BAB 31Pengambaran selama 3 hari sungguh
memenatkan tetapi ia memberi pengalaman yang begitu bermakna buat Lisa. Hari
ini adalah hari mereka menjelajah keseluruhan pulau. Pelbagai aktiviti
dilakukan seperti aktiviti kayak dan snorkeling.
Walaupun tidak tahu berenang, peluang keemasan ini tidak boleh dilepaskan
begitu sahaja.
Keheningan suasana sekitar Pulau Kapas
pasti mampu memberi ketenangan kepada pengunjungnya. Melihat persisir pantainya
yang memutih bak hamparan kapas sudah cukup mengujakan. Pengalaman berjalan
berdua bersama Irfan merasai nikmat berkaki ayam di sepanjang pantai petang
tadi telah dapat memperbaiki hubungan mereka yang sentiasa bercakaran antara
satu sama lain. Sekali sekala Irfan dan Lisa berlari anak mengejar antara satu
sama lain, momen ini cukup membahagiakan. Lisa tersenyum sendirian apabila
teringatkan kenangan siang tadi.
“Lisa, senyum lebar nampak,” tegur Mimi.
“Ada orang buat Lisa terpikat ke?” Wanda
mencelah sambil tangannya mengemas baju untuk dibawa pulang esok pagi.
“Siapalah yang Lisa terpikat tu?” tanya
Lisa pura-pura tidak tahu.
“Siapa lagi... Encik Irfan kita itulah...”
Mimi menepuk perlahan bahu Lisa.
Lisa hanya tersenyum.
“Tengok tu... Dia senyum lagi,” usik
Wanda.
“Dahlah tu... Kemaskan barang-barang tu...
Esok awal-awal pagi kita dah nak balik,” kata Lisa malu.
“Esok Lisa terus balik Kuala Lumpur ke?” tanya
Wanda.
“Tak, esok Lisa balik ke kampung Lisa dahulu...
Lisa masih ada baki cuti...”
“Seronoknya...”
“Kalau macam tu, jomlah singgah kampung
Lisa,” pelawa Lisa ikhlas.
“Tak boleh... Sebab kalau boleh kami nak
sampai cepat... Bawa kereta malam-malam jauh macam ni tak sedap juga... Kalau
boleh nak sampai awal.”
“Alaa... Kampung Lisa dekat sahaja...
Dalam 15 minit macam tu dah sampai dah.”
“Dekat sahaja ke? Ok, nanti kami bincang
dengan Jayjay. Diakan pemandu kami semua... Kalau dia kata boleh, kami singgah...
Tapi sekejap sahajalah...”
“ Ok, cantik!” Lisa menaikan ibu jari
tangan kanannya.
Di kampung, emak dan ayah Lisa
bersiap-siap untuk menerima kunjungan tetamu mereka hari ini. Masakan tengahhari
disiapkan lebih awal agar tetamu dapat menikmati makan tengahhari sebelum
mereka bertolak pulang ke Kuala Lumpur.
“Abang, jangan-jangankan Lisa dah bawa
calon menantu kita sekali... Mana tahu kan?”
“Harapnya macam itulah… Kita ni pun dah
tua,” kata Encik Hamid.
“Apa pula tuanya... Taklah tua sangat…
Cakap sahajalah yang awak tu tak sabar nak menimang cucu kan,” kata Puan
Raudah.
“Semestinya,” jawab Encik Hamid teruja.
“Pukul berapa budak-budak ni keluar dari
pulau?” tanya Puan Raudah kepada suaminya.
“Entahlah... Lisa cakap dalam pukul 10.30
pagi macam itulah...”
“Agak-agak dalam pukul 11 lebih sampailah
mereka tu... Jomlah cepat tolong saya ni...”
“Laa... Kan Surianti ada.... Saya dah
suruh Adam tolong kaitkan buah rambutan depan rumah kita tu... Saya nak pergi
tolong Adam ni. Nanti bolehlah mereka makan dalam perjalanan nanti...”
“Elok sangatlah tu... Buah rambutan tu dah
tak terlarat kita nak makan. Banyak sangat buahnya... Tapi, tolonglah saya
sekejap... Surianti orang gaji awak tu saya dah minta dia ke kedai beli lada
kisar.”
“Yalah... Saya tolong... Tak larat nak
makan awak kata... Nanti balik anak dara awak tu, habislah dia kerjakan buah
rambutan tu.”
