BAB
13Irfan memandu
Audi TT-RS Roadsternya menyusuri jalan raya dicelah-celah bangunan ibu kota
yang tinggi melangit. Cuaca sangat baik hari ini. Redup dan tidak panas. Hari
ini merupakan hari bahagia Irfan disebabkan dia menang di dalam perbicaraan kes
di mahkamah tadi. Kes yang dibicarakan sebentar tadi begitu rumit.
Berbulan-bulan naik turun mahkammah. Alhamdulillah, orang yang salah telah
mendapat hukuman yang sepatutnya dan yang menjadi mangsa terbela juga nasibnya.
Insya-Allah dengan kebolehan yang ada pada dirinya, dia akan berkhidmat dengan
jujur, amanah dan berperikemanusian.
Pada masa yang
sama juga Lisa telah tamat berkursus. Lisa menapak seorang diri keluar dari
Hotel Pakma Merah.
Lisa melihat
jam besar di dinding luar hotel. Jarum jam tepat menunjukkan pukul 11.30 pagi.
“Nampaknya
kursus tamat 2 jam lebih awal!” kata Lisa teruja. Matanya sudah agak
mengantuk. Dalam tempoh 2 minggu
tersebut memang dia dan rakan-rakan yang lain dibasuh dan digilap sebersihnya
agar menjadi jururawat yang berdaya saing. Pada malam harinya pun mereka masih
digilap. Kini, ada semangat baru yang disuntik ke dalam jiwa Lisa.
Beg rodanya
diseret menuju ke perhentian bas berdekatan. Agak banyak baju yang dibawanya
kali ini. Ialah, masa ini sahajalah dia nak melaram. Selalunya hanya
beruniform. Jadi, beg pun agak berat. Harapnya teksi senang didapati. Keretanya
pula sengaja ditinggalkan dirumah dan hari itu pun Huda yang tolong hantarkan.
Lisa kurang berkeyakinan untuk meninggalkan keretanya diluar hotel. Nasib
baiklah rumahnya tidaklah jauh sangat dari hotel tersebut.
“Boleh saya
tolong? Berat ni,” sapa seorang pemuda.
“Eh, tak apa....
Terima kasih… Dah dekat dengan perhentian ni,” kata Lisa kurang senang dengan
kehadiran lelaki tersebut. Penampilannya seperti budak nakal.
“Sombong,”
bisik lelaki tersebut.
Lisa terus
melangkah laju menuju ke perhentian bas. Kelihatan beberapa orang anak muda
turut berada di situ. Lisa hanya
bersangka baik. Mungkin mereka juga seperti dia yang mahu menggunakan
pengakutan awam. Lisa mula mengambil tempat di suatu sudut.
Sangkaan Lisa
meleset sebaik sahaja melihat lelaki yang menyapanya tadi menuju kearah
kumpulan tersebut. Remaja lelaki tersebut bertepuk tampar ketika berjumpa.
Kemudian, lelaki tadi kelihatan membisikkan sesuatu pada rakan-rakannya.
Sesekali asap rokok berkepul-kepul keluar dari mulut mereka. Lisa merasa kurang
senang apabila mereka asyik memandang Lisa. Lisa sudah berkira-kira untuk
berlalu dari perhentian tersebut.
Tanpa disedari,
mereka telah mendekati Lisa.
“Kau ada duit?”
tanya salah seorang daripada mereka.
Lisa berlagak
seperti tidak mendengar pertanyaan tersebut. Matanya sibuk memerhatikan jalan
raya. Bimbang terlepas teksi.
“Hei, kau
dengar tak aku tanya ni?!!” jerkah lelaki tersebut sambil menepuk dinding
perhentian bas membuatkan ia mengeluarkan bunyi yang bingit dan ia sangat
mengejutkan Lisa. Sesekali lelaki tersebut menggosok-gosok hidungnya yang
berair dan kemerahan. Matanya juga cekung dan merah.
Hati Lisa sudah
kecut. Dia hanya seorang dan mereka berlima. Kalau dia melawan, agak mustahil
untuk dia menang. Lisa bimbang jika mereka bertindak lebih ganas. Pakaian
mereka pun sudah seperti pakaian di dalam cerita-cerita gangster di kaca televisyen.
