Home Cerpen Alternatif Hadiah terbaik
Hadiah terbaik
Maryani Zailani
14/2/2024 21:46:37
1,974
Kategori: Cerpen
Genre: Alternatif
Instrumental klasik yang menggunakan alat muzik piano, violin dan bass perlahan-lahan menyapa lembut pendengarannya. Semakin lama diamati, semakin jelas instrumental itu. Instrumental yang tidak asing buatnya iaitu The Second Waltz, instrumental yang sesuai untuk tarian waltz. 

 Mamai rasanya, perlahan-lahan kelopak matanya terbuka. Samar-samar melihat seseorang lelaki memakai topeng masquerade. Apabila pandangannya menjadi terang, dia terperanjat kerana dirinya sedang dalam pakaian gaun merah tanpa lengan mendedahkan leher dengan dihiasi batu permata putih kelilingi bahagian pinggang dan wajahnya turut memakai topeng masquerade merah. Lagak seperti di majlis tarian cuma, hanya dirinya dan lelaki itu di dewan tarian. 

 Marieanne tidak mampu mengawal gerak tubuh menari mengikut rentak instrumental rancak itu. Lelaki itu menjadi teman tarinya langsung tidak berkata apa-apa.

 “Siapa kau?” Marieanne meronta-ronta namun, sia-sia seolah-olah tubuhnya dikawal sesuatu. Terasa seperti boneka yang digerakkan tali. “Kenapa aku di sini?” 

 Lelaki itu mengukir senyuman yang tidak dapat difahami Marieanne. Mungkin senyuman sinis untuk mengejeknya yang sudah tidak mampu mengawal pergerakannya sendiri.

 “Tolong!” Jerit Marieanne dengan kuat, cemas kerana yakin tiada sesiapa yang mendengar teriakannya. Air mata gugur laju di pipi.

 “Marieanne… kenapa cik lupakan saya?” Bergema suara yang tidak diketahui sumbernya di dewan itu. 

 Marieanne bingung. Lelaki yang menari bersamanya langsung tidak membuka mulut dan bercakap. Namun, secara tiba-tiba, lelaki itu melepaskan pegangan tangan lalu membuka topengnya. 

 Marieanne menjerit sekuat hatinya kerana lelaki itu langsung tidak berwajah! Dia jatuh pengsan serta-merta akibat terlalu terkejut.


Beberapa jam sebelum…

Marieanne pulang ke rumah dengan berjalan kaki. Dia baru sahaja selesai menghadiri kuliah pada sesi pagi. Teriknya mentari menitikkan peluh di dahi. Hausnya bukan main menyebabkan dia ingin cepat pulang. Sudah teringat-teringat akan minuman sejuk di dalam peti ais.

 Jarum jam tangan ditenung. Sudah menunjukkan hampir jam 12:00 tengahari. Patutlah matahari tegak di atas kepala. Tidak semena-mena, telefon pintar dalam poket seluar berbunyi sambil bergetar-getar. 

 Jari-jemari menari di atas skrin telefon pintar. Group whatsapp kelas meriah dengan beberapa mesej daripada rakan-rakan sekuliah. Marieanne tidak berapa peduli akan perbualan mereka namun, kelopak matanya terbeliak besar saat mereka membicarakan mengenai majlis makan malam nanti.

 “Alamak! Terlupa pula ada acara tukar hadiah. Aku tak beli apa-apa lagi ni,” luah Marieanne, menggelabah di tengah jalan.

 Ramai pula manusia yang sedang menuju ke kedai makan waktu tengahari memerhatikan tingkah lakunya yang tidak keruan. Walaupun mereka tersenyum, dalam hati pasti sedikit sebanyak menganggap dirinya kurang siuman.

 “Masalahnya… aku sendiri tak tahu nak beli apa!” Marieanne buntu. Puas memaksa fikirannya bekerja. Dia tidak mahu membeli barangan yang sudah menjadi kebiasaan orang macam bunga, coklat dan mungkin mug! Dia mahukan kelainan agar sang penerima sentiasa teringat akan pemberiannya.

