BAB 41Lisa melihat kad perkahwinan berwarna
hijau lumut yang berada ditangannya. Kad itu dilipat lalu dimasukkan
perlahan-lahan ke dalam sampul yang turut bewarna hijau lumut. Lisa melirik ke
arah jam. Jam menunjukkan 2.15 petang. Kelibat Maria dicari. Hanya Maria
seorang sahaja rakan setugasnya yang belum mendapat kad jemputan. Suasana wad
yang tenang serta waktu bertugas yang telah tamat memberi ruang untuk Lisa
mengedarkan kad perkahwinannya yang bakal berlangsung 3 minggu lagi.
“Mana Maria ni... Tak kan dah balik... Beg
masih ada…” Lisa melirik ke dalam almari Maria.
“Macam mana ni... Nak letakkan dekat
almari dia ke?” Lisa berfikir.
Lisa melangkah kearah almari Maria.
“Eh, nanti apa pula dia cakap letak macam
ni sahaja... Macam tak ikhlas jemput dia… Tunggulah...”
Sementara menunggu Maria, Lisa mengemas
almari simpanannya yang sudah lama tidak berkemas.
“Eh, kertas apa pula ni?” Lisa membuka
lipatan kertas yang dijumpainya.
“Jangan lupa siramkan, bajakan dan berikan
kasih sayang yang cukup kepada pokok yang saya hadiahkan kepada awak. Selepas
pokok tu berbunga awak tukarlah pasu tu…
Pasu yang saya berikan tu kan kecil...”- Dr.Haikal.
“Eh, Dr.Haikal? Bila dia letak ni? Macam mana
aku boleh tak perasan?” Lisa membelek-belek kepingan kertas yang sudah berada
ditangannya. Lisa cuba meneliti pada kertas tersebut jika ada dicatatkan
tarikhnya. Namun, tiada.
“Jangan risau… Pokok yang awak bagi tu dah
ada putik bunga tau! Penat saya jaga… Setahun lebih baru nak berbunga.
Rupa-rupanya pokok ni nak selalu dicantas, dibaja dengan air basuhan beras, air
basuhan ikan dan juga air basuhan ayam… Apa yang penting mendapat cahaya
matahari yang banyak. Barulah keluar
pucuk baru serta putik bunganya… Itulah, awak berahsia lagi pokok apa yang awak
hadiahkan tu… Kalau tak senang saya merawatnya... Lain pokok, lain cara rawatan
dan penjagaannya Dr.Haikal…” Lisa tersenyum.
Puas dia mencari petua-petua daripada
internet yang membolehkan pokok mawar hadiah daripada Dr.Haikal berbunga.
Akhirnya petua itu diamalkan dan nampaknya ia membuahkan hasil.
“Hai Tasya... Tak balik lagi ke?” tegur
Maria daripada belakang.
“Haaa… Ini pun kau... Kau pergi mana, aku
tunggu kau dah lama ni,” bebel Lisa. Kertas yang ditulis Dr.Haikal dilipat
kembali.
“Apa hal kau cari aku?” Maria menjeling.
Malas dia melayan Lisa.
“Nah…” Lisa menghulurkan kad
perkahwinannya.
“Kad apa ni?”
“Bukalah…”
Maria memuncungkan mulutnya ala-ala ikan
emas. Tangannya sengaja digedikkan ketika membuka kad yang berada dihujung jari.
Perkataan yang tertera dibaca dengan
teliti. Bagaikan tidak percaya apa yang dibacanya. Maria mengulangi pembacaan. Terasa
sesak nafasnya membaca kad undangan daripada Lisa.
“Lepas ni kau dah tak boleh mengata aku
tak ada orang nak... Ok?? Jemput datang tau...” Lisa tersengih. Ah, padan muka!
Kali ini, aku kahwin dulu daripada kau Maria... Itulah, mengata aku lagi...
“Tengoklah kalau aku dapat cuti...” Maria
menyimpan kad undangan tersebut dalam tas tangannya.
“Oklah, aku pun dah lambat ni... Aku pergi
dululah Maria,” kata Lisa dan terus meneruskan langkah.
“Ok...”jawab Maria sambil mengerling
pemergian Lisa.
Sebaik sahaja Lisa keluar dari bilik,
Maria cepat-cepat menutup pintu. Kad undangan Lisa dikeluarkan semula dari tas
tangan.
