BAB 28Petang itu, bunyi deruan enjin bot membelah laut biru seakan
memberi satu kebebasan dan keseronokan kepada mereka. Tamparan angin yang kuat
menerpa ke wajah menjadikan wajah sedikit kebas namun terasa segar. Sesekali
bot sedikit melambung melawan arus ombak yang membadai sementara burung-burung
berlegar-legar diudara menunggu masa untuk menyambar ikan di lautan.
Beberapa buah bot laju juga kelihatan turut membelah lautan
yang membiru. Pulau Kapas yang kelihatan kecil sebentar tadi kini semakin
membesar menandakan mereka sudah menghampiri pulau. Kejernihan air disekitar
pulau sangat memukau mata memandang. Setibanya di jeti, Wanda dan Mimi telah
sedia menanti mereka di sana. Nampak kelegaan di wajah mereka setelah melihat
ketibaan Irfan dan staf yang lain.
Lisa meletakkan kepalanya di atas bantal yang empuk. Sekejap dia
berpusing ke kanan, sekejap berpusing ke kiri. Lisa melihat Wanda dan Mimi
telah pun tidur dengan nyenyak. Mata Lisa tidak dapat dilelapkan walaupun badan
Lisa terasa begitu letih disebabkan perjalanan yang jauh siang tadi. Sudah
menjadi kebiasaan bagi Lisa untuk sukar melelapkan mata di tempat yang baru.
“Tak boleh jadi ni…” Lisa bangkit daripada pembaringan.
Selendang yang disangkut di rak dicapai lalu diletakkan di atas
kepala. Pencahayaan yang kurang di dalam bilik sedikit menyukarkan pergerakan
Lisa. Lisa melangkah perlahan-lahan agar derap langkahnya tidak mengejutkan
Wanda dan Mimi.
Pintu bilik dibuka. Angin malam mula menerpa ke wajah. Bangku
di luar beranda ditarik lalu Lisa melabuhkan punggungnya di situ. Lisa
termenung panjang melihat kepekatan malam di lautan yang hanya diterangi cahaya
bulan. Kerdipan lampu dari Bandar Kuala Terengganu juga dapat dilihat dari sini
walaupun ia jauh.
“Hai, termenung jauh nampak?”sapa seorang lelaki.
Lisa memandang ke sekeliling. Namun, tidak kelihatan gerangan
empunya suara.
“Di sini… Sebelah rumah kau ni.”
Lisa berpaling ke arah yang disebutkan.
“Eh, awak buat apa dekat sini?!” marah Lisa dek kerana
terkejut dengan kelibat Irfan. Bulat matanya memandang Irfan.
“Aku dah lama dekat sini… Kau sahaja yang tak perasan,” kata
Irfan sambil tangannya menongkah dagu di beranda chalet sebelah.
“Ya ke? Tak perasanlah gelap-gelap macam ni.” Lisa memperbetulkan
tudungnya.
“Ini kenapa tak tidur lagi ni?” tanya Irfan.
“Tak boleh nak tidurlah… Risau fikir hari esok. Saya bukannya
pandai nak jadi model ni… Ini semua awak punya pasal!” Lisa sedikit meninggikan suara.
“Kenapa salah aku? Bukan itu impian kau ke?” Irfan tersenyum
sinis.
“Impian? Saya rasa macam awak dah selidik saya ni....”
“Ya, impian.... Bukan ke kau yang tulis dekat kertas suatu
ketika dahulu?” Irfan sedikit menduga Lisa.
“Kertas?”
“Ingat tak dulu kau pernah ikut aku ke rumah semasa mama aku
pengsan tu. Masa tu bukan main kau hempuk aku dengan fail kan? Kalau nak tahu
kertas hijau pucuk pisang tu dah terjatuh dalam kereta aku.... So,aku bacalah,” bohong Irfan padahal
hakikatnya dia yang menarik keluar kertas tersebut daripada fail Lisa.
“Kertas hijau pucuk pisang?” Lisa cuba mengingati.