“Hahaha... Awak nasihatkan sikit Si Lisa
tu... Jangan makan atas pokok rambutan. Nanti saham jatuh!” Puan Raudah
berkata-kata sambil tangannya ligat membasuh beras.
“Nantilah saya nasihatkan dia... Dah besar
panjang budak tu... Kalaulah arwah Rohayu dan Hamid ada, mesti mereka gembira
tengok anak mereka dah besar,” kata Encik Hamid sayu.
“Nak buat macam mana umur mereka tak
panjang... Sekurangnya kita dapat menjaga mereka berdua... Mujur nama awak dan
arwah Hamid sama... Taklah rakan mereka perasan yang mereka berdua sudah tidak
beribu dan berayah...”
“Itulah... Walaupun mereka tahu kita ni
ibu dan ayah angkat, tapi mereka sangat patuh pada kitakan... Semoga ada hikmah
disebalik penderitaan mereka di atas kehilangan ibu dan abah tercinta...”
“Mudah-mudah...”
“ Irfan, awak ok tak ni?” tanya Lisa cemas
sebaik sahaja Irfan muntah-muntah sebaik sahaja tiba di Jeti Marang.
Encik Fuad menepuk perlahan belakang
Irfan. Irfan masih mengeluarkan isi perutnya.
“Mabuk laut ni,” kata Encik Fuad.
“Masa datang hari tu, ok... Takkan hari ni
mabuk laut pula,” kata Lisa risau.
“Eh, panas ni,” kata Encik Fuad sebaik
sahaja menjamah dahi Irfan. Badan Irfan kelihatan sedikit menggigil.
“Aku demam,” kata Irfan perlahan.
“Demam? Macam mana nak balik ke Kuala
Lumpur kalau demam?” tanya Daus.
“Aah... Bahaya ni kalau memandu seorang
diri,” kata Encik Fuad risau.
“Habis tu macam mana?” Raizal berfikir.
“Haa... Apa kata kalau Irfan tinggal rumah
Lisa buat sementara. Lagi pun, Irfan cuti panjang,” cadang Raizal.
“Rumah Lisa? Ermm... Nantilah kita tanya
emak dan ayah Lisa,” kata Lisa kurang selesa.
Irfan duduk dibangku yang disediakan.
Kepalanya begitu pening.
“Kalau tak boleh tumpang rumah kau, kau
campaklah aku dekat mana-mana hotel dekat sini... Lisa, kau bawa kereta aku
boleh? Aku rasa aku tak boleh memandu ni... Kepala ni rasa sakit sangat,” Irfan
menghulurkan kunci kereta pada Lisa.
“Kalau macam tu kita ke klinik dahululah,”
cadang Lisa.
“Tak
payahlah... Nanti mereka ni lambat pula nak bertolak ke Kuala Lumpur... Lagipun
aku dah telan ubat demam yang aku bawa.”
“Oklah...
Jomlah kita gerak ke rumah Lisa...” Lisa mengukir senyuman nipis.
Tanpa berlengah lagi, mereka mengangkat
barang-barang mereka menuju ke tempat letak kereta.
“Betul ke ni awak tak boleh memandu?” tanya
Lisa curiga. Laju sahaja tangannya menyentuh dahi Irfan. Irfan agak terkejut
dengan tindakan Lisa.
“Tak panas pun?” kata Lisa sambil merenung
Irfan dengan tanda tanya.
“Kau ni nama sahaja jururawat! Tak semestinya
kalau demam badan akan panas... Tengok sekarang ni, aku pakai baju sejuk. Aku
sejuk tahu tak?!”
“Yalah... Sakit-sakit pun nak marahkan
orang. Saya cucuk awak dengan jarum baru awak tahu...” Lisa menjeling ala-ala
merajuk.
Irfan hanya tersengih. Dia menunjukkan
isyarat tanda bagus kepada Encik Fuad dan yang lain tanpa Lisa melihat
kelakuannya.
Lisa dan Irfan memasuki kereta lalu enjin
kereta dihidupkan. Lisa memeriksa terlebih dahulu kedudukan butang signal,brek
dan sebagainya. Maklumlah Lisa tidak biasa membawa kereta Audi TT-RS Roadster
dan ini adalah pengalaman pertama dan dia tidak boleh main redah begitu sahaja.
Kereta mengundur ke belakang. Lisa mula memulakan pemanduannya.
“Lisa, laju sikit boleh tak... Aku rasa
macam nak muntah. Kalau laju, cepat sikit sampai...”
