Dahlia bangun pagi dalam keadaan terkejut. Selesai sahaja mandi dan bersiap seperti mahu ke kuliah, dia terus ditegur Sarah. Kata temannya itu, ke mana pula dia mahu pergi sementelahan dirinya duduk di rumah menghabiskan masa menulis buku untuk terbitan akan datang.
Dahlia tidak menyangka sudah masuk ke tahun baharu sebaik sahaja terpandangkan kalendar pada dinding. Paling mengejutkan, dia sudah habis tahun pengajian, memulakan pekerjaan sebelum mengambil keputusan berhenti kerja secara mengejut malah berjaya menerbitkan sebuah buku tanpa disedari langsung.
“Kau ni Dahlia… macam hilang ingatan.”
“Memang aku hilang ingatan. Aku langsung tak ingat semua ni terjadi,” luahnya sambil berjalan ke hulu hilir di depan Sarah.
“Peliklah kau ni. Takkan pula selama ni aku nampak hantu menyamar jadi kau lepas tu berpura-pura jadi kau?”
“Macam mana kalau orang menyamar jadi aku?” sergah Dahlia, menggoncangkan tubuh Sarah.
“Bertenang. Kau ni menakutkan akulah! Baik kau check doktor… mana tahu memang benar kau ada kecederaan pada otak. Terjatuh dekat mana-mana ke… alah, macam drama tu. Terjatuh sikit lepas tu lupa ingatan.”
Tergelak-gelak Sarah, terhibur dengan andaian sendiri pada waktu pagi.
“Tak lawaklah! Aduh, sakit kepala dengar lawak kau yang hambar.”
“Yalah, aku pun sakit kepala layan kau. Makanlah dulu sarapan mana tahu sel-sel otak kau berhubung dan boleh fikir dengan baik. Aku nak pergi kerja ni… kau tanam anggur bolehlah nak bermalas-malas atas katil lagi. Aku ni nanti kena jerit dengan bos. Bebel berbakul-bakul. Sakit telinga aku,” bebel Sarah, mencapai kunci kereta di atas meja.
Dahlia duduk di depan meja kerjanya setelah beberapa saat Sarah meninggalkan rumah. Dia perasan komputernya dalam keadaan sleep. Seingatnya, dia seorang yang jenis mematikan terus kuasa alat elektronik itu selesai sahaja digunakan.
Sebaik sahaja skrin bernyala, dia melihat aplikasi sticky notes menghiasi latar.
“Dahlia… terima kasih atas segalanya. Kau sudah berjasa kepada aku… meminjamkan tubuhmu untuk aku terus bernyawa dan membalas dendam kepada mereka yang terlibat. Aku tertarik dengan aura ketulusan dalam hati kau. Kau seorang yang baik; sukar untuk aku terangkan. Aura kau mengimbangi auraku yang terlalu negatif. Kerana kau, aku bertemu kembali dengan kekasihku yang hilang arah di dunia ini. Sekarang, kami akan sentiasa hidup dalam memori kamu semua. Jumpa lagi.”
Sungguhpun Dahlia tidak mengerti akan nota itu, dia tetap sahaja tersenyum ibarat menerima perkhabaran teman lama yang sudah terpisah selama bertahun-tahun.
TAMAT
27 September 2022, 9:23 malam