebagai judul lukisan yang menarik perhatiannya.

Terbakar sekali hatinya dek ideanya mirip dengan sesuatu yang sudah wujud malahan dikenali ramai orang. Itu hanya membuatkan usahanya memerah idea untuk rekaan akan datang adalah sia-sia belaka! 

Penumbuk dikepal kuat, rasa ingin sekali menumbuk skrin komputer sehingga pecah. Dia sudah berkira-kira untuk mengetahui pengkarya terbabit kerana mahu melakukan penghitungan walaupun jika diikut dari garis masa penghasilan karya lukisan yang hilang dan ideanya, tentu-tentu sekali sebenarnya Michael Angle yang meniru idea tersebut.

Dalam keadaan marah itu, akal warasnya tidak mampu berfikir dengan betul. 

Aniq Zafran dan Hayati berpandangan. Mereka juga melihat antara lukisan yang dicuri itu mempunyai kemiripan dengan rekaan gelang tangan Michael Angle. Namun, mereka berdiam diri dan tidak ingin memberikan pendapat masing-masing, takut disalah tafsir pula nanti dan mungkin sahaja boleh menyebabkan perbalahan hebat berlaku apatah lagi sikap Michael Angle yang tidak terjangka.

‘Kenapa kau terkejut dengan berita itu?’ Michael Angle tersentak mendengar suara halus milik seseorang perempuan.

Bagai singa buas kelaparan yang mencari mangsa, tajam sekali renungannya ke arah Aniq Zafran dan Hayati sehingga menyebabkan mereka takut.

“Apa kau cakap?” soal Michael Angle kepada Aniq Zafran dan Hayati dengan suara yang cukup tinggi dan keras, menyangka salah seorang daripada mereka yang mencuba untuk memprovoknya dalam keadaannya yang sedang marah ketika ini.

Penumbuknya bila-bila masa sahaja akan dilepaskan.

Pantas mereka berdua menggeleng, takut dan juga tidak memahami pertanyaan Michael Angle. Tidak berani meningkah dengan kata-kata, takut perbalahan akan tercetus pula nanti. Aniq Zafran dan Hayati berkomunikasi dengan pandangan masing-masing, meminta pengertian daripada pertanyaan tadi.

‘Kenapa dia tu?’ Aniq Zafran menzahirkan melalui isyarat matanya, mulutnya terkunci, riak wajah memang tergambar tidak suka akan perlakuan lelaki itu.

Dalam diam, dia berdoa agar lelaki itu segera pergi dari situ. Pergi dari hidup mereka buat selama-lamanya pun tidak mengapa.

‘Entah!’ Hayati turut membalas dengan lirikan mata, bahunya ternaik sedikit sebagai isyarat tidak tahu, tidak mahu kelihatan ketara pada pandangan Michael Angle. Takut-takut dia memerhati riak wajah Michael Angle yang bengis itu.

Nampaknya, Michael Angle tidak gembira dengan reaksi rakan-rakannya kerana tidak mendapat jawapan kepada pertanyaannya. Sambil fokus kembali dengan siaran berita, matanya tidak lepas memerhatikan kedua-dua rakannya. Cuak pula mereka berdua diperhatikan sedemikian rupa.

Michael Angle menumbuk meja dengan kuat, memeranjatkan mereka berdua sehingga hampir-hampir melatah namun sempat ditahan.

Siaran berita tamat begitu sahaja. Berita disiarkan begitu singkat membuatkan dia tidak berasa puas dengan maklumat yang diberi. Dengusannya dapat didengari oleh dua rakannya itu. Tanpa menunggu lama, Michael Angle meninggalkan mereka berdua yang sudah terkulat-kulat.

Tapi, sebelum itu, dia menjeling tajam membuatkan hampir luruh jantung rakan-rakannya. Tidak menyempat-nyempat mereka menarik nafas lega melihat seseorang yang buas seperti singa kelaparan pergi meninggalkan mereka.