“Alaa… Yang tulisan dekat atas tu ada ditulis Lisa Sweet… Sweetlah sangat. Masam
adalah…”
Lisa menelan air liur. Ya, kertas itu telah ditulis segala
impiannya ketika bosan menunggu seminar habis ketika berkursus di hotel pada
awal tahun baru-baru ini.
“Ishh, dia ni… Pandai-pandai sahaja baca kertas orang!” bebel
Lisa.
“Dah kertas tu sengaja nak bocorkan rahsia kau…” Irfan
mengusik. Cantik wajah Lisa kalau marah.
“Eeee…” Lisa menggerakkan tangannya seperti mahu mencakar
Irfan.
“Jarak macam ni, mana dapat kau nak cakar aku…” Irfan hanya
ketawa.
Lisa terus masuk ke dalam bilik. Geram hatinya. Ini tak boleh
jadi! Lisa membuka peti ais.
Selipar diluar cepat sahaja disarungkan dikaki. Lisa terus
melangkah ke chalet sebelah.
“Nah!” Lisa menjiruskan air sirap sejuk ke badan Irfan yang
sedang leka menghayun buaian di luar beranda.
T-shirtputih kini
bertukar warna. Sepantas kilat Lisa berlari masuk ke dalaam bilik. Pintu
dikunci. Diluar Irfan sedang berang.
“Padan muka kau!” Lisa tersenyum puas setelah mengintai
disebalik langsir bilik. Kurang ajar baca kertas aku! Lisa bergerak
perlahan-lahan ke katil. Dia tidak boleh tidur begitu lambat kerana bimbang
matanya akan sembab esok pagi.
Awal-awal lagi mereka telah tiba di Pulau Gemia dengan
menaiki bot yang ditempah khas. Segala kelengkapan pengambaran juga dibawa
bersama. Pada mulanya, mereka mahu menginap di Pulau Gemia, tetapi rezeki
mereka tiada disebabkan tempahan bilik semuanya penuh dan sebab itulah mereka
mengambil keputusan untuk menginap di pulau yang berjiran dengan Pulau Gemia
iaitu Pulau Kapas. Maka, dapatlah mereka merasai keindahan panorama di
kedua-dua gugusan pulau ini.
Pagi itu wajah Irfan mencuka begitu juga dengan Lisa. Wanda,
Mimi dan yang lain hairan dengan perubahan tingkah laku model-model mereka sepertinya
ada satu perang sedang berlaku.
“Mereka berdua ni kenapa? Semalam aku tengok ok sahaja,”
tanya Jayjay pada Daus.
“Entahlah....” Daus mula memasang payung besar.
“Haa.... Model-model sekalian cepat datang sini. Kami nak cat
muka-muka yang masam hari ni… Cepat!” kata Jayjay sekadar mengusik. Pelbagai lawak
diketengahkan ketika menyolek wajah model mereka namun tidak berhasil.
“Eh, lambat lagi ke nak siap ni? Muka dah macam monyet sarkas
kalau bersolek macam mana pun tetap macam monyet sarkas!” tajam mata Irfan
memandang wajah Lisa yang sedang disolek oleh Mimi.
“Siapa monyet sarkas? Baduk sarkas mana yang busuk sangat
mulut dia pagi-pagi ni?” balas Lisa.
“Cik Lisa yang lawa macam ni Encik Irfan cakap macam monyet
sarkas?” tanya Mimi.
“Lawa kau cakap Mimi? Ini kalau geng-geng monyet sarkas
tengok pun boleh lari ni!” Irfan tidak berpuas hati. Panas betul hatinya bila
teringatkan peristiwa semalam.
“Dahlah tu Mimi.... Tak payah layan baduk sarkas ni....
Memekak sahaja kerja. Dah tak ada kerja ke baduk yang datang mengacau orang
ni?” tanya Lisa sambil tangannya mencapai jambangan bunga.
“Dia kata aku baduk? Haishh....” Panas hati Irfan.
