“Bagus… bagus! Cerita yang menarik! Kau dah berjaya membalas dendam di atas perbuatan lelaki tak guna tu terhadap kau. Banyak kali nak cuba bunuh kau dan juga lelaki kesayangan kau,” puji Aniq Zafran dengan rasa kagum.
Si gadis pembunuh tidak puas hati, berdengus kuat lalu menghentak penumbuk di atas permukaan meja.
“Belum lagi… idiot! Kau tahu akan hal sebenar, berani kau berpura-pura bodoh! Sangat menjengkelkan!” marahnya dengan nada suara keras.
Aniq Zafran tersengih sambil menyedut minuman berasaskan limau nipis dihidang bersama dengan ais. Tekaknya terasa lega seketika, minuman berais pada waktu malam dingin langsung tidak memberi impak kepadanya.
“Kau ni… cepat marahlah. But, so cute! Nasib dah berpunya kalau tidak, aku boleh masuk jarum!” sindir dan puji dalam masa yang sama.
Pujiannya bukanlah ikhlas melainkan sengaja membuatkan Si gadis pembunuh marah sahaja.
“Okey… okey!” kata Aniq Zafran kemudian apabila Si gadis pembunuh menumbuk lagi sekali meja.
“Jangan main-main! Aku mati seribu kali, tak mungkin aku akan menerima kau!” marah Si gadis pembunuh, dadanya berombak.
“So, sebab belum tu lah… kau berasa kesal?” Aniq Zafran cepat-cepat kembali kepada topik asal, sengaja bertanya dalam nada sindiran sambil menjongket kening berulang kali.
Baru Aniq Zafran ingin menyedut minuman kembali, ternyata gelasnya sudah kosong. Sudahnya, dibiarkan gelas di atas meja.
Pang! Tidak teragak langsung Si gadis pembunuh menghempas gelas berisi air kosong yang baru dihidangkan lagi oleh lelaki itu ke lantai.
“Aku anggap itu bermakna kesal,” provok Aniq Zafran sekali lagi sambil ketawa kecil.
Kedengaran kuat nafas Si gadis pembunuh menandakan marahnya masih bersisa. Lagi sekali kukunya mencakar-cakar meja mewujudkan bunyi ngilu. Geli-geleman sekali lagi tubuh Aniq Zafran mendengarnya.
“Aku tak faham kenapa kau tak bunuh je terus dia? Tak perlulah nak bermain permainan seperti Tom and Jerry. Bunuh terus… habis cerita!”
“Lebih seronok kalau mempermainkan dia terlebih dahulu… manusia lemah!” cemuh Si gadis pembunuh, berang kerana Aniq Zafran terlalu lembab.
“Yakah? Atau sebenarnya ada sesuatu yang lain mengawal kau untuk teruskan rancangan pembunuhan tu?”
“Jangan bercakap sembarangan!”
Si gadis pembunuh menghentak meja.
“Bertenang… aku hanya membuat andaian.” Aniq Zafran ketawa-ketawa sambil membuat bahasa tubuh untuk Si gadis pembunuh bertenang.
Telefon pintar Aniq Zafran bergetaran di dalam poket apron, pantas dia mengeluarkannya.
‘Awak balik jam berapa? Dah nak pukul 1:00 pagi dah ni. Hati-hati dalam perjalanan pulang.’ Mesej kiriman daripada Noraini dibaca dalam hati.
Jari-jemari bermain di atas skrin menaip mesej balasan, ‘Jangan risau. Saya perlu meredakan keadaan di kafe sebentar. Awak pun tahu… hari ini hari apa? Hari yang paling hangat di mana dendam seseorang membara-bara.’
Selesai menaip pesanan balas, Aniq Zafran menyimpan kembali telefon pintar ke dalam kocek apron. Dia memerhati Si gadis pembunuh sepertinya sedang mengelamun, mungkin melayani perasaan sendiri.
“Si gadis pembunuh…” panggil Aniq Zafran dan perempuan itu membalas dengan dengusan, “Aku tahu apa yang menghalangi kau.”
Spontan Si gadis pembunuh mencakar meja kaunter dengan niat agar lelaki itu tidak melanjutkan bicaranya.
“Okey, kalau kau tak mahu aku cakap. It’s alright!”
Ting! Loceng terpasang pada pintu masuk kedengaran menandakan seseorang masuk ke dalam kafe. Seseorang bertopi ala-ala perwatakan seorang penyiasatan persendirian tambahan lagi jaket labuh berwarna khaki, menuju ke meja kaunter. Dia duduk bersebelahan Si gadis pembunuh yang sedang dalam keadaan marah meluap-luap. Sedikit pun tidak menoleh memandang wanita itu.
Aniq Zafran tersenyum, orang yang ditunggu-tunggu sudah tiba akhirnya. Pertemuan semula sudah lengkap untuk ketika ini.
“Selamat datang… kau apa khabar?” soal Aniq Zafran berbasa-basi, meletakkan secawan kopi panas di atas meja.
Selaku pemilik kafe, dia tahu minuman kegemaran setiap daripada pelanggan tetapnya.
“Hentikan sahaja perbuatan itu.” Lelaki yang baru tiba itu bersuara, langsung tidak mengendahkan pertanyaan pemilik kafe.
Si gadis pembunuh memandang tajam lelaki itu dengan ekor matanya, nafasnya turun naik. Dia menepuk meja lalu bertindak untuk bangun meninggalkan kawasan itu. Tidak sama sekali dia menghentikan sesuatu yang sudah dimulakan.
“Sia-sia sahaja perbuatan itu. Kisah kita sudah tamat,” kata lelaki itu apabila Si gadis pembunuh bangun.
Langkah Si gadis pembunuh terhenti.
“Try me!” cabarnya sebelum nekad keluar dari situ.
Pintu kafe sengaja dihempas kuat, angin malam sejuk menerpa sejenak membuatkan Aniq Zafran menggigil-gigil.
Lelaki itu mengeluh dengan perbuatan Si gadis pembunuh yang degil.
“Oh, oh! Nampaknya… cerita ini akan terus berlanjutan,” komen Aniq Zafran dengan selamba, seronok menyaksikan drama terbentang depan mata.
Lelaki yang baru tiba itu bangun dan mahu melangkah keluar. Minuman terhidang langsung tidak berusik walaupun sememangnya kegemarannya tidak kira masa. Kata-kata Aniq Zafran seakan-akan tiada kena-mengena dengannya.
“Tunggu,” panggil Aniq Zafran, sebelum terlambat.
Lelaki itu tidak menoleh apabila namanya dipanggil. Tangannya sudah menyentuh pemegang pintu, hanya tunggu masa untuk menolaknya dan pergi dari situ.
“Kau tahukan kau ni apa?” soal Aniq Zafran untuk kepastian walaupun tahu hakikat sebenar.
Soalan yang membuatkan pelanggan lelaki itu tersentak. Namun, dia tidak ingin menjawabnya, terus berlalu pergi dari situ. Biarlah… dia tidak mahu tahu.
“Argh, dua-dua suka sangat mengabaikan soalan aku!” rungut Aniq Zafran.
Tuala digunakan untuk mengelap cawan-cawan baru dibilas diambil lalu dilemparkan ke lantai menzahirkan perasaan hampa.