Tengahari menjelma, para pekerja di bandar besar mulai berbondong-bondong keluar dari pejabat sama ada membeli hidangan secara berbungkus ataupun singgah sebentar menjamu selera di kedai-kedai berhampiran pejabat mereka. Pelukis-pelukis plein-air pun juga begitu, mengemaskan peralatan masing-masing sebelum berehat kerana dikhuatiri barangan mereka hilang tanpa diduga.

Keadaan cuaca juga memainkan peranan, mana tahu secara tiba-tiba hujan pula turun, habis rosak peralatan mereka nanti. Sudahlah peralatan mereka itu mahal dan sukar pula dijumpai di sembarangan kedai

Dalam kira-kira jam 3:00 petang nanti mereka akan menyambung semula pekerjaan setelah selesai urusan menjamu selera dan solat.

Untuk aktivitinya di situ, dia menggunakan medium warna air dalam menggambar suasana orang ramai yang bersesakan di dalam sebuah kedai makan bertentangan dengannya.

“Zaqwan, tak nak makan ke?” tegur pula seorang pelukis lain kepada lelaki itu.

Zaqwan hanya menggeleng seraya tersenyum, menolak pelawaan dengan sopan. 

“Tidak mengapa. Kau orang pergilah dulu,” kata Zaqwan dengan nada lembut.

Beberapa pelukis lain ketawa. Salah seorang daripada mereka menyampuk, “Sekejap lagi orang rumah sampailah tu bawakan bekal.”

Zaqwan senyum sahaja mendengarnya. Ternyata, memang benar kata-kata rakannya itu. Isterinya berjanji untuk membawakannya bekal makanan sama ada dimasak sendiri mahupun dibeli di mana-mana kedai jikalau dia melukis di luar studio. Walaupun sering ditegah, isterinya apa peduli akan kata-kata suaminya. Senang sekali isterinya menggunakan alasan rindu kerana tidak dapat bertentang mata walaupun dia bukannya berpergian jauh atau pun berhari-hari.

“Bertuahnya badan!” sampuk pula yang lain, cemburu mendengarnya kerana mereka terpaksa mencari tempat makan sendiri.

Perbualan mereka mati di situ. Zaqwan melihat mereka sudah habis berkemas dan bersiap untuk menuju ke kedai berhampiran. 

“Pergi dulu, ya,” kata seorang pelukis lain. 

Zaqwan mengangguk, melambai tangan dan kemudian meneruskan kerjanya. Dia meletakkan berus di atas para easel kerana mahu meneguk air botol yang dibawa dari rumah sebentar. Mentari tengahari terik memancar-mancar membuatkannya cepat dahaga. Berpeluh-peluh walaupun di tempat teduh. Sesekali dia mengelap peluh yang menitis tidak putus-putus. Panas tetapi pasti nanti dia akan berasa berbaloi dengan hasil plein-air hari ini.

“Bertuah… bertuahnya badan? Aku… aku bertuah?” Zaqwan mengulang kembali ayat rakannya tadi. 

Terasa ingin ketawa terbahak-bahak kepada dirinya sendiri. Kalaulah mereka tahu akan kisahnya, pasti dia akan dihina dan dikutuk secukupnya.

“Aku hampir membunuhnya dan sampai kini… aku keliru dengan perasaan sendiri. Lagi-lagi, aku melihat cinta dalam matanya,” rintihnya dengan penuh penyesalan sambil meraup wajah menggunakan telapak tangan.


Imbas kembali…

Setahun lalu…

Zaqwan tidak segera keluar dari rumah untuk kerja di luar studio sebaliknya mengusap-usap pemain piring hitam di ruang tamu. Dia jadi teringat akan ibu bapanya apatah lagi setelah mimpi malam tadi. Beberapa bulan lepas, pemain piring hitam diperbaiki jua demi kenangan bersama arwah ibu bapanya walaupun menelan banyak kos. 

