Dari kejauhan lagi, Dahlia dapat melihat Zamri mengangkat tangan sambil tersenyum-senyum. Hari ini merupakan hari pertama galeri itu beroperasi berikutan kes yang berlaku sebelum ini. Jadi, Dahlia berasa terlebih semangat untuk memulakan tugas yang ditinggalkan.
Dia pun turut melambai tangan dengan gembira sekali. Senyumannya menampakkan barisan gigi putih kelihatan begitu menawan sekali pada mata Zamri.
“Selamat pagi, Cik Dahlia!” tegur Zamri dengan suara agak kuat, seorang pengawal keselamatan bertugas pada waktu pagi di Galeri Seni Antonio.
“Ya, good morning! Wah, cerianya awak! Ada apa-apa ke ni?” usik Dahlia yang baru masuk ke dalam galeri, turut membalas senyuman Zamri seadanya.
“Tak ada apa tapi, melihat cik Dahlia sudah membuatkan saya gembira! Cik Dahlia kelihatan cantik sekali hari ini!”
Terburai ketawa lelaki itu untuk menutup malu dengan kata-kata pujiannya sendiri. Dari ekor mata, dia mencuri pandang akan kecantikan wanita bujang itu. Bermekap nipis sahaja tetapi menyerlahkan kecantikan semula jadi dengan rambutnya melepasi bahu, sedikit kerinting, beralun-alun menyebarkan wangian minyak rambut berasaskan bunga-bungaan yang menyegarkan. Seketika Zamri terleka dan terbuai dengan wangian itu.
“Amboi, lain macam! Kalau bos tahu ni… masak awak! Mengurat pekerja lain pada waktu bekerja.” Sengaja Dahlia mengugut sebegitu dengan riak wajah dibuat-buat garang, tahu lelaki itu mencuri pandang kepadanya.
Terburai ketawa mereka bersama-sama selepas itu.
Setelah itu, Zamri meminta izin berlalu pergi untuk meneruskan rondaannya. Ekor mata Dahlia mengiringi langkah pengawal keselamatan itu sehingga hilang daripada pandangan. Senyuman Dahlia mati secara mendadak. Senyuman yang hanya dilakar atas dasar professional sahaja bukan kerana keikhlasan yang terbit dari lubuk hati. Perlahan-lahan dia menuju ke tempat duduk di kaunter pertanyaan.
Dahlia mengeluh semasa meliarkan pandangan ke sudut pameran. Sekadar memerhati beberapa lukisan di situ berada dalam keadaan selamat dan baik seperti selalu sebelum menerima kunjungan tetamu hari ini.
Apabila terpandang satu ruangan dinding kosong tanpa karya, Dahlia teringat karya-karya yang dilarikan daripada galeri itu. Namun, dia paling teringat dengan karya yang diberi nama ‘Si gadis pembunuh’ di mana dia mengalami beberapa peristiwa dengan karya itu. Entahlah, sedikit sebanyak kehilangan lukisan itu memberi kelegaan dalam hatinya.
Sudah dua minggu berlalu semenjak kejadian kecurian ‘Si gadis pembunuh’ dan beberapa karya lain, Dahlia seorang kurator di situ tidak dapat menafikan dalam sudut hatinya menyimpan perasaan ragu-ragu terhadap sistem kawalan keselamatan di galeri itu.
Bukan itu sahaja, dia juga meragui beberapa perkara yang tidak pernah terlintas sepanjang bekerja di situ.
Imbas kembali…
Pada hari kejadian…
Pihak polis telah tiba setengah jam yang lalu. Mereka sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui dalang kejadian ini. Ternyata wayar CCTV telah dicabut seseorang sehingga rakaman dari jam 1:00 pagi sehingga keesokan paginya tidak dapat dirakam. Sistem pintu utama digodam agar tidak dapat berfungsi dengan baik dan dibuka dengan mudah oleh para petugas yang mempunyai kad akses keluar masuk.
Semasa pintu utama berjaya dibuka, mereka terkejut kerana melihat dua orang pengawal keselamatan yang bertugas pada malam tadi berada dalam keadaan tangan mereka berikat manakala mulut mereka ditampal dengan selotape getah, betul-betul di depan pintu utama itu.
“Oh my god!” Encik Antonio terkejut sebaik sahaja melangkah ke ruang pameran.
Encik Antonio menjerit-jerit seperti orang gila sebaik sahaja melihat separuh daripada karya untuk pameran akan datang di ruangan pameran telah dicuri seseorang yang licik. Sumpah seranah berbakul-bakul keluar dari mulutnya. Kejadian itu menyebabkan dia berada dalam kerugian yang luar biasa. Paling parah, mungkin akan disaman atas dasar kecuaian oleh para pengkarya yang memberikan lukisan mereka untuk dipamerkan di galeri tersebut.
Dadanya terasa sempit kerana penat mengerah otaknya mengira kerugian yang dialami, pertama kali berlaku semenjak dia menceburi bidang itu. Terasa mahu pitam mengenangkan karya yang hilang, dia duduk di kerusi berhampiran.