Jalan pula agak lengang. Mungkin masih di dalam waktu bekerja dan orang masih
sibuk berada di tempat kerja masing-masing.
“Kenapa ni?”
tanya Lisa pura-pura berani.
“Alahhhh!!
Minah ni buat-buat tanya pulakk!”
Mereka bergerak
semakin hampir dengan Lisa. Dalam beberapa saat kiri dan kanan Lisa sudah
dikelilingi mereka. Salah seorang dari mereka sudah menyelongkar salah satu beg
yang dibawa Lisa. Lisa sudah berkira-kira untuk mengeluarkan teknik
taekwandonya. Satu ketukan dilayangkan tepat pada kepala lelaki yang sibuk
menyelongkar begnya dengan fail yang dipegang Lisa.
Belum sempat
mereka membalas serangan Lisa, tiba-tiba sekumpulan gadis telah menghampiri
perhentian tersebut. Apa yang lebih menarik, mereka adalah rakan sekerja Lisa
yang berkursus di hotel tersebut dan sama-sama belajar ilmu taekwando.
“Wehhh,
korangg! Tolong!” jerit Lisa.
“Kenapa?”
“Budak-budak ni
nak pau duit aku! Lepas tu main gertak-gertak pula...”
Remaja-remaja
tersebut sudah berkira-kira mahu meninggalkan tempat tersebut. Belum sempat
mereka lari, rakan-rakan Lisa sempat menampar remaja-remaja tersebut. Mungkin
mereka ini masih belasan tahun. Seguni nasihat disumbatkan ke dalam telinga
anak muda tersebut. Nasib baiklah mereka tidak melawan. Geli hati Lisa melihat
wajah mereka tekun mendengar bebelan rakan-rakan Lisa. Tadi bukan main lagi nak
tunjuk samseng. Sekali kena ceramah, diam tak terkata. Hanya mengangguk seperti
burung belatuk.
“Dua orang
daripada mereka tu, anak jiran aku tu, Tasya,” beritahu Fathia sambil memandang
pemergian mereka.
“Patutlah dia takut dekat engkau Fathia… Hahahaha…
Habis tu macam mana? Nak beritahu mak bapak dia ke?”
“Rasanya tak
kut. Sebab mak dia tu, garang… Nanti tak pasal-pasal aku dituduh memburukkan
anaknya. Cukuplah sekadar nasihat dan ugutan yang aku akan memberitahu maknya
tentang perilakunya,” jawab Fathia.
“Harap mereka
berubahlah… Nasib baik kamu semua datang cepat. Kalau tak dah lebam budak-budak
tu... Atau aku yang melopong barang kena kebas...”
“Hahahaha…
Nasib baik… Tapi masa inilah kau nak praktiskan ilmu taekwando kau tu Tasya!”
kata Farhana.
Lisa hanya
tergelak kecil. Teringat dia sudah beberapa kali mempraktiskan ilmunya itu.
Tapi bukan pada tempat yang sepatutnya.
“Lisa, ikan
emas dah datanglah,” beritahu Fatima.
“Ikan emas??
Mana?” tanya Lisa sambil memanjangkan kepalanya.
“Tuuu...,” kata
Fatima sambil memuncungkan mulutnya.
Lisa memang
tidak suka dengan Maria a.k.a ikan emas. Kuat membebel, sombong dan suka
menunjuk-nunjuk terutamanya tentang teman lelakinya. Bajet hot! Gelaran ikan emas itu diberikan disebabkan mulutnya seperti
ikan emas. Selalu muncung dan terbuka macam ikan emas. Maria juga sentiasa
menyindir dan mengutuknya disebabkan masih belum mempunyai teman istimewa.
“Eh, you all pun ada dekat sini? Naik bas ke?
Sesuailah dengan you all ni,” kata
Maria sambil menggedik.
“Habis tu yang
engkau datang sini tu kenapa? Naik bas juga ke?” perli Fathia.
“Aku naik bas?”
kata Maria sambil menunding jari ke wajahnya.
Maria hanya
tergelak mendengar pertanyaan Fathia. Lisa sudah meluat melihat perangai ikan
emas di hadapannya. Campak dalam air longkang baru kau senyap agaknya! Lisa
mengalihkan pandangannya ke jalan. Teksi atau bas masih belum memunculkan diri.