“Apa? Nak muntah?” cepat-cepat Lisa memberikan signal berhenti di bahu
jalan.
“Haa... Cepatlah muntah... Kita tak boleh
berhenti lama dekat sini...”
Irfan terus keluar dari kereta menuju ke
longkang. Segala isi perut dikeluarkan. Bau longkang tersebut banyak membantu dirinya mengeluarkan isi
perut.
“Hebat lakonan anak Puan Elinna ni,” puji
Encik Fuad di dalam Toyota Alphad yang turut berhenti di bahu jalan.
“Hahaha… Tak pasal-pasal kita pun dapat
dosa menipu,” tambah Raizal.
“Apa? Lakonan?” tanya Mimi hairan.
“Sebenarnya, Encik Irfan kita tu dah berpakat dengan kami sengaja nak kenakan Lisa. Lagipun, Encik
Irfan cakap, Lisa adalah calon menantu kepada Puan Elinna…”
“Apa? Calon?” tanya Wanda sedikit
terkejut. Selama ini tiada ura yang
mengatakan mereka bercinta dan Encik Irfan bukanlah jenis lelaki yang
melayan perempuan. Perempuan yang cuba berdamping dengannya semuanya ditolak
mentah-mentah.
Raizal menganggukkan kepala.
“Ini baru calon... Bukan bakal menantu...
Irfan kata dia nak bermalam di rumah Lisa... Kalau dah bermalam, maka senanglah
Irfan menyiasat latar belakang Lisa. Kalau sesuai terus naik pangkat jadi bakal
menantu! Cik Lisa tu cantik orangnya... Baik pula tu... Sesuai sangatlah mereka
berdua,” kata Raizal beria.
“Nampaknya Encik Fuad kena
bersiap-sedialah nak reka designbaju
pengantin yang baru,” kata Mimi teruja.
“Eh, nanti kita semua tolonglah kuatkan
fakta kenapa Encik Irfan harus tinggal di rumah Lisa,” pinta Daus.
“Ok... Tiada hallah,” kata Wanda.
“Eh, aku tengok Encik Irfan ni semakin
menjadi-jadi pula muntah dia...”
“Apa taknya... Dah dia muntah tepi
longkang macam tu... Itu mesti sebab dia tak tahan dengan bau longkang tu…
Hahahaha… Kau tengok Lisa tu, dia pun tutup hidung... Rasanya, kalau Lisa tahu
Irfan menipu, mesti dia tendang Irfan masuk ke dalam longkang tu! Hahahaha..,” Jayjay
berseloroh.
“Hahahahaha...,” ketawa mereka bersatu.
“Ok, Dah-dah... Lisa datang…”
Cermin Toyota Alphad diturunkan. Sebaik
sahaja cermin diturunkan, bunyi bising kenderaan diluar terus menerjah ke
lubang telinga.
“Irfan ok tak Lisa?” tanya Wanda.
“Entahlah... Ok kut… Dalam 5 minit lagi
kita sampai... Dah dekat ni dengan rumah Lisa... Ada air tak?” suara Lisa tenggelam timbul dengan bunyi bising
kenderaan yang lalu-lalang.
“Ada... Nah.” Sebotol air mineral
dihulurkan kepada Lisa.
Lisa menuju ke kereta dan air tersebut
dihulurkan kepada Irfan yang kelihatan tidak bermaya.
Lisa meneruskan pemanduan. Tidak lama
kemudian, kereta mula melalui jalan kampung. Permandangan sawah yang telah lama
tidak diusahakan begitu menghijau dengan tanaman rumput yang sengaja ditanam
sebagai makanan kepada lembu dan kuda. Kereta mula memasuki perkarangan banglo
setingkat yang boleh dikatakan agak besar.
“Emak!!! Kak Lisa dah sampai!!” jerit Adam
Mikhail, adik Lisa yang 7 tahun lebih muda berbanding Lisa dari perkarangan
rumah.
Puan Raudah terus berlari keluar dari
rumah. Hatinya begitu gembira melihat kepulangan Lisa.
“Apa khabar ayah?” Lisa bersalaman dengan
Encik Hamid yang duduk dibangku mengikat buah rambutan.
“Baik...” Encik Hamid tersenyum lebar.
“Gemuk adik akak ni sekarang...” Adam,
adik yang dikasihinya sejak dahulu dipeluk erat.
