Beberapa bulan kemudian…
Dahlia membelek-belek surat khabar yang telah diletakkan Alia di atas kaunter. Beberapa hari ini hangat sahaja diperkata mengenai anak pemilik sebuah galeri ditahan atas cubaan membunuh ibu mentuanya sendiri. Dalam tidak sedar, Dahlia menghela nafas lega. Semuanya bakal selesai dalam sedikit masa sahaja lagi.
Penahanan Mawar membongkarkan kes yang lain pula; kes mengenai kecurian dan pemalsuan serta penjualan karya lukisan secara haram yang sudah dilakukan secara bertahun-tahun. Dan, kini pihak polis sedang memburu Kidman selaku dalang utama kegiatan tersebut. Dipercayai, Kidman melarikan diri dari hospital dan sehingga kini masih belum dapat dijejaki.
Seorang pengawal keselamatan yang baru dilantik sedang melakukan rondaan pagi. Dia sempat menyapa dengan memberi senyuman. Dahlia jadi teringat akan Zamri dan Jaafar. Dua orang pengawal keselamatan di Galeri Seni Antonio itu sendiri terlibat dalam kegiatan tersebut. Sebelum mereka, ada lagi pengawal keselamatan lain yang terlibat. Dahlia sendiri berasa hairan kegiatan bertahun-tahun sebegitu tidak terbongkar sama sekali sehinggalah dia bertugas sebagai kurator di situ.
Dahlia gembira untuk Manisah dan Zaqwan kerana mereka anak-beranak akhirnya bersatu jua setelah menghadapi pelbagai cabaran. Mengenangkan arwah cikgu Zainuddin, dia menjadi sebak tiba-tiba.
Galeri yang masih tiada pengunjung terasa begitu sunyi. Bunyi tapak kasut berlaga dengan lantai secara tiba-tiba sedikit sebanyak memeranjatkan Dahlia yang begitu fokus dengan pembacaannya. Dia melihat bayang-bayang seseorang di lantai dan tidak lama kemudian, muncul Encik Antonio yang baru masuk bekerja memandangkan waktu baru menunjukkan pukul 8:30 pagi.
Surat khabar cepat-cepat disorokkan di bawah meja kaunter. Itu hanya tindakan spontan Dahlia untuk tidak menyinggung perasaan ketuanya memandangkan akhbar melaporkan mengenai anaknya. Wajah Encik Antonio muram sahaja tidak seperti selalu yang gemar menguntum senyuman manis.
“Tak perlu sorok, Dahlia. I tahu apa yang you sedang sorokkan,” tegur Encik Antonio, sudah berdiri di depan Dahlia. “Padan muka saya sebab tak pandai jaga anak dan adik sendiri. Hidup saya tunggang-langgang dan saya pun hairan macam mana saya boleh bertahan sampai ke tahap ini.”
Lidah Dahlia kelu, dia tidak pandai untuk bermain madah kata memujuk hati galau Encik Antonio.
“Macam mana dengan proses pelancaran buku awak, Dahlia? Tentu laku keras jualannya nanti. Berita tentang galeri ni sedang hangat dan pihak penerbit takkan lepaskan peluang keemasan sebegini.”
Dahlia tidak tahu sama ada lelaki itu sedang menyindir ataupun memang ikhlas untuk mengetahui mengenai perkembangannya. Air muka lelaki itu sukar diteka dalam keadaan sebegini memandangkan dia masih lagi bermuram durga.
“Eh, hmmm… baik-baik sahaja. Kalau tak ada apa-apa, minggu depan akan ada majlis pelancaran,” beritahu Dahlia, seadanya.
“Awak boleh jemput saya sebagai salah seorang perasmi nanti.”
Berseri-seri wajah Dahlia secara tiba-tiba, dia begitu teruja dengan pelawaan itu.
“Betul ke, encik? Idea yang bernas, saya boleh usulkan kepada pihak penerbit.”
Melihat reaksi pekerjanya, Encik Antonio menguntum senyuman sedikit. Dia mengangguk, mengiyakan.
“Saya terhutang budi dekat awak… tempat ini akan bertambah popular.”
“Saya…” tidak sempat Dahlia melanjutkan kata-kata, telefon pintarnya berbunyi nyaring menandakan panggilan masuk, “Sorry, encik… boleh saya angkat?”
“Silakan…”
Skrin telefon dilihat sekilas, dia bangun dari duduk bersama dengan telefon pintar. Ada senyuman gembira terukir pada bibirnya.
Encik Antonio ditinggalkan sendirian di situ. Mata pemilik galeri itu menghantar kelibat Dahlia hingga hilang dari situ sebelum dia meliarkan pandangan ke sekeliling.
“Bukan kau yang aku tunggu untuk datang melawat aku,” luah Mawar tanpa sebarang riak pada wajahnya.
Naik meluat kerana terpaksa menerima kunjungan Manisah sebagai pelawat pertama semenjak berada dalam tahanan polis. Dia menjeling tajam tatkala Manisah mengukir senyuman kelat.