“Eh, dia kahwin dengan siapa ni?” Mata
Maria meneliti setiap butir perkataan.
“Harith Irfan? Siapa ni? Lelaki yang ambil
Lisa dekat hotel tu ke?” Maria mengetap bibir geram.
“Ah, tak mungkin! Tak kan ada orang
sekacak lelaki tu nakkan Lisa tu...”
“Eeeeee…” Maria menghentakkan kakinya.
Geram!
“Kenapa kau selalu dapat yang elok-elok
Lisa?” Cemburu mula menguasi hati Maria. Kenangan ketika di universiti beberapa
tahun dahulu mula merajai setiap ruang pemikiran Maria.
Permusuhan antara Maria dan Lisa tercetus
setelah satu kejadian yang menimpa diri mereka ketika hari konvokesyen
senior-senior universiti. Saat itu, Maria beria-ria menunggu senior pujaan
hatinya keluar dari dewan konvokesyen. Dirinya disolek secantik yang mungkin
untuk tatapan pujaan hatinya. Sejambak bunga ros dipegang kemas menanti
saat-saat keluarnya senior yang telah menambat hatinya sejak hari orentasi
lagi.
Sebaik sahaja wajah yang dinanti-nantikan
itu keluar dari dewan, Maria berasak dengan orang ramai untuk mendekati jejaka
tersebut. Sebaik sahaja tiba berdekatan dengan jejaka tampan itu, hati Maria
direntap sekeras-kerasnya. Mesra sungguh pujaan hatinya dengan Lisa. Apa yang
lebih menyakitkan hatinya adalah jejaka tersebut telah menghadiahkan sejambak
bunga yang diperolehinya kepada Lisa! Geram sungguh hatinya! Apa hubungan
antara Lisa dan dia! Maria membencinya!
Sejak dari itu, Maria istiharkan perang
dingin. Walaupun selepas itu, Lisa ada datang menemuinya untuk menjelaskan
spekulasi yang menimpa dirinya, Maria tidak mengendahkannya. Setelah titik
benci menitik di dalam hatinya, titik itu sukar untuk dipadamkan dan mungkin
akan kekal selama-lamanya. Kad undangan yang diterima ini, menambahkan sedikit
sebanyak titik-titik benci yang sudah lama menghuni hatinya. Kad undangan
ditangan diramas lalu dimasukkan ke dalam tas tangannya sebelum kakinya
melangkah keluar dari bilik yang mulai dirasakan bahang kepanasannya.
*********************************************************************
Huda dan kakitangan Butik Elis menatap
pasangan merpati sejoli di hadapan mereka. Puan Elinna tersenyum bahagia
melihat kebahagian Irfan. Dari riak wajah mereka berdua Huda tahu Lisa dan Irfan sudah pasti tidak sabar mahu
melihat rekaan baju pengantin mereka yang direka khas oleh Huda dan kakitangan
Butik Elis. Seperti yang dijanjikan Lisa berjaya meletakkan Huda sebagai
sebahagian daripada rakan kongsi Butik Elis. Huda diperkenalkan Lisa kepada
Puan Elinna. Dengan sedikit ujian yang dilakukan oleh Butik Elis, Huda berjaya melepasi
ujian tersebut. Apabila memasuki butik ini barulah Huda tahu kenapa butik ini
dinamakan Butik Elis. Butik Elis dinamakan sempena gabungan pangkal nama Puan
Elinna dan Tuan Iskandar.
“Dah bersedia?” tanya Huda.
“Dah... Cepatlah Huda... Aku dah tak sabar
ni,” kata Irfan.
Encik Fuad menepuk tangan sebagai tanda
isyarat supaya Jayjay mengeluarkan model patung yang telah dipakaikan pakaian
pengantin yang telah siap dijahit. Sesaat selepas itu lima persalinan baju
pengantin dikeluarkan Jayjay bersama pekerja butik secara beratur kemas. Patung
yang beroda itu dihadapkan ke hadapan Puan Elinna, Irfan dan Lisa.
“Wowww!!” jerit Irfan.
Lisa dan Puan Elinna bagaikan tidak
percaya apa yang berada dihadapan mereka sekarang. Tidak sangka, campur tangan
Huda dalam rekaan baju pengantin untuk Irfan dan Lisa menghasilkan satu
kreativiti yang begitu menakjubkan. Tidak sia-sia Lisa memperkenalkan Huda pada
butik ini.
