Suis lampu dipetik setelah matahari menghilang sepenuhnya dari dada langit. Malangnya, tiada cahaya terpancar dari mentol bulat lampu di ruang tamu. Kidman beralih kepada suis lain, sama juga keadaannya. Dia mencuba pula dengan menekan alat kawalan jauh televisyen. Sah, memang rumah itu terputus bekalan elektrik.
Sofa diperbuat dari rotan ditendang-tendang untuk melepaskan kemarahannya. Sudahlah lapar, elektrik pula tiada. Almari kayu lama di situ diselongkar, mujur dia menjumpai beberapa batang lilin. Api dari Zippo digeser sebelum disuakan ke sumbu lilin. Jadilah, sedikit sebanyak cahaya sebatang lilin menemani malamnya yang sunyi sendirian di hutan.
Kidman kembali berdiri di depan tingkap bersama dengan lilin untuk membiarkan angin malam menyapa sejuk ke badannya. Suara haiwan hutan mulai kedengaran meskipun baru memasuki pukul 8:00 malam.
Bintang-bintang di langit bersinar dengan begitu terang malam ini. Kidman seperti membayangkan antara bintang yang tidak terhitung itu, terdapat Manisah dan dirinya yang sedang bersuka-ria bermadu kasih. Kidman tersenyum namun itu tidak lama apabila muncul Zainuddin mencelah kebahagian mereka dan Manisah tidak langsung tergamak berlalu begitu sahaja meninggalkan dirinya. Air mata Kidman gugur dengan mudah. Dalam anganan pun, dia tetap tidak mampu mengenggam erat hati Manisah.
“Manis… awak mesti dah bahagia dan saya… saya masih di sini. Menjadi buruan polis dan hidup dalam keadaan tunggang-langgang.”
Cit. cit. cit. Tikus berdecit mencelah rintihannya. Kidman terperanjat dan hampir melompat. Mujur sahaja lilin dipegang tidak terlepas daripada pegangan tangan.
“Celaka!”
Kaki dihentak-hentak untuk menghalau pergi sang tikus. Setelah yakin tikus itu bersembunyi di mana-mana, Kidman kembali menghadap tingkap.
Dengupan jantungnya seakan mahu berhenti tatkala melihat pantulan dari cermin tingkap akan jasad seseorang sedang duduk di atas sofa kayu. Sepantas kilat Kidman berpusing, sungguhpun begitu tiada sesiapa melainkan dirinya sahaja. Peluhnya jatuh menitik ke dahi.
Kidman meraup wajah, barangkali tersilap pandang akibat rasa laparnya mencengkam. Skrin telefon dihidupkan, kira-kira lebih sejam jugalah dia melayan diri tadi. Dia mengambil keputusan untuk membersihkan tubuh sementara menanti Antonio tiba.
“Sahabatku…” tegur suatu suara memeranjatkan Kidman.
Spontan dia menoleh ke arah sofa kayu tadi sambil terbeliak mata. Dia hampir jatuh terduduk, nyaris lagi lilin terlepas.
“Masakan kau…?”
Muncul susuk tubuh yang dikenali Kidman sedang duduk di situ. Serentak dengan itu, ruang tamu terang-benderang dan bergema Beethoven Symphony No.9 yang menjadi kegemaran susuk tubuh itu semasa hayatnya di dunia. Nampaknya, bekalan elektrik sudah pulih.
“Aku minta maaf muncul dalam masa kau mahu meraih cinta Manisah. Aku mengambil masa lama untuk menyedari kau juga mencintai wanita yang sama,” bicara lelaki itu dengan air muka kesal.
“Kau… tak kiralah siapapun engkau. Ya, memang aku kesal kerana kemunculan kau menganggu sahaja untuk aku memikat hati Manisah. Sampai ke hari ini, aku tetap tak dapat dia!”
“Dengan membunuh aku… kau fikir cara itu boleh membuatkan kau mendapat Manisah?”
“Argh, sepatutnya!”
Susuk tubuh itu menghela nafas berat.
Imbas kembali…
Kidman datang melawat Manisah. Menurut perbualan bersama dengan Zainuddin dalam panggilan telefon, pasangan suami isteri itu akan melancong ke suatu tempat pada minggu hadapan untuk berbulan madu sebagai hadiah untuk keadaan Manisah yang semakin pulih daripada sakitnya.
“Oh, kau dah sampai,” tegur Zainuddin dengan gembira kepada Kidman yang sudah berdiri di depan pintu bilik tidur mereka.
Tiada senyuman yang terhias pada bibir Kidman, dia hanya sekadar mengangguk.
Zainuddin sudah berhenti daripada perbuatan mengurut kaki Manisah. Kedengaran Manisah mencebik.
“Boleh aku cakap dengan Manisah sekejap?” pinta Kidman, dingin.
“Boleh… boleh,” izin Zainuddin dengan senang hati.
Zainuddin meninggalkan mereka berdua di situ untuk meneruskan perbualan. Dia akan berada di dapur untuk menyiapkan minuman atas kedatangan tetamunya.
“Kenapa kau datang?” Manisah mulai bersuara, dia tidak selesa berdua dengan Kidman.