Lambatnya…
“Mestilah aku
balik dengan teman lelaki kacak aku tu… Takkan naik bas kut,” jawab Maria
sambil mengerling kearah Fathia.
“Kau Tasya naik
bas ke? Sesuailah dengan kau tu… Tak ada siapa yang nak kan…”
Lisa hanya
tersenyum kelat. Malas nak melayan perempuan ni. Biarlah dia meroyan seorang
diri. Entah apa yang dibebelkan Maria. Lisa hanya memekakan telinga. Yang si
Fathia dengan Farhana ni rajin pula melayan ikan emas ni.
Tiba-tiba,
sebuah kereta berhenti dihadapan mereka. Semua mata tertumpu kearah kereta
tersebut.
“Boyfriend aku tukar kereta ke? Takkanlah
kut… Baru minggu lepas dia tukar,” kata Maria sambil mengintai cermin hitam
kereta tersebut dari bangku duduknya.
Lisa sudah
menundukkan mukanya. Alamak, Irfan! Baru teringat di otak pemikirannya bahawa
lelaki tersebut mahu berjumpa dengannya.
Farhana,
Fatima, Fathia dan Maria masih tertanya-tanya siapakah gerangan di dalam kereta
tersebut dan kenapa dia berhenti di hadapan mereka. Cermin kereta diturunkan.
Memang sah, Irfan! Lisa berpura-pura melihat handphonenya.
Irfan geram
dengan tindakan Lisa seolah-olah Lisa tidak menyedari kehadirannya. Irfan
mencapai handphonenya lalu menalefon Lisa. Tersentap Lisa apabila perkataan
IRFAN tertera di skrin handphonenya. Lisa segera menjawab panggilan tersebut.
“Awak nak apa
ni?”
“Nak jumpa
kaulah! Dua minggu menyepi…”
“Kan dah jumpa
ni!” kata Lisa dengan kuat sambil memandang Irfan.
“Laaa… Ingatkan
kau tak nampak aku ada depan kau ni,” kata Irfan sambil keluar dari keretanya
dan terus mematikan panggilan.
Rakan-rakan
Lisa hanya memandang jejaka dihadapan mereka. Kacak! Apakah semua ini? Jejaka
ini kawan Lisa ke? Atau teman lelaki? Maria cemburu!
“Siapa ni, Tasya?”
tanya Farhana setelah melihat Irfan mula menyandar di tepi kereta dan matanya
tidak lepas memandang Lisa.
“Musuh!” jawab
Lisa ringkas.
Irfan mendengar
kata-kata Lisa. Tak sangka Lisa menganggapnya musuh.
“Engkau tu
musuh aku! Siap kau,” kata Irfan di dalam hati.
“Sayang,
cepatlahh... Kita dah lewat ni.... I nak masuk pejabat pula nanti.” Sengaja
mengenakan Lisa.
“Apa? Sayang?”
Terasa cair tahi telinga Lisa mendengar ungkapan tersebut.
Lisa memandang
kawan-kawannya. Mereka hanya tersenyum. Cuma Maria sahaja yang mencuka
wajahnya.
“Eh Lisa, masa
inilah kau nak kenakan ikan emas tu! Berani dia kutuk kau tak ada teman lelaki.
Dah si Mamat berlagak tu dah tawarkan diri… Kau pergilah ambil bahagian lakonan
kau tu.” Satu bisikan jahat meracuni fikiran Lisa. Lisa hanya tersenyum dengan
penuh muslihat. Dia mahu mengikuti kata-kata bisikan tersebut.
“You angkatlah
beg I ni,” kata Lisa mengada-ngada. Sengaja dibuat-buat.
“Huh, apa kena
dengan minah ni?” kata Irfan di dalam hati. Apa pun dia harus berhati-hati.
