BAB
22Tepat jam 12.30
tengahari Irfan menunggu kehadiran Lisa di butik mamanya. Hanya waktu ini
sahaja Irfan boleh hadir ke Butik Elis memandangkan dia juga mempunyai tugas di
firma guaman.
Sementara
menunggu kehadiran Lisa, Irfan berbincang dengan fotografer terlebih dahulu tentang
lokasi pengambaran mereka nanti. Berdasarkan konsep rekaan baju yang lebih
kepada warna alam semula jadi mereka memilih untuk mengadakan pengambaran di
Terengganu memandangkan negeri berkenaan kaya dengan pulau-pulau yang cantik.
Mereka juga turut mahu bercuti ke negeri itu. Kata orang, sambil menyelam minum
air.
Tidak beberapa
lama kemudian pintu bilik diketuk. Lisa tercegat diluar pintu bersama senyuman
manisnya.
“Haa... Lisa,
masuklah,” pelawa Irfan.
Lisa melangkah
masuk ke dalam bilik mesyuarat kecil yang telah dipenuhi oleh 5 orang lelaki
dan 1 orang perempuan. Lisa bersalaman dengan perempuan yang berada disisi
Irfan.
“Duduklah,”
pelawa wanita berkenaan. Mesra senyumannya.
Lisa mengambil
tempat bersebelahan wanita berkenaan.
“Maaf, saya
lambat,” kata Lisa memulakan bicara.
“Tak ada hallah…
Kami bukan mesyuarat secara rasmi tapi berbincang secara sepintas lalu,” kata
Irfan.
Lisa mengangguk
faham. Lega hatinya. Ingatkan dia sudah terlambat.
“Ok, perkenalkan
ini model kita. Lisa boleh perkenalkan diri?”
“Assalamualaikum…”
Lisa memulakan bicara.
“Waalaikumusslam....”
“Nama saya Lisa
Amira Natasya binti Abdul Hamid. Saya berusia 23 tahun. Berasal dari Terengganu
dan bekerja sebagai seorang jururawat. Saya tidak pernah menceburi bidang
peragaaan tetapi sangat berminat didalam bidang ini. Insya-Allah saya akan cuba
yang terbaik.”
Mereka mengagumi
kecantikan Lisa. Wajahnya begitu fotogenik.
“Awak berasal
dari Terengganu… Jadi, senanglah kerja kita,” kata Wanda.
“Kenapa?” tanya
Lisa.
“Kami dah
putuskan untuk mengadakan lokasi pengambaran di Terengganu.”
“Owhh… Negeri
saya tu,” jawab Lisa teruja.
“Awak rasa pulau
mana yang boleh kita pergi? Kalau boleh pulau tu kurang orang.... Biar ia nampak
lebih semula jadi dan tenang.”
“Owh, banyak
pulau disana.... Antaranya Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol, Pulau
Kapas, Pulau Gemia, Pulau Bidong.... Kalau nak pulau yang kurang dikunjungi
orang saya rasa kita boleh pergi ke Pulau Gemia. Pulau Gemia bersebelahan
dengan Pulau Kapas. Hanya satu resort sahaja yang didirikan dan Pulau Gemia ni
merupakan pulau persendirian. Saya rasa Pulau Gemia sesuai untuk pengambaran....
Tempatnya berbatu-batu dan airnya sangat jernih.”
“Ok, Pulau Gemia…
Nanti kita periksa melalui internet dan kita akan buat tempahan,” kata Irfan.
“Oklah semua.... Saya dah nak masuk pejabat
ni. Wanda, tolong uruskan Lisa. Minta dia tandatangan kontrak sebagai model
butik kita. Yang selebihnya saya serahkan kepada awak,” kata Irfan sambil
menghulurkan satu dokumen kepada Wanda.
Irfan berlalu
keluar dari butik berkenaan. Jam 2 petang nanti dia perlu masuk bekerja dan
untuk sekarang dia harus mengisi perutnya seterusnya menunaikan solat Zohor.
Lisa telah
menandatangani kontrak butik berkenaan setelah membaca semua syarat yang
ditetapkan. Hatinya begitu teruja dengan pekerjaan barunya.
“Lisa, perkenalkan
saya Wanda selaku setiausaha butik ini, ini Daus dan Raizal selaku fotografer
butik ini. Manakala ini pula Encik Fuad selaku pereka fesyen butik dan ini Jayjay selaku pembantu Encik Fuad,”
kata Wanda memperkenalkan barisan pekerja di butik berkenaan.
“Lisa, kalau
boleh awak minta cuti dalam satu minggu untuk menjalani sesi pengambaran ini ya....