“Encik Irfan, Cik Lisa… Nah,cepat tukar baju dalam khemah.
Ini bajunya.... Cepat sikit ya,” panggil Daus selepas telinganya rimas
mendengar pergaduhan antara Irfan dan Lisa.
Busana pengantin yang direka khas ini bertukar tangan.
Pemakaian Lisa dibantu oleh Mimi manakala pemakaian Irfan dibantu oleh Jayjay.
Sudah menjadi kebiasaan orang lelaki akan bersiap lebih cepat berbanding
wanita. Perempuan banyak benda yang perlu dititikberatkan. Tudung yang berwarna
merah jambu lembut yang bersulamkan manik-manik indah dipakaikan dikepala Lisa
menutupi mahkota wanitanya. Gaya solekan yang dikenakan begitu secocok dengan
padanan tudung dan baju yang dipakai.
“Aku ke ni?” Lisa menatap wajahnya dicermin.
“Cantik.... Bila ya aku nak kahwin?” Lisa memuji diri
sendiri.
Tiara indah diletakan diatas kepalanya. Senyuman terukir
diwajah Lisa sementara Irfan diluar telah lama menanti.
Lisa melangkah keluar dari khemah. Angin pantai yang bertiup lembut
membantu mencantikkan persembahan pakaian yang dipakai oleh Lisa. Kain yang
lembut terbuai – buai mengikut tiupan angin. Senyuman diukir seikhlas mungkin.
Muka yang tadi terasa ketat cuba dilonggarkan.
Irfan yang dari tadi menghirup minuman sejuk terpesona dengan
penampilan Lisa. Sangat cantik dan menawan!
“Irfan carikan
ya? Kalau boleh, carikan calon menantu betul untuk mama sekali ya… Model pengantin
mama dan menantu mama....” Tiba-tiba sahaja ayat ini terngiang-ngiang ditelinga
Irfan.
“Ok, kita boleh
mulakan pengambaran kita....” Encik Fuad bersuara setelah memperbetulkan apa
yang patut pada rekaan busana pengantinnya.
Irfan tersedar
daripada lamunan. Lisa melangkah angkuh tanpa memandang Irfan dibelakang. Lisa
cuba berlagak dengan Irfan.
“Encik Irfan
tengoklah monyet sarkas dah menjadi tuan puteri yang cantik jelita,” bisik Mimi
pada Irfan.
Irfan tidak mempedulikan kata-kata Mimi. Irfan tersenyum
sinis. Gadis ini mesti dikenakan balik diatas perbuatannya semalam.
“Kacak juga engkau baduk sarkas dengan baju melayu siap
bertanjak dan bersamping ni… Ala-ala Putera Raja Melayu zaman dulu kala. Alahai,
cair hati aku....” Lisa memuji dalam diam.
“Fokus Lisa! Fokus! Perang tetap perang!” Lisa menguatkan
semangat.
“Encik Irfan dan Cik Lisa boleh duduk dekat sikit,” kata Raizal
selaku fotografer hari itu kerana sejak dari tadi model dihadapannya kaku.
“Sanalah sikit!” Lisa menolak keras bahu tegap Irfan apabila
badan lelaki tersebut terlalu hampir dengannya.
Irfan tidak mempedulikan amarah Lisa. Irfan semakin
menghampiri Lisa. Lisa masam mencuka.
“Cik Lisa tolong senyum. Senyum seikhlas mungkin. Tangan
kanan Cik Lisa cuba letakkan di dagu… Macam ni....” Raizal menunjukkan gaya.
Irfan meletakkan tangannya dibahu Lisa.
“Profesionallah sikit monyet sarkas.... Ingat murah ke mama
aku bayar fotografer ni?” Irfan berbisik ditelinga Lisa.
Lisa menepis tangan Irfan yang berada dibahunya. Mahu sahaja
dicakar-cakar muka Irfan. Geram hatinya!
“Maafkan saya.... Saya nak rehat 2 minit. Saya nak betulkan moodsaya sekejap,” kata Lisa meminta
izin daripada fotografer.