Takut terkena sebarang tendangan atau tumbukan. Pada masa yang sama, hatinya
melonjat kegembiraan. Ini kerana, buruannya sudah berjaya dijinakkan. Ini
adalah satu bonus padanya! Selama dua minggu Irfan menalefon Lisa, namun
panggilan tidak berjawab. Lagipun dalam sekitar dua minggu yang lepas Irfan agak sibuk
menyelesaikan tugasan kerja. Jadi, dia tidak bersungguh-sungguh untuk memburu
Lisa. Ini pun secara kebetulan…
Dalam pada masa
yang sama juga, hati Lisa berbelah bahagi. Sanggupkah dia menaiki kereta tersebut bersama Irfan?
Ini maknanya dia akan berhadapan dengan jejaka tersebut sepanjang perjalanan.
“Alahhh… Kau
suruhlah dia berhentikan kereta jauh dari perhentian ni sikit. Masa ni
sahajalah kau nak tutup mulut ikan emas tu… Nanti tak adalah dia menyindir kau
tu tak ada orang nak…” Satu bisikan lagi meracuni fikiran Lisa.
Lisa hanya
memandang kelibat Irfan yang sedang mengangkat begnya untuk dimuatkan ke dalam
kereta. Hati Lisa sedikit kecut! Lisa menelan air liurnya.
“Dia ni orang
jahat atau orang baik? Tak pasal-pasal keluar mulut harimau, masuk mulut
buaya.”
“Cepatlah,
sayang,” panggil Irfan.
“Mamat ni
kurang tabiat ke? Ada ke patut panggil aku sayang? Aku hempuk kan!” marah Lisa
di dalam hati.
Lisa melangkah
perlahan-lahan menuju ke kereta.
“Aku pergi dulu
tau! Jumpa lusa ya,” kata Lisa kepada kawan-kawannya.
Irfan membuka
pintu kereta bagi mempelawa Lisa menaiki keretanya. Senyuman sentiasa terukir
di bibir menampakkan keterampilan dirinya yang sempurna. Pintu terus ditutup
sebaik sahaja Lisa memasuki kereta. Irfan berpuas hati kerana berjaya
mendapatkan Lisa.
“Kami pergi
dulu,” kata Irfan sambil mengangkat tangan pada kawan-kawan Lisa.
“Jaga baik-baik
kawan kami tu,” kata Farhana.
Irfan hanya
tersenyum dan terus memboloskan diri ke dalam kereta. Saat ini hati Lisa sudah
tidak keruan. Tidak pernah dia menaiki kereta dengan lelaki berdua-duan begini.
Minyak wangi yang dipakai jejaka tersebut sedikit sebanyak menggetarkan jiwa
Lisa.
Irfan merenung
tepat ke dalam anak mata Lisa. Sengaja megusik.
“Berani kau
naik kereta aku,” kata Irfan sambil membuka siaran radio.
Lisa hanya
berdiam diri dan memandang keluar tingkap. Diluar, kelihatan Maria bersama
seorang jejaka. Kekasihnya sudah sampai agaknya. Lisa sibuk membetulkan
posisinya untuk melihat kekasih Maria dengan lebih jelas.
“Duduk diam
sikit boleh tak?”
“Maaf, saya nak
tengok siapa kekasih ikan emas,” kata Lisa berterus-terang.
“Ikan emas?”
Irfan juga turut serta melihat apa yang mahu dilihat Lisa.
“Patutlah heboh
satu hospital dia bercerita perihal kekasih dia… Memang handsomeorangnya!” kata Lisa. Kening tebal lelaki tersebut seperti biasa dilihatnya. Seperti
ada iras dengan seseorang.
“Handsome saya lagilah!”
Lisa memandang
Irfan. Pandangan mata mereka secara serentak bertembung. Lisa cepat-cepat
mengalihkan pandangannya. Tatapan tersebut seperti menembus hatinya. Rasa mahu
sahaja dia membatalkan niatnya untuk menaiki kereta Irfan saat ini memandangkan
Maria juga sudah mahu berlalu pergi. Belum sempat Lisa mengeluarkan kata, Irfan
sudah menggerakkan keretanya. Satu hon dibunyikan kepada mereka yang berada
diluar.
Kini, kereta
yang dinaiki Lisa berselisih dengan kereta Hyundai Veloster merah kepunyaan
kekasih Maria. Di dalam posisi ini, Lisa dapat melihat wajah jejaka tersebut
dengan lebih jelas. Ya, keningnya begitu mirip dengan seseorang yang begitu
disayanginya.