 Mata Marieanne melilau melihat jika ada kedai yang menarik untuk membeli-belah hadiah malam nanti. Hampa sekali kerana melihat di sana-sini kedai makan sahaja. Dia terus melangkah sambil tidak lepas memerhatikan deretan kedai. Hampir dia putus harapan, tiba-tiba sahaja harapannya menyala kembali. Sebuah kedai menjual barangan antik menarik perhatiannya. 

 Berlari-lari anak Marieanne ke arah kedai antik itu. Dari pandangan mata kasar, kelihatan misteri sahaja kedai itu. Cat hitam pada dinding luar sudah pudar. Dalamnya pula, Marieanne melihat lampu vintage mengeluarkan cahaya kejinggaan.

 Aura menyeramkan tiba-tiba sahaja menguasai diri saat dia menolak pintu utama. Angin sepoi-sepoi bahasa menerpa tubuh menerbangkan sedikit rambutnya. Aneh, dinginnya boleh dirasai sampai ke tulang putih. Hampir sahaja giginya berlaga atas bawah. 

 Namun, dia tidak peduli semua itu saat terpandangkan barangan antik bersusun di dalam kedai. Semuanya terletak elok di rak kayu yang bercantum pada dinding. Kebanyakan barangan antik di situ merupakan bahan tembikar seperti pasu yang mempunyai pengaruh dari tanah besar China. Jam dinding Perancis lama berdetak kuat menunjukkan betapa sunyinya keadaan di situ. 

 Jari-jemari Marieanne menyentuh arca yang mempunyai unsur mitos zaman Greek sebelum tertarik untuk melihat refleksi diri pada pantulan cermin kaca berbingkaikan ukiran kayu yang tidak diketahui motifnya. Saiz cermin itu tidaklah terlalu besar mahupun kecil. Sederhana sahaja.

 Rambutnya paras bahu dibelai-belai. Sempat lagi solekan nipis pada wajah diperhatikan. Marieanne terasa dirinya cantik berbanding hari-hari biasa. Seri wajahnya seakan menyerlah menyebabkan dia ingin lama-lama memerhatikan wajahnya. 

 Entah macam mana, dia terbayang seseorang lelaki dengan topeng masquerade datang dari arah belakang lalu terus memeluknya dengan mesra. Dia merelakan dan terasa nyaman dengan kehangatan itu. Matanya terpejam.  

 Deheman seseorang membuatkan dia mendadak membuka mata. Marieanne terpinga-pinga. Apa yang dibayangkan tadi terasa wujud di alam nyata. Benarkah itu hanya sekadar khayalan? Dia seperti sedang bermimpi di siang hari. Dalam diam, dia mencubit lengan sendiri. Sakit! Sah, dia bukan bermimpi!

 “Apa yang boleh saya bantu cik?” Tegur seorang lelaki muda dalam persalinan suit hitam yang muncul entah dari mana. Dia berdiri di kawasan kaunter kedai sambil tersenyum.

 Marieanne meneka dalam diam, lelaki itu kemungkinan besar merupakan pemilik toko antik itu.

 “Saya mencari hadiah untuk majlis makan malam. Tapi, saya sendiri tak tahu apa yang bagus dan elok untuk diberi sebagai hadiah,” katanya, menggaru kepalanya yang tidak gatal.

 Lelaki itu kekal tersenyum sambil berjalan perlahan ke arah Marieanne. 

 “Cik seperti tertarik dengan cermin ini,” ujar lelaki itu, membelai bingkai cermin yang dilihat oleh Marieanne tadi. Senyumannya semakin lama kelihatan menakutkan seperti seseorang yang mempunyai niat tersembunyi yang tidak baik.