“Engkau ni kenapa! Berlagak macam artis la pula,” sindir
Irfan sambil duduk di batuan pantai.
Lisa menjeling tajam ke arah Irfan. Irfan tersenyum sinis.
“Baiklah.... Kami bagi awak masa. Tapi pastikan lepas ni awak
bagi kerjasama.... Encik Irfan pun sama.... Profesional sikit,” kata Raizal.
“Aik… Aku pun kena?” Irfan menunjukkan dirinya.
Lisa meneguk air sejuk yang telah disediakan. Nafasnya ditarik
dalam-dalam dan perlahan-lahan dihembus keluar. Segala perasaan geram pada
Irfan dilemparkan ketengah lautan. Dia perlukan aura positif untuk menjayakan
sesi fotografi ni.
“Senyum Lisa… Senyummmm...,” pujuk hati Lisa.
“Ok, kita mulakan,” kata Lisa setelah merasakan moodnya telah kembali.
“Jaga kau Irfan! Aku akan buat senyuman aku ni dapat
mencairkan hati kau yang keras bak batuan yang kau duduk tu....”
Lisa menghampiri Irfan dengan senyuman yang sangat menawan.
Irfan mengalihkan pandangannya. Hatinya bergetar.
“Hahaha... Balaslah senyuman aku ni… Apa lagi.... Takut ke?”
bisik hati Lisa. Kini, keyakinan diri mula menjalar ke segenap tubuhnya yang
langsing.
“Ok, kita mulakan sekarang,” kata Daus.
Lisa dan Irfan mengambil tempat masing-masing. Pelbagai gaya
dipersembahkan. Walaupun pada mulanya Lisa
berasa kekok dan tidak mahir, setelah beberapa kali ditunjuk ajar oleh Daus dan
Raizal, Lisa dapat melakukannya dengan baik. Senyuman yang indah diukirkan
diwajah agar menampakkan ketampanan dan kecantikan masing-masing. Kali ini Lisa
dan Irfan dapat memberikan kerjasama yang baik walaupun didalam hati sepertinya
ada gunung berapi yang mahu meletus.
Beberapa persalinan baju telah ditukar. Kali ini sudah kali
yang ke empat. Untuk busana yang keempat ini, Lisa mengenakan gaun kembang
putih yang dilapisi dengan kain lace
yang begitu indah sekali sulamannya. Permandangan alam semulajadi membantu
mencantikkan lagi persembahan gaun tersebut.
Sut hitam mewah yang dipakai Irfan sangat sesuai dengan
badannya yang tegap. Kali ini belon merah jambu dan putih yang diikat dengan riben putih dipegang Irfan.
Ini sekadar mencantikkan ilusi di dalam gambar setelah ia dicetak nanti. Angin pantai membantu belon-belon tersebut
menari-nari diudara. Taburan kelopak bunga ros merah juga ditaburkan di atas
pasir pantai yang memutih. Gambar-gambar ini pasti akan cantik ditambah pula
dengan kepakaran teknik fotografer menangkap gambar. Beberapa pelancong asing
turut melihat sesi pengambaran yang sedang berlansung. Mereka turut memuji
kecantikan model dan baju pengantin yang digayakan.
“Alhamdulillah.... Selesai juga pengambaran kita hari ini....
Kita akan sambung empat persalinan lagi esok. Pastikan kamu berdua tak bergaduh
macam hari ini. Faham?” kata Encik Fuad tegas.
“Baiklah Encik Fuad,” kata Lisa lalu menjeling pada Irfan
yang sedang bercakap dengan pelancong Inggeris yang sejak dari tadi menonton
pengambaran mereka.
Lisa menghampiri Irfan.
“Congratulation both of
you....Kamu berdua adalah pasangan pengantin yang sepadan dan sangat
hebat!” kata pelancong tersebut pada Lisa dan Irfan.
