Hanya lampu meja dibiarkan menyala menerangi ruangan pejabat kecil. Aniq Zafran duduk bersendirian meneliti sebuah fail berkulit kertas keras berwarna coklat. Fail yang sudah berusia hampir setahun lebih, bermakna kes yang dikendalikan juga mempunyai usia yang sama dengannya.
“Awak ni… bukalah lampu tengah! Manalah tak makin rabun. Suka sangat buat kerja dalam gelap,” bebel Noraini sebaik sahaja muncul dari pintu utama pejabat.
Terus terang-benderang ruangan bilik pejabat kecilnya apabila suis lampu utama dipetik.
“Argh, saya vampire! Habis terbakar kulit saya!” guraunya, menutup muka dengan kedua-dua tangan.
“Dah, jangan mengarut!” Terus diketuk kepala Aniq Zafran.
“Aduh!”
Tergeleng-geleng kepala Noraini melihat ragam Aniq Zafran kebudak-budakan. Malam-malam begini, malas nak melayan kerana sudah penat mental dan fizikal.
“Kenapa patah balik? Tadikan dah balik rumah?” soal Aniq Zafran, pelik melihat kedatangan gadis itu setelah kira-kira 15 minit meninggalkan pejabat.
“Ni… tertinggal telefon,” katanya sambil menunjukkan smartphone yang sedang dicas pada soket berhampiran.
“Patutlah,” balas Aniq Zafran, terangguk-angguk faham dengan sebab kedatangan Noraini.
Mereka senyap seketika dengan urusan masing-masing, Aniq Zafran terus meneliti isi kandungan fail itu manakala Noraini tekun memeriksa beberapa mesej diterima daripada aplikasi Whatsapp.
“Saya tahu apa yang sedang awak teliti tu,” kata Noraini memecah kesunyian, tumpuan pandangan terarah pada fail yang sedang dipegang Aniq Zafran.
“Ya, hanya memeriksa beberapa info.”
“Info apa?” Soalnya, ingin tahu dan sudah berdiri bersebelahan dengan Aniq Zafran sambil bercekak pinggang.
“Entahlah, saya tak tahu macam mana nak terangkan,” sahut Aniq Zafran, berdiri lalu berjalan menuju ke peti ais mengambil sebotol besar berisi air masak lalu dituang ke dalam gelas kaca sebelum diteguk menghilangkan haus.
Noraini memerhati sejenak perlakuan Aniq Zafran sebelum pandangan terarah kepada kertas-kertas berisi info penting dalam fail. Info-info diperiksa dan dibaca walaupun hampir mengingati keseluruhan isinya. Itu bukan kali pertama pun dia membacanya.
Satu keratan akhbar mengenai kes pecah masuk rumah beberapa tahun lepas dibaca kembali.
SELANGOR: Polis sedang menyiasat kes kecurian sebuah lukisan berusia hampir 50 tahun dengan harga hampir RM 100, 000 yang dilarikan dari rumah seorang ahli korporat ternama, Dato’ Sri Tommy di Subang Jaya. Lukisan tersebut berjudul ‘Kawanan kerbau’, karya Awang Husin disedari hilang kira-kira jam 7:10 pagi setelah pembantu rumah yang baru tiba untuk bertugas mendapati pintu utama dan pagar terbuka luas. Ketika kejadian berlaku, didapati tiada penghuni berada di rumah. Sehingga kini, suspek kes kecurian masih belum dikenal pasti dan siasatan akan terus dijalankan menurut laporan polis.
“Inilah asas kepada kes kita.” Noraini menunjukkan keratan akhbar itu.
Aniq Zafran mengambil keratan itu dari tangan Noraini. Dia tergelak kecil sambil menggaru kepala, hairan dengan pemikirannya kadangkala.
“Saya rasa… rasa nak berterima kasih dengan pencuri ni tau! Kalau tak kerana kejadian ini, tiadalah pembongkaran kisah oleh orang lain pula.”
Noraini faham, dia menyerahkan satu lagi keratan akhbar dalam fail kepada Aniq Zafran. Itu merupakan kesinambungan kepada kes kecurian di sebuah rumah ahli korporat.
KANGAR: Seorang ahli perniagaan, Halim bin Ismail mendakwa beliau turut mempunyai lukisan sama seperti dimiliki Dato’ Sri Tommy yang dicuri tempoh hari. Menurut beliau, lukisan itu dibeli melalui lelongan yang dibuat semasa pameran seni di Kuala Lumpur 2 tahun yang lepas. Berikutan dengan kes kecurian di rumah ahli korporat tempoh hari menyebabkan Halim berasa ragu-ragu dengan keaslian lukisan dimiliki. Tambahan beliau selaku pengumpul hasil lukisan daripada pengkarya tempatan, beliau akan mendapatkan bantuan pakar untuk pengesahan lanjut lukisan berkenaan kerana tidak mungkin lukisan sama menjadi milik kepada dua orang individu berlainan.
“Dan… keputusan akhir, lukisannya itu hanyalah printing sahaja!” komen Aniq Zafran, mengambil sekeping lagi keratan akhbar dari dalam fail yang mempunyai kes sama seperti berita tadi. “Yang asli… entah ke mana! Selepas itu pula, banyak betul akhbar-akhbar melaporkan para pengumpul lukisan ramai-ramai mendapatkan pengesahan pakar dan memeranjatkan hampir daripada lukisan itu palsu!”
“Kebanyakan lukisan palsu dibeli daripada orang tengah. Suspek utama terus dibiarkan terlepas begitu sahaja kerana orang tengah itu sendiri tak tahu siapa mereka! Macam mana boleh lakukan urus niaga tanpa pernah bersua muka?” Tambah Noraini, sedikit bengang dengan kenyataan itu.