Tadi, Dahlia sudah mati akal untuk memujuk ketuanya supaya bertenang. Kini, Dahlia kembali dengan membawa teh bunga chamomile suam untuk menenangkan fikiran ketuanya walaupun dalam keadaan itu mustahil untuk bertenang. Sekurang-kurangnya, dia berusaha mencari jalan untuk menenangkan ketuanya.
“Tuan…” Dahlia menghulur teh bunga chamomile dengan hemat, berharap ia dapat melegakan sekurangnya sedikit kekusutan fikiran pemilik galeri itu.
Encik Antonio bermuka monyok menyambut huluran itu dengan lemah. Dahlia duduk di sebelah, turut memerhatikan ruangan pameran yang hampir kosong tanpa karya lukisan. Tipu jika dia tidak berasa terkesan dengan kejadian itu. Hatinya sedih kerana dia sendiri akrab dengan ke semua karya-karya di situ.
“Haaa… malangnya!” Encik Antonio mengeluh sambil menghentak kaki perlahan, kedengaran beberapa perkataan seperti carutan dalam bahasa yang tidak diketahui Dahlia. “Rugi dalam sekelip mata sahaja!” Suara Encik Antonio kedengaran hampir menangis.
Sekali teguk sahaja, habis teh chamomile di dalam cawan.
Dahlia bersimpati, turut berasa terkilan dengan kejadian menimpa galeri tempatnya bekerja namun hanya mampu berdiam diri dan mendengar keluhan yang keluar dari mulut Encik Antonio agar sedikit sebanyak membantu menghilangkan tekanan di jiwa. Apatah lagi, usia pemilik galeri itu tidak muda lagi untuk menerima tekanan bertubi-tubi.
“Ada sistem keselamatan pun… tak berguna!”
Sakit kepala Encik Antonio memikirkan perkara itu. Dengan laju, dia mengaru-garu kepala dengan kedua tangannya, tindakan yang dianggap untuk menyingkirkan masalah yang menyerabuti minda.
Tidak lama selepas itu, mereka berdiam tanpa kata membuatkan keadaaan sepi seketika. Dari tadi Dahlia memerhatikan Encik Antonio kelihatan selekeh, penampilan tidak seperti hari-hari sebelumnya. Rambut tidak bersikat rapi, muka berminyak seperti tidak bercuci sepertinya sudah meleyapkan imej korporat yang selalu dijaga. Sesiapapun jika dalam situasi Encik Antonio pasti sudah tidak mempedulikan imejnya lagi.
Encik Antonio menunduk memandang lantai, memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk menampung kerugiannya. Para pengkarya tentu inginkan ganti rugi ke atas karya mereka yang hilang akibat kes rompakan malam tadi walaupun perkara itu sudah dalam siasatan pihak berwajib.
Hati mereka perlu dijaga supaya mereka tidak hilang kepercayaan untuk menyertai pameran akan datang jika diadakan. Jika sampai mereka berpatah arang, lama-lama galeri itu akan lingkup dan terpaksa menghentikan operasinya. Sempit dadanya memikirkan masa hadapannya selepas kejadian terbabit.
Tidak berapa lama itu, dia mengangkat kepala apabila terlihat kaki dua orang di hadapannya. Beberapa pengawai polis berdiri di hadapan mereka. Serentak itu, Dahlia berdiri tanda menghormati kedatangan mereka, sekilas menoleh ke arah Encik Antonio.
Sungguh, apakah pihak berkuasa mahu memaklumkan sesuatu menggembirakan mereka atau sebaliknya?
Baru malam tadi galeri pamerannya telah dirompak. Kini, malang bagai bertimpa-timpa ke atas Encik Antonio. Belum lagi dapat memenangkan diri, dia pula berada di dalam tahanan polis kerana tindakan menjual karya seni palsu kepada seorang pelanggan yang dirahsiakan identiti.
“Lepaskan aku!” jerit Encik Antonio, meronta-ronta dalam cengkaman pengawai polis lelaki itu.
“Encik…” Dahlia cuba membantu mana yang patut.
Dahlia cemas dan tidak berdaya untuk meminta pihak polis melepaskan ketuanya itu. Akhirnya, Dahlia berdiri di hadapan polis dan mendepakan kedua-dua tangan menghalang perjalanan pihak polis. Itu sahaja tindakan yang termampu untuk dilakukan walaupun salah kerana mengganggu kerja polis.
“Cik… jangan halang tugas polis.”
Malangnya, pihak polis terus mengheret Encik Antonio keluar daripada gelari pameran itu.
Dahlia menggaru kepala kerana tidak tahu ingin berbuat apa lagi. Tiada sesiapa di situ dapat membantunya.
“Aku nak bercakap dengan peguamlah! Call Mr. Benjamin… sekarang!” jeritnya dengan kuat semasa diheret keluar, meronta-ronta dalam tahanan polis.
Dahlia menggangguk kepala tanda faham, pantas mengeluarkan telefon pintar, terketar-ketar mendail suatu nombor kerana perasaan cemas dan gelabah lebih menguasai. Tidak menunggu lama kerana talian di sebelah sana pantas diangkat seseorang.