Lisa dan Irfan berpandangan. Orang Inggeris ini pandai
bercakap Bahasa Melayu?
“Terima kasih… Kamu boleh bercakap Bahasa Melayu? Amazing...,”puji Lisa.
“Boleh sikit-sikit.... Kami dah banyak kali datang ke sini.
Kami sukakan Malaysia dan budaya yang ada. Banyak kami belajar perihal budaya
dan bahasa di sini, ” kata wanita Inggeris dengan senyuman mesra di wajah.
“Boleh kita tangkap gambar bersama-sama?” tanya wanita
tersebut.
“Sure....Boleh-boleh…
Tidak ada masalah,” kata Irfan.
Lelaki Inggeris tersebut meminta bantuan Daus untuk menangkap
gambar mereka.
Beberapa keping gambar diambil.
“Terima kasih.... Semoga kamu berdua hidup bahagia dan dikurniakan
anak-anak yang comel.”
Terbeliak mata Lisa mendengar ungkapan tersebut. Anak-anak?
Ini mesti mereka berdua salah faham.
“Tapi kami bukan pasangan pengantin… Kami hanya menjalankan
pengambaran untuk koleksi baju pengantin ni,” Lisa memperbetulkan salah faham
yang ada.
“Owh.... Kami ingatkan kamu pasangan pengantin. Kamu berdua
sangat sesuai kalau bersama. Pandangan mata encik ni seperti sukakan cik,” kata
wanita itu lagi.
Irfan pura-pura memandang ke atas. Entah apa yang dilihatnya.
Lisa tersenyum kelat. Setelah beberapa lama berbual mesra, pelancong tersebut
meminta diri. Ramah betul mereka berdua menyapa orang yang tidak dikenali. Lisa
turut bangga kerana orang asing turut belajar dan memahami Bahasa Melayu.
“Kau jangan ambil kisah sangat apa yang dikatakan pelancong
tadi tu… Aku tengok kau, aku pun dah
naik menyampah tau tak?” Irfan menunjukkan jari telunjukknya betul-betul
dihadapan mata Lisa.
Lisa memalingkan mukanya agar matanya tidak tertusuk jari
telunjuk Irfan.
“Haa.... Monyet sarkas tak reti-reti lagi nak tukar baju
butik mama aku ni? Habis melekat peluh! Busuk!” sindir Irfan selepas melihat
Lisa tersengih seorang diri. Irfan sengaja menyalakan api kemarahan Lisa.
“Busuk-busuk saya pun, tak adalah kena mandi air sirap....” Lisa
membalas sindiran Irfan.
“Sekejap-sekejap… Air sirap?” tanya Mimi yang sejak dari tadi
mendengar pertelingkahan mereka.
Lisa memandang Mimi.
“Ya, air sirap.... Air sirap yang dalam peti ais kita tu Lisa
dah gunakan untuk mandikan Si Baduk ni semalam.”
“Ya Allah.... Patutlah saya cari tak jumpa air tu.... Tak
pasal-pasal hari ni dah menjadi Air Oren.”
“Maaflah Mimi.... Semalam ada orang busuk… Itu yang Lisa
mandikan air tu. Sirap pekat kan?”
“Aaah… Saya dah bancuh dengan 2 kg gula.”
Irfan yang mendengar terasa berdesing telinganya. Nak sahaja
dicincang mulut Lisa halus-halus dan dicampakan ke dalam laut.
“Dahlah tu.... Jom kita balik sekarang. Esok Encik Irfan dan
Cik Lisa jangan buat perkara seperti hari ni lagi. Benci-benci nanti tak
pasal-pasal jadi pasangan pengantin yang betul,” pesan Encik Fuad.
“Dia ni nak jadi suami saya? Memang taklah Encik Fuad....”
“Sudah-sudah.... Kita kemaskan apa yang patut. Kita balik, makan
dan rehat...”
Mereka bekerjasama mengemaskan barang-barang yang telah
dipakai. Bot yang dijanjikan untuk mengambil mereka telah menunggu di gigi air.