Duhai
manusia, sayangilah haiwan.
Panas
mentari hari ini sungguh memeritkan. Aku melangkah perlahan-lahan di pinggir
kaki lima sambil membawa beg bajuku yang dibawa dari kampung. Sesekali aku
bertukar tangan membawa beg ini kerana
tanganku tidak larat dengan beban yang dibawa. Aku fikir, aku mahu mencari
rezeki di ibu kota ini. Sebentar lagi, kawanku akan menjemputku di sini untuk
tinggal bersamanya. Aku memandang ke kiri dan ke kanan. Orang di sini semuanya
nampak moden,bergaya dan berpelajaran. Laju sahaja langkah mereka. Mungkin mereka
mengejar waktu. Aku pula, seperti rusa masuk kampung. Kawanku yang janjinya
mahu menjemputku di stesen bas masih belum tiba. Tekakku mula terasa haus. Aku perlu mencari
sebuah gerai bagi menghilangkan rasa haus ini.
Sebaik
sahaja aku menemui gerai yang menjual makanan dan minuman, aku mula melabuhkan
punggungku di situ. Dari tempat dudukku,
aku memerhatikan gelagat seorang kanak-kanak lelaki mungkin didalam linkungan 5
atau 6 tahun. Aku memerhatikan sahaja gelagatnya yang sedang rakus menendang
seekor kucing putih yang sedang bunting. Perlahan-lahan aku menyedut minuman
yang dipesan tadi. Aku cuba menenangkan hatiku yang mula terasa panas melihat
kelakuan anak kecil itu. Ibu bapanya seperti tidak mengambil kisah dengan kelakuan
anaknya. Mereka terus menikmati hidangan di atas meja sementara kucing bunting
itu masih setia di bawah meja meminta sedikit makanan daripada mereka.
Tiba-tiba,
kucing bunting tadi melompat ke atas meja.
“Tak
guna punya kucing!” Perempuan tersebut terus menolak kucing itu turun dari meja
makan mereka.
“Lydia,
ok? Lydia tak boleh terkejut macam ni.. Nanti anak di dalam perut ni pun
terkejut..” Suaminya mula memegang perut isterinya yang sedang sarat
mengandung.
Kucing
bunting di bawah meja tadi masih setia di situ sambil mengiau meminta simpati.
Daripada pengamatanku, kucing ini sudah lama tidak makan kerana badannya
tersangatlah kurus. Di dalam keadaan yang tidak cukup makanan, kucing ini
terpaksa berkongsi zat dengan anak-anak yang dikandungkannya. Tidak seperti perempuan itu yang bernasib baik
kerana dikurniakan rezeki untuk dinikmati demi kesihatan anak di dalam
kandungan. Bagaimana kucing itu mahu meneruskan kehidupan jika semua manusia
tidak peduli akan dirinya yang lemah itu?
Aku
sangat bersimpati. Aku harus melakukan sesuatu. Belum sempat aku mengangkat
punggungku, aku lihat tangan perempuan itu laju mencapai air panas di atas meja
lalu dijirus ke atas badan kucing bunting yang masih menunggu di bawah. Aku
terpana! Kejamnya manusia itu!
“Hahahaha…
Baru senyap.. Dari tadi duduk mengiau.. Bising!” Mereka ketawa puas sebaik
sahaja kucing bunting itu berlari meninggalkan mereka.
Mereka
berdua ibu bapa yang salah! Tidak sedarkah mereka anak lelakinya sedang
memerhatikan kelakuan tersebut? Tidak sedarkah mereka bahawa anak lelakinya itu
akan mencontohi setiap kelakuan ibu bapanya? Mereka telah mendidik anak lelaki
mereka menjadi seorang yang kejam! Jadi, tidak hairanlah jika sebentar tadi anak
lelakinya tanpa rasa belas kasihan terus menendang kucing itu. Kemana tumpahnya
kuah, kalau tidak ke nasi.. Bagi aku, melentur buluh, biarlah dari rebungnya.
Jika anak kecil itu telah dididik untuk menganiayai binatang, tidak mustahil
suatu hari nanti sukar rasa belas kasihan ingin meresap ke dalam jiwa anak itu.