Setibanya Puan Raudah di halaman rumah,
mereka berpelukan mesra. Pipi Puan Raudah dicium Lisa berkali-kali manakala
Irfan dan yang lain keluar bersalaman dengan tuan rumah. Kemesraan Lisa bersama
keluarganya sangat mencuit hati. Irfan
meneliti wajah Puan Raudah dan Encik Hamid. Irfan tersenyum sendiri. Wajah yang
penuh dengan kasih sayang. Namun hati Irfan sedikit gusar sepertinya dia
mengenali wajah kedua orang tua Lisa.
“Mungkinkah Lisa... Ah, tak mungkin!”
Irfan menepis andaian yang cuba bermain di mindanya.
“Yang mana satu Irfan ni,” tanya ayah
Lisa.
“Saya,” jawab Irfan sambil wajahnya
mengukir senyuman.
“Anak ni macam tak sihat... Demam ke?” tanya
ayah Lisa.
“Aah... Dia demam pak cik,” jawab Wanda
cuba menolong Irfan.
“Macam mana nak balik, kalau demam...
Kuala Lumpur tu jauh,” tanya Puan Raudah risau. Lisa di sisi Puan Raudah hanya
diam membisu. Biarlah emak dah ayahnya menguruskan Irfan. Rambutan di dalam
bakul sudah dicapai Lisa. Lisa mendongakkan kepala ke atas.
“Wah, lebatnya buah,” Lisa sudah
berkira-kira untuk memanjat pokok ini setelah tetamu yang hadir pulang.
“Boleh... Tak ada masalah mak,” Adam
tersenyum.
“Apa yang boleh ni?” tanya Lisa yang sudah
terlepas mendengar perbualan mereka.
“Abang Irfan tumpang bilik Adam,” jawab
Adam gembira.
Wajah kacak Irfan mengukir senyuman sebaik
sahaja Lisa memandang dirinya.
“Tumpang?” tanya Lisa yang masih tidak
jelas dengan jawapan yang diberikan Adam.
“Dahlah... Jemput masuk ke dalam…
Bersembang dekat luar pula kita ni... Dahlah panas... Jemput masuk semua,”
pelawa Pak Cik Hamid.
Lisa terpinga-pinga diluar.
“Kak Lisa, Abang Irfan tu, teman lelaki Kak
Lisa ke?”
“Eh,taklah... Jangan nak mengarut! Jom angkat beg Kak Lisa
masuk kedalam,” kata Lisa sambil membuka bonet kereta.
“Sekali dengan beg Abang Irfanlah... Dia
tumpang rumah kita sampai dia sembuh...”
“Emak dan ayah izinkan ke?” tanya Lisa
tidak senang namun suara masih diperlahankan.
“Emak dan ayahlah tu yang pelawa...
Tambah-tambah lagi Abang Irfan bawa kereta seorang diri macam ni... Bahaya
pulang seorang... Lagipun diakan demam...”
“Alah...
Bukannya susah pun... Rakan yang lainkan boleh tolong bawakan kereta dia tu...”
Lisa masih tidak puas hati.
“Yang lain semua cakap tak pandai bawa
kereta Abang Irfan ni... Tadi Kak Lisa ke yang pandu? Untunglah orang tu dapat
bawa kereta mewah macam ni...”
“Dah, banyak cakap pula dia ni... Jom
masuk ke dalam... Emak masak apa hari
ni?”
“Tak tahu... Adam dari pagi tadi duduk
dekat luar ni kait buah rambutan dengan ayah...”
“Nanti kita panjat pokok ni... Geram Kak
Lisa tengok pokok ni. Lebat pula buahnya tahun ni...”
“Tak payah panjatlah Kak Lisa... Semuanya
dah dikait...”
“Makan atas pokok baru seronok,” Lisa
melangkah masuk ke dalam rumah.
“Beg Irfan dah bawa masuk ke?” sapa ayah
Lisa.
“Dah... Ini dia. Adam bawa masuk ke dalam
bilik dulu ayah,” jawab Adam manakala Lisa duduk bersama mereka diruang tamu.
“Ini kunci kereta awak...” Lisa memberikan
kunci kereta kepada Irfan.
Encik Fuad dan yang lain hanya tersenyum
dengan penuh makna.
Mereka berbual kosong sementara kaum
perempuan menghidangkan makanan yang sudah siap dimasak. Setelah makanan
dihidangkan, mereka menjamu selera sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.
