Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 35

Pintu utama ditolak dengan kasar tanpa meminta izin tuan rumah untuk masuk ke dalam. Pembantu rumah Kidman berusaha mengejar langkah Mawar yang meluru laju ke dalam rumah. Dia risau dimarahi majikannya kerana membenarkan tetamu masuk tanpa memberitahunya. Kidman itu orangnya menyendiri dan banyak menghabiskan masa dengan membuat kerja sendiri tanpa bersosial.

“Tak apa,” kata Kidman kepada pembantu rumah.

Dada Mawar berombak, riak wajah masam mencuka ditambah lagi kerutan dahi jelas kelihatan. 

“Jangan marah dulu.” Perlahan sahaja suara Kidman, risau Manisah terjaga dari tidur dan mendengar perbualan mereka.

“Jangan marah dulu? Kelakar!” Suaranya tinggi, langsung tidak mengendahkan kata-kata Kidman tadi.

Beg tangan dihempas kuat ke atas meja kaca bulat di hadapan Manisah. Dia tidak peduli perempuan itu terjaga.

Kidman tidak mempunyai cara lain selain daripada membawa Mawar berbicara di ruangan lain. Sampai Manisah mendengar perbualan mereka, itu hanya mendatangkan bahaya.

Setelah suasana kecoh tadi menjadi sepi semula, mendadak Manisah mengangkat kelopak mata seperti tidak pernah tidur tadi. 

‘Aku mendengar semuanya.’


“You dah gila ke? Perempuan tu kan dah mati, kenapa pula tiba-tiba boleh muncul depan kita semua?” marah Mawar dengan suara ditahan-tahan, tidak mahu Manisah di dalam mendengar perbualan mereka.

Ketika itu, mereka bercakap di halaman rumah Kidman.

“Nanti… nanti! Bertenang dulu. Biar I explain okay? Tarik nafas… lepas dan bertenang.”

Mawar akur, dia mencuba untuk bertenang dan menunggu penjelasan lanjut daripada Kidman.

“Yang penting sekarang ni, Manisah langsung tak ingat dia pernah berkahwin, ada anak semua tu dan pernah mati sebelum ni. Apa yang dia ingat hanyalah I… Kidman!”

Mawar ketawa. “Dia hanya anggap you hanya sebagai bos dia, kan? I mean, dia masih tersekat di zaman 80-an dan you hanya tetap sebagai kawan sahaja. Kesian betul dengan nasib you! Masih dipinggirkan dengan orang yang dah mati tapi hidup semula! Such a shame!”

“You…” 

Kidman hilang sabar dengan kenyataan dituturkan Mawar, hampir sahaja pelempangnya singgah ke pipi Mawar. Itu hanya setengah jalan, dia masih belum tergamak untuk melakukannya.

“Terima jelah hakikat, mati hidup balik pun… dia tetap takkan pernah jatuh cinta dengan you. Simpan sahaja imaginasi you… uncle Kidman.”

Bahu Kidman ditepuk perlahan dengan selamba.

“Jangan kecewa sangat. Rasanya kali ni you mempunyai kesempatan untuk memikat hatinya kembali. Yes, you know bapa mentua tersayang I dah meninggal dunia. Inilah peluang dan pastikan you bawa dia lari jauh dari bumi Malaysia dan jangan pernah-pernah nak kembali ke sini atau pisang akan berbuah dua kali. I tak rasa you sanggup untuk menghapuskannya dengan tangan you. So, ikut saranan I… okey?”

Kidman harus mengakui, kata-kata Mawar itu ada benarnya untuk kepentingan diri sendiri. 

“Oh, Manisah… you dah sedarkan diri? Baguslah begitu,” kata Mawar dalam nada mengejek tiba-tiba melihat kelibat Manisah di depan slinding door tidak bertutup.

Kidman turut menoleh melihat ke arah itu, khuatir jika Manisah mendengar perbualan mereka. Tidak lama itu, dia menarik nafas lega kerana ingatan Manisah terhenti pada akhir 80-an sahaja.

“Good luck. I percayakan you bahawa dia memang hilang ingatan. Kalaulah dia tak hilang ingatan, dengan tangan I sendiri, I akan hapuskan dia,” bisik Mawar, berbaur amaran.

