BAB
23Satu persatu kaca
yang pecah cuba dicantum kembali oleh Lisa. Inilah satu-satunya kenangan yang
dia ada tentang ibu dan abahnya. Hanya Si Meon, kucing peliharaannya dan pasu
ini sahaja yang dapat diselamatkan selepas kebakaran berlaku dirumahnya ketika
dia berusia 7 tahun yang telah meragut nyawa ibu dan adiknya.
Memori Lisa
berputar. Air mata mula bertakung di birai matanya.
“Ibu!!!! Ibu!!!”
Lisa meraung diluar rumah sementara api sedang lahap memakan kayu-kayu dinding
rumah.
Tubuh kecilnya cuba
untuk meredah masuk ke dalam api tetapi Lisa dihalang oleh jiran tetangga.
Jiran-jiran dan bomba cuba untuk memadamkan api namun api itu lebih kuat
mengganas memandangkan kayu rumah sudah usang dan ia umpama bahan bakar kepada
api tersebut.
Setelah api padam
tidak ada satu pun yang tinggal kecuali barang-barang yang ada pada dirinya. Kegembiraan
minggu pertama persekolahannya di darjah satu diragut pada hari itu. Orang yang
disayangi telah pergi buat selama-lamanya.
Lisa rebah di
tanah. Kakinya tidak kuat untuk berdiri setelah melihat pasukan bomba mengusung
satu jasad yang sudah rentung. Jasad itu memeluk erat jasad kecil yang juga
turut rentung bersama. Lisa merangkak ke arah jasad ibunya yang telah
diletakkan diatas pengusung oleh Pasukan Bomba...
“Ibu… Bangun ibu…
Ibu……” Lisa menangis disisi ibunya.
Pasukan bomba
cuba untuk menenangkan dirinya. Sayu sungguh melihat anak kecil ini meraung
melepaskan hiba dihati.
“Sabar ya adik… Adik
tinggal dirumah ini berapa orang?” tanya Bomba untuk mencari jika masih ada
lagi mangsa yang terkorban.
“Saya tinggal
dirumah ni bersama ibu dan adik kembar saya…”
“Kembar?”
“Ya, adik
kembar…”
“Teruskan operasi
mencari... Mungkin ada seorang lagi bayi yang menjadi mangsa,” arah bomba tersebut
kepada anggota yang lain.
Lisa duduk setia
disisi ibunya yang sudah ditutupi dengan plastik hitam. Baju sekolahnya yang
putih bersih dijaga sebelum ini sudah mula kotor kehitaman. Tiada orang pun
yang datang memeluk dan menenangkannya. Mungkinkah mereka tidak berani
mendekati jasad ibunya yang sudah rentung? Tangisannya semakin menjadi-jadi.
“Adik.... Dah, jangan
menangis macam ni… Tak baik. Nanti ibu sedih tengok adik meraung-raung macam
ni.” Pegawai Bomba tersebut menyeka air mata yang mengalir dipipi Lisa.
Tatkala ini
hatinya terasa disiat-siat, kenangan bersama ibu sebelum bertolak ke sekolah
pagi tadi adalah kenangan yang terakhir buat dirinya. Tiada lagi ibu yang sudi
memasakkan untuk dirinya walaupun hanya menggoreng sebiji telur. Tiada lagi…
Dia kini sebatang kara. Abah juga telah pergi buat selamanya meskipun begitu
pusaranya belum pernah dilawati mereka berempat dan mereka sendiri tidak tahu
di mana tempatnya.
“Ya Allah…. Apa
dah berlaku ni!!” jerit Puan Raudah panik sebaik sahaja tiba diperkarangan
rumah Lisa. Pasangan suami isteri tersebut begitu terkejut dengan apa yang
berlaku.
“Mak cik!!!” Lisa
berlari menerpa ke arah wanita berkenaan. Tubuh kecilnya dipeluk erat oleh Puan
Raudah.