Perjalanan
mereka berjalan dengan lancar. Hati Lisa sudah berdebar-debar apabila
teringatkan tatapan mata Irfan sebentar tadi. Lisa sudah berkira-kira untuk
meminta Irfan menurunkannya di bahu jalan. Namun, tempatnya tidak sesuai. Jika
Lisa meminta diturunkan segera, bagaimana dia mahu mengangkut beg-begnya?
Bagaimana dia mahu mendapatkan teksi atau bas? Kenapa tak terfikir dari tadi?
Ini semua sebab kaulah ikan emas!!
Mereka berdua
hanya berdiam diri mendengar celoteh-celoteh DJ Radio. Tidak lama kemudian,
lagu Tatapan Cinta oleh Syahrini diputarkan dicorong radio. Lisa melayan lirik
lagu tersebut. Seperti kena dengan dirinya. Jujur dikatakan hatinya sedikit
terusik dengan tatapan mata Irfan sebentar tadi.
segala
keindahan turun ke bumi
di saat ku
menatap matamu
menatapmu
seakan menembus hati
sepertinya kau
lihat hatiku
ku merasakan
dirimu ku miliki
namun
kenyataannya tak mungkin
mengapa harus
kau orang yang terindah
yang tak bisa
aku gantikan
reff:
cinta mengapa
kau siksa aku
saat hidupku
baik-baik saja
ku hanya
inginkan satu cinta
hindarkanlah
aku
cinta matanya
begitu indah
tak ada tatapan
seperti dirinya
aku lemah bila
di dekatnya
hindarkanlah
aku
seandainya ku
pun bisa menghindari
ku tak bisa
melupakanmu
sekali lagi
bila kau menatapku
kau tahu apa
yang kan terjadi
hindarkan aku…
Irfan hanya
tersenyum melihat gelagat Lisa yang terangguk-angguk mengikut rentak lagu
sambil matanya memandang ke luar tingkap.
“Eh, aku nak
bawa minah ni pergi mana yer?” fikir Irfan.
“Aku nak buat
dia mengaku juga dialah yang menumbuk aku dan dia wajib minta maaf!” Irfan
sudah dapat memikirkan tempat mana dia harus membawa Lisa pergi.
“Sedap ke lagu
tu?” tanya Irfan yang juga sedikit terusik dengan lirik lagu tersebut.
Lisa terkejut
mendengar pertanyaan Irfan.
“Err… Sedap!
Saya suka,” jawab Lisa sambil memandang Irfan.
“Sebab apa kau
suka?” tanya Irfan sekadar menduga Lisa.
Soalan tersebut
seakan menjentik tangkai hati Lisa. Berdebar-debar dia ingin menjawab soalan
tersebut. Ternyata hatinya sedikit terusik dengan tatapan mata Irfan sebentar
tadi.
“Owhh… Inikan
lagu tema cerita Coklat Strawberi… Saya suka drama tu tau. Sebab tu saya suka
lagu ni…” Nasib baik terlintas idea ini difikirannya.
Irfan hanya
mengangguk. Irfan terus membelokkan keretanya ke persimpangan jalan menuju ke Tasik Perdana. Tempat dimana mereka
pertama kali bertemu.
Lisa mula
kaget. Cepatnya dah nak sampai! Rasanya dia telah terbuai melihat permandangan
diluar dengan kereta mewah seperti ini. Selesa sekali. Tidak terlintas di
fikiran Lisa untuk meminta Irfan menghentikannya di bahu jalan.
“Dia tahu ke
rumah aku?” fikir Lisa setelah dia melihat Irfan membelok ke arah jalan yang
menuju ke rumahnya. Rumah Lisa memang berhadapan dengan Tasik Perdana.
“Awak tahu ke
rumah saya?” tanya Lisa.
“Tak tahu pun....
Kenapa?”
Lisa mulai
hairan. Kenapa Irfan boleh membelok ke jalan yang sama dengan rumahnya.
Jangan-jangan rumah dia pun dekat-dekat sini dan dia nak bawa aku balik ke
rumah dia! Hari tu kereta BMW 5 series, sekarang Audi TT-RS Roadster… Semuanya
kereta mewah! Dia ni bapak ayam ke?