Anak itu akan membesar menjadi manusia yang tidak mempunyai hati dan perasaan.
Apa
yang menghairankan aku, kenapa orang sekeliling sepertinya tidak mengendahkan
perkara tersebut? Hanya aku yang mengambil kisah dan terus memerhatikan gelagat
mereka anak-beranak. Adakah perkara ini, perkara biasa? Arghh!! Betulkah, warga
kota sentiasa berpegang kepada pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang’? Kalaulah
begini caranya, tiada siapalah yang berani menegur setiap kesalahan yang dibuat
orang lain. Tiada siapa yang boleh menyedarkan kesalahan yang mereka buat.
Masih relevankah pepatah ini? Aku menarik nafas dalam. Cuba menahan perasaan
marahku.
Melilau
mataku mencari kelibat kucing tadi. Pasti makhluk itu sedang kesakitan. Cepat-cepat
aku habiskan baki minuman yang ada. Aku perlu mencari kucing itu secepat yang
mungkin!
Kini,
pandangan mataku berlabuh di satu sudut gerai. Kucing yang sebentar tadi bising
mengiau hanya mampu mendiamkan dirinya di celah kotak yang bertimbun. Perlahan-lahan
aku menghampirinya.
“Meoowww..”
Rintihnya sambil memejamkan mata. Lemah sahaja suaranya. Perlahan-lahan ia
mengundur ke belakang. Mungkin takut dengan aku. Aduh, kasihannya! Badan yang
sebentar tadi dipenuhi bulu kini sudah melecur. Dari pandangan matanya, jelas
kelihatan keperitan yang terpaksa ditanggung.
Aku tahu, kucing ini pasti merasai pedihnya kulit yang baru disimbah air
panas sebentar tadi. Sebak hati aku melihat kucing ini. Manusia jika terkena
percikan air panas pun sudah merasa sakitnya, ini apatah lagi kucing yang
berbadan kecil dan kurus disimbah air panas hampir keseluruhan badannya. Aduh,peritnyaaa!…
Aku
membuka beg pakaianku. Sehelai tuala mandi dikeluarkan. Aku cuba mengambil
kucing itu dengan berhati-hati agar ia tidak mencakar tangan aku. Mungkin
ketika ini ia sudah tidak percayakan manusia dan boleh sahaja jika ia mahu
mempertahankan dirinya ketika ini dengan mencakar tanganku.
Aku
tersenyum puas selepas berjaya membalut
badan kucing malang ini dengan tuala. Ia tidak lagi meronta-ronta untuk
dilepaskan. Mungkin ia sudah rasa selesa denganku. Aku terus bangun dari duduk
mencangkung sambil membawa beg pakaian beserta dengan kucing yang sudah aku
balut seperti bayi yang baru lahir. Aku tidak mengendahkan orang yang mula
memandang aku dan berbisik-bisik sesama mereka. Apa yang penting aku mesti
selamatkan kucing ini.
Panggilan
yang mengatakan kawan aku sudah sampai berjaya menguntum senyuman di bibirku.
Aku cepat-cepat ke sana.
“Anak
siapa awak bawa ni, Mia?”tanya Amira terkejut sebaik sahaja aku menghampiri
keretanya.
Aku
hanya tersenyum. Amira sudah panik kerana dia tahu aku belum berkahwin.
Cepat-cepat dia keluar dari kereta.
“Kucing??
Awak bawa dari kampung ke?”
Aku
mengelengkan kepala.
“Habis
tu?”
“Saya
jumpa kucing ni tadi.. Ada orang simbah air panas..”
“Alahai,kasihannya..
Jomlah kita bawa kucing ni ke klinik,”ajak Amira.
Aku
mengikuti sahaja apa yang diperkatakan Amira. Aku tahu sahabatku ini seorang
pencinta haiwan. Jadi, tidak hairanlah dia tidak berkira untuk membiayai bil
rawatan kucing ini nanti.
Sebaik
sahaja sampai di klinik, doktor terus memulakan kerja-kerja perawatan. Aku dan
Amira hanya menunggu di luar sambil aku ceritakan kepada Amira bagaimana aku
boleh terjumpa kucing malang itu.
