Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 17

Sudah masuk lima batang rokok dihisapnya semasa menunggu collector untuk urusan jual beli lukisan. Kidman sengaja memilih bangunan kilang tinggal di pinggir bandar untuk mengelakkan kegiatannya dihidu pihak berwajib.

Dari kaca mata hitam, dia merenung bulan mengambang penuh malam itu. Kemudian, tumpuannya terarah kepada sebuah kotak di tempat duduk belakang kereta. Kotak yang mengandungi catan berdasarkan subject matter yang diminta oleh pelanggannya. 

Pembeli catan palsu tidak tahu akan kebenaran sebaliknya; Kidman meniru dan membuat kembali karya berdasarkan foto kiriman pelanggan. Mereka saling berhubung menerusi laman sesawang galeri pameran milik persendirian Kidman.  Pembeli tersebut mengatakan minatnya terhadap sebuah karya beraliran impresionisme milik Jelbert Massey berjudul ‘Night at theatre’; menggambarkan seorang gadis yang berada di tempat tersorok dan jauh dari kedudukan penonton lain sedang menyaksikan sebuah pertunjukan teater. 

Paling tragis, itu bukan menjadi kali pertama ‘Night at theatre’ dipalsukan oleh Kidman, malahan sudah beberapa kali. Cerdiknya Kidman, dia tidak akan menyiarkan iklan penjualan karya semata hanya di sebuah negara, bahkan di seluruh dunia. Dalam perkiraannya, sudah melebihi tiga kali karya itu dipalsukan dan tentu sekali terjual di negara-negara berlainan.

Tersenyum-senyum sendirian di depan komputer ketika Kidman menerima permintaan dari dalam negara tersebut yang membawa kepada persetujuan untuk bertemu di gudang tinggal bagi urusan selanjutnya. Alasan yang kadangkala digunakan Kidman untuk lokasi pertemuan; dekat dengan tempat tinggalnya. Malang sekali, kebanyakan daripada mereka percaya dan terus melanjutkan kepada proses jual beli memandangkan Kidman mempunyai perusahaan yang sudah terkenal seluruh Malaysia.

“Bulan penuh malam ni cantik,” katanya sambil menghembus keluar asap rokok, “Bertambah cantik lagi apabila kau dapat memberikan hasil kepada aku,” sambungnya, memaksudkan lukisan di tempat duduk belakang.

Puntung rokok yang sudah pendek, dibuang ke tanah sebelum dipijak dengan kasut. Lagi sebatang rokok dikeluarkan dari kotak dalam poket baju kemejanya. 

“Argh, sudah!”

Pemetik api tidak mahu hidup setelah beberapa kali digeserkan. Kidman mulai naik berang, dia membuang jauh pemetik api setelah dicuba beberapa kali. Rokok hanya dikepitkan di celah bibir buat menghilangkan rasa ketagihnya. Nanti dalam perjalanan pulang ke rumah, dia pasti akan menyinggahi mana-mana kedai serbaneka yang masih dibuka saat jarum jam menghampiri ke angka 9:00 malam. 

Tap… Tap… bunyi seseorang sedang melangkah kedengaran dari kejauhan; bergaung-gaung memecah kesunyian gudang tinggal usang menarik perhatiannya. 

Kidman tersenyum sinis setelah hampir setengah jam menunggu seseorang. Jika tidak memikirkan wang hasil jualan lukisan itu, Kidman pasti sudah menghidupkan enjin kereta untuk pergi dari situ. Badannya letih setelah seharian sibuk dengan kegiatan kerja lain.

“Sudah datang, ya. Lambatnya datang?” perli secara tidak langsung, bosan terpaksa menunggu lama, sudahlah nyamuk pun banyak gatal satu badan.

Mata Kidman pantas mengesan sebuah objek kecil bergerak laju menerpanya. Ternyata, gerakan tangan Kidman lagi laju. Dia berjaya menyambut objek bergerak laju dengan tangan.

“Haaa… pemetik api. Thanks!” katanya tanpa mempedulikan siapa pun yang membalingnya. 

Dengan rakus, pemetik api digeser dengan jari lalu disuakan kepada rokok yang masih terselit di celah bibir. Berkepul-kepul asapnya, giannya mulai dapat dipenuhi. 

“Sepertinya aku sudah diperhatikan dari tadi,” komen Kidman mengenai situasinya ketika ini.

Kidman ketawa-ketawa dan dalam masa yang sama, dia mengutuk diri sendiri dalam hati, ‘Bodoh! Kau terleka Kidman!’

“Kidman...” Suara perempuan lembut menyapa dari dalam gelap.

Kidman ketawa mengejek, “Saya takkan berurus niaga dengan orang yang saya tak nampak.” 

