BAB
21Irfan dan Lisa berpandangan
sesama sendiri di dalam kereta. Lampu biru yang bergemerlapan menerangi segenap
kawasan di hadapan mereka kini
menimbulkan tanda tanya. Kereta yang dipandu Irfan mula dilajukan. Hati Lisa
menjadi kurang enak. Terasa lemah sahaja badannya ketika ini.
“Awak, polis tu
macam depan rumah saya sahaja kan?” Lisa menekup kedua belah tangannya ke mulut.
“Bukan kut… Rumah
sebelah tu....” Irfan cuba menyedapkan hati Lisa.
“Rumah sebelah tu,
rumah Ustaz Saiful…” Hati Lisa masih rasa tidak enak.
“Tak... Rumah
sebelah lagi…” Irfan cuba lagi untuk menyedapkan hati Lisa.
“Rumah sebelah
kosong… Mesti rumah saya tu…”
“Bertenang ok...
Kita dah nak sampai ni,” Irfan memandang sekilas ke arah Lisa.
Tiba-tiba sahaja
van ambulans memotong kereta mereka.
“Apa ni? Ambulans
pula ni awak… Mesti ada orang cedera ni,” kata Lisa sebaik sahaja ambulans
memotong kereta mereka.
Irfan hanya
mendiamkan diri. Hatinya juga kurang enak. Pasti sesuatu telah terjadi
berhampiran dengan rumah Lisa. Setelah sampai, kelihatan ramai orang
mengerumuni rumah Lisa. Lisa dan Irfan keluar dari kereta dengan penuh tanda
tanya.
“Awak, rumah
sayalah! Huda!Huda awak!” kata Lisa panik. Tanpa berlengah lagi Lisa berlari
meredah orang ramai.
“Cik, cik tak
boleh masuk… Kami sedang buat kerja.” Seorang pegawai polis cuba menghalang
tindakan Lisa.
“Tapi encik, ini
rumah saya…”
“Rumah kamu?
Tunggu sebentar ya....”
Pegawai tersebut
berbincang dengan seorang pegawai yang lain. Mungkin membincangkan sama ada
ingin membenarkan dia masuk atau tidak.
“Baiklah, cik
boleh masuk tapi jangan usik apa-apa barang. Biarkan keadaan ini buat sementara.
Kami ingin lakukan siasatan,” jelas pegawai polis tersebut.
“Lakukan
siasatan? Apa yang terjadi? Mana Huda?” Persoalan itu terus membelenggu fikiran
Lisa.
Sebaik sahaja
melangkah masuk ke dalam rumah, terdapat beberapa tompokan darah yang masih
basah di lantai. Terasa menggeletar tubuh Lisa ketika ini. Bukan dia tidak
biasa melihat darah tetapi dia memikirkan pasti sesuatu yang buruk telah
terjadi kepada Huda.
Lisa terus
berjalan di dalam rumah mencari Huda. Keadaan rumah berselerakan dimana pasu-pasu
bunga pecah, cermin pecah, kerusi terbalik sepertinya rumah digeledah. Belum
sempat Lisa bertemu dengan Huda, polis telah mengeluarkan dua orang lelaki yang
tidak dikenalinya dari arah dapur menuju ke pintu depan. Lelaki-lelaki tersebut
kelihatan teruk dipukul. Pakaiannya seperti perompak. Kemudian, anggota
kesihatan pula memasuki rumahnya dengan membawa pengusung.
“Ah, pedulikan!
Mana Huda?!” Lisa bertambah panik.
Lisa kaku disitu.
Hanya matanya sahaja digerakkan untuk mencari Huda. Bebola matanya menikam satu
susuk tubuh yang duduk seorang diri di atas tangga. Tanpa berlengah lagi Lisa
menerpa kearah Huda. Huda dipeluk seerat-eratnya. Lega hatinya tidak terkata.
“Kenapa ni?”
tanya Lisa sambil mengusap wajah Huda yang pucat. Huda sepertinya masih
terkejut dan bingung.
Lisa tidak jadi meneruskan
pertanyaan kepada Huda apabila menyedari tubuh kawannya itu sedikit
menggeletar. Kawannya itu dipeluk seerat-eratnya. Huda menangis teresak-esak di
dalam dakapan Lisa.
Tidak lama
kemudian, mata Lisa beralih melihat jasad yang diusung oleh anggota kesihatan
dihadapan matanya.
“Ustaz Saiful?!”
Lisa bangun dari duduk. Dia berlari anak mengejar anggota kesihatan yang sedang
mengusung satu jasad. Lisa cuba memastikan tekaannya.
Lisa menekup
mulutnya. Memang benar jasad tersebut adalah Ustaz Saiful. Perutnya telah
ditusuk pisau. Baju Melayu biru laut yang dipakainya telah basah dengan cecair
yang bewarna merah. Pandangan mata Ustaz Saiful kelihatan begitu lemah sekali
mungkin kesan daripada kehilangan darah yang masih tidak berhenti mengalir.