Di
rumah, kucing itu diberi makan secukupnya sehinggalah ia kenyang. Dari sinar
matanya, dapat aku lihat kegembiraan yang baru sahaja dikecapinya. Kami namakan
kucing ini,Putih.
“Mia,
saya ada dapatkan kerja kosong untuk awak.. Itupun kalau awak tak kisah,”beritahu
Amira sambil tangannya mengelus lembut kepala kucing.
“Kerja
apa?”Aku teruja untuk mengetahuinya.
“Pembantu
rumah..”Amira merenung ke dalam mataku.
“Pembantu
rumah? Dekat mana?”Aku tidak kisah apa kerja sekali pun. Asalkan ia halal untuk
aku menanggung hidup ini.
“Dekat
depan rumah ni sahaja.. Rumah Puan Lydia.. Tak lama lagi dia nak bersalin. Jadi,
semasa tempoh berpantang dia akan menggaji pembantu rumah untuk menguruskan
rumahnya,”jelas Amira.
“Puan
Lydia? Bersalin?”secara automatik fikiranku teringatkan perempuan mengandung yang
menyimbah air panas siang tadi.
“Awak
setuju tak?”tanya Amira setelah melihat aku masih termenung panjang.
“Nanti
saya fikirkan balik..”Aku tersenyum kelat. Bagaimana aku mahu bekerja dengan
orang yang tidak mempunyai hati dan perasaan?
“Tak
payah fikir.. Gaji lumayan tau.. Lagipun, awak akan bekerja siang hari sahaja..
Lepas habis kerja, awak baliklah rumah ni.. Hanya beberapa langkah, awak dah
sampai di tempat kerja. Tak payah tambang dan tak payah duit minyak. Jimatkan?”
Aku
mengiakan kata-kata Amira. Mungkin ada betul juga apa yang diperkatakan
sahabatku itu.
“Ok,
saya setuju..” Aku cuba berfikiran positif. Mungkin bakal majikan aku ini bukan
perempuan seperti aku fikirkan sebentar tadi.
Mungkin hanya namanya sahaja yang sama.
“Haa..
Macam inilah.. Esok kita jumpa jiran saya tu..”
Keesokan
harinya, Amira membawa aku berjumpa dengan bakal majikan aku.
“Assalamualaikumm..”Salam
diberi.
“Waalaikumussalamm..,”jawab
seorang kanak-kanak lelaki dari dalam rumah. Tidak lama kemudian dia keluar
bersama lori mainannya.
“Ibu
ada tak, Arham?”tanya Amira.
“Ada..
Nanti Arham panggilkan.. Ibuuu!!” Arham terus berlari masuk ke dalam rumah
untuk memberitahu ibunya tentang kehadiran kami. Aku dan Amira hanya berdiri di
luar pagar rumah sementara menunggu tuan rumah membuka pintu pagar.
Kemunculan
kanak-kanak lelaki kelmarin di hadapan kami tidak menyedapkan hati aku. Nampaknya,
bakal majikan aku memang perempuan itu!
“Eh,
Amira.. Masuklah..,”kata Puan Lydia sambil membuka pintu pagar rumahnya.
Senyuman jelas terukir di wajahnya. Aku turut melemparkan senyuman kepadanya
walaupun saat ini hati aku terkejut melihat wajahnya. Ya, dia memang perempuan
yang aku lihat kelmarin.
Kami
dihidangkan air teh panas bersama karipap goreng. Ramah dan mesra Puan Lydia
berbicara hinggakan aku hampir terlupa tentang perbuatannya semalam. Kami
berbincang tentang kerja-kerja yang bakal aku buat ketika aku bekerja di sini
nanti. Mungkin dalam satu minggu lagi aku akan mula bekerja di sini. Aku setuju
untuk bekerja di sini kerana Puan Lydia baik dan mesra orangnya. Jauh sekali
tanggapan aku ketika aku mula melihatnya di gerai itu.
Sudah
tiga minggu aku bekerja di sini dan selama tiga minggu ini juga Puan Lydia
melayan aku dengan baik. Puan Lydia sudah selamat melahirkan bayi perempuan
yang sangat comel. Tetapi, apa yang merisaukan aku sekarang adalah kucing yang
aku bawa pulang hari itu selalu mengikuti aku bekerja. Aku tahu, Puan Lydia
sangat bencikan kucing. Aku takut kucing aku diapa-apakan.
