Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 11

Beberapa hari kemudian…

Fahmi awal-awal pagi lagi sudah tiba di kafenya. Sebaik sahaja kunci pintu dibuka, dia melihat kafe dalam keadaan kemas. Semalam dia tidak sempat untuk mengemaskan kafe kerana terpaksa pulang awal menghadiri reunion dengan kawan-kawan semasa zaman belajar di universiti tahun lepas. 

Cawan dan gelas tersedia terbasuh terletak elok pada tempatnya. Tentu-tentu abangnya yang melakukan pekerjaan itu. Hanya mereka berdua sahaja mempunyai akses kepada Sunshine Café. Dia menarik nafas lega kerana itu menunjukkan memang benar abangnya yang menelefon pada jam kira-kira 4:30 pagi tadi. Beberapa kali juga tadi dia membelek skrin telefon pintar memeriksa nama pemanggil. 

Semasa memasuki kaunter, dia terpandangkan sebuah tupperware sederhana kecil saiznya di dalam peti sejuk berserta dengan sticky note bertuliskan sesuatu nota. Pantas dia membuka peti sejuk lalu membaca pesanan itu.

“Aku tahu, begitu lama sekali kau tak menjamah air tangan aku. Jadi, kau patut bangga aku berbesar hati untuk sediakan dessert ni. Kau ingat senang aku nak cari bahannya,” bacanya dalam nada seperti abangnya, nada kedengaran angkuh tetapi berniat untuk bergurau. 

“Abang? Macam tulisan abang je ni,” katanya, mengecam pemilik tulisan jenis seakan berangkai namun masih boleh dibaca dengan jelas.

Penutup tupperware dibuka dengan perasaan teruja, tidak sabar menanti kejutan di dalamnya. Haruman manis menerpa deria baunya menerbitkan selera sehingga kecur liurnya apatah lagi belum sempat menjamah apa-apa sebaik sahaja keluar dari rumah kerana kebiasaan menjamah sandwich buatan sendiri yang dijual di kafe terbabit.

“Kek tiramisu!” Hampir melonjak di situ juga kerana terlalu gembira.

Nasib baik tiada sesiapa di situ melihat kelakuan terlebih gula waktu pagi. Hakikatnya, sebarang minuman mahupun makanan tidak sempat dijamah.

Cepat-cepat dia mencapai sudu besi, tidak sabar untuk berasai keenakan kek yang menjadi kegemarannya selama ini. Semenjak abangnya menghilangkan diri, selama itu jugalah dia tidak menjamah mana-mana kek tiramisu kerana baginya kek buatan abangnya itu mempunyai rasa keistimewaan tersendiri yang tidak akan dapat daripada air tangan orang lain.

“Hmmm… well blend! Trademark abang mesti rasa kopi tu kaw-kaw gila! Lemak-lemak manis pun tidak ketinggalan… gitew!” komennya semasa menghayati suapan pertama sambil tertutup-tutup mata. 

“Perfecto!” Fahmi berpuas hati, siap menunjukkan thumb up seolah abangnya sedang tersenyum memerhati kerenahnya.

Tanpa disedari, air matanya mengalir ke pipi semasa menikmati hidangan yang dtinggalkan abangnya. Sebaknya kerana dapat berasai air tangan seseorang dirindui setelah sekian lama. 

“Air tangan abang… takkan sama dengan aku,” katanya seraya menoleh mesin kopi dan beberapa peralatan lain yang digunakan dalam proses pembuatan minuman berasaskan kopi.

Fahmi terbayangkan suatu ketika dahulu abangnya sedang menggunakan peralatan tersebut. Sinar matanya terpancar keghairahan terhadap kerjanya.

“Fahmi… kau ingat ni. Setiap pembuatan kopi kau harus lakukan dengan penuh kasih sayang. Bukan setakat rasanya sahaja sedap tetapi orang yang meminumnya juga dapat berasai keikhlasan kau. Itu yang buatkan diorang teringat-teringat berhari-hari pula tu macam orang angau bercinta!” Nasihat abangnya dalam nada gurauan.

Sering sekali semasa abangnya masih di situ, dia akan mengucapkan nasihat itu sampai Fahmi boleh mengajuknya kerana bosan dibebel sebegitu, macam budak kecil pula dibuatnya! 

Itu dulu. Kini, kebanyakan pelanggan lama merungut mengatakan kopi di situ sudah tidak sama seperti setahun sudah. 

