Kidman duduk di dalam kereta sambil merenung foto dirinya bersama dengan Manisah ketika awal tahun 80-an dahulu. Foto itu sering dibawa ke mana-mana sahaja dan disimpan di dalam dompet duit. Pipinya ditampar-tampar angin kencang. Baru dia sedar, bulan penuh terang sudah menghilang daripada menghiasi langit malam.
“Nak hujan,” komennya.
Tidak sampai satu minit, rintik-rintik gerimis mengenai wajahnya. Pantas dia menaikkan tingkap kereta. Hujan turun dengan lebatnya dalam sekelip mata. Walaupun bunyi kuat air hujan menghentam bumi, dia tetap memasang radio yang sedang memainkan lagu-lagu jiwang yang sedih-sedih belaka untuk melayan jiwa.
Jiwanya terbuai dengan kenangan lalu, dia menjadi seperti patah hati akibat dikecewakan dalam percintaan. Hakikatnya, tiada sesiapa pernah bercinta dengannya. Dia sahaja bertepuk sebelah tangan. Sakitnya hidup dalam kenangan yang tidak mampu menemui jalan keluar. Dia mengetuk dahi sendiri sambil berasa kesal dengan dirinya.
Sambil matanya tertutup, kedengaran keluhan berat terluah dari mulutnya. Lagi sekali dia mengetuk dahi.
“Pelik… pelik. Siapa punya kerja larikan lukisan-lukisan yang sepatutnya aku palsukan tu? Manisah… you tahu siapa punya kerja?” tanya Kidman kepada gambar Manisah. “Lupa… I cakap dengan orang yang dah meninggal dunia.”
Kidman ketawa sambil menahan tangis. Kelantangan radio yang masih memutarkan lagu-lagu sedih dinaikkan.
“Kita memang pasangan yang hebat dalam urusan kerja. Sayang sekali, kita tak pernah menjadi pasangan sehidup semati,” luahnya dalam nada begitu kecewa.
Air mata menitik pada foto. Takdir yang tertulis terasa begitu tidak adil baginya.
Imbas kembali…
Mereka – Kidman dan Manisah memarkir kenderaan di luar pagar bangunan Galeri Seni Antonio. Masing-masing dalam persalinan serba hitam, kena dengan suasana malam hitam pekat warnanya.
“Dah sedia?” soal Kidman dalam kadar perlahan.
Melihat Manisah mengangguk, kenderaan mereka meluncur laju menuju pondok kawalan keselamatan Galeri Seni Antonio. Di situ, seorang pengawal keselamatan sudah sedia menunggu kedatangan mereka dengan penuh waspada. Pagar dibuka, mereka dibenarkan masuk.
Kidman memandang sekeliling untuk memastikan tiada sesiapa melihat mereka. Dia mengeluarkan satu sampul surat berisi sejumlah wang lalu diserahkan kepada pengawal keselamatan yang sudah tidak sabar-sabar menerimanya.
Kidman tersenyum sinis, wang yang tidak seberapa baginya memang berkesan untuk mengumpan orang yang terdesak mahupun mereka bermata duitan. Tidak mengapa baginya kerana aktiviti seterusnya bakal menjanjikan wang yang lagi banyak daripada sekarang. Biar rugi sedikit daripada terlepas peluang keemasan, prinsipnya.
“Kau fahamkan bila dah terima wang ni?” soalnya dengan tegas.
Pengawal itu mengangguk tanpa memandang mereka berdua. Dia mengira wang di dalam sampul yang sudah dipersetujui bersama beberapa hari lepas. Setelah berpuas hati, segala sistem merakam suasana di dalam Galeri Seni Antonio dimatikan tanpa rasa bersalah.
Kidman dan Manisah keluar dari perut kereta. Kidman menyerahkan masquerade mask dengan sedikit hiasan bunga mawar hitam kepada Manisah. Mereka menyarung topeng untuk menyorokkan identiti sebagai langkah berjaga-jaga dan topeng digunakan turut bertindak sebagai identiti persatuan mereka berdua.
Ketiga-tiga mereka memunggah sesuatu dari dalam kereta. Seterusnya, mereka bertiga berjalan membawa beban tadi dengan penuh berhati-hati masuk ke dalam ruang pameran.
Tipikal ruang pameran karya seni, mereka melihat lukisan-lukisan pelbagai medium. Target mereka merupakan lukisan cat minyak di atas kanvas dan mengabaikan arca-arca pelbagai bentuk yang terletak elok di situ. Kidman dan Manisah memandang antara satu sama lain, mereka tersengih.
Beberapa hari lepas, Manisah datang ke situ sebagai pengunjung seperti kebanyakan orang. Dia mencuri-curi mengambil gambar karya-karya lukisan yang berpotensi masuk ke dalam targetnya dengan menggunakan kamera. Selesai tugasannya, foto-foto dicuci di studio gambar milik Kidman.
Manisah dikurniakan bakat mengingati segala perincian subject matter yang dilihat dan juga dengan bantuan kameranya, dia telah menghasilkan duplikasi lukisan begitu mirip dengan karya aslinya. Dia juga sudah biasa dengan permainan pelbagai medium lukisan dan juga teknik-teknik yang sering digunakan pengkarya tidak mempunyai masalah untuk menghasilkan satu lagi karya sebegitu.
Tiada siapa akan dapat membezakan mana yang asli mahupun palsu melainkan mereka membuat ujian makmal.
“Kita akan jadi kaya,” bisik Kidman dengan penuh teruja.
Sekarang, di hadapan mereka merupakan satu lukisan menggunakan subject matter seekor ayam jantan. Kidman memilih karya itu bersebab. Ia milik salah seorang sahabat rapatnya semasa belajar di luar negara dahulu. Apa-apa perkara buruk berlaku, sekurang-kurangnya dia senang untuk berunding untuk menutup kesalahan dan kesilapan yang dilakukan.
Beban yang dibawa didedahkan. Satu lukisan palsu yang memang begitu serupa dengan yang asli. Manisah bangga dengan hasilnya. Dia sempat menatap dan perasaan sayang untuk berpisah dengan karya itu terbit.
Cepat-cepat Kidman menurunkan karya asli pada gantungan dinding lalu ditukarkan lukisan asli dengan yang palsu. Manisah tergamam, dia terpaksa berpisah dengan hasil tangannya.
“Kita kena cepat,” komen Kidman.
Manisah bagai tersedar dari mimpi. Dia membantu Kidman memasukkan karya asli ke dalam kotak dibawa tadi. Mereka lekas bergerak meninggalkan galeri seperti belangkas. Lukisan asli dimuat masuk ke dalam kereta.
“Ingat… biar pecah di perut jangan pecah di mulut,” ugut Kidman semasa sudah masuk ke dalam perut kereta.
“Ya… ya! Tahulah aku,” balas pengawal keselamatan tersebut.
Kenderaan mereka meluncur laju meninggalkan kawasan galeri. Barulah sistem rakaman dibuka kembali. Pengawal keselamatan bertugas itu berlagak seseolah tidak berlaku sesuatu jenayah sebelum itu.
Kegiatan mereka berterusan selama bertahun-tahun tanpa kecundang sampailah Manisah mengambil keputusan untuk berpatah arang dan pengawal keselamatan terbabit bersara daripada kerjayanya merumitkan keadaan.
Akibat penarikan diri Manisah untuk alasan bodoh yang hanya mengundang pilu hati Kidman, kegiatan persatuan mereka terhenti seketika. Akhirnya, beberapa puluhan tahun kemudian, Mawar merupakan anak saudara Kidman, menyertainya demi membalas dendam kepada pemilik Galeri Seni Antonio.