Paling membuatkan hatinya bengkak, suami kesayangannya langsung tidak memunculkan diri melawat dirinya. Mawar tahu, apa yang dilakukan selama ini tidak akan mungkin dimaafkan dengan begitu mudah sekali. Tidak mengapa, dia sudah tahu akan kedudukan sebagai seorang wanita kesayangan Zaqwan sudah tergugat sama sekali.
“Tak tahu malu… orang yang tak tahu malu! Mesti kau gembira tengok aku berada dalam ni. Ini… kau punya harapan, kan?”
Seluar dipakai direnyuk-renyuk dengan penuh kemarahan sementara ganggang telefon yang dipegang mahu sahaja dibaling ke arah dinding lutsinar memisahkan mereka berdua saat ini. Dia memandang tidak berkelip ke arah Manisah yang kelihatan tenang tidak terkesan dengan kata-kata sebegitu.
“Cakaplah! Kenapa kau senyap? Kau datang nak tengok aku merana, kan?” Suaranya kedengaran ditahan-tahan walhal ingin sekali dia menjerit sekuat hatinya.
“Mawar… ibu minta maaf atas segala yang berlaku. Ibu…”
“Ibu? Baru sekarang kau nak bahasakan diri kau ibu tanpa kehadiran Zaqwan? Kelakar… sangat kelakar! Kau memang pandai bermuka-muka! Patut lakonan kau ni dapat anugerah pelakon terbaik!”
Hampir menjerit suaranya sebelum diperlahankan kembali apabila pegawai penjara berdehem-dehem keras.
“Mawar… ibu tak sangka ibu akan mempunyai kekuatan untuk menerima kamu setelah apa yang kamu buat. Kamu sendiri mahu membunuh ibu berkali-kali.”
“Ya, macam tulah. Ayat kejam yang aku nak dengar. Memang aku nak bunuh kau. Apa sahaja yang menghalang aku mengecapi bahagia… aku akan hapuskan!” balas Mawar dengan bangga sambil ketawa lucu.
“Tapi kamu terlepas seseorang yang membunuh ibumu,” tutur Manisah membuatkan Mawar tersedar.
“Kau macam tahu sesuatu. Apa yang kau sembunyikan?” teka Mawar.
Tidak semena-mena fikirannya melayang kepada kata-kata yang dituturkan Manisah ketika peristiwa langgar lari membabitkan ibunya. “Maaf… saya tak nampak apa-apa atau tahu apa-apa…”
“Kenapa kau kata… kau tak nampak apa-apa atau tahu apa-apa masa kejadian tu? Kejadian mama aku dilanggar,” ungkit Mawar, dia mahukan jawapannya sekarang.
Manisah tergamam namun kali ini dia kelihatan seperti sudah sedia untuk meluahkan apa yang tersimpan rapi selama ini. Nafas ditarik sebelum dilepas.
“Bukan hanya kerana kamu anak saudara Kidman… ibu tak restu kamu untuk berkahwin dengan Zaqwan…”
“Apa yang kau cuba sampaikan?” Potong Mawar, menjongket kening sambil dadanya berdebar kencang tanpa sebab.
Entah mengapa, air mata Manisah bergenang di kelopak mata membuatkan Mawar tersentuh seakan dapat berasai pandangan seorang ibu kepada seorang anak. Kali pertama dia melihat Manisah bersikap sedemikian.
Imbas kembali…
Manisah berdiri di luar rumah banglo besar dua tingkat. Hujan-hujan sebegini membawanya kerana ada hajat yang ingin disampaikan kepada Antonio berkaitan dengan urusan pameran suaminya yang bakal menjelang tiba.
Beberapa kali dia menekan butang door bell sebelum pintu dibuka oleh pembantu rumah Encik Antonio. Dia dipersilakan masuk sementara menunggu Encik Antonio yang sedang ada urusan. Salah dirinya juga, datang secara mengejut dan tidak memberitahu melalui apa-apa panggilan telefon.
Teh panas yang dihidangkan pembantu rumah, dicicip dengan penuh nikmat sambil memerhati hujan lebat di luar rumah yang tiada tanda untuk berhenti. Manisah mengeluh, mengapalah dirinya berkeras untuk bertemu dengan Encik Antonio dalam keadaan sejuk sebegini. Alangkah baiknya kalau dia sedang berbaring dalam selimut, hangat sedikit rasa tubuhnya.
Kcak! Hampir melompat Manisah dari duduknya mendengar kaca berderai di atas lantai. Tidak lama itu, dia mendengar suara orang bergaduh dan terjerit-jerit. Malangnya, akibat berlawan dengan bunyi hujan lebat jatuh bertimpa ke tanah, Manisah tidak dapat mendengar dengan jelas butiran bicara mereka.
Rasa ingin tahunya menebal, dia mengatur langkah perlahan-lahan ke sebuah bilik berhampiran ruang tamu. Nalurinya mengatakan bunyi kecoh-kecoh itu datangnya dari situ. Dari mana dia mendapat keberanian memulas tombol pintu untuk melihat suasana dari dalam bilik. Sebaik sahaja dapat melihat, matanya terbeliak besar dan mulutnya terlopong luas.
