Kosong. Dinding menempatkan lukisan dicuri itu kosong. Aspresiasi pengkarya milik lukisan ‘Si gadis pembunuh’ yang hilang itu menarik perhatiannya untuk dibaca.
“Encik,” suara seorang kurator galeri menegur membuatkan dia memaling kepala untuk memandangnya. Dahlia rupanya.
“Ini pemilik galeri, Encik Antonio,” kata Dahlia lagi.
Michael Angle melihat seorang lelaki bertubuh agak gempal dengan rambut agak kerinting serta penampilan segak berdiri bersebelahan kurator itu. Senyuman manis menghiasi bibir.
“Antonio.” Lelaki bertubuh gempal menghulurkan tangan untuk bersalam.
Tidak segera Michael Angle menyambut salaman itu. Sejenak dia memerhati penampilan lelaki itu dengan pandangan yang tajam dan tanpa terukir sebarang senyuman di bibir.
“Michael Angle,” katanya sambil menyambut huluran salam itu lalu menggenggam kuat tangan lelaki bertubuh gempal itu.
“Nice name. Apapun, apa yang boleh saya bantu encik… Encik Michael Angle?” Terjeda Encik Antonio menyebut nama Michael Angle, nama yang aneh untuk seseorang berwajah kemelayuan.
‘Di mana aku pernah mendengar nama itu?’ Sempat Encik Antonio bermonolog, berkerut dahinya memikirkan sesuatu.
Encik Antonio ketawa kecil untuk memecah suasana yang sunyi sebelum bertanya lagi, “Adakah kita pernah berjumpa? Saya macam… macam pernah lihat Encik di mana-mana?”
“Tak. Ini kali pertama kita bertemu,” nafinya dengan cepat menggunakan suara dingin, tiada senyuman yang menghiasi wajahnya.
Dalam diam, dia meneliti cara pakaian Michael Angle yang seperti kebanyakan pekerja pejabat. Bahasa tubuh yang tidak mesra untuk berbicara dengan sesiapa, hanya mahukan urusannya selesai dengan cepat.
“Michael Angle, suatu nama yang unik.” Dahlia memerhati dari jauh sambil bersandar di dinding dan berpeluk tubuh.
“Michael Angle macam Michelangelo namanya. Michelangelo merupakan seorang pemahat, pelukis terkenal dalam sejarah seni. Pengkarya yang berasal dari Itali dan karyanya mendahului zamannya. Paling aku ingat, lukisan mural ‘The last judgement’ yang terdapat pada dinding Sistine Chapel yang dilukis antara tahun 1534 hingga 1541,” spontan keluar bicaranya mengenai tokoh itu, teringat info itu kerana pernah membacanya di beberapa buku sejarah seni semasa zaman belajarnya di universiti.
Dahlia berdengus sebelum disertai ketawa seakan memperlekeh sesuatu.
“Tapi, dia tu perasan tak namanya agak mirip dengan Michelangelo? Aku percaya itu bukan nama sebenarnya.” Kata-kata itu ditujukan kepada Michael Angle.
“Mungkin nama itu mengambil inspirasi daripada nama tokoh itu. Mungkin, siapa tahu kan? Argh… sudahlah! Kenapa aku masih di sini dan membuat spekulasi yang bukan-bukan?”
Baru dia menyedari tindakannya lantas ketawa lagi.
“Adakah kita pernah berjumpa? Saya macam… macam pernah lihat encik di mana-mana?”
Dahlia terdengar pertanyaan Encik Antonio kepada Michael Angle, terus tidak jadi meneruskan langkahnya.
“Aku juga macam pernah lihatnya di mana-mana.” Tidak berkelip Dahlia merenung segenap inci tubuh Michael Angle.
“Di mana ya? Haaa… cuba ingat!”
Terpejam-pejam mata memikir sesuatu sambil diketuk-ketuk kepala menggunakan penumbuk tangan sendiri dengan harapan jawapannya akan muncul sekejap lagi.
“Entahlah, aku tak ingat pula! Mungkin pengkarya yang pernah sertai pameran di mana-mana. Aku je yang tak ingat sebab ramai sangat,” fikirnya, membuat kesimpulan sendiri.
Katalog lukisan terpapar jelas pada skrin komputer khas di terminal yang terletak di tengah-tengah galeri. Laju tangan Encik Antonio menaip tajuk lukisan. Beberapa saat sahaja foto dan maklumat lukisan itu terpapar untuk tatapan mereka berdua.
“Ini lukisan yang encik ingin tahu… kan?” soal Encik Antonio, air muka Michael Angle yang tegang sedikit sebanyak menggusarkannya.
“Karya ini dikenali sebagai ‘Si gadis pembunuh’ dengan menggunakan media cat minyak di atas kanvas yang direnggangkan dengan ukuran 40 x 50 cm.” Encik Antonio memberitahu info asas karya.
Michael Angle hanya diam tanpa memberi sebarang respon. Sejenak memandang pemilik galeri itu dengan hujung mata secara tajam sebelum mengklik untuk membesarkan lukisan. Dia ingin menghayati secara mendalam dan meneliti tiap sudut lukisan itu.
