“Kenapa tak buka lampu… kan, gelap di sini? Tak baik tau untuk penglihatan, boleh rabun lama-lama macam tu,” bicara Aniq Zafran saat menolak pintu Sunshine Café.
Suis lampu ditekan, terus terang-benderang Sunshine Café pada waktu tengah malam. Kelihatan Si gadis pembunuh duduk di depan meja kaunter sambil jari-jemari bermain dengan gelas kaca kecil, berdenting-denting bunyinya berlaga dengan meja. Dia tidak mempedulikan kedatangan Aniq Zafran dan begitu juga keadaan yang sudah terang tidak bergelap seperti tadi. Hanya sahaja dia berdesir seperti ular yang sedia mematuk bisanya apabila sarangnya diganggu orang asing.
“Kau nampak tak ceria malam ni… macam orang kemurungan,” komen Aniq Zafran, sudah berada di dalam kaunter dan berdiri betul-betul di depan Si gadis pembunuh.
Gelas yang bermain di jari-jemari Si gadis pembunuh diambil lalu dituangkan dengan air kosong dari dalam jug kaca. Gelas tadi diletakkan di atas meja dengan harapan untuk mempelawa Si gadis pembunuh minum walaupun keputusan akhir pastinya berlawanan dengan apa yang terlintas dalam minda.
“Minumlah dulu, aku akan buatkan kau kopi paling sedap dan terbaik pernah aku belajar selama ni. Tunggu, ya?” ujar Aniq Zafran, memujuk.
Aniq Zafran tidak tersinggung setelah bicaranya tidak bersambut. Namanya juga Si gadis pembunuh, lebih gemar memerhati daripada berbicara. Dia bukan sekadar memerhati kosong, tiba masa akan menyerang hendap.
Suis mesin pengisar kopi dihidupkan. Kcak! Gelas kaca jatuh berkecai ditepis Si gadis pembunuh, dia merenung tajam Aniq Zafran yang tidak mengendahkannya. Aniq Zafran dapat melihatnya sekadar menjeling dengan ekor mata, dia tersenyum sinis dan meneruskan kerjanya setelah mendapat reaksi yang sudah dijangkakan.
Aroma kopi yang dikisar mulai memenuhi ruangan Sunshine Café. Aniq Zafran menyukat sebanyak 19gram kisaran biji kopi, kemudian setelah cukup dia menekannya menggunakan Tamper sebelum dimasukkan ke dalam mesin untuk menanti titisan ekstrak kopi dipanggil ekspresso.
“Aromanya membuatkan aku tenang,” komen Aniq Zafran, semacam ada rasa bangga dalam bicaranya.
Aniq Zafran menanti tiap titisan sambil bercekak pinggang dan tersenyum bahagia. Dia menghentikan mesin apabila ekstrak itu menghampiri pada sukatan 60ml. Ais kiub diambil dari dalam peti ais lalu dimasukkan ke dalam satu gelas baru. Dengan penuh bergaya, Aniq Zafran menuangkan ekspresso ke dalam gelas berisi ais sampailah hampir penuh.
“Tadaaa!”
Dengan penuh bangga, dia mempersembahkan minumannya. Gelas itu diletakkan di depan Si gadis pembunuh namun kali ini dia tetap menyentuh gelas itu.
“Sebelum kau hempas atau tempis… aku nak cakap sesuatu,” ujarnya, bagai boleh meramal masa depan, berdengus Si Gadis pembunuh dibuatnya yang hampir sahaja mahu menepis gelas kaca itu.
“Baik kau cakap perkara yang hanya membuatkan mood aku elok,” ugut Si gadis pembunuh, baru kini dia bersuara sambil gaya memeluk tubuh.
Aniq Zafran mengeluh berat namun cepat-cepat dia tersenyum.
“Cubalah Americano yang aku buat ni dulu.” Nadanya kedengaran memujuk lagi.
“Kau macam nak membeli jiwa aku? Ada apa yang kau ingin tahu, manusia?” tanya Si gadis pembunuh, menjongket kening dan menyerlahkan kegarangannya.
“Aku pernah menghidangkan kopi O panas kepada Zainuddin dan dia memuji kopi aku. Takkan kau tak nak cuba? Jangan menyesal,” dalih Aniq Zafran, tidak menjawab soalan tadi.