Dia tidak menyangka akan melihat Encik Antonio membelasah isterinya dengan begitu teruk sekali. Pipi perempuan lebam ditampar berkali-kali. Tepi bibirnya pecah.
Cepat-cepat Manisah menutup pintu sambil menekup mulutnya daripada menjerit.
“Puan…” tegur pembantu rumah yang tiba-tiba sahaja muncul di depan mata.
Tanpa menunggu lama dan menghiraukan pembantu rumah itu, Manisah mengambil beg tangan lalu bergegas keluar dari rumah itu. Payung yang disandarkan di pintu luar rumah, diambil lalu dibuka. Dia berpayung untuk pulang ke rumah. Langkahnya begitu laju sekali seseolah dikejar hantu.
Baru mahu menahan teksi, sebuah kereta meluncur laju di sebelah menyebabkan habis basah lencun tubuhnya terkena percikan lopak air besar dalam waktu-waktu begini. Dia tidak mampu merungut setelah mengesan kereta yang berbuat sedemikian.
“Kejar kereta itu,” pinta Manisah, setelah masuk ke dalam teksi.
Vrooom…
Laju sahaja mulutnya melatah tatkala sebuah motosikal memecut laju. Ekor matanya sempat memerhati arah motosikal yang sepertinya mengekori kereta yang ingin dikejar Manisah. Dia menjadi tidak sedap hati dengan situasi ketika ini.
Setakat ini, tiada apa-apa kejadian pelik yang disaksikan Manisah. Teksi yang dinaiki tadi sudah pergi meninggalkannya sebaik sahaja dia meminta untuk diturunkan di depan kedai dobi. Dalam renyai-renyai hujan, dia menyaksikan Mawar yang masih dalam belasan tahun sedang menunggu mamanya di dalam kereta.
Namun, bunyi motosikal bergaum kuat menyebabkan Manisah kecut hati apatah lagi dengan lajunya menuju ke arah mama Mawar yang sedang keluar dari kedai dobi. Manisah terlalu terpegun sampai tidak mampu menjerit menyuruh wanita itu melarikan diri. Dengan matanya sendiri, dia melihat wanita itu rebah dan takungan air hujan bertukar warna merah menjadi kolam darah.
Mawar naik gila mendengar cerita Manisah mengenai masa lalu. Dia naik marah, mengamuk dengan berulang kali menghentak-hentak meja. Pengawai penjara terpaksa menenangkannya.
“Pembohong! Kau nak cakap papa aku yang bunuh mama ke?” jerit Mawar, tidak dapat menerima hakikat.
“Tak… tak. Ibu hanya cerita apa yang ibu nampak,” beritahu Manisah dengan serba salah, dia tidak keruan melihat Mawar mengamuk.
“Bila aku keluar dari sini… siap sedialah kau aku kerjakan!” jerit Mawar dengan agresif sebelum dibawa pergi oleh pegawal penjara.
Manisah terduduk, dia kini dalam penyesalan kerana menceritakan hal terbabit namun, sampai bila cerita itu akan disembunyikan.
“Kenapa pula majlis pelancaran buku biografi tu kena tangguhkan pula? Lagi satu, kenapa pula kena edit balik draf? Bukan ke syarikat penerbit dah cetak pun buku tu?” soal Dahlia bertubi-tubi kepada salah seorang wakil penerbit itu dalam nada tidak puas hati.
Berkali-kali dahinya ditepuk, sakit kepala memikirkan perkara yang diberitahu tadi. Terasa impiannya untuk bertemu dengan para pembaca dalam majlis yang sepatutnya diadakan itu berkecai menjadi debu dalam sekelip mata.
“Nanti kejap. Adakah sebab kes tu masih berjalan dan kita terpaksa menangguhkan keluaran buku ni? Not make sense! Puan kena fikir… benda tengah hangat macam pisang goreng. Kita tak boleh lepaskan peluang ni. Puan juga yang akan untung,” pujuk Dahlia.
“Maaf cik Dahlia. Saya hanya menyampaikan sahaja info daripada pihak atasan.”
“Okey, sorry. Saya akan sunting secepat mungkin. Tak kiralah apa yang akan terjadi, biografi ni akan tetap diterbitkan,” putus Dahlia sambil mengeluh berat.
“Helo?” Sambut seseorang dari talian sebelah.
“Saya dah bagitahu cik Dahlia,” kata wakil penerbit tadi.
“Bagus,” balasnya dengan ringkas.
Secepat itu sahaja panggilan mereka tamat.
Berkepul-kepul wap panas tersebar di udara. Tangannya memegang secawan teh panas yang baru dibancuh. Dia memandang menghadap tingkap menyaksikan kenderaan tidak putus-putus berada di atas jalan raya. Sebiji anggur di atas bakul diambil lalu dimasukkan ke dalam mulut dan dikunyah dengan penuh nikmat.