Teman serumah Ustaz Saiful juga turut berada
di situ membantu memasukkan Ustaz Saiful ke dalam ambulans.
“Kenapa ni
Haziq?” tanya Lisa kepada rakan serumah Ustaz Saiful merangkap jirannya juga
sebaik sahaja ambulans pergi.
“Ustaz Saiful
ditikam semasa cuba menyelamatkan Huda… Maafkan saya, saya perlu ke hospital
sekarang. Saya balik ke rumah dulu untuk mengambil kad pengenalan Ustaz Saiful,”
kata Haziq tergesa-gesa.
Lisa memandang
pemergian Haziq dengan fikiran yang masih bingung.
“Apa sebenarnya
yang terjadi?”fikir Lisa.
Beberapa orang
Pegawai Polis mula meminta keterangan daripada Huda. Lisa hanya memerhatikan
Huda dari jauh. Lisa mula berpaling ke arah Irfan yang sedang bercakap dengan beberapa
orang jirannya. Saat ini, Lisa memerlukan seseorang untuk menemaninya. Entah kenapa
badannya turut menggigil ketakutan.
Irfan meminta
diri sebaik sahaja gadis tersebut
memanggilnya.
“Bertenang ya,”
kata Irfan dengan wajah simpati.
Lisa memegang
kedua belah tangannya yang dirasakan agak sejuk. Mata Lisa sekali lagi beralih
kepada Huda yang masih lagi memberi penerangan kepada Pegawai Polis yang
menyoal. Irfan dan Lisa duduk dibangku sementara menunggu Huda selesai
memberikan keterangan kepada pihak polis. Di dalam rumah, anggota polis yang
lain sedang melakukan siasatan.
“Tadi, saya
nampak Ustaz Saiful diusung… Kenapa tu Lisa?” tanya Irfan.
“Haziq teman
serumah Ustaz Saiful cakap, Ustaz Saiful ditikam semasa cuba menyelamatkan Huda....
Entahlah saya pun tak tahu cerita selanjutnya. Nanti kita tanya Huda,” kata
Lisa risau.
Tidak berapa lama
kemudian, anggota polis meminta untuk bertemu Huda dan Lisa selaku tuan empunya
rumah.
“Kami sudah
mengumpulkan bukti. Terima kasih kerana memberkas perompak tersebut. Kami mengesyaki merekalah perompak
yang telah merompak beberapa buah rumah di kawasan ini tempoh hari,”jelas
pegawai polis.
“Tapi kenapa
kawan saya ditikam?”tanya Irfan.
“Mengikut
keterangan saksi iaitu Huda dan Haziq, Ustaz Saiful telah pun menundukkan
seorang perompak dan seorang lagi itu cuba mempertahankan diri. Jadi, Ustaz
Saiful telah ditikam manakala perompak yang menikam Ustaz Saiful itu telah
dihempuk Huda dengan pasu diatas kepalanya. Kemudian, secepatnya Haziq
bertindak menolong mereka.”
“Kalau macam tu,
rumah kami dah boleh dikemaskan belum?” tanya Lisa.
“Boleh, kami dah
kumpulkan semua bukti. Jadi tak ada masalahlah untuk kamu mengemasnya.”
Lisa dan Huda
tersenyum kelat.
“Kami juga
mengucapkan terima kasih kepada kamu semua. Kalau boleh kamu mesti lebih
berhati-hati. Pastikan pintu-pintu dikunci sebaiknya,” tegas bicara Pegawai
Polis.
“Faham, tuan,”
kata Lisa.
“Bagus… Kalau
macam tu kami bergerak ke balai dahulu.”
“Baiklah… Terima
kasih, tuan.” Irfan bersalaman dengan Pegawai Polis tersebut.
Selepas pemergian
polis berkenaan, semua jiran bersurai. Kini, tinggallah Lisa, Huda dan Irfan di
perkarangan rumah berkenaan. Mereka duduk di bangku taman.
“Macam mana boleh
berlaku ni Huda?”tanya Lisa sebaik sahaja melihat kawannya semakin baik
emosinya.
“Selepas kau
pergi tu, aku tutup lampu tingkat bawah.... Lepas tu aku naik ke tingkat atas
siapkan rekaan. Dalam satu jam kemudian aku dengar Tuah bising dekat tingkat
bawah.”
“Sekejap, Tuah?”
celah Irfan.
“Kucing,” jawab
Lisa tidak sabar menunggu cerita Huda.
“Owh....” Irfan
menggaru telinganya yang gatal digigit nyamuk.
“Aku turunlah
dekat bawah.... Pelik kenapa Tuah mengiau semacam. Lapar ke? Atau dia cari
tuannya? Sampai separuh tangga aku nampak bayang-bayang hitam dari arah dapur.