 “Oh, itu… saya hanya bercermin diri sahaja tadi,” balas Marieanne. Sebenarnya, dia berharap agar lelaki itu mencadangkan barangan lain selain daripada itu. Dia berasakan cermin itu hanyalah biasa-biasa sahaja. Tiada sebarang keistimewaan langsung.

 “Selalunya benda pertama yang kita tertarik merupakan pilihan yang baik. Cuba cik lihat diri cik dalam cermin ni,” pinta lelaki itu, menarik Marieanne untuk berdiri di depan cermin.

 Marieanne tidak selesa diperlakukan sedemikian. Anehnya, dia tidak pula membantah. Bicaranya terkunci. 

 “Hadiah terbaik ialah sesuatu yang diri kita inginkan. Cuba lihat betul-betul diri cik. Apa yang cik mahukan?”

 Marieanne tidak mengerti akan kata-kata itu. Dia menuruti bagai seorang anak kecil yang patuh kepada arahan ibu bapanya. Dia bagaikan termenung. Fikirannya menerawang jauh sementara jasadnya masih di situ.

 Sayup-sayup kedengaran muzik yang tidak aneh pada pendengarannya. Tiba-tiba, dia terasa dirinya sedang menari dengan gembira. Masalah yang memberati bahu seakan beransur hilang. Dia mahu menari dan menari dengan gembira sepanjang hari. 

 Marieanne terperanjat saat bahunya ditepuk kuat oleh lelaki itu. Dia tersedar daripada lamunan yang panjang. Dadanya berombak. Tercunggap-cunggap mencari nafas semacam baru keluar dari dalam air.

 “Saya perlu pergi. Masih ada kelas waktu petang,” dia beralasan lantas tergesa-gesa melangkah keluar. Baru tangannya memegang tombol pintu, lelaki itu menegur lagi.

 “Nanti. Ambil ini. Saya hadiahkan kepada cik. Semoga bermanfaat,” kata lelaki itu menyerahkan cermin itu setelah dimasukkan ke dalam beg kertas.

 “Terima kasih,” ucap Marieanne, mengambil beg itu tanpa bersoal lanjut sebelum tergesa-gesa keluar. Dia sendiri hairan dengan dirinya. Mudah menerima pemberian orang tanpa curiga sedikit pun. 

 Marieanne begitu asyik berjalan laju meninggalkan kedai itu tanpa memerhatikan ke mana dirinya sedang melangkah. Dia jatuh terjelepok secara tiba-tiba. Buku lalinya terseliuh. Terpejam-pejam menahan kesakitan sambil tangannya mengurut kakinya. 

 Dalam pada itu, dia teringat akan peristiwa lama berlaku kepada kakinya. Pada suatu malam, setelah habis kelas menari dia pulang ke rumah dengan menaiki motosikal. Malang tidak berbau. Tayar motornya pancit terkena paku yang ditabur pada jalan tar oleh orang yang tidak bertanggungjawab sekali gus menyebabkan dia hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan. Akibatnya, dia mengalami patah kaki. 

 Semenjak itu dia tidak dapat menari dengan baik. Kecederaan itu bukan sahaja merampas upaya fizikal malahan semangatnya juga. Dia menjadi penyedih. Kemurungan memerangkapnya. Keghairahannya untuk menari semakin pudar dan seiring waktu dia sudah melupakan minat yang satu itu. Segala-gala yang berkaitan dengan tarian, sudah dibuang ke dalam tong sampah. Baju, kasut, topeng, aksesori… segalanya!

 Mengenangkan kejadian malang membuatkan Marieanne menghentak-hentak tangan pada jalan tar menzahirkan rasa kecewanya. Namun, semuanya sudah terjadi. Dia menyeka air mata yang menitis.

 Dia berusaha bangkit meskipun terhincut-hincut. Cermin pemberian lelaki itu dikutip lalu dimasukkan semula ke dalam beg kertas. Namun, dia seakan-akan terpegun melihat imejnya sendiri dalam gaun merah. Seterusnya, dunia sekeliling berubah sama sekali.