“Manis… awak makin sembuh,” balas Kidman, menyimpang daripada pertanyaan tadi.
“Aku sakit pun… atas perbuatan siapa? Mujur sahaja aku tak bagitahu Zainuddin dan Zaqwan apa yang dilakukan oleh anak saudara kau. Mereka akan kecewa dan masa tu, tak tahulah apa akan jadi dengan nasib anak saudara kau.”
“Manis… I’m so sorry,” luah Kidman, dia sudah lama kesal dengan apa yang dilakukan Mawar di Roselinda Florist.
“Kau tahu dengan isu kebelakangan ni… yang pasal semakin banyak karya palsu ditemui polis? Itu mesti kerja korang, kan? Salah satu karya dipalsukan itu pula, karya suami aku. Siapa je yang mempunyai akses untuk melarikan karyanya melainkan aku dan juga… menantu kesayangan aku tu, Mawar? Tak sangka, bertahun-tahun ini kau masih teruskan kerja macam ni. Bukan ke kita berjanji untuk hentikan terus perbuatan kita ni sebaik sahaja aku pergi? Aku keluar dari kegiatan tu tapi kau masukkan Mawar? Bijak. Orang yang tamak takkan pernah puas,” serang Manisah dengan suara ditahan-tahan untuk mengelakkan Zainuddin yang berada di dapur mendengar perbualan mereka.
Kidman tercengang dengan serangan hendap Manisah. Kata-katanya terasa tajam menikam sanubari meskipun benar belaka apa yang diperkatakan.
“Aku yakin, banyak lagi karya-karya lain yang sedang menunggu untuk dipalsukan. Betul?”
Kidman mengenggam erat penumbuknya dan Manisah dapat melihatnya. Dia tahu lelaki itu sedang berasa berang.
“Hentikan perbuatan kau atau aku akan ceritakan segala-galanya kepada Zainuddin. Lambat-laun, perbuatan kau akan terbongkar juga. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh jua ke tanah. Jangan pula nanti kata aku tak bagi amaran. Aku tak dapat nak tolong dah masa tu. Sebagai sahabat, aku nasihatkan kau berhenti sekarang sebelum polis siasat perkara ini lebih mendalam.”
“Manis… kerana lelaki itu kan, awak sanggup tinggalkan kumpulan kita,” balasnya, perlahan seperti berputus asa.
“Kalau suruh terjun dalam api demi Zainuddin, saya sanggup!” tegas Manisah.
Bingkai gambar keluarga Manisah dan Zainuddin di atas meja lampu bersebelahan katil diambil Kidman. Lelaki itu ketawa seperti mahu menangis.
“Baik… baik! Baru saya tahu kelemahan awak ialah Zainuddin.”
“Kau nak buat apa?” soal Manisah, mulai risau dengan kata-kata seakan ancaman.
Bingkai gambar dijatuhkan dengan sengaja. Berderai kacanya menghasilkan bunyi kuat. Manisah terbeliak biji mata.
“Kalau dia pergi dari dunia ni, kan… bagus. Saya rasa awak faham maksudnya, Manis?”
Perkataan ‘kematian’ melintasi benak fikiran Manisah secara tiba-tiba. Dia tidak mampu menyembunyikan riak cemasnya. Kidman seronok dapat mempermainkan Manisah.
“Bunyi apa tu?” Celah Zainuddin, bergegas dari dapur sebaik sahaja mendengar bunyi kuat itu.
Kidman berjalan berdiri di sebelah Zainuddin, menjeling tajam sebelum pergi tanpa kata-kata.
“Ada apa tadi tu… sayang?” soal Zainuddin kepada Manisah yang sudah bersikap seperti cacing kepanasan.
“Tak ada apa,” balas Manisah dengan pantas sambil tergeleng kepala, tidak mahu suaminya risau.
Kain cadar digenggam kuat, dia mengambil serius kata-kata Kidman. Kini, hatinya dilanda kebimbangan yang tidak bertepi.
Zainuddin tahu apa yang mereka bualkan tadi. Dari awal sampai habis, dia mendengar semuanya. Ternyata sangkaan mengenai mereka berdua, memang benar belaka. Dengan berita karya-karyanya yang dipalsukan, dia berasakan pelakunya merupakan orang terdekat. Tidak sangka sekali.
Zainuddin membuang pandangan dibuang di luar tingkap, melihat kelibat kereta Kidman yang semakin kecil apabila semakin menjauh meninggalkan perkarangan rumahnya.
Lelaki separuh abad itu beransur-ansur meninggalkan isterinya di kamar. Dia mengambil telefon pintar di atas meja ruang tamu lalu mendail nombor telefon milik Aniq Zafran. Kecewa sekali apabila nombor penyiasat muda itu tidak dapat dihubungi.
“Sayang… saya keluar sebentar ya,” katanya kepada Manisah sebaik sahaja tiba di birai pintu.
Manisah mengangguk manakala dalam hati Zainuddin dia berharap dapat menyampaikan hajatnya kepada Aniq Zafran yang sudah lama terpendam semenjak pertemuan pertama mereka. Dia mahu Aniq Zafran menyiasat kebenaran itu.