Tangisan
bayi mula kedengaran. Begitu sayu
tangisan bayi kali ini. Seperti bayi kecil ini mengetahui dia telah
ditinggalkan ibunya buat selama-lamanya.
“Mana ibu kamu
Lisa?” tanya Encik Hamid sambil memberikan bayi yang dipegangnya kepada Puan
Raudah disebelah.
Lisa menunding
jarinya kearah jasad yang telah ditutup dengan plastik hitam.
“Allahhh… Inna
lillahi wa inna ilayhi raji'un…” Lisa dipeluk Encik Hamid. Kasihan anak kecil
ini.
Mereka menapak
menuju ke arah jasad Rohayu iaitu ibu Lisa. Plastik hitam diselak Encik Hamid.
Pilu hatinya apabila melihat wanita yang sudah dianggap seperti adiknya itu
telah rentung sambil mendakap kemas bayinya.
Anggota Bomba
menghampiri Puan Raudah dan Encik Hamid.
“Maaf.... Encik
dan Puan ni kenal rapat ke dengan mangsa?”
“Ya.... Kami
kenal dia dan kami dah anggap dia seperti adik kami sendiri.”
“Sebelum
kejadian, abang dan kakak ada menemui mangsa tak?”
“Ada... Dalam 3
jam sebelum ini. Kami datang ke rumah untuk mengambil bayi Rohayu untuk dibawa
ke klinik kerana demam. Rohayu tidak larat untuk membawa anaknya sendiri ke klinik
memandangkan dia perlu menjaga seorang kembar lagi. Tambahan diluar cuacanya
sangat panas dan Rohayu bimbang kalau anak kembarnya yang lagi satu akan turut
demam. Jadi, dia meminta pertolongan kami untuk membawa bayinya ke klinik,”
jelas Puan Raudah.
Lisa kini lebih
tenang setelah dipujuk oleh kedua pasangan suami isteri ini. Namun, tangisan
adiknya masih belum berhenti sementara Pasukan Bomba telah memberhentikan
pencarian memandangkan adik kembarnya selamat bersama Encik Hamid dan Puan
Raudah.
“Adik, ini sahaja
yang tinggal,” kata Anggota Bomba sambil menghulurkan pasu bunga yang sedikit
pun tidah rosak disebabkan kebakaran tersebut. Cuma pasu tersebut sedikit
kehitaman disebabkan berada di dalam api yang marak. Tetapi apabila ia dilap,
ia pasti berkilat kembali dan akan memancarkan kejernihan kaca biru muda
tersebut.
“Meh aku tolong
kau Lisa,” kata Huda sambil bersila berhadapan dengan Lisa.
Lisa terkejut
dari lamunannya. Air matanya di sapu perlahan.
“Kau menangis
Lisa?” Huda berasa bersalah.
“Tak adalah…”
Lisa masih lagi menyeka air matanya.
“Maaflah Lisa.
Aku tak sengaja… Aku tahu kau sayangkan sangat pasu ni…”
“Ia... Aku faham…
Bukan salah engkau pun… Salah pencuri tu. Tak ada apalah… Kan boleh cantum
balik ni,” kata Lisa menyedapkan hati Huda. Lisa tahu, Huda tidak sengaja
memecahkan pasu kenangan ibu dan abahnya.
“Terima kasih
Lisa.... Tak apa. Kita sama-sama cantumkan pasu ni balik.”
Senyuman mula
menghiasi wajah Lisa. Lega hatinya kerana Huda sudi menolongnya.
“Kau sekarang bukan
main lagi ya.... Rajin betul ke hospital. Bukan kau tak suka ke suasana
hospital?” Lisa memperli Huda cuba menghilangkan rasa sedih di hati.
“Nak buat macam
mana, buah hati sakit....” suara Huda sedikit menggedik.
“Bila Ustaz
Saiful boleh keluar?”
“Tak pasti lagi
Lisa…”
“Kasihan Ustaz
Saiful… Susah juga dia nak bergerak. Kalau terlalu banyak bergerak bimbang
jahitan lukanya akan terbuka. Kalau tak kena cara jaganya boleh terkena
jangkitan kuman,” kata Lisa.
“Itulah yang aku
risaukan Lisa… Insya-Allah tak ada apa-apalah,” kata Huda sambil fokus
mencantumkan kaca-kaca yang pecah.
“Amin… Sama-sama
kita doakan....”
“Kau dengan Dr.Haikal
ada apa-apa ke Lisa? Aku tengok Dr.Haikal tu macam sukakan kau… Dah banyak kali
kamu berdua keluar jogging berduaan... Bukan nak ajak aku pun…”
“Hello.... Bukan
ke kau yang cakap kau malas… Tak ada apa-apalah. Kenapa? Kau tengok macam ada
apa-apa ke?”
“Aaah… Cara Dr.Haikal
pandang kau tu… Eee... Tak bolehlah aku nak jelaskan… Cara mata dia tu... Macam
dia sukakan kau…”
“Ya ke? Aku tak
perasan pun…” Lisa buat muka selamba. Malas nak melayan pertanyaan Huda.
Hakikatnya dia juga tahu cara pandangan lelaki tersebut terhadapnya. Senyuman
lelaki tersebut mampu memperlihatkan isi hatinya. Tetapi Lisa tidak mahu syok
sendiri. Biarlah dia dengar sendiri pengakuan dari lelaki tersebut.
“Engkau ni… Semua
tak perasan. Irfan pun kau sapu…”
“Haaa… Ini dah
fitnah ni! Aku, Dr.Haikal dan Irfan kawan sahaja... Ini yang aku malas nak
berkawan dengan lelaki ni... Kan dah timbul fitnah...” Lisa memasamkan muka.
“Kau jangan
sampai dua-dua lelaki tu bergaduh disebabkan merebut kau Lisa.... Ingat tu…”
“Apa? Ingat aku
cantik sangat ke mereka nak bergaduh disebabkan nakkan aku?”
“Mestilah… Siapa
tak kenal Cik Lisa kita ni... Gadis cantik yang garang. Hanya putera yang gagah
perkasa sahaja yang dapat menawan hati puteri kita ni...” Huda mencuit hidung
mancung Lisa.
“Hahaha...
Cantiklah sangat. Terima kasih… Siapalah si putera yang gagah perkasa tu...”
Lisa meletakkan jarinya didagu buat-buat berfikir.
“Saksikannnn…
Irfan? Atau Dr.Haikal? Jeng jeng jeng…...”
“Entah-entah
orang lain kan... Dia tak muncul lagi…” Lisa menjelirkan lidah.
“Kalau diberi
pilihan kau nakkan Irfan atau Dr.Haikal?” tanya Huda sekadar memancing Lisa.
“Kalau kau?”
“Aku tanya kau,
Lisa...”
“Kau jawab dulu…”
Lisa membuat muka garang.
Huda mengalah...
“Kalau aku, aku
pilih Irfan....”
“Sebab?”
“Sebabnya Irfan
kacak, tinggi, bergaya, gentleman.... Kerja pun sedap peguam tu! Senyuman dan
lesung pipit dia tu… Sempurnalah pada pandangan aku… Sesuailah kalau kamu
berdua bersama, mesti comel kalau bergambar. Dua-dua ada lesung pipit.... Mesti
anak kamu berdua nanti semuanya ada lesung
pipit... Eee... comelnya!!” Huda geram.
“Irfan? Kau pilih
lelaki yang tak ada perikemanusian pada haiwan tu? Dahlah garang… Kau tak takut
ke Huda?”
“Bukan aku nak
kahwin dengan dia pun... Ustaz Saiful nak letak dekat mana… Kau pilih siapa?”
“Aku? Entahlah… Dr.Haikal
kut... Sebab dia seorang yang lemah lembut tutur bicaranya... Kalau dia merawat
pesakit boleh cair hati calon mak mentua tau tak? Dia bersopan…”
“Irfan bersopan
jugakan?” belum sempat Lisa habiskan kata-kata Huda sudah menyamput.
“Entahlah... Wehh...
Aku tak pandailah nak menilai lelaki ni... Lagipun bukan mereka nak kahwin
dengan aku pun kan...”
Huda hanya
ketawa. Dia tahu Lisa sukakan Dr.Haikal. Satu tempat kerja menjadikan mereka
lebih akrab. Tapi dihati Huda, Irfan sangat sesuai jika bersama dengan Lisa.
Tunggulah jodoh Lisa sampai... Irfan atau Dr.Haikal?
“Lisa, aku ada
sesuatu untuk kau,” kata Huda.
“Wah, ada hadiah
ke?” Lisa tersenyum.
“Bukan…” Wajah
Huda serius.
Lisa merasakan
hatinya berdebar saat ini. Pandangan mata Huda menggambarkan seolah-olah Huda
merisaukan sesuatu.
“Sekejap, aku
ambilkan.” Huda mula bangun dari duduk lalu menuju ke arah almari. Laci almari
dibuka. Huda menatap foto lama yang dipegangnya kini.
“Nah,” hulur Huda
kepada Lisa sebaik sahaja Lisa menghampirinya.
Lisa merenung
foto lama yang separuh hangus itu dengan penuh tanda tanya.
“Siapa tu? Aku
pasti, budak perempuan tu bukan kau kan?”
“Mana kau dapat
gambar ni?” Lisa menatap mata Huda untuk kepastian.
“Selepas aku
baling pasu kesayangan kau tu, pasu tu pecah kemudian gambar ini terkeluar....”
“Maknanya, foto
ni dah lama ada dalam pasu tu?”
“Mungkin,”jawab
Huda.
Lisa mula melihat
kesan hangus yang ada pada gambar tersebut. Di dalam foto tersebut terdapat
tiga orang insan. Seorang budak perempuan yang tidak dikenalinya, seorang
wanita yang gambar wajahnya telah hilang di makan api dan seorang lelaki yang
amat dikenalinya iaitu Abahnya.
“Tapi, siapa
perempuan disebelah Abahnya? Siapa budak perempuan ni? Gambar ini seperti
gambar formal sebuah keluarga. Adakah perempuan disebelah Abahnya adalah
ibunya? Tapi, kenapa bukan Lisa sebagai budak perempuan tersebut? Mahu sahaja
dia tanyakan kepada Ibu dan Abahnya. Tapi, ibu dan Abahnya telah tiada. Jadi,
kepada siapa Lisa perlu bertanya? Lisa buntu.
“Ini Abah aku....
Wanita dan budak perempuan ni, aku tak kenal,” Lisa menatap wajah Huda. Hatinya
mula tidak sedap melihat foto tersebut.
“Aku tak dapat
cam siapa perempuan ni.... Gambar wajahnya, hilang. Mungkin ia hangus
disebabkan kebakaran yang berlaku...”
Huda mengangguk,
faham.
“Kau rasa, aku
perlu tanya siapa?”
Huda mengambil
foto tersebut dari tangan Lisa. Tulisan yang tertulis pada foto tersebut
menarik perhatian Huda.
“Tanya pada kedai
gambar ni....” Huda menunjukkan nama kedai foto tersebut.
“Ada lagi ke
kedai ni? Dah berbelas tahun rasanya gambar ni.”
“Insya-Allah,ada...
Nanti kita cari....” Huda tersenyum menyedapkan hati Lisa.
“Dandelion Photo...
Kau rasa kedai ni dekat mana?”tanya Lisa.
“Ermm... Entahlah
Lisa...”
Lisa hanya
tersenyum kelat. Adakah keluarganya ada menyimpan suatu rahsia yang masih tidak
diketahui Lisa?
“Huda, aku rasa
aku nak tanya emak dan ayah angkat akulah pasal ni....”
“Ermm... Bagus
juga cadangan tu... Mungkin juga mereka tahu...”