“Terima kasih, pak cik, mak cik, Lisa...
Terima kasih kerana pelawa kami datang ke
rumah,” kata Wanda mewakili yang lain sebelum berangkat pulang.
“Sama-sama... Jangan lupa singgah beli
keropok dekat tempat yang kita singgah hari tu... Keropok dekat situ sedap tau,”pesan
Lisa.
“Nanti kami borong semua...”
“Nah, ini plastik kosong manalah tahu
nanti kamu nak buang kulit rambutan ni,” hulur Puan Raudah.
“Terima kasih... Manis buah rambutan ni mak
cik... Tapi kasihanlah orang yang demam tu... Tak dapat dia makan rambutan...
Nanti takut terkena batuk,” kata Raizal sekadar mengenakan Irfan yang sejak
dari tadi memandang pokok rambutan yang berbuah lebat di halaman rumah Lisa.
Terliur agaknya...
“Tak apa... Nanti ada jururawat yang
tolong jagakan... Mesti cepat sembuh...” Tiba-tiba Adam mencelah.
“Elok sangatlah tu... Lisa, kau cucuk dia
habis-habisan,” kata Mimi.
“Insya-Allah... Tak ada masalah... Itu
kerja senang.” Lisa tersenyum sinis.
Irfan hanya berpura-pura tidak mendengar
perbualan mereka. Hatinya senang kerana perancangannya berjalan dengan lancar.
Setelah bersalaman, mereka masuk ke dalam
Toyata Alphad yang sudah bersedia untuk memulakan pemanduan. Kini, tinggallah
Irfan di rumah Lisa.
“Awak, masuk ke dalamlah... Panas
dekat luar ni,” kata Lisa lembut.
Puan Raudah dan Encik Hamid hanya
tersenyum. Mereka tertanya-tanya adakah mereka berdua mempunyai hubungan yang
istimewa? Pasti pengambaran baju pengantin yang digayakan pasangan ini tempoh
hari nampak begitu ekslusif. Tidak sabar hati tua mereka mahu melihat gambar
baju pengantin yang digayakan Lisa meskipun bukan pakaian pengantin untuk Lisa
dalam erti sebenar.
Lisa masuk ke dalam rumah dan terus ke
dapur. Segala pinggan mangkuk, Lisa letakkan ke dalam sinki. Sudah menjadi
kebiasaan di dalam rumah ini untuk tidak menyerahkan semua tugas di dalam rumah
ini 100% kepada orang gaji. Tuan rumah turut membantu menyelesaikan tugas-tugas
ini. Orang gaji pun manusia dan mereka menganggap Surianti sebahagian daripada
keluarga ini.
“Kak Surianti, tolong Lisa bagi
kucing-kucing makan...”
“Sudah dibagi tadi...”
“Oh ya ke? Kalau macam tu, Kak Surianti
tolong tiarapkan pinggan yang dah kering inilah...” Laju sahaja tangan Lisa
membasuh pinggan di dalam sinki.
“Ini semua biar Kak Surianti basuhlah...
Cik Lisa kan baru sahaja sampai...”
“Tak apalah... Kak Surianti tolong Lisa
tiarapkan pinggan tu...”
“Baiklah...”
Di ruang tamu, Irfan berbual dengan Pak
Cik Hamid. Sesi memperkenalkan diri bermula. Puan Raudah hanya mengeleng kepala
melihat telatah suaminya. Ramah tak bertempat.
“Abang, kan budak tu demam... Bagilah
budak tu rehat,” kata Puan Raudah.
“Lupa pula abang... Nampak sihat pula
budak ni...” Pak Cik Hamid meneliti air muka Irfan.
“Alamak... Pak Cik ni cam ke... Habislah
aku kena halau nanti.” Irfan mulai risau.
“Kalau macam tu, tidurlah dalam bilik...
Adam! Oo Adam…”
“Mana anak awak ni Raudah?”
“Ada, dalam bilik tu... Kemas bilik
agaknya...”
“Eh, tak apalah pak cik, mak cik... Tak
payah susah-susah... Saya kalau demam saya tak boleh tidur petang-petang macam
ni... Nanti makin teruk demam saya ni...”
“Haa... Kalau macam tu, ayah urutkan Irfan
ni,” kata Lisa sebaik sahaja keluar dari dapur.