Pagi dan malam merupakan waktu ibu bapanya mendengar instrumental dari pemain piring hitam sambil menari-nari keriangan. Dalam beberapa tahun sebelum kemalangan meragut nyawa ibu bapanya, arwah ibunya jatuh sakit sampai terlantar di katil tidak dapat bangun. Acara tarian mereka terhenti semenjak itu. Hanya lagu-lagu sahaja kedengaran itupun arwah ayahnya memutarkan instrumental sedih-sedih bagai meratapi keadaan arwah ibunya ketika itu.

Pagi ini, dia berasa kelainan daripada hari-hari lalu. Dia menjadi sangat peduli dengan mimpinya. Mimpi itu sangat diingati, tidak seperti kebiasaan mimpi. Selalunya, apabila bangun sahaja daripada tidur, pasti seseorang sukar untuk mengingati jalan cerita mimpi mereka dengan baik.

Mengeluh dibuatnya, matanya terpejam rapat sambil dahi berkerut-kerut seolah menyesali mengingati mimpi itu. Genggaman penumbuknya erat sebelum diketuk berulang kali di atas meja kayu menempatkan pemain piring hitam.

Zaqwan terpanggil untuk merenung potret di atas kanvas yang tergantung betul-betul di tengah ruang tamu. Potret yang dihasilkan arwah bapanya semasa Zaqwan masih kecil tidak tahu apa-apa mengenai dunia ini. Menurut ceritanya, arwah bapa mendapat inspirasi daripada figura arwah ibunya. Dia berasa ralat kerana tidak pernah bertanya tentang lebih lanjut mengenai kisahnya.

“Aku ni… anak tak guna!” 

“Abang…” tegur Mawar, mengganggu tumpuannya.

Zaqwan melihat Mawar sudah bersiap sedia untuk berangkat ke tempat kerja bersama dengan beg kerja. Kebiasannya mereka akan berpelukan dan saling membisik kata cinta. Hari ini, Zaqwan berasakan egonya tinggi melangit. Dia tidak akan melakukan kebiasaan itu sebagai tanda protes. 

Mawar mendekatinya, senyuman manisnya sahaja hampir mencairkan ego Zaqwan. Mereka saling bertatapan beberapa saat, riak mereka bertentangan sama sekali. Pandangan Zaqwan penuh dengan kesangsian dan kemarahan manakala Mawar penuh dengan keceriaan.

‘Perempuan tu memang tak tahu malu. Pandai… ya, dia sangat pandai mengambil hati kau. Dia bukan mencintai kau sepenuh hatinya. Eh, silap! Malah tidak pernah mencintai kau! Hanya tahu mengambil keuntungan atas kebaikan kau,’ terngiang-ngiang suara mirip arwah ibunya di dalam kepalanya.

Bola mata Zaqwan tergerak-gerak bagai terpukau dengan suara itu. Dia mempercayainya bagai orang yang kerasukan, secara automatik terimbas mimpinya tadi.

Mimpi seseorang mirip isterinya sedang memasukkan sesuatu bersifat serbuk ke dalam minumannya pada hari kejadian kemalangan ibu bapanya.  Apabila dia meminumnya, dia berasa mamai lantas terus tidak sedarkan diri. Sebaik sahaja dia terjaga pada waktu menghampiri petang, dia berada di atas katil sedangkan hari itu sepatutnya dia berada di luar untuk menyiapkan kerja-kerjanya. Jadi, tidak mungkin sekali terbabas tidur.

Imbasan lain pula muncul, dia melihat seseorang mirip isterinya sedang memerhatikan seorang lelaki merosakkan bahagian brek kenderaan milik bapanya yang digunakan semasa hari kejadian. 

Akhir sekali, dia melihat seseorang mirip isterinya bersama dengan seorang lelaki yang masih samar-samar kelibatnya sedang berada dalam kereta memerhati kemalangan melibatkan kedua ibu bapanya. Mereka hanya melihat dengan perasaan puas tanpa memberi sebarang pertolongan ibarat sedang melihat pertunjukan wayang.

