Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 38

Michael Angle duduk bersendirian di Sunshine Café pada waktu rehat tengahari sebaik sahaja keluar dari pejabat. Dia paling menyampah mahu memandang muka Encik Kamal di pejabat. Dia memilih untuk menenangkan diri di sini daripada memikirkan soal kerja dan juga beberapa lain yang menganggu fikiran kebelakangan ini.

Tadi, dia memesan cinnamon coffee dan kini, kopi itu terbiar di atas meja tanpa disentuh. Berkepul-kepul asap bersebaran ke udara menandakan minumannya masih panas.

Aroma biji kopi yang dikisar menggunakan mesin brew di Sunshine Cafe menenangkan fikirannya yang sedikit kusut. Alunan muzik klasik Perancis terpasang mengembalikan nostalgia lalu.

Fahmi sedang mengelap peralatan digunakan untuk mem brew kopi memerhatikan Michael Angle seperti sedang termenung jauh memikirkan sesuatu. Kopi dipesan oleh lelaki itu dijeling sejenak menarik perhatian Fahmi kerana masih tidak luak walaupun sedikit.

“Hmmm… maaf. Kopi yang disediakan tidak memenuhi cita rasa encik?” Fahmi sekadar berbasa-basi semasa menghampiri Michael Angle.

Agak risau jika memang benar kopi buatannya itu tidak enak. Kepuasan pelanggan penting dan itulah prinsip yang mereka amalkan di situ semenjak dari abangnya masih berada di situ lagi.

Michael Angle tersedar dari lamunannya tadi, melemparkan senyuman yang jelas nampak seperti terpaksa sahaja.

“Kopinya sedap. Terima kasih atas hidangannya,” balasnya.

Nasib Fahmi baik hari ini kerana pertanyaan berjawab jika dibanding dengan selalu, pasti Michael Angle bersikap dingin dan menafikan kewujudan manusia lain. 

Spontan Michael Angle meneguk kopi itu dengan perlahan. Memang menepati cita rasanya, tidak terlalu pahit mahupun terlalu manis, sedang-sedang sahaja dan boleh dinikmati sepanjang hari jika dia mahu.

Fahmi sekadar senyum dan tidak bertanya lagi kerana Michael Angle terus-menerus bersikap dingin. Bahasa tubuh Michael Angle seperti tidak mahu diganggu oleh sesiapa, Fahmi faham akan itu.


“Hai, Manisah!” Suara Fahmi menegur seseorang yang masuk ke dalam kafe menarik perhatian Michael Angle yang sedang termenung.

Ekor mata Michael Angle mengekori pergerakan gadis itu dari mula masuk ke dalam kafe sehinggalah duduk lalu memesan minuman. Terasa diperhatikan, Manisah menguntum senyuman sambil mengangkat gelas berisi ice Americano sebagai mengisyaratkan untuk menjemput minum bersama.

Harus diakui, senyuman Manisah menggetarkan hatinya sedikit sebanyak. Walaupun begitu, dia tidak mengatur apa-apa perbuatan. Hanya memandang tepat anak mata Manisah tanpa berkelip sehingga Manisah tidak selesa dan terpaksa mengalih pandangan dengan melihat skrin telefon pintarnya. 

“Macam mana dengan urusan harian awak? Okey semuanya?” tegur Fahmi, datang membawa sepotong kek red velvet dipilih Manisah tadi.

“Bau cat yang masih baru,” kata-kata yang keluar dari mulut Manisah membuatkan Michael Angle tertarik dengan ayat itu.

Ada keghairahan terpancar dimatanya semasa dia berkata-kata.

‘Bau cat?’ Monolog hati Michael Angle dan tidak sabar menanti isi lanjutnya. 

Fahmi ketawa kecil sebelum menarik kerusi untuk duduk berhadapan dengan Manisah. “Peliklah awak ni, dah macam detektif! Tak pernah tau saya tahu ada orang macam awak, tengok dan hidu lukisan dekat galeri seni semata-mata untuk mengesan asli atau palsu!” 

Sebelum membalas, Manisah turut ketawa kecil. Ekor matanya perasan diperhatikan Michael Angle. Senyuman sinis sengaja dipamerkan membuatkan Michael Angle terkesima. Michael Angle tidak mengerti akan maksudnya. Dia berasa disindir pula dengan gadis bernama Manisah.