Saya tahu jururawat memang susah nak minta cuti kan. Jadi saya rasa awak perlu buat
permohonan awal,” kata Encik Fuad.
“Macam mana Encik
Fuad tahu jururawat susah nak dapatkan cuti?”
“Kalau nak tahu isteri
saya juga seorang jururawat. Kalau nak
bercuti dengan dia memang susahlah. Jadi, awak buatlah permohonan awal supaya
senang ketua awak nak mengatur tugas. Jadi senang kerja awak Lisa,” kata Encik
Fuad seperti begitu mengetahui selok belok pengurusan wad. Almaklumlah isterinyakan
jururawat.
“Baiklah, saya
akan membuat permohonan awal... Tapi bila tarikh pengambaran kita?”
“Kami akan beritahu
awak secepat mungkin. Mengikut perancangan pertengahan bulan Jun nanti. Bila tarikh tu
dah pasti kami akan khabarkan kepada awak. Kami perlu buat tempahan hotel atau
chalet dululah. Kalau ada tempat tinggal untuk waktu tu, kita kira jadi. Saya
uruskan semua penginapan dan pengakutan kita dalam masa tiga hari,” kata Wanda
dengan penuh berhemah.
“Ada apa-apa
lagi?” tanya Wanda kepada semua. Kontrak yang telah ditandatangani Lisa
disimpan di dalam satu fail.
“Oh ya.... Wanda
awak tolong ambilkan ukuran badan Lisa. Saya nak pastikan baju yang akan dijahit
bersesuaian dengan badannya. Tapi saya rasa bentuk badan dia tiada masalah
memandangkan potongan baju kita mengikut bentuk badan gadis semasa,” kata Encik
Fuad.
“Baiklah Encik
Fuad… Jom Lisa kita ke bilik ukuran di tingkat bawah,”ajak Wanda.
Hon kereta
dibunyikan di depan rumah Lisa. Dr.Haikal sudah tidak sabar untuk bertolak ke
hospital untuk melawat Ustaz Saiful. Tanpa berlengah lagi, Lisa keluar dari
rumah secepatnya. Pintu rumah dikunci sebaiknya.
“Jom...,” ajak
Lisa sebaik melangkah masuk ke dalam kereta Dr.Haikal.
“Macam mana
keadaan Ustaz Saiful Lisa?” tanya Dr.Haikal bimbang. Sudah dua hari Ustaz
Saiful terlantar dihospital dan hari ini baru dia mengetahuinya.
“Semalam saya dan
Huda ada melawatnya. Keadaan Ustaz Saiful stabil cuma dia demam… Kami risau
kalau dia terkena jangkitan kuman. Tapi nasib baiklah ujian makmal negatif.
Mungkin dia demam disebabkan terkejut dengan kejadian tersebut,” jelas Lisa.
“Pelik jugakan…”
“Apa yang pelik?”tanya
Lisa.
“Masa tu awal
lagikan… Perompak tu tak terfikir ke orang masih belum tidur?”
“Sekarang ni nak
merompak dah tak kira waktu Dr.Haikal.... Macam-macam dalam berita. Di
tengah-tengah orang ramai pun boleh merompak dan membunuh. Mungkin disebabkan
rumah sebelah saya kosong, Ustaz Saiful dan Haziq pun tiada dekat rumah dan
awak sendiri pun tiada dekat rumah masa tu… Itu yang mereka tak takut tu...”
“Seram saya
dengar cerita awak pasal Huda tinggal seorang diri dalam rumah. Nasib baik Ustaz
Saiful sampai cepat. Kalau tak entah apa jadi dengan Huda. Masa tu awak ke
mana?”
“Saya keluar
dengan Irfan.... Saya dah ajak Huda ikut sekali, tapi dia tak nak.”
“Awak keluar
dengan Irfan berdua je?”
Lisa
menganggukkan kepala sambil memandang ke depan melihat jalan raya yang penuh
sesak.
“Alamak,
Dr.Haikal cemburu ke?” fikir Lisa setelah menyedari Dr.Haikal tidak lagi
berbicara. Matanya dikerling ke arah Dr.Haikal yang sedang memandu. Hati Lisa
bimbang jika doktor pujan hatinya cemburu.
Dr.Haikal
menggerakkan jarinya distereng kereta. Hatinya sedikit panas mendengar
pengakuan Lisa. Hatinya juga tidak senang dengan Irfan seolah-olah Irfan bakal
menghalang hubungan antara dia dan Lisa. Walaupun Lisa masih belum mengetahui
isi hatinya, suatu hari nanti pasti dia akan melamar gadis disebelahnya ini.