Paling tragis, Zaqwan dapat melihat imbasan seseorang menghalakan muncung pistol ke kepala ayahnya sebelum melepaskan tembakan.

Bang! Bunyi tembakan tercetus dalam mimpinya kedengaran begitu nyata dan dekat sekali.

Lelaki itu hanya tersengih sebelum ketawa terbahak-bahak seseolah puas dan tidak langsung terbit rasa bersalah terhadap apa yang dilakukannya.

Zaqwan terjaga dari mimpinya sambil menangis teresak-esak pagi tadi. 

Berpeluh-peluh Zaqwan apabila imbasan itu muncul. Imbasan yang tidak tahu sama ada benar atau palsu tetapi sedikit sebanyak membuatkan hatinya terbakar dan kecewa dengan Mawar. Zaqwan berasa ingin gila dengan apa yang terpamer dalam mimpinya.

Zaqwan berundur beberapa tapak ke belakang, menepis tangan Mawar yang mahu mencapainya. Mawar sudah bertukar riak, dia tersinggung dan kecewa diperlakukan sedemikian.

‘Ya… begitulah! Perempuan macam dia ibarat medusa… memang layak sekali diperlakukan sebegitu,’ suara itu masih kedengaran, meracuni kewarasan berfikir Zaqwan. 

Tidak semena-mena, Zaqwan mendengar suara tawa jahat milik Mawar bergema-gema di gegendang telinga. Mawar dalam imbasan mimpinya bersama dengan seorang lelaki yang tidak terlihat wajahnya sedang mentertawa dirinya kerana bersikap bodoh dan tidak pernah tahu apa yang terjadi dalam keluarganya. 

Bayangan mereka menjadi banyak sekali dalam sekelip mata lalu mengelilingi Zaqwan sehingga dia berasa pening. Zaqwan menekup kuat telinganya, dia jatuh melutut sambil wajahnya sudah basah dengan peluh. Putih matanya sudah merah menyala sambil mengeluarkan air mata dengan banyak sekali. Kemuncaknya, dia menjerit sekuat hati dengan niat menyingkirkan bayangan dalam fikirannya.

“Diam… diam semuanya,” kata Zaqwan dengan perlahan seakan berbisik.

“Abang… are you okey? Jangan buat saya risau. Awak tak cukup tidur ke? Ada nak apa tak?” Soal Mawar dengan cemas dan hampir menangis melihat Zaqwan berubah tingkah secara mendadak.

Mawar mengusap lembut belakang tubuh Zaqwan, sedaya-upaya mahu menenangkan suaminya yang seperti dalam keadaan tertekan. Tingkah abnormalnya merisaukan, sesekali kelihatan seperti sedang kerasukan oleh sesuatu tidak nampak.

“Shut up! I said… shut up!” Zaqwan menyinga secara tiba-tiba, dunianya menjadi bising dengan suara ketawa itu.

Mawar tersentap, air matanya gugur diherdik sedemikian. Tidak pernah suaminya meninggi suami sepanjang tempoh perkahwinan mereka lima tahun ini.

‘Bagus… perempuan itu layak menerimanya!’ puji suara di dalam kepala Zaqwan sambil ketawa kecil dengan reaksi ditunjukkan Zaqwan.

Zaqwan menjerit kuat untuk menyingkirkan suara itu. Lagi parah, suara itu berulang-ulang menyuruhnya untuk menghapuskan isterinya. Dia berlawan sendirian dengan suara itu, Mawar menjadi takut dengan kelakuan suaminya.

Zaqwan tiba-tiba berlari memasuki kamar tidurnya, kuat pintu bilik dihempas lalu dengan terkocoh-kocoh menguncinya dari dalam. Dari luar, kedengaran Mawar merayu-rayu menyuruhnya membuka pintu. Bertalu-talu dia mengetuk pintu sementara suara tangisnya tidak mampu disorokkan.