“Ya Allah…. Cantiknya…. Siapa yang design ni?” tanya Puan Elinna sambil
melihat setiap perincian yang ada pada baju pengantin anaknya.
“Ini semua kebanyakan idea Huda Puan... Saya
yang dah lama berkecimpung dalam bidang
ini pun belum berhasil menghasilkan baju sebaik ini,” kata Encik Fuad
sambil menaikkan ibu jarinya kepada Huda.
“Huda? Bagusnya…” Puan Elinna tersenyum
bangga melihat Huda.
“Eh, mana ada puan... Ini semuanya
gabungan idea kami semua... Bukan saya buat seorang sahaja tau... Kalau saya
buat seorang sahaja, sudah tentu tak terhasilnya baju sebegini...” Huda
menyangkal kata-kata Encik Fuad. Sebetulnya baju ini adalah gabungan idea semua
pihak. Huda hanya menambah apa yang patut.
“Apa pun idea Huda lebih menonjol... Cuba
puan tengok perincian di bahagian lengan baju tu... Itu semuanya idea Huda...”
Puan Elinna meneliti perincian yang
dimaksukkan Encik Fuad. Memang diakui perincian ini sangat kemas dan nampak
mewah.
“Apa pun saya ucapkan terima kasih kepada semua…
Tanpa kamu semua, maka tidak siaplah baju pengantin anak dan bakal menantu saya
ni...” Puan Elinna menepuk perlahan bahu Irfan sementara matanya melirik ke
arah Lisa.
“Eh, Lisa... Kenapa diam?” tegur Puan
Elinna melihat mulut Lisa sedikit ternganga.
“Saya tak sangka... Baju pengantin saya
secantik ni... Macam puteri raja...” Lisa menyeka air matanya. Terharu sungguh
hatinya.
“Alaa… Janganlah menangis… Hahahahaha….”
Huda memeluk Lisa ke dalam dakapannya.
“Terima kasih semua kerana merealisasikan
impian saya,” ucap Lisa setelah pelukan dileraikan.
Irfan yang melihat hanya tersengih. Tak
sangka hati Lisa begitu tersentuh hari ini.
“Sekarang, apa kata kamu berdua cuba
baju-baju ini...” Encik Fuad memberikan cadangan.
“Haa... Betul tu... Cepatlah cuba sekarang...
Mama nak tengok...”
Lisa dan Irfan berpandangan antara satu
sama lain. Busana yang bercirikan kemelayuan itu sungguh menepati citarasa
mereka berdua. Rona pastel menampilkan pesona penuh kelembutan dan sejuk mata
memandang. Baju gaun dan juga tuksedo untuk majlis resepsi mereka berdua nanti
juga nampak begitu segak dan cantik. Rekaan ala-ala Inggeris, begitu sempurna
dari pandangan Lisa dan Irfan. Dapatlah mereka merasa menjadi raja dan
permaisuri walaupun hanya untuk sehari. Kali ini mereka berdua berhajat untuk
menjadi raja sehari sebaik yang mungkin kerana inilah pengalaman menjadi raja
untuk pertama kalinya dan insya-Allah juga untuk yang terakhir kalinya.
“Jom,” ajak Irfan.
“Ok, sekarang kamu berdua cuba baju untuk
akad nikah dahulu ya...” Jayjay mengedepankan patung yang disarungkan baju akad
nikah. Rona putih kain tersebut tampak begitu bersih dan suci. Secuci ikatan
perkahwinan yang bakal dibina 2 minggu lagi.
Satu persatu busana pengantin bertukar
ganti dipakai Irfan dan Lisa. Dari dalam cermin, mereka berdua dapat melihat
diri mereka yang berpakaian indah. Bagaikan tidak sabar untuk menanti hari
bahagia ini. Taupan mata mereka kali ini lebih lama dan penuh maknanya. Dari
pandangan mata, mereka berdua dapat membaca apa yang tersirat di dalam hati dan
mereka tahu mereka mengharapkan perkahwinan ini akan berjalan dengan lancar dan
bahtera yang mereka bina ini akan berkekalan sampai bila-bila. Insya-Allah.