Pada
suatu hari, aku mencari di mana Si Putih. Puas aku mencarinya untuk di beri
makan. Adakah kucing aku sudah beranak? Kalau sudah beranak, di mana ia
menyorok? Puas aku dan Amira mencari tetapi tetap tidak ditemui.
Keesokkan
harinya, aku ke rumah Puan Lydia seperti biasa. Belum sempat aku melangkah
masuk ke dalam rumah, aku sudah mendengar suara Puan Lydia marah-marah dari
dalam. Tanpa berlengah aku terus melangkah masuk.
“Kenapa,
puan?”tanya aku panik.
Arham
memelukku sambil memandang ibunya yang sedang memegang pemukul golf.
“Ini,
kucing kurap mana entah yang beranak dalam rumah saya!”Puan Lydia mula
menghayunkan tangannya untuk memukul kucing itu.
“Puan!!
Apa ni?!! Berhenti!”Aku menghalang perbuatannya itu.
Aku
cuba melihat kucing yang dimaksudkan Puan Lydia. Tergaman aku seketika.. Itu
kucing aku, Putih!
“Puan,
maafkan saya.. Ini kucing saya.. Mungkin dia ikut saya dan terberanak di
sini..”
“Kucing
awak? Awak ambil kucing ni sekarang sebelum saya pukul sampai mati! Kucing ni
kotor tahu tak? Dahlah berkurap.. Anak saya masih kecil, nanti berjangkit kuman
yang ada pada kucing ni.. ” Puan Lydia mula mengendurkan suaranya.
“Baik,
puan.. Saya ambil sekarang.. Maafkan saya..”
“Pagi-pagi
kucing ni dah bising.. Sengaja buat saya marah.. Nasib baik awak sampai cepat
hari ni.. Kalau tak, dah lama kucing ni saya kerjakan..”
Aku
hanya memekakkan telinga. Kalau diikutkan hati mahu sahaja aku membidas setiap
kata-kata Puan Lydia. Aku terus membawa Putih bersama tiga ekor anaknya yang
baru lahir pulang ke rumah.
“Puan
Lydia tidak tahu, kurap yang dikatakan itu adalah parut akibat kesan daripada terkena
siraman air panas. Kulit kucing ini melecur disebabkan Puan Lydia!”hatiku
berbicara.
Aku
menempatkan Putih dan anak-anaknya ke dalam kotak yang memang kami khaskan
untuk Putih melahirkan anak-anaknya di situ. Putih sepertinya akur untuk
tinggal di dalam kotak tersebut. Sesekali Putih menjilat anak-anaknya dengan
penuh kasih sayang. Terleka aku melihatnya.
Beberapa
hari kemudian, aku mendapat mesej daripada Puan Lydia.
-
Mia, awak tak perlu datang kerja hari
ini.. Bayi saya dimasukkan ke dalam wad. Saya sekarang berada di hospital. –
Puan Lydia.
Aku
dan Amira bergegas ke hospital sebaik sahaja Amira pulang dari tempat kerjanya.
“Puan,
kenapa dengan bayi puan?”tanya aku sedikit cemas. Aku mengusap lembut bahu Puan
Lydia yang ketika ini sedang menangis
teresak-esak.
“Anak
saya kena pukul… Arham pukul adiknya dengan penyapu,”beritahu Puan Lydia.
Aku
memandang ke arah Arham yang diam membisu di suatu sudut. Pasti anak kecil ini
teruk dimarahi Puan Lydia. Kebiasaannya dia akan petah berbicara dan lincah
bermain.
“Suami
puan dah tahu?”tanya aku. Setahu aku, suami Puan Lydia kini berada diluar
negara.
“Dah,
saya dah beritahu dia tadi,”kata Puan Lydia sambil mengesat air matanya.
“Arham,
datang sini, sayang..,” panggil aku.
Perlahan-lahan
Arham menghampiriku sambil matanya takut-takut memandang ke arah Puan Lydia.
“Arham
buat apa pada adik Arham?”tanyaku lembut sambil tanganku mendakap tubuh
kecilnya.
“Arham
pukul adik dengan penyapu..,”jawabnya jujur sambil menundukkan kepala.
