Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 5

Kebelakangan ini, dia berasa banyak perkara tidak masuk akal berlaku kepadanya. Kadangkala, dia berasa pernah melalui sesuatu peristiwa itu. Kemudian, peristiwa itu berlaku kembali kepadanya seakan dejavu sehingga dia berasa itu hanyalah mainan mimpi pada waktu malam.

Akibat putaran cerita yang kerap kali berlaku, dia akan menulis apa yang berlaku kepadanya hari itu di dalam sebuah buku catatan bersaiz A4, berkulit keras berwarna coklat dan di bawa ke mana-mana sahaja. Cuma, kadangkala, apabila membaca kembali catatan dalam bukunya sendiri, dia menjadi sangsi dan menyoal diri sendiri, bila dia menulisnya? 

Sekarang, dia menulis apa yang berlaku kepadanya semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ke dalam buku notanya. Namun, selesai menulisnya dia menjadi bersoal jawab dengan diri sendiri. Bila dia melalui peristiwa itu? Gayanya mirip orang mempunyai masalah ingatan.

“Masih lagi dengan design itu?” Kata-kata Aniq Zafran sebentar tadi mengambil alih ingatannya ketika ini, sedikit sebanyak mengganggu fikirannya.

Tangannya menjatuhkan Apple Pen yang sedang dipegang dengan kasar sebelum menyandarkan badannya ke kerusi sambil memerhatikan lakaran beberapa rekaan gelang tangan pada Ipad. 

 

Imbas kembali…

Langit biru bersih berubah menjadi remang-remang cahaya petang yang kekuningan ketika dia teringatkan hari dia mendapat inspirasi untuk lakaran ideanya. Gugur satu persatu daunan kering pada pohon berhampiran tingkap pejabat. Seekor burung yang bertenggek dipohon seperti sedang berkicauan. Dia tidak dapat mendengarnya namun, boleh membayangkan di dalam minda. 

Runut bunyi yang sedang diputarkan menerusi aplikasi Youtube kedengaran dari headphone. Tersentak seketika kerana tidak pernah mendengar runut bunyi seperti itu. Selalunya, instrumental pilihannya kedengaran tenang. Kali ini, instrumental menggunakan viola semata-mata dengan mempunyai emosi kesedihan, kepedihan, penderitaan yang tersangat kuat membuatkan jarinya terhenti daripada melakar.

Sejenak dia menjeling skrin komputer, tidak berniat untuk menukarnya. Sengaja membiarkan instrumental itu menguasainya di saat idea lakaran untuk gelang tangan tidak kunjung tiba sedangkan tarikh akhir penghantaran sudah hampir tamat. Barangkali dengan cara itu, ideanya akan bercambah, tidak seperti idea lakaran sebelum ini yang akhirnya menjadi pemenuh tong sampah pejabat. 

“Engkau kelihatan cantik hari ini.” Dia cuba mencipta lirik berdasarkan instrumental itu. 

Fikirannya disulami dengan bayangan seorang wanita dalama pakaian serba hitam menutupi seluruh tubuh melangkah dengan penuh keyakinan di atas hamparan daunan kering di sebuah hutan tropika pada musim luruh. Bersama langkahnya, daunan itu berterbangan di udara. Tidak dapat dilihat wajah namun, tentu cantik dan mempunyai paras idaman setiap orang.

Anehnya, Michael Angle seakan dapat melihat senyuman dari bibir hitamnya penuh dengan kesinisan.

“Tapi, engkau palsukan cinta kita dan bersembunyi di sebalik topeng dan tangisan palsu.” Bersama lirik itu, tangan wanita itu menyentuh sekuntum mawar merah.

Saat dia mencium mawar merah itu, perlahan-lahan mawar merah bertukar menjadi mawar hitam. Simbolik itu membuatkan mendadak terbayang mawar hitam berserta lingkaran batang dipenuhi duri melilit hatinya. 

‘Rasa ini,’ monolog Michael Angle, tidak mampu bernafas dengan betul. “Engkau yang aku mahu tetapi, engkau menyakitiku.” Walaupun begitu, mulutnya laju mengungkapkan lirik seterusnya.

Terbayang-bayang wanita itu menghulur tangan meminta sesuatu. Michael Angle terkedu kerana tidak mampu untuk memberikan apa-apa. Hanya boleh berdiri kaku tanpa reaksi. 

“Aku cuba untuk keluar daripada cinta yang kotor ini tetapi, aku tak mampu untuk keluar walau sudah bersusah payah.”

Kerana tidak mendapat apa-apa daripadanya, wanita itu jatuh mendadak ke tanah yang dipenuhi dengan daunan kering sekaligus bertukar menjadi kelopak-kelopak mawar hitam berterbangan di udara. Ingin disambut namun terlambat, air matanya jatuh berguguran.

Perasaan yang dirasakan pada hari itu masih terasa hari ini, perasaan seperti kehilangan seseorang. Lakaran gelang tangan yang mirip dengan bayangan dan perasaannya, motif mawar hitam yang dililit dengan lingkaran batang berduri, berwarna merah gelap antara campuran hitam dan merah, mewujudkan kesimpulan, adakah ia campuran warna darah?


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.