“Berhentikan
saya disini!” kata Lisa dengan lantang.
“Tak boleh! Kau
mesti ikut aku! Sekarang kau dalam kereta aku dan aku akan bawa kau ke tempat
yang aku nak bawa kau!” kata Irfan selepas melihat Lisa sudah cuba untuk
membuka pintu keretanya. Sengaja mengusik ala-ala penculik.
“Apa kena
dengan minah ni? Tadi ok je… Sekarang dah meroyan!”
Irfan
memberhentikan keretanya di tempat dimana mereka mula-mula bertemu. Lisa
memerhati kesekeliling. Terasa lega hatinya kerana diberhentikan di tempat
awam. Irfan keluar dari kereta dan diikuti oleh Lisa.
Irfan
melemparkan pandanganya jauh ke tengah tasik. Harapannya cuma satu. Dia mahu
Lisa mengaku dan memohon maaf.
“Saya nak ambil
beg saya,” kata Lisa dari belakang sambil membetulkan tudungnya yang ditiup
angin.
“Kau ingat tak
tempat ni?” tanya Irfan sambil memusingkan badannya ke arah Lisa.
Lisa memandang
kesekeliling.
“Ingat. Tempat
yang saya selalu beriadah. Kenapa?”
“Bukan yang tu…
Tempat yang kau tumbuk aku? Ingat tak?”
“Tumbuk?” Lisa
sengaja membuat muka hairan.
“Saya tumbuk
awak? Bila?”
Irfan mula
sakit hati melihat lakonan Lisa. Hebat kau berlakon yer… Irfan berjalan menuju
ke keretanya. Kamera digital dicapai. Gambar Lisa bersama kucing dicari.
“Nah, ini bukan
kau ke?” tanya Irfan sambil menunjukkan gambar tersebut kepada Lisa.
Kamera bertukar
tangan. Lisa memerhatikan gambar tersebut. Ya, itu memang dia!
“Kalau memang
saya dalam gambar ni, apa awak nak buat?!” Lisa merenung tajam ke mata Irfan.
Sengaja memberanikan diri.
“Tak ada
apa-apa… Aku hanya nak dengar kau minta maaf di atas perbuatan kau tu! Itu
sahaja,” kata Irfan sambil mengangkat kedua belah keningnya.
Lisa mula
memikirkan permintaan Irfan. Kalau aku mengaku, dia nak teruskan ke dendamnya.
Teringat kata-kata Irfan pada dirinya.
“Nak tau ke?
Pertama, kucing ni telah calarkan kereta aku! Kedua, kamu perempuan gila, wanita
pertama yang memberi penumbuk kepada aku. Disini, aku istiharkan aku akan
membalas dendam untuk semua ini.”
Lisa
teragak-agak untuk mengaku. Bila difikirkan balik, Irfan hanya nak dia meminta
maaf.
“Oklah… Minta
maaf sahajalah! Selagi tak mengaku selagi itulah dia kacau hidup aku!”
Lisa cuba
mencari kekuatan untuk berbicara. Badannya sedikit menggigil untuk membuat
pengakuan. Kamera ditangannya dipegang kemas. Bimbang terjatuh.
Lisa memandang
Irfan yang sedang bersedia untuk mendengar pengakuannya. Irfan bersandar pada
bahagian hadapan kereta sambil tangannya disilangkan seperti lagak seorang
cikgu yang ingin mendengar penjelasan anak muridnya yang membuat kesalahan .
“Oklah. Saya
mengaku, sayalah perempuan dalam gambar ni dan sayalah yang menumbuk awak tu,”
kata Lisa dengan jelas.
Irfan tersenyum
puas mendengar pengakuan tersebut.
“Akhirnya, mengaku
juga perempuan degil ni,” bisik hati Irfan.
“Tapi itu
memang salah awak!” kata Lisa perlahan sambil menundukkan kepalanya. Lisa masih
mahu membela diri walaupun perlahan sahaja katanya. Kata-kata itu masih dapat
didengari Irfan.
“Jadi, apa
jalan penyelesaiannya??” tanya Irfan yang mengharapkan permohonan maaf daripada
Lisa.