“Agaknya… passion aku tak sehebat abang,” katanya, menyuapkan suapan terakhir ke dalam mulut. “Okey… okey mula kerja! Semangat… semangat!”

Dia menyarung apron lalu menggenggam kedua tangan, berharap perniagaannya berjalan lancar hari ini. Sudah tidak sabar rasanya untuk beraksi dan menghasilkan hidangan yang mampu meninggalkan kesan nostalgia kepada setiap pelanggannya seperti pernah dilakukan abang kandungnya.

“Aneh… malam-malam abang aku telefon aku. Dia nak apa?”


Telefon kedai berdering nyaring menyentak lamunan Fahmi. Sempat meraup wajah sebelum dengan pantas menyambut panggilan masuk dengan penuh semangat.

“Helo… Sunshine Café di sini. Boleh saya ambil pesanan anda?” ujar Fahmi dengan penuh keterujaan.

Senyuman melebar, permulaan yang baik untuk satu lagi hari baru. Jujur diakui, dia meminjam semangat abangnya yang sentiasa berkobar-kobar untuk menyediakan hidangan terbaik untuk setiap pelanggan.

“Fahmi, aku bersyukur kau semakin bersemangat dan gembira untuk meneruskan legasi yang aku tinggalkan. Aku akan kembali ke Sunshine Café apabila segalanya selesai, Insya-Allah.”

Rupanya, abang kepada Fahmi sempat singgah tanpa masuk ke dalam Sunshine Café. Dia hanya memerhati dari luar, lega rasanya Fahmi sudah terbiasa menguruskan kafe itu sendirian. Hilang sebentar kebimbangan yang bertamu dalam hati kadangkala.

“Aku… aku rindu untuk kembali ke sini. Insya-Allah, suatu hari nanti,” katanya, melihat papan tanda Sunshine Café yang menjadi kebanggannya bertahun-tahun.

“Rindu? Kenapa tak kembali je?” tegur seseorang perempuan dalam pakaian serba hitam.

“Kau…”

Perempuan itu tidak menjawab malahan terus menolak pintu Sunshine Café. Senyuman misterinya kelihatan menakutkan. Abang kepada Fahmi tidak berani untuk menghalang. Risau perempuan itu bertindak gila.


Fahmi sedang sibuk menyediakan beberapa pesanan daripada pelanggan. Untuk pesanan pertama, dia akan menyediakan Iced Americano yang dipesan oleh pelanggannya. Dia memasukkan ais ke dalam tiga cawan plastik jernih lalu diisi air kosong sehingga penuh. Seterusnya, dia memasukkan ekspresso yang sudah di brew ke dalamnya.

Pelanggan terbabit memintanya untuk memasukkan sedikit air gula, dengan senang hati Fahmi menurutinya. Baginya, kepuasan pelanggan merupakan kepuasannya juga. Setelah siap tiga pesanan Americano itu, dia menyerahkan pesanan kepada pelanggan yang sedang menunggu dan terus menyiapkan pesanan selanjutnya.

Ekor mata sempat mengerling seorang gadis muda berusia awal 20-an sedang asyik memerhatikan dia melakukan tugasannya. Gadis itu duduk di sebuah meja berhampiran kaunter, masih lagi belum memesan apa-apa minuman mahupun makanan. Fahmi sempat menghidangkan kepadanya air kosong, kebiasaan dilakukan kepada semua pelanggan berkunjung ke kafenya sementara menunggu pesanan mereka disiapkan. 

Pada anggapan Fahmi, gadis itu mempunyai kecantikan semula jadi yang tersendiri. Berambut ikal mayang beralun-alun ditambah dengan kulit wajah natural. Matanya sedikit sepet dan bibirnya berwarna pink diserlahkan dengan pemakaian solekan nipis.

Tatkala mata bertemu mata, mereka berbalas senyuman mesra. Senyuman sebagai tanda persahabatan terjalin beberapa hari lepas. Jiwa lelakinya bergetaran menghadirkan perasaan aneh yang tidak pernah dirasakan selama ini. Gemuruh sehingga kerjanya menjadi pincang, tiba-tiba menjadi angau dan kecanduan cinta daripada seseorang yang bergelar wanita.

Dalam diam-diam, Fahmi berjanji dengan diri sendiri untuk mengenali persona gadis itu.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.