Kini…

Kelopak mata Marieanne tergerak-gerak. Dia memaksa dirinya untuk lekas sedar daripada pengsan. Tiba-tiba dia mendadak bangun dari baring. Matanya melilau. Ternyata dirinya masih berada di dewan tarian. Dia mengeluh perlahan. Alangkah bagusnya dia tidak menerima pemberian lelaki di kedai antik itu. Tidaklah dirinya terperangkap di tempat asing ini. Paling malang, tidak dapat pulang langsung ke dunia realiti. Terperangkap selama-lamanya di situ!

 Marieanne mencuba untuk berdiri. Bola matanya melihat sekeliling. Sunyi. Tiada sesiapa yang boleh membantunya. Keluhannya terluah. Heningnya keadaan tika itu sehingga dia mampu mendengar bunyi jantungnya menendang-nendang kuat. Namun itu tidak lama apabila telinga tiba-tiba terdengar muzik yang memang benar dia kenal sekali. Dia terpandangkan sebuah kotak muzik kayu terletak di atas lantai tidak jauh dari tempatnya berdiri. Di dalamnya terdapat patung sepasang penari lelaki dan perempuan. 

 “Ini… ini kotak muzik yang dihadiahkan oleh atuk,” kata Marieanne setelah kotak muzik diambil lalu diteliti. 

 “Betul. Kenapa awak membuangnya?”

 Terkejut Marieanne seseorang membalas kata-katanya dari arah belakang. Dia terundur-undur beberapa langkah. Rupanya lelaki yang memakai topeng masquerade tadi! Dia teringat akan lelaki itu tidak berwajah di sebalik pemakaian topengnya. Gerunnya datang. Sikit lagi dia mahu menjerit meminta tolong.

 Marieanne tiba-tiba memandang lelaki bertopeng dan patung penari lelaki di dalam kotak muzik secara bersilih ganti. Dia menemui kemiripannya. Lelaki itu dan patung lelaki itu memakai pakaian dan aksesori yang sama! Kemudian, Marieanne memerhatikan penampilannya sendiri lalu dibandingkan dengan patung sang penari perempuan.

 “Adakah…?” Dia kehilangan kata-kata sambil membelek-belek dirinya. “Tidak! Aku bukan patung!”

 “Awak terlupa dengan impian dan cita-cita awak?”

 “Impian dan cita-cita?” Ternyata soalan lelaki bertopeng berjaya mengalihkan rasa takutnya. Kening Marieanne saling bertaut. Lelaki bertopeng semacam mengetahui sesuatu yang dia tidak mengerti.

 “Ya. Menjadi penari yang terkenal di persada antarabangsa.”

 “Tapi, saya dah tak mampu untuk menari selincah dulu. Saya… saya lemah!” Lekas Marieanne membantah.

 Marieanne hampir menangis. Dia mengetuk kakinya berulang kali kerana tidak mampu berdiri dengan baik saat ini. Setiap kali putaran memori mengenai kemalangan itu dimainkan di minda, hatinya hancur berkeping-keping. Dia menyesali kejadian itu. Kalaulah dia berhati-hati. Kalaulah… Dalam diam dia menyalahi takdir yang terjadi sedangkan berdamai dengan takdir itu merupakan sesuatu yang indah. Pahit pasti manis akan akhirnya. Sesuatu yang berlaku pasti ada hikmah.

 “Saya percaya awak seorang yang tidak mudah patah semangat. Sudah banyak usaha… air mata dan keringat yang awak curahkan. Masakan begitu mudah awak berputus asa. Seorang juara takkan getar dengan kegagalan. Cuba dan cuba sampai berjaya.”