“Saya hanya berjalan-jalan menghabiskan waktu tersisa sebelum berangkat ke suatu tempat yang jauh, sunyi dan tiada manusia lain boleh pergi ke sana,” kata Manisah. 

Manisah menyuapkan sedikit kek red velvet ke dalam mulutnya. 

“Tempat yang jauh? Awak nak pergi merantau ke? Boleh saya ikut kalau macam tu… mesti seronok, kan?” soal Fahmi dengan bersungguh-sungguh.

Manisah ketawa halus dan panjang, menyuapkan lagi kek velvet sambil tergeleng-geleng kepala lantas merenung tajam ke arah Michael Angle sedari tadi memerhati.

Michael Angle berasa tidak enak dengan pandangan itu. Kemanisan pada wajah Manisah seolah topeng luaran menyembunyikan wajah sebenarnya. Rintik peluh mengalir pada dahi Michael Angle secara automatik.

“Bukan semua orang boleh terutama manusia biasa. Kalau saya diberi peluang, biar tempat itu digantikan dengan manusia lain dan saya akan kekal di sini. Seseorang yang saya cinta, ada di sini.”

Tidak semena-mena, Michael Angle berderau mendengarkan kata-kata itu.

‘Kekal di sini?’ Michael Angle curiga dalam diam.

“Wah, bunyinya macam misteri! Saya ke orang yang tercinta tu?” soal Fahmi dengan teruja tanpa tahu sesuatu yang tersirat.

“Misteri, kan. Saya banyak sangat baca novel fantasi kebelakangan ni. Boleh pula terpengaruh dengan ayat-ayat dalam novel tu. Orang tercinta tu… rahsia,” balas Manisah.

“Wah, berahsia pula awak!”

Fahmi ingin melanjutkan bicaranya namun, dicelah dengan bunyi deringan telefon kedai. Cepat-cepat dia ke kaunter lalu mengangkat panggilan. Tangannya rancak menulis sesuatu di atas kertas semasa menerima pesanan melalui telefon.


Ting! Kedengaran pintu kafe ditolak seseorang dari luar spontan Michael Angle membuka mata. 

Cepat-cepat Fahmi mengambil pesanan Zaqwan. Lelaki itu duduk di sudut paling tepi tetapi berhadapan dengan Michael Angle dan Manisah. 

“Bunga-bunga berbicara dengan bahasanya.” Zaqwan membaca tulisan pada mural di dinding kafe. 

Fahmi ketawa kecil dan membalas, “Abang saya… dia suka sangat dengan ayat itu. Lama tidak bertemu dengannya. Rindu, kalaulah boleh bertemunya dalam masa terdekat ini.”

“Ayat itu seperti pengharapan. Lambang bunga yang sesuai untuk itu… mungkin Iris,” bicara Zaqwan, spontan.

Kata-katanya membuatkan Fahmi kagum. 

“Wah, macam mana encik tahu?”

Zaqwan ketawa kecil dahulu sebelum membalas, “Isteri saya merupakan pemilik Roselinda Florist tak jauh dari kedai ni. Kira-kira 15 minit perjalanan. Jadi, saya tahulah sikit-sikit pasal bunga ni.”

“Ohhh… begitu. Patutlah.”

Terangguk-angguk Fahmi menerima info daripada Zaqwan sambil bersedia dengan kertas dan pen untuk mengambil pesanan.

“Beri saya kopi O panas sahaja.”

Fahmi mengangguk lagi sekali, faham dan pantas mencatat dalam buku nota 555 sebelum meminta izin berundur menyiapkan pesanan.

Tergesa-gesa Manisah mengeluarkan wang dari dompet lalu dengan pantas diletakkan ke atas meja. Baru sahaja Fahmi mahu membelanja wanita itu hari ini. Fahmi kecewa lagi, niat untuk berbual panjang terbantut. 

Michael Angle berasa hairan dengan perubahan mendadak wanita itu.

Ekor mata Michael Angle menangkap tingkah Zaqwan mengangkat cawan berisi kopi o panas yang baru sahaja disiapkan Fahmi. Sepertinya lelaki mengajaknya untuk turut sama minum, sama seperti Manisah tadi. Kali ini, dia turut mengangkat cawannya juga, tanda bersetuju untuk minum bersama. 


Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.