“Pergi… kau pergilah! Pergi ke mana-mana sahaja. Tinggalkan aku sendirian!” rayu Zaqwan dari dalam bilik, risau dia akan bertindak menjadi lebih kejam lagi.

“Tak… saya takkan tinggalkan abang! Abang… please! Buka pintu,” rayu Mawar dari luar, kalut tidak tahu sesiapa yang harus dihubungi.

Mawar takut tetapi tidak sanggup meninggalkan suaminya sendirian. Rusuh hatinya memikirkan andaian suaminya bertindak gila sehingga mampu meragut nyawa sendiri. Dia tidak akan pernah sanggup menerima kenyataan sebegitu.

“Abang?” soal Mawar dengan cemas apabila suasana menjadi hening secara tiba-tiba.

Keadaan dalam bilik itu senyap bagai tiada sesiapa pernah berada di situ. Mawar berdebar hebat, takut sekali apa yang dibayangkan tadi menjadi kenyataan. Tombol pintu dipulas berulang kali dengan harapan pintu itu dapat dibuka.

Krek. Pintu terbuka dengan sendiri secara perlahan-lahan. Bilik itu kosong tanpa kehadiran sesiapa. Mawar berasa tidak sedap hati, berjalan perlahan memasuki bilik dengan penuh berhati-hati. Segenap ruang diperhatikan, tiada langsung susuk tubuh suaminya di situ. Suaranya juga tidak kedengaran sama sekali.

Tirai langsir beralun-alun ditiup angin segar waktu pagi kerana sliding door terbuka luas. Pada firasatnya, suaminya sendiri membuka sliding door. Seingatnnya, sebelum keluar dari kamar itu tadi, dia sudah memastikan segala tingkap berkunci. 

Wanita itu berdiri di depan sliding door, melihat-lihat jika suaminya mengambil angin menenangkan diri di luar. Namun, tiada sesiapapun di situ. Kemudian, dia menutup sliding door dengan penuh berhati-hati, risau jika individu tidak bertangungjawab menceroboh masuk ke dalam bilik mereka pula.

“Argh!” jeritnya ketika baru separuh jalan menutupnya, rambutnya direntap kuat seseorang dari belakang sehingga hampir tersembam ke lantai.

Belum habis kesakitannya, lehernya pula dicekik seseorang. Matanya terbeliak melihat suaminya sendiri yang mencekiknya. Riak wajahnya basah dengan air mata serta pandangan penuh dengan dendam.  Mawar terkapai-kapai meminta tolong, nafasnya sendat. Suaranya tenggelam timbul, hampir tidak kedengaran sama sekali.

“Kau memang pandai berpura-pura!” kata Zaqwan sudah tidak seperti dirinya lagi.

Pap! Kedengaran bunyi sesuatu sedang dipukul. Serentak itu, Mawar terjatuh ke lantai. Dia terbatuk-batuk dan bernafas dengan kuat, termengah-mengah mencari nafas. Kejutan tidak berakhir di situ apabila dia melihat Zaqwan terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap. Hampir menjerit kerana darah mengalir dari kepala lelaki itu.

Mawar mengigil-gigil kerana tidak tahu berbuat apa-apa. Nafasnya bagai mahu terputus apabila tiba-tiba terdapat bayang-bayang seseorang pada lantai berdekatan dengan suaminya. Adakah itu ancaman seterusnya buat Mawar?

Namun, keesokkan harinya… Zaqwan terjaga dari pengsan di atas katil hospital. Mawar pula, menguntum senyuman seseolah peristiwa yang menimpanya semalam langsung tidak memberikan apa-apa kesan kepadanya. Sampai ke hari ini, Zaqwan tidak tahu gerangan yang memukulnya di belakang kepala. Paling menghairankan, tidakkah sang pemukul berbuat apa-apa kepada isterinya? 


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.