“Kenapa
Arham pukul adik?”tanyaku lagi.
“Adik
bising menangis.. Arham nak tidur..,”jawabnya lemah.
“Kenapa
Arham buat macam tu?”
“Habis
tu Arham tengok ibu pukul kucing.. Anak kucing tu menangis, ibu cakap anak
kucing tu buat bising.. Ibu pukul kucing tu sebab nak suruh anak kucing tu
senyap.. Arham nak suruh adik Arham senyap.. Sebab tu Arham pukul adik
Arham..”Arham memandangku dengan pandangan mata sayu.
Aku
meraut wajahku. Nampaknya anak ini telah mengikuti setiap kelakuan yang
dilakukan ibunya. Apa yang membezakan, anak kecil ini tidak dapat memikirkan
akibat yang bakal diterima disebabkan perbuatannya itu.
“Arham,
jom ikut Kak Mira pergi beli aiskrim.. Arham nak makan aiskrim tak?”tanya Amira
yang sejak dari tadi diam membisu.
“Nak..”
Wajah murungnya bertukar ceria.
Setelah
mendapat keizinan daripada Puan Lydia, Amira membawa Arham keluar untuk membeli
aiskrim. Aku tidak ikut bersama kerana ada sesuatu yang ingin aku bicarakan
kepada Puan Lydia.
“Puan,
maaf.. Saya ada sesuatu yang ingin saya perkatakan..” Aku memandang wajah Puan
Lydia.
“Apa
dia.. Cakaplah,”katanya tenang.
“Puan,puan
ingat tak kucing yang puan pukul beberapa hari lepas?”
“Ingat,”jawabnya
ringkas.
“Puan
ingat tak puan pernah simbah kucing dengan air panas ketika puan sekeluarga
menikmati makanan di sebuah gerai?”
Puan
Lydia memandangku. Daripada renungan matanya, aku tahu dia terkejut dengan
soalan aku.
“Macam
mana awak tahu?”
Aku
tersenyum hambar.
“Puan,
sebenarnya kucing yang beranak di rumah puan tu adalah kucing yang sama puan
simbah air panas tempoh hari.. Saya ada melihat kejadian itu. Kucing itu saya
bawa pulang dan diberikan rawatan. Kurap yang puan katakan itu adalah kesan
daripada parut akibat kulitnya melecur teruk..”Air mataku bergenang. Perasaan
geram yang aku pendam selama ini perlahan-lahan aku cuba lepaskan melalui
kata-kata ini. Biarlah Puan Lydia tahu kisah sebenar.
Puan
Lydia hanya diam membisu. Aku tidak pasti apa yang difikirkannya sekarang.
“Puan,
setiap kekejaman yang puan lakukan kepada haiwan, puan melakukannya dihadapan
anak puan… Anak puan itu masih kecil.. Dia tidak tahu apa-apa! Dia hanya
melakukan apa yang telah diajar dan diperhatikannya..”
Aku
lihat tangan Puan Lydia menggigil. Air matanya mula mengalir di pipi.
“Puan
Lydia..,”panggil doktor.
“Ya,saya..
Macam mana dengan bayi saya?”tanya Puan Lydia cemas.
“Maafkan
kami puan.. Tangan kanan anak puan terpaksa kami potong kerana tulang tangannya
retak teruk,”jelas doktor bertugas.
Puan
Lydia terus jatuh terjelepuk ke lantai.
“Anak
ibuu.. Maafkan ibu, sayanggg.. Semuanya silap ibu!!”rintihnya.
Aku
hanya mampu mengalirkan air mata melihat situasi ini. Tiada apa yang boleh aku tolong
kerana perkara ini sudah terjadi. Masa tidak boleh diputar kembali.
Bagi
aku, setiap perkara buruk yang dilakukan pasti ada balasannya. Kita sebagai
manusia haruslah bersikap penyayang terhadap haiwan kerana kita semua berkongsi
hidup di Bumi yang sama. Jika kita tidak suka sekalipun pada haiwan, janganlah
kita bersikap kejam terhadap makhluk ciptaan Tuhan itu. Haiwan juga berhak
hidup di alam fana ini. Sama-samalah kita menghargai dan menyayanginya.