Pada amatannya, pengkarya ‘Si gadis pembunuh’ menggunakan subject matter wanita tidak kelihatan wajah, hanya kelihatan bibir hitam diselimuti dengan selendang hitam. Latar belakang lukisan hasil campuran warna hitam dan merah mewujudkan aura yang tidak baik.
Michael Angle tersentak kerana apabila dia mengklik lagi secara untuk paparan yang lebih besar, dia terlihat corak seakan tidak asing baginya pada bahagian selendang hitam itu. Jika dilihat dengan mata kasar, sesiapa tidak akan perasan akannya kerana corak itu bersifat abstrak dan dilukis secara halus dan diwarnakan dengan warna merah gelap.
“Misterikan. Entah apa rupa sebenar wanita itu membuatkan kita tertanya apa riak wajah sebenar disembunyikan di sebalik selendang hitam… kan? Suram, warna hitam melambangkan kemurungan yang dialami di samping merah mungkin dendam yang sudah lama tersimpan siapa tahu? Sapuan berus penuh bertenaga,” terang Encik Antonio berdasarkan pemahamannya tanpa diminta.
Michael Angle menjeling, berasakan penerangan itu menjengkelkan dan mengganggu tumpuannya sahaja.
“Itu tafsiran encik?” soal Michael Angle dengan nada tidak puas hati. Dia kurang bersetuju dengan pendapat Encik Antonio.
“Well...” Encik Antonio seakan mengiyakan soalan itu sambil mendepakan kedua-dua tangannya.
“Gaya pengkarya ini abstract expressionism. Mencurahkan sepenuh emosi, apa yang dirasakan saat itu ke dalam karyanya. Pengkarya menuang atau tidak pun menitiskan cat ke atas kanvas lalu dengan penuh keghairahan menggerakkan berus mengikut emosi yang sedang menguasai hatinya ketika itu. Emosi yang terlalu sarat dan berat untuk ditanggung sepertiada sesuatu yang sedang terjadi kepadanya tapi, apakah itu?” Giliran Michael Angle pula mengutarakan pendapatnya.
Terpancar keghairahan pada wajah Michael Angle ketika ini. Gerak tangannya seperti melakonkan kembali aksi pengkarya ketika membayangkan di sebalik tabir penghasilan karya.
Encik Antonio menepuk tangan kerana kagum dengan pendapat pengunjungnya itu. Jarang sekali pengunjung akan meluahkan pendapatnya mengenai hasil karya yang terpamer di situ. Mereka sekadar melihat beberapa minit kemudian, beralih kepada lukisan lain tanpa memahami mesej tersirat di sebalik karya.
“Apabila kejahatan menguasai hati yang baik?” Michael Angle tersentak saat membaca aspresiasi karya.
Air muka yang serius berubah mendadak menjadi cemas tanpa diminta.
‘Ada apa dengannya?’ bisik hati Michael Angle dengan tanpa berkelip memandang gambar karya dalam katalog online itu.
“Aspresiasi karya yang agak unik atau mungkin saja pelik yang pernah saya temui sepanjang kerjaya saya,” sampuk Encik Antonio setelah itu mengeluh dan ketawa kecil dalam masa yang sama.
‘… munculnya ‘dia’ yang tidak tersangka,’ sambung Michael Angle dengan hatinya berdebar kencang. Subject matter yang misteri itu seakan berada berdekatan dengannya secara nyata.
‘… melunaskan hutang lama yang tertangguh.’ Telinganya dengan jelas mendengar bunyi derapan kasut ketika membaca itu namun, diabaikan kerana menganggap itu milik pengunjung yang sedang datang melawat. Bunyi besi diseret pada lantai kedengaran nyata secara mendadak. ‘… menyerupai ketakutan ‘mereka’ sendiri.’
Automatik Michael Angle bayangan wanita tidak berwajah tumbang mendadak ke hamparan daunan - imaginasi ketika dia mencari idea lakaran gelang tangan muncul dengan jelas di minda.
Lanjutan bayangan itu, dia membayangkan dirinya sendiri di tempat yang sempit dan hati dihimpit gelisah sehingga bertindak menarik kuat rambut sendiri serta merintih sepenuh hati.
Michael Angle terkejut kerana bahunya ditepuk secara tiba-tiba oleh Encik Antonio. Berusaha dia mengawal reaksi wajah yang kelihatan takut dan sedaya upaya mengawal pernafasannya yang tercunggap-cunggap.
“Encik… okey ke?” kata Encik Antonio sambil menyaksikan perubahan perlakuan pengunjung itu.
Tiada balasan untuk pertanyaannya.
“Kalau encik perlu apa-apa lagi… please let me know.” Encik Antonio tidak mengesyaki apa yang berlaku kepada lelaki itu.
Pemilik galeri itu bersikap professional dan sabar melayan kerenahnya.
“Siapa pengkarya lukisan ini?” Soalan yang ringkas tetapi berjaya menukarkan air muka tenang pemilik galeri itu kepada tegang buat seketika.