“Have fun,” tegur Mawar kepada Manisah yang berdiri kaku dalam keadaan muka pucat sebegitu.

Manisah yang tidak mengerti, hanya mengangguk perlahan sambil tergetar-getar menguntum senyuman kelat melihat seseorang yang sebenarnya merupakan anak menantunya sendiri. 

Kidman mendapatkan Manisah setelah Mawar meninggalkan mereka berdua.

“Awak lapar atau tak selesa ke apa-apa?”

Manisah membalas dengan gelengan.

“Oh… mungkin awak dahaga? Saya buatkan jus laici… kegemaran awak tu,” saran Kidman sambil menarik tangan Manisah untuk masuk ke dalam.

Renyai-renyai gerimis mulai turun membasahi sedikit sebanyak tubuh mereka ketika ini.

“Saya rasa… saya seperti pernah mati sebelum ini. Bukan sekali tetapi berkali-kali.”

Kidman terkejut mendengarnya. Bunyi guruh menghentam bumi membuatkan kejutannya berganda. Jelas dari pancaran kilat, matanya terbeliak takut mendengar sambungan kisah yang ingin Manisah ceritakan.

“Kenapa awak rasa begitu? Itu hanya mimpi sahajalah, jangan terlalu memikirkannya. Saya fikir makanan tadi sudah sejuk. Jom kita panaskan.”

Semampu mungkin mematikan perbualan mereka, risau kalau-kalau Manisah tidak hilang ingatan seperti yang disangkakan. 

Manisah mengeraskan badan, langsung tidak mahu berganjak dari situ. Tiba-tiba dia mengadu sakit pada bahagian lengannya.

Kidman menjadi seriau melihatnya, dia teringat kejadian di fun fair di mana dia tidak sengaja tertembak Manisah.

“Saya seperti pernah tercedera di sini.”

Tidak habis dengan itu, dia memegang belakang kepalanya sambil mengadu kesakitan.

“Di sini… seperti dipukul seseorang.”

“Tak… awak hanya delusi sahaja.”

Bertambah terperanjat melihat Manisah menitiskan air mata dengan laju. Pandangan sayunya meruntun jiwa nurani Kidman. 

“Lantas… untuk apa aku berasa perasaan seperti kehilangan seseorang yang aku sayang? Seseorang yang aku pernah hidup bersama dan seperti pernah mempunyai anak bersama. Seseorang lelaki yang… argh!” 

Manisah jatuh terduduk sambil memegang kepala yang sakit. Terbayang-bayang dirinya berada dalam sebuah kenderaan yang sedang berguling-guling di atas jalan raya. Bukan dirinya sahaja di situ malahan ada seorang lelaki lain. Hentakan kuat menyebabkan dia hilang kesedaran tidak lama itu. 

“Awak perlu berehat. Demam awak sepertinya menganggu emosi.”

Sakit kepalanya hilang mendengar suara Kidman. Semakin diamati wajah Kidman, semakin jelas di minda sebelum hilang kesedaran ketika kemalangan itu. Terlihat sebuah kereta tidak jauh dari mereka. Pemiliknya hanya mendiamkan diri seakan menyaksi tayangan filem.

Pang! Pantas Manisah menampar pipi Kidman. 

“Manisah?” Kidman tidak percaya dengan tindakan Manisah.

Sakit itu tidak seberapa, namun kemungkinan besar Manisah mengingati segalanya paling menakutkan tika ini.

Terkebil-kebil mata Manisah. Belum sempat Kidman berkata apa-apa, Manisah rebah ke dalam pelukannya. Berdebar-debar Kidman dibuatnya, perasaan yang dirindui selama ini.

“Hmmm… saya hanya bermimpi buruk sahaja tadi. Maafkan saya, Kidman. Saya terbawa-bawa dengan mimpi ngeri saya sendiri.”

Kidman menjadi cair mendengar kata-kata seakan bujukan itu.

“Rehatlah Manisah.”

“Hmmm… awak memang baik,” puji Manisah dan Kidman senang menerimanya.


Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.