 “Tapi, emosi saya telah dibantai secukupnya! Ramai kata saya takkan mampu mencapai kejayaan macam dulu. Nak dapat tempat saguhati pun… saya tak layak! Sekeras mana saya berlatih, takkan sama macam dulu! Saya… saya seorang yang gagal,” bentaknya dalam nada kedengaran begitu sayu dan pada akhirnya dia menangis teresak-esak. Berjaya meluahkan sesuatu yang sudah lama diingini.

 “Sebenarnya, diri kita sendirilah yang mensabotaj usaha dan kejayaan sendiri.”

 “Awak tak faham…”

 “Saya faham kerana saya ialah semangat berkobar-kobar dalam diri awak. Tapi, lama-kelamaan, semangat itu memudar bagaikan permata yang sudah hilang cahaya. Luarannya awak kelihatan seperti manusia normal namun, menangis dalam hati tiada siapa yang tahu betapa sakitnya terpaksa melupakan impian dan cita-cita.”

 “Saya…”

 “Mari… menarilah. Itu passion awak,” lelaki bertopeng menghulurkan tangan. Apabila Marieanne terkaku dan tidak memberi sebarang respon, dia berkata, “Kembalikan diri awak yang dulu. Come back stronger.”

 Kali ini, Marieanne menyambut huluran tangan itu. The Second Waltz bergema memenuhi ruang mengiringi Marieanne yang penuh dengan emosi. Air matanya gugur. Dia menari sambil memejamkan mata. Terasa semangat yang sudah lama hilang, perlahan datang kembali meresapi seluruh tubuh. Kelesuan beransur hilang. Dan, dia sukakan perasannya ketika ini. Perasaan tidak mahu menoleh ke belakang. Dia mahu terus melangkah ke hadapan bersama azam dan tekad mengejar cita-cita yang terkandas. Kali ini, dia tidak akan membenarkan sesiapa mematahkan semangatnya.


Marieanne melihat tangannya menapung kotak muzik yang mengandungi dua penari di dalamnya. Dia tersenyum. Bukan sekadar hadiah pemberian daripada insan tersayang akan tetapi, lebih daripada itu! 

 Semasa dia bangkit, kakinya terasa ringan seseolah dia tidak pernah mengalami sebarang kecederaan. Malahan, barusan terseliuh buku lalinya. 

 ‘Semangat yang kuat mengatasi segalanya,’ hatinya spontan berkata-kata.

 Dia memandang langit malam. Panik dibuatnya. Cepat sekali masa berlalu. Terasa macam baru sahaja dia berada di situ. Marieanne mengutip cermin pemberian lelaki di kedai antik. Dia tersenyum seketika sambil mengepal penumbuk. Dia akan terus bersemangat. 


Majlis makan malam sudah bermula saat dia tiba di dewan. Rakan-rakannya sedang rancak berbual sambil sesekali menyuap mulut masing-masing dengan makanan. Semuanya berpakaian glamour. Hanya dirinya sahaja tidak sempat menyalin pakaian.

 “Marieanne… mari… mari!” Panggil rakan-rakannya, mengajaknya duduk.

 Masa pun berlalu. Tibalah seorang rakannya merangkap pengacara majlis memulakan acara saling bertukar hadiah sesama mereka.

 Marieanne tersedar. Sebenar-benarnya, dia tidak sempat memilih hadiah lain selain daripada cermin itu. Dia menoleh saat bahunya dicuit seorang rakan rapatnya iaitu Susan.

 “Mahu tukar hadiah dengan saya?” Kata Susan bersama senyuman semanis gula.

 Serba salah mahu mengangguk. Dia menyuakan beg kertas mengandungi cermin berbingkai ukiran misteri. Manakala, Susan menyerahkan satu kotak hitam sederhana saiznya.

 “Hadiah saya kalau dilihat secara fizikal… biasa-biasa sahaja. Tapi, kalau awak boleh mentafsirkan sesuatu yang awak lihat dengan mata hati… ia akan menjadi luar biasa,” kata Marieanne, berdasarkan apa yang berlaku kepadannya.