Bayang-bayang tu seolah-olah hendak menuju ke arah ruang tamu. Aku pun bergegas
naik ke atas dan masuk kedalam bilik. Aku syak, tu pencuri! Pintu aku kunci....
Punyalah bodoh aku, handphone aku pula tertinggal atas meja dekat luar. Aku pun
senyap-senyap keluar dari bilik. Engkau tahu, aku rasa masa tu macam nak
tercabut nyawa! Nasib baiklah masa tu pencuri tu tak naik atas lagi tau!! Aku
pun berlari masuk ke bilik. Pintu aku sendal dengan meja dan macam-macam
lagilah. Aku call Ustaz Saiful....”
“Kenapa tak call aku?”
tanya Lisa.
“Engkaukan jauh
dari rumah.... Ustaz Saiful yang terdekat.”
“Aku call, Ustaz
Saiful tak angkat… Banyak kali aku call dia tak angkat… Aku dah mula risau...
Aku cuba memperingati teknik taekwando yang pernah kita belajar dulu. Nampaknya
aku perlu hadapinya seorang diri. Lepas tu aku dengar seperti barang digeledah.
Mereka sudah ada dibahagian atas!Apa lagi, aku cepat-cepat sembunyikan diri
dalam bilik air... Tak lama kemudian Ustaz Saiful call. Fuhh… Lega… Kebetulan Ustaz
Saiful dan Haziq tiada dirumah tapi mereka dalam perjalanan pulang. Mujurlah Ustaz
Saiful dalam perjalanan pulang dari masjid dan sudah tiba di kawasan perumahan
kita. Sebaik sahaja Ustaz Saiful sampai, dia call aku… Nasib baiklah perompak
tu belum masuk ke dalam bilik aku. Kali ini aku bernasib baik kerana kunci
pendua rumah kita ada dalam beg aku. Selama ni kan aku biasa letak atas almari dekat bawah tu… Aku campakkan kunci tu kepada Ustaz
Saiful dari tingkat atas. Ustaz Saiful dan Haziq pun masuklah kedalam rumah
secepatnya bimbang jika mereka mengapakan aku… Dalam beberapa minit kemudian,
aku dengar pergelutan di tingkat bawah. Aku tanpa berlengah lagi keluar dari
bilik. Aku cuba untuk memasang lampu. Sebaik sahaja lampu dipasang, aku nampak
lelaki bertopeng sedang bergelut dengan Ustaz Saiful. Manakala Haziq berlari
keluar untuk meminta bantuan orang ramai. Seorang perompak tu berjaya
ditumpaskan Ustaz Saiful manakala seorang lagi terus menusukkan pisau pada Ustaz
Saiful dan dia terus cuba untuk melarikan diri. Aku tanpa berlengah cuba
mengejarnya dan terus menghentaknya dengan pasu. Maafkan aku, pasu kesayangan
engkau jadi mangsa....”
“Pasu ibu aku
tu?” tanya Lisa.
Huda mengangguk
bersalah.
“Tak apalah benda
dah nak jadi… Lepas tu apa yang berlaku?” tanya
Lisa.
“Lepas tu pencuri
tu cuba untuk menumbuk aku. Tapi sempat ditangkis oleh Haziq. Pencuri tu tewas
dalam genggaman Haziq… Kemudian, orang ramai cuba untuk menolong Ustaz Saiful
dan perompak tersebut diberkas. Salah seorang dari mereka telah menalefon
hospital dan polis…”
“Seram aku
mendengarnya Huda....” kata Lisa sambil menggosok belakang Huda. Nasib baiklah
tidak terjadi apa-apa dengan kawan baiknya ini.
“Agaknya macam
mana keadaan Ustaz Saiful sekarang ni,” kata Irfan.
“Saya call Ustaz
Saiful sekejap… Tapi tak tahulah boleh dihubungi atau tidak,” kata Huda.
Huda cuba untuk
menalefon Ustaz Saiful. Dicuba beberapa kali. Tapi kali ini ada suara lain yang
menjawabnya.
“Assalamualaikum… Ini Haziq ke?”
“Ya, saya… Haziq
bercakap. Doktor berikan handphone Ustaz Saiful kepada saya.”
“Macam mana
keadaan Ustaz Saiful?”tanya Huda cemas manakala Irfan dan Lisa tekun mendengar
perbualan Huda.
“Alhamdulillah...
Ustaz Saiful selamat... Setakat ini Ustaz Saiful stabil. Cuma dia perlukan
rehat… Dan sebentar lagi doktor akan menjahit luka tikamannya. Nasib baiklah
tikaman tu tidak mengenai organ-organ penting,” jelas Haziq.
“Alhamdulillah…
Terima kasih Haziq. Nanti kalau