“Haa... Boleh... Kalau Irfan nak tahu, pak
cik ni pakar mengurut... Biasanya kalau dekat kampung ni, kalau ada orang demam
pak cik pergilah mengurut... Biar lancar perjalanan darah... Cepat sikit sembuh
demam tu.”
“Eh, tak apalah pak cik... Susahkan pak cik
sahaja.”
“Tak ada susahlah... Jom solat dulu...
Lepas tu kita mengurut dekat bawah pokok rambutan tu...”
Irfan tidak dapat membalas kata-kata Encik
Hamid.
“Lisaa... Mana pula Lisa ni?” tanya Pak
Cik Hamid sebaik sahaja panggilannya tidak bersahut.
“Lisa dah masuk dalam bilik... Nak solat
agaknya... Kenapa, bang?”
“Saya nak suruh Lisa ambilkan minyak
mengurut tu...”
“Tak apa, nanti saya ambilkan,” kata Puan
Raudah. Itulah kerja sampingan suaminya.
Sejak mempunyai pekerja sendiri di ladang kelapa sawit, suaminya
mempunyai banyak masa lapang. Masa lapangnya diisi dengan mengurut orang yang
memerlukan khidmatnya tanpa mengambil upah. Cukuplah sekadar membantu.
“Abang Irfan... Masuklah bilik saya tu...
Maaflah bersepah sikit,” kata Adam menjemput Irfan menggunakan biliknya.
“Tak apa... Biasalah tu, orang bujang,”
kata Irfan walaupun pada hakikatnya dia tidak suka bilik yang bersepah. Tapi,
tak kanlah dia nak menegur. Inikan rumah orang...
Irfan
melangkah memasuki bilik Adam.
“Tak
adalah bersepah pun... Kemas!” puji Irfan.
“Kalau
abang nak tidur, tidur sahajalah atas katil Adam ni... Abang rehatlah... Untuk arah kiblat, ikut
arah sini... ” Adam menunjukkan arah
kiblat.
“Ok, terima kasih...”
“Abang, bilik air dekat sini tau...” Adam
menunjukkan bilik air yang agak tersorot didalam biliknya. Kalau tidak
diperhatikan betul-betul, memang tidak nampak kerana ia terlindung disebalik
almari yang sengaja diletakkan di situ.
Irfan menggangguk tanda faham. Adam keluar
dari bilik bagi memberikan privasi kepada tetamunya.
Di dalam bilik, Irfan mengeluh sendirian.
“Mengurut? Matilah aku... Mesti pak cik
tahu aku ni tak demam. Tapi, nasib baiklah kaki aku ni sakit sebab terlebih
jalan... Bolehlah coverdemam aku ni...”
Irfan mulai risau.
Irfan mula mengambil wuduk untuk Solat Fardu
Zohor. Seusai menunaikan solat, Irfan berbaring di katil. Entah macam mana,
matanya terus terlelap. Mungkin perutnya terlalu kenyang. Angin dari sawah yang
terbentang luas menerjah masuk ke dalam kamar memberikan satu suasana yang
begitu nyaman serta mengulit lena di siang hari.
“Adam,
mana Abang Irfan?” tanya Pak Cik Hamid yang telah lama menunggu di beranda
rumah.
“Ada dekat dalam bilik... Tidur agaknya...”
“Tidur? Tadi janji nak mengurut...”
“Sekejap ayah... Adam panggilkan...”
Adam
menyelak langsir yang menutupi daun pintu. Begitu lena Irfan melelapkan mata.
Adam memberanikan diri mengejutkan Irfan yang lena tidur dikatilnya.
“Abang... Abang Irfan...” Adam
menggoyangkan sedikit bahu Irfan.
Irfan tidak memberikan sebarang respon.
Adam masih cuba mengejutkan Irfan berkali-kali.
“Biarlah dia tidur Adam. Biasalah tu orang
demam... Biar Abang Irfan rehat... Jom, kita keluar... Asar nanti, kita
kejutkan dia balik. Tidur lepas Asar takut semakin menjadi-jadi demamnya,” kata
Encik Hamid di muka pintu.
“Baiklah, ayah...” Adam meninggalkan Irfan
dan sejurus selepas itu pintu bilik ditutup. Sebaik sahaja pintu bilik ditutup,
Irfan membuka matanya.
“Fuhhhhhh... Selamat...” Irfan masih lagi
dalam pembaringan. Dia tidak akan bangun dari katil, bimbang jika Adam
atau Encik Hamid kembali menerjah masuk
ke dalam bilik.