“Apa mereka peduli… yang penting, duit! Macam si Mawar tu selalu kata, money is king!” balas Aniq Zafran lalu duduk bersandar di tempatnya, termenung memandang siling putih memikirkan sejenak kes yang sedang dikaji.
“Perkaitan Zainuddin dengan kes ini?” Persoalan itu dibangkitkan Noraini setelah melihat lelaki itu senyap sahaja.
Noraini tahu sahaja akan hal itu, sengaja dibangkitkan untuk mendengar pendapat lelaki itu sekali lagi.
“Itu satu hal juga. Ingatkan hanyalah kes artnapping sahaja rupanya… suatu yang lebih bahaya sedang melibatkan diri dalam hal ini. Rumit,” kata Aniq Zafran sambil meraup wajah kemudian, menghela nafas berat.
Noraini pun turut berdiam seketika. Jawapan itu pun diakuinya sendiri, kes itu rumit dan memeningkan kepala apabila difikirkan semula. Keratan akhbar seterusnya diambil dengan taju utama, ‘Zainuddin Jawawi, artis realisme mendakwa lukisannya turut menjadi mangsa artnapping.’
SELANGOR: Kebelakangan ini, negara dikejutkan dengan berita penjualan lukisan palsu kepada para pengumpul karya seni tempatan. Isu ini turut mendapat perhatian seorang pelukis terkenal tanahair, Zainuddin Jawawi apabila mendapati beberapa buah lukisan palsu dilaporkan menerusi berita dalam kebelakangan ini, merupakan hasil lukisan beliau yang masih berada dalam simpanan sebagai koleksi peribadi. Menurut beliau, lukisan-lukisan itu pernah dipamerkan di beberapa buah galeri dalam suatu tempoh sebelum dikembalikan semula kepadanya. Memetik kata-kata beliau menerusi hantaran di Facebook, “Saya melakukan pengesahan pakar terhadap lukisan dalam koleksi saya dan mendapati ianya asli. Saya berasakan perkara ini terjadi semasa meminjamkan karya kepada beberapa buah galeri dan saya berharap mereka yang melakukan perkara tidak bermaruah ini bertanggungjawab dan sedar kerana tindakan hanya tahu mengaut keuntungan tanpa memikirkan nilai sebenar seni itu adalah salah.” Dalam temuramah bersama beliau juga, beliau memaklumkan akan menyerahkan perkara ini kepada pihak berwajib.
“Here we go! Tak sangka suka-suka menyiasat kes ini melibatkan saya dalam kancah bahaya yang tak pernah diduga.” Tergelak-gelak Aniq Zafran seolah bukan perkara serius.
“Awak memang! Konon nak mengikut jejak ayah awak seorang pegawai polis tapi tak nak pula bagitahu ayah tentang penyiasatan awak ni.”
“Awakkan tahu, ayah tak akan setuju punyalah anak dia ni libatkan diri dengan hal-hal bahaya macam ni! Nak buat macam mana, dah saya anak dia. Kemungkinan besar saya akan ikut juga jejak langkah dia. Tak dapat jadi polis, saya jadi penyiasat persendirian pun jadilah,” terangnya dengan nada suara sedikit kecewa.
Ting! SMS diterima masuk ke dalam inbox telefon pintar. Kiranya, mesej daripada telco memintanya menambah nilai ekoran tamat tempoh tidak lama lagi. Ternyata silap kerana menerima mesej dari nombor tidak dikenali. Noraini turut mengerling melihat nombor pengirim, dia ingin tahu isinya.
Aniq Zafran membuka SMS yang berbunyi, “Abang! Kenapa block nombor saya? Kejam tahu tak!”
“Lahhh, mesti dia beli nombor lain ni!” Tanpa ambil pusing, Aniq Zafran terus mematikan telefon sementara tergelak-gelak Noraini dibuatnya.
“Tulah… nak sangat menyiasat, sanggup tu hilang diri selama setahun macam tu! Dah beberapa kali kemalangan pun tak tau!” perli Noraini.
“Awak tu pun sanggup terlibat dengan penyiasatan saya tu… apahal pula?” bantahnya dengan laju, saja menyakat perempuan itu.
“Saya lain… ibu bapa saya tahu apa yang saya tengah buat. Lagipun gaji awak bagi tu lumayan juga dan paling penting… sweet pula dapat bekerjasama dengan bakal suami saya ni!” Tergelak-gelak Noraini, tahu-tahu sudah berada di depan pintu. “Saya rasa dah lewat sangat ni. Saya balik dulu ya. Awak tu jangan tidur lewat sangat.”
“Hmmm…” jawabnya dengan malas.
Nanti makin dilayan cakap, makin panjang perbualan mereka dan makin berkurang pula jam untuk merehatkan diri.
“Bye, Assalamualaikum!” kata Noraini sebelum keluar meninggalkan pejabat.
“Waalaikummussalam,” balasnya, menguap beberapa kali akibat mengantuk sambil bola mata menghantar pemergian Noraini.
Suis lampu utama dimatikan, hanya membiarkan lampu meja sahaja bernyala seperti tadi. Setelah memastikan pintu utama berkunci, arah seterusnya menuju ke sofa panjang. Dia ingin berbaring di situ merehatkan diri setelah melalui sepanjang hari yang mencabar.
Jari jemari bermain dengan smartphone, membelek-belek laman sosial Facebook untuk membaca berita atas talian pada beberapa halaman berita yang boleh dipercayai.