Si gadis pembunuh terus meneguk Americano itu dengan sekali teguk sampai habis. Dia menghentak kuat gelas semasa meletakkannya kembali.
“Puas? Now, tell me! Jangan bazirkan masa aku dengan cerita mengarut kau,” balasnya, suaranya keras sekali.
“Sebelum tu, macam mana percutian kau di pulau? Seronok?” sindir Aniq Zafran, melewahkan pertanyaan sebenar.
Si gadis pembunuh tersenyum sinis, dia mendekatkan mukanya kepada Aniq Zafran. Nafasnya kedengaran berat dan kuat.
“Percutian yang paling menyeronokkan buat aku! Aku dah lama idamkan saat-saat sebegitu. Baru puas hati aku!” balasnya, seakan menyeringi serupa seorang psiko yang mempunyai rancangan gila tersembunyi.
Meskipun senyuman tetap terukir pada wajah Aniq Zafran, hatinya dilanda kerisauan. Dia tahu sesuatu berlaku semasa percutian itu. Noraini yang memberitahunya dalam kira-kira jam 9:00 malam tadi. Khabar angin sudahpun tersebar malah, berita atas talian sudah menyiarkan mengenai perkara itu.
“Seorang musuh kau berjaya ditumbangkan. Bravo! Aku harus memuji usaha kau,” bilang Aniq Zafran namun hatinya langsung tidak bersetuju dengan tindakan itu.
“Puji tapi tak ikhlas! Aku tahu kau mempunyai perkara lain yang kau nak katakan,” kata Si gadis pembunuh.
“Hari ini, bukan kau sahaja yang bertindak gila. Kau tahu siapa lagi yang bertindak gila?” soal Aniq Zafran, sedaya-upaya memaniskan roman muka.
“Siapa? Kau bagitahu aku… aku nak ucapkan tahniah kepadanya juga,” katanya dengan mata galak, bermain-main dengan Aniq Zafran.
Aniq Zafran tersenyum, dia menuangkan air kosong dari dalam jug ke dalam gelas baru berisi ais. Malam yang dingin, tidak menghalangnya untuk menikmati minuman dingin. Ya, siapa tahu dapat meredakan sedikit ketegangan dalam perbincangan hangat mereka nanti.
“Come on! Kau buat aku tertunggu-tunggu,” komen Si gadis pembunuh, melihat Aniq Zafran meneguk minuman tadi, amarahnya bertambah-tambah.
“Manisah dilarikan dari rumah sakit… kau mesti tahu angkara siapa, kan?” Soal Aniq Zafran, tidak menatap langsung Si gadis pembunuh.
Terus Si gadis pembunuh berdengus, dia menghentak meja manakala Aniq Zafran selamba meletakkan gelas di atas meja. Dia tidak terkesan langsung dengan keadaan itu.
“Kau mengharapkan aku tahu dia dibawa ke mana? Silap besar kalau kau sangka aku akan bagitahu!” bentaknya, reaksi yang sememangnya dijangkakan oleh Aniq Zafran.
“Oh, malangnya! Tengah malam ni, aku terpaksa mengutuk kau,” ujar Aniq Zafran, memancing kemarahan Si gadis pembunuh.
Kali ini, Aniq Zafran yang mendekatkan wajahnya kepada Si gadis pembunuh. Terkeluar tawa spontannya, lucu dengan reaksi garang ditunjukkan Si gadis pembunuh. Dengusan memang tidak boleh dipisahkan daripada Si gadis pembunuh, Aniq Zafran sudah lali.
“Kau sedang buat keputusan bodoh dengan menyembunyikan apa yang kau tahu. Dengan tiadanya Manisah, kau pun akan terus lenyap di dunia ni. Mesti kau tak nak macam tu, kan?” ugut Aniq Zafran berjaya membuatkan Si gadis pembunuh terkesima buat pertama kali dalam kewujudannya.
Aniq Zafran puas dapat meluahkan apa yang tersimpan selama ini. Dia tahu, Si gadis pembunuh sedar akan hal itu cuma, sengaja menafikan realiti untuk terus hidup dalam mimpi.