Muncul seorang wanita dari dalam gelap; berhoodie biru gelap, memakai topi dan menggunakan disposable face mask hitam untuk melindungi identitinya. Dia berhenti tepat di bawah sinaran lampu jalan gudang tinggal itu. 

“Cantik…” bisik Kidman hampir tidak kedengaran sambil tersenyum nakal walaupun tidak dapat melihat wajah sebenar pembeli.

Pintu belakang kereta dibuka, kotak bersaiz 8x10 inci dibawa keluar. Wanita itu mulai mendekati, mengerling kotak berisi lukisan di sebelah Kidman. Dia cuba untuk menyentuh namun sempat ditepis Kidman lembut begitu sahaja.

“Seriously?” Pelanggan itu tersinggung, cuba buat-buat ketawa.

“Opss… sorry cik,” balas Kidman dengan selamba.

Kidman mengenyit mata sambil jari telunjuk dengan ibu jari bergeser sebagai simbolik untuk mendapatkan wang dahulu.

“Mata duitan seperti kau… hanya wang dan wang sampai ke mati!” gumam perempuan itu, dahinya berkerut hebat tetapi tidak dapat dilihat dengan jelas dalam keadaan gelap sebegitu.

“Hmmm… ya?” Kidman menyoal, tadi dia mendengar bicara tidak jelas daripada perempuan itu seperti sedang mengutuknya.

“Tak ada apa.”

Kocek sebelah kanan hoodie diseluk. Sebuah cek dilayang berulang kali di depan muka Kidman, kelihatan seperti tidak sabar-sabar untuk menunaikan cek.

“Seperti anjing. Kalau aku baling cek ini… tak mustahil kau akan mengejar seperti anjing gilakan tulang.” Perlahan seakan berbisik, hanya beberapa perkataan dapat ditangkap Kidman seperti perkataan ‘anjing gilakan tulang’ dan ini membuatkan Kidman sedikit sebanyak terkilan.

“Pardon… you say something?” soal Kidman, hampir sedikit sahaja lagi dia menyentuh kepingan cek.

Tidak dijawab malahan mengundang tawa menakutkan daripada perempuan itu. Cek sudah diserahkan kepada Kidman. Terburu-buru Kidman memberikan catan dalam kotak, dia ingin segera mengangkat kaki pergi dari situ. Itulah kali pertama, berurusan dengan pelanggan aneh sebegitu.

Sebaik sahaja catan bertukar tangan, collector itu terus berpaling dan mahu berlalu pergi dari situ. Namun, Kidman bertindak untuk menarik tangan perempuan itu. 

“Nanti… lighter awak,” kata Kidman menghulurkan pemetik api kembali kepada pelanggan itu.

“Tak apa. Simpan kerana awak lebih memerlukan,” balasnya sambil menoleh seketika.

“Memerlukan?” Soal Kidman, tidak mengerti.

Kidman menyaksikan perempuan itu hanya melambai tangan tanpa memandang wajahnya sebelum menghilangkan diri di sebalik kegelapan malam. Tanpa membuang masa, lelaki itu masuk ke dalam perut kereta. Cek yang diterima dilihat dengan senyuman melebar, berulang kali mencium-cium kepingan cek.

“RM 10 ribu… senang-senang macam tu je aku dapat,” katanya masih menatap angka tertulis di situ. “Hmmm… aku perlu…” tiba-tiba dia berhenti bicara apabila berlaku perkara aneh kepada cek kertas itu.

Lampu dalam kenderaan dinyalakan. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihat, cek kertas bertukar menjadi kelopak-kelopak mawar hitam sekelip mata.

“Aku kena scam ke apa? Kurang ajar!” Marahnya, menghentak-hentak dashboard.

Tidak pula Kidman mengaitkan situasi baru terjadi dengan perkara mistik. Dia tidak mudah percaya dengan kisah hantu pada zaman moden sebegini.

Hampir sahaja Kidman membuka pintu kereta untuk mendapatkan collector terbabit akan tetapi perbuatannya terbantuk setengah jalan. Bauan wangi terlalu kuat berasaskan bunga misteri menusuk lubang hidung sehingga terpaksa menekup hidungnya menyentaknya. Lolongan serigala membuatkan dia merinding manakala kabus nipis mulai memenuhi kawasan gudang lama.

Kecut terus dibuatnya, tidak pernah pula berlaku kejadian sedemikian selama berurus niaga dengan collector di kawasan rahsianya itu.

Cepat-cepat Kidman menghidupkan enjin kereta, hatinya mulai berasa tidak enak apatah lagi tiba-tiba kedengaran seseorang bersenandung sayu. Luruh jantungnya menangkap kelibat seperti kain hitam melayang-layang menghentam cermin depan sebelum menghilang begitu saja.

Pedal minyak ditekan kuat, sungguh dia sudah tidak betah berada di situ. Kekesalan ditipu pelanggan dibiarkan berlalu begitu sahaja buat seketika.


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.