Lisa mengangkat
kepalanya memandang Irfan. Belum sempat dia ingin memulakan bicara, handphone Irfan berbunyi. Irfan segera
menjawab panggilan tersebut sambil melangkah menjauhkan diri daripada Lisa.
Dari jauh, Lisa
dapat melihat Irfan bercakap dengan penuh cemas. Air mukanya risau dan tidak
keruan. Tidak sampai lima minit Irfan melangkah laju menuju ke arah Lisa.
“Masuk kereta
sekarang!” jerkah Irfan cemas.
“Kenapa??”
“Aku kata
masuk, masuklah!”
“Rumah saya
dekat-dekat sini saja… Keluarkan sahajalah beg-beg saya...”
Irfan sudah
malas mendengar percakapan Lisa. Tubuh gadis tersebut ditolak masuk ke dalam
kereta. Lisa terkejut dengan tindakan keras tersebut. Lisa bercadang untuk
keluar dari kenderaan tersebut dan terus melarikan diri.
“Mungkinkah
jejaka ini bapa ayam! Dan sekarang dia diburu polis. Sebab itu dia cemas dan
memaksa aku mengikutnya melarikan diri!”fikir Lisa.
Irfan sudah
berada di tempat pemanduan. Lisa cuba untuk membuka pintu kereta tetapi ia dah
dikunci.
“Lambat sangat
kau bertindak Lisa!” bisik hatinya.
“Lepaskan saya!
Saya tak nak terlibat dengan masalah awak!”
“Kenapa dengan
kau ni?” kata Irfan sambil mengelak kepalanya daripada dihempuk fail yang
dipegang Lisa.
Irfan terus
bertindak memegang pergelangan tangan Lisa bagi mengelakkan tangan tersebut terus
melibas-libas fail kearahnya. Namun, satu gigitan yang sangat menyakitkan
dihadiahkan pada lengan tangannya.
“Kau boleh tak
jangan buat hal!” kata Irfan sambil menolak kepala Lisa. Tangannya dilap dan
digosok dengan tisu. Dahlah sakit, dicalit pula dengan bekas air liur. Pengotor
perempuan ni!
“Dasar bapak
ayam!!!” Satu hempukan fail dihempuk pada bahu Irfan.
Irfan tidak
bercadang untuk memulakan pemanduan dengan keadaan perempuan disebelahnya
menggila seperti ini. Muka saja nampak lembut, tapi Ya Allahh… Perangai macam
singa!
“Ok, sekarang
aku tak ada masa nak layan kau! Tapi kau mesti ikut aku… Mama aku pengsan
dirumah… So, aku risau… Kau kan nurse…
Nanti bolehlah kau buat apa yang patut… Faham? Duduk diam-diam! Nanti tak
pasal-pasal kita pula yang masuk hospital.”
Ternganga mulut
Lisa mendengar penjelasan tersebut. Terdiam tidak berkata apa-apa. Hanya mampu
menundukkan wajah.
“Malunya…. Tapi
boleh percaya ke?” matanya mengerling ke arah Irfan.
Lisa hanya
membisukan diri. Dia membiarkan sahaja kereta tersebut meluncur laju di jalan
raya yang lengang. Gerun Lisa melihat cara pemanduan Irfan.
“Boleh tak awak
perlahankan sikit kereta tu… Rasa macam nak tercabut nyawa.... Ini jalan raya,
bukan litar Sepang awak…” rayu Lisa.
“Mama aku tak
sedarkan diri… Kau faham tak? Aku risau ni… Aku jamin, kita akan sampai dengan
selamat. Insya-Allah.”
Terkumat-kamit
mulut Lisa membaca ayat-ayat suci Al-quran. Sesekali dia mengucap shahadah.
Bimbang jika berlaku apa-apa dia tidak sempat mengucap.
Sesekali Irfan
menoleh ke arah Lisa. Geli hatinya melihat Lisa berkelakuan seperti itu. Pucat
mukanya. Tadi bukan main marah, sekarang takut. Comellah…
Sesekali kereta Irfan memotong kenderaan yang berada
dihadapannya. Matanya diberikan sepenuh tumpuan pada pemanduan. Dia juga harus
berhati-hati.