 “Oh, my! Saya sukakan hadiah awak ni! Cantiknya ukiran bingkai dia. Motif dia macam motif bunga matahari! Saya suka bunga ni… buat saya bersemangat dan bersikap ceria sentiasa! Saya pasti hari-hari saya akan bermula dengan positif saat saya bercermin menggunakan hadiah pemberian awak ni. Terima kasih, Marieanne!” 

 “Sama-sama. Semoga memberi awak manfaat.”

 “Giliran awak pula. Cubalah buka.”

 Marieanne membuka penutup kotak. Matanya membulat besar saat melihat isi dalamnya. Dia melompat-lompat akibat teruja tanpa sedar.

 “Kasut untuk menari!” Jeritnya. Tentulah dia gembira. Selama jiwanya patah, koleksi kasut-kasut menari sudah dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah.

 “Cubalah pakai. Awak pasti nampak cantik.”

 Marieanne mencuba kasut menari berwarna merah itu. Sebaik sahaja tersarung pada kakinya, automatik kakinya memulakan tarian waltz. Semua mata tertumpu ke arahnya. Muzik berkumandang seseolah sebati dengan jiwanya. Lampu sorot entah dari mana, terhala pada dirinya. Sudah lama dia tidak merasakan keikhlasan dalam tiap langkah tarian. Dia menjadi bintang pada malam itu. Sedar-sedar setelah selesai tarian, rakan-rakannya menepuk tangan sekuat yang boleh!

 “Hadiah terbaik tidak semestinya barang fizikal. Boleh jadi, semangat yang sudah lama hilang.”


Esoknya, Marieanne berlari-lari anak menuju ke kedai antik semalam. Dia berniat mahu mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu. Namun, sesuatu yang tidak pernah terjangka sedang terhidang di depan mata.

 “Eh, mana?” Marieanne terperanjat kerana kedai semalam ghaib begitu sahaja. Kini, yang tinggal hanyalah tapak kosong. Kedai antik itu seseolah tidak pernah berada di situ.

 Seorang pejalan kaki yang agak berusia ditahan oleh Marieanne.

 “Pak cik… pak cik pernah tak nampak kedai barangan antik dekat sini?” Soalnya, menuding jari ke arah tapak kosong.

 Lelaki separuh abad itu menggeleng kepala.

 “Sepanjang pak cik tinggal di sini, langsung tak pernah tahu ada kedai barangan antik. Mungkin kamu salah pandang.”

 Lelaki itu berlalu meninggalkan Marieanne yang terpinga-pinga sendirian.

 Angin bertiup agak kuat tidak semena-mena. Sesuatu berterbangan lalu hinggap ke wajah Marieanne. Rupanya poster mengenai pertunjukan silap mata yang bakal berlangsung beberapa hari lagi di pekan berhampiran. Mulanya dia berasakan itu hanyalah poster biasa namun terbutang besar bola mata melihat gerangan ahli silap mata yang bakal membuat persembahan itu nanti.

 “Lelaki semalam!” Marieanne terjerit, terkejut.

 Marieanne mengikuti gerak hatinya untuk melihat belakang poster.

 “Semoga awak sudah menerima hadiah terbaik dalam hidup awak,” membacanya membuatkan dia tersenyum. Langit biru direnung. Terasa hatinya damai. Pengajaran terbesar telah didapatkan semalam di situ.

 “Terima kasih,” bisik Marieanne. 


-TAMAT-


Ikuti saya di:


Facebook: https://www.facebook.com/pencinta.ilmu.372?mibextid=D4KYlr


Instagram: https://instagram.com/rainy_rose07?igshid=ZDc4ODBmNjlmNQ==


Twitter:

https://twitter.com/rainy_rose07


Tiktok: https://www.tiktok.com/@maryani_zailani


Threads: https://www.threads.net/@rainy_rose07


Blogspot: https://maryanizailani.blogspot.com/


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.