BAB 7Keesokan harinya Irfan
terus bergegas membersihkan diri setelah sampai di rumah. Dia perlu cepat agar
tidak terlewat untuk ke pejabat.
Di bawah, Puan Elinna
sedia menunggu Irfan dan Iffa Harlina di meja makan. Anak perempuannya itu baru
sahaja pulang dari asrama. Cuti persekolahan telah pun bermula. Jadi, tidaklah
keseorangan Puan Elinna di rumah. Ada jugalah penemannya untuk berkebun di
laman.
Bau nasi goreng dan
kopi panas sungguh menyelerakan. Kopi panas dituangkan Puan Elinna ke dalam
cawan sementara menunggu anak-anaknya turun untuk makan. Nanti tidaklah terlalu
panas untuk mereka minum.
“Aduhhhh.... Sakitlah
Iffa!! Eh, janganlahhhh,” jerit Irfan.
“Eh, kan biasanya Angah
geli bila Iffa geletek....”
Mendengar telatah
anak-anaknya di tingkat atas membuatkan Puan Elinna tersenyum sendirian.
Iffa mengacah lagi
untuk menggeletek Irfan. Sengaja dia mengusik abangnya pagi-pagi begini. Sudah
3 bulan mereka tidak bertemu. Abangnya selalu sibuk, jadi waktu pagi beginilah
Iffa berkesempatan untuk mengusik abangnya.
Irfan menuruni anak
tangga rumah selaju yang mungkin. Kot hitamnya hanya sempat dipakai sebelah
bahu dan briefcast diangkat setinggi
yang mungkin agar kakinya tidak terhalang untuk berlari menuruni anak tangga.
Terasa senak perut Irfan digeletek oleh adiknya. Ia terkena tepat pada kesan
tumbukan yang diterimanya semalam.
“Eh, sudahlah tu Iffa,”
larang Puan Elinna apabila melihat anak bongsunya itu masih beria-ria untuk
mengusik Angahnya. Puan Elinna hanya tersenyum dan mengelengkan kepala. Dia
tahu anak bongsunya itu memang nakal.
“Dah, jom. Makan cepat
sementara nasi ni masih panas,” ajak Puan Elinna.
Mereka bertiga menarik
kerusi untuk duduk. Kot dan briefcastIrfan
diletakkan di kerusi sebelah. Nasi goreng dicedok Irfan kedalam pinggan kosong
dan dihulurkan kepada mama dan adiknya. Puan Elinna memandang kerusi kosong
suaminya.
“Agak-agaknya papa kamu
makan apa ya hari ni?”
“Mama jangan bimbang…
Dekat sana ada orang jaga papa. Makan pun sedap-sedap,” jawab Irfan sambil
tersenyum panjang.
“Ni kenapa senyum
panjang hingga ke telinga ni?”
“Ma, malam ni Irfan
rancang nak temankan papa lagi malam ni,” beritahu Irfan.
“Tak boleh!” Iffa
menyampuk.
“Kenapa pula tak
boleh?” tanya Irfan.
“Malam ni, Iffa yang
nak temankan papa. Angah tak payah temankan. Kan semalam Angah dah temankan…
Malam ni giliran Iffa pula. Lagi pun Iffa tak pernah tidur di hospital tau.”
Irfan menjegilkan mata
pada adiknya.
“Angah cakap tak boleh!
Iffa duduk rumah temankan mama.”
“Maaa… Tengoklah Angah
ni....”
Irfan berharap agar
mamanya menyokongnya. Kalau Iffa temankan papa maka melepaslah peluang untuk
dia menyiasat siapakah jururawat Natasya?
“Betul cakap Angah tu…
Iffa duduk rumah temankan mama ya? Lagi pun papa kan lelaki, biarlah anak
lelakinya yang tolong jagakan. Senang sikit....”
“Iffakan anak papa
juga. So, apa masalahnya ma?”
Puan Elinna memandang
Irfan. Irfan mengelengkan kepala tanda tidak setuju dengan permintaan Iffa.
Nasi goreng disuap Irfan ke dalam mulut lalu dikunyahnya perlahan-lahan. Matanya
masih memandang Puan Elinna memberikan isyarat agar tidak membenarkan Iffa
menunggu papanya.
“Esok, papa dah boleh
pulang tau… Angah tanya doktor semalam. Insya-Allah kalau tak ada apa-apa, papa
dapat pulang. Jadi, bolehlah Iffa jumpa papa. Tengahhari nanti ajak mama pergi
melawat papa kalau Iffa rindukan papa. Tapi, malam ni Angah yang temankan papa.
Muktamad!”
Iffa mencebikkan
mukanya. Dia tahu apabila Angahnya menyebut perkataan muktamad, maka tidak ada
apa lagi yang boleh dipertimbangkan. Iffa terus berdiam diri dan mula untuk
menjamah nasi goreng yang terhidang. Puan Elinna hanya tersenyum melihat
telatah anak-anaknya. Seorang tu peguam, jadi kata-katanya tegas dan tidak
dapat diperbahaskan lagi apabila dia telah membuat keputusan. Nasib baiklah
Alongnya tidak ada disini. Kalau peguam berbicara sesama peguam entah mana satu
yang menang. Along dan Angah merupakan anak lelaki yang tegas. Kasihan Iffa,
tidak ada rezeki untuk mendapat seorang kakak atau adik perempuan. Dia perlu
menuruti kata-kata abang-abangnya di dalam sesuatu hal.
Irfan bangun dari
tempat duduknya untuk beransur ke tempat kerja. Dia mencium tangan mamanya
untuk mendapat berkat dari seorang ibu. Iffa masih memuncungkan mulutnya tanda
menyampah dengan keputusan abangnya.
“Hei, senyumlah sikit
budak comot! Angah dah nak pergi ni,” kata Irfan sambil mencubit pipi adiknya.
“Aduh, sakitlah Angah!”
Irfan sempat mengucup
dahi adiknya sebelum berangkat pergi. Iffa tersenyum sedikit apabila
diperlakukan begitu oleh abangnya. Terasa diri disayangi. Puan Elinna dan Iffa
menuruti langkah Irfan menuju ke kereta.
“Angah, bawa kereta tu hati-hati… Jangan menggatal tengok awek tepi jalan!” pesan
Iffa. Dia tahu Angahnya selalu memandang perempuan ditepi jalan tanpa berkelip
mata. Siap buat hon lagi dekat perempuan tu. Tapi, bila perempuan datang dekat,
dia lari. Entah apa masalah Angahnya itu. Dia sendiri pun tidak faham.
“Ya lah mak nenek.
Nanti Angah pandang depan je,” kata Irfan bersama senyuman terukir di wajah.
Pintu BMW 5 Series itu dibuka dan Irfan hilang disebalik kereta putih tersebut.
Iffa begitu senang hati
melihat abangnya senyum. Cair hatinya. Nasib baiklah Irfan itu abang kandungnya. Kalau tidak Iffa tidak akan
melepaskan peluang untuk mengorat Irfan.
Jam sudah menunjukkan
8.00 pagi. Lisa tersenyum riang memandang bunga dahlia merah yang ditanamnya 2
bulan yang lalu telah berbunga. Pokok tersebut ditanam melalui pucuk mudanya. Selain
itu, ia juga boleh ditanam melalui ubi. Bagi Lisa, menanam melalui ubi agak
terhad kerana untuk menanam melalui ubi, ia menunggu masa yang agak lama untuk
menanti ubi berisi. Sebaliknya jika menanam melalui pucuk muda, ia agak senang
diselenggara memandangkan pokok banyak mengeluarkan pucuk muda yang baru
bertunas. Selepas pucuk muda dipotong, ia perlu segera disemai ke dalam pasu
yang berisi tanah dan diletakkan di tempat yang redup. Insya-Allah dengan
berkat kesabaran penjagaannya, pokok ini akan tumbuh dengan subur.
Walaupun bunganya tidak
sesegar dan sebesar bunga di Cameron Highland, ia masih lagi mempamerkan
keanggunan tersendiri. Lisa menghidu bunga tersebut untuk mendapatkan bau.
“Ermm… Bunga ni tak ada
baulah.” Lisa membelek kelopak bunga yang bewarna kemerahan itu.
Lisa mencapai paip
getah di tanah dan seterusnya pili air dibuka. Siraman dilakukan dengan lembut
agar pokoknya tidak rosak. Laman Lisa tidaklah terlalu banyak pokok bunga. Dia
masih belum berkesempatan untuk membeli pelbagai jenis pokok bunga memandangkan
Lisa mempunyai masa yang terhad. Nak diharapkan Huda, memang tak dapatlah.
Bukan minatnya untuk menjaga pokok-pokok ni. Cuma Huda suka pada binatang. Di dalam
kolam mini kepunyaan Huda, entah sudah berapa ratus ekor ikan guppy menghuni
kolam kecil tersebut. Walaupun tidak terlalu banyak pokok bunga, laman Lisa sudah
boleh dikategorikan sebagai taman indah. Ini disebabkan semua pokok yang
ditanam hidup dengan subur dan mengeluarkan pelbagai aneka jenis bunga.
“Morning, Lisa,” sapa Huda dari muka pintu rumah sambil membawa plastik
berisi makanan ikan.
“Morning,” balas Lisa sambil menghadiahkan senyuman mesra pada Huda.
“Kenapa Lisa tak
kejutkan Huda semalam? Penat Huda tunggu sampai tertidur.”
“Bukan tak nak
kejutkann… Tapi, Lisa tengok Huda macam letih sangat. Tak sampai hati pula nak
kacau tidur Huda,” jawab Lisa sambil meneruskan siraman pada pokok keembongnya
yang terdiri daripada warna ungu, merah jambu dan merah.
Huda hanya berdiam
diri. Dia menfokuskan diri pada isian
makanan ikan ke dalam botol yang
dikhaskan untuk makanan ikan. Sedikit makanan ditabur ke dalam kolam. Mata Huda
ralit melihat telatah ikan-ikannya berebut untuk mendapatkan makanan.
“Engkau marah ke Huda?”
soal Lisa sambil menutup pili air.
“Eh, tak adalah... Tak
marah pun,” balas Huda sambil berpaling pada Lisa.
Lisa turut serta duduk
di bangku kecil bersama Huda. Kolam kecil dijenguk Lisa.
“Bak sini sikit. Aku
pun nak bagi ikan ni makan. Selama seminggu kau tak ada, akulah jadi mak ikan
ni tauuu…”
“Apa pun thankstau tolong jagakan ikan-ikan ni.”
“Apa nak susahnya… Cuma
bagi makan.... Bukannya perlu disuap.” Lisa tersenyum.
“Hah, Lisa… Kucing
siapa dalam rumah tu?”
“Oh itu Tuah namanya.
Lisa jumpa hari tu. Kepala dia luka. Tu yang Lisa bawa balik tu,” beritahu Lisa
sambil menabur makanan ikan ke dalam kolam mini.
“Eh, ceritalah macam mana
engkau boleh jumpa si Tuah tu... Kenapa
bagi nama Tuah? Dah macam Hang Tuah pula,” kata Huda sambil tertawa kecil.
Lisa tanpa berlengah lagi
menceritakan daripada A hinggalah Z.
“Kau jangan main-main
Lisa… Dahlah dia anak pesakit engkau.”
“Itulah yang aku risau.
Dia cakap nak balas dendam untuk semua ini,” kata Lisa sedikit risau.
“No no no…Aku rasa tak akan.”
“Tak akan apa, Huda?”
tanya Lisa hairan.
“Aku rasa dia tak akan
balas dendam. Sebab kau kan cantik. Mesti dia tak sampai hati punya! Kau senyumlah
tunjuk lesung pipit kamu tu. Mesti dia cair punya! Aku gerenti!” kata Huda
sambil memetik jarinya.
“Lesung pipit ni? Cair?
Ok, aku akan cuba…”
Terbayang di mata Huda
macam mana Lisa sahabat baiknya ini berani untuk menggoda seorang lelaki. Dalam
kelembutan gadis ini, ada juga kekasarannya.
“Berani ke?”
“Engkau macam tak tahu
aku ni… Aku kan penakut dengan lelaki… Terutamanya lelaki handsome! Aku cukup takut! Tak tahulah kenapa.... Mungkin aku takut
dengan perasaan aku sendiri atau mungkin aku tak berkeyakinan… Ye ke tak
berkeyakinan? Eh, lantaklah yang mana satu. Yang penting lelaki tu tak kacau
hidup aku,” jawab Lisa sambil menongkah dagu.
“Dia handsome tak?” tanya Huda teruja.
“Ok, terus terang aku
cakap muka diaaaa… Ishh… Malaslah aku nak cakap. Menyampah aku!”kata Lisa.
Padahal hatinya mengakui kekacakan jejaka tersebut. Cuma perangainya sahaja
yang Lisa tidak berkenan. Ada ke patut dia pukul binatang kesayangan
Rasullullah ni.
“Kalau kau cakap macam
ni mesti tak berapa nak handsomelah
tu. Oklah, jom masuk. Aku dah sediakan sarapan. Nasib baiklah hari ni aku cuti…
Kau Lisa shiff apa hari ni?”
“Bestnya... Jomm....
Aku pun dah lapar ni… Aku kerja petang hari ni,” kata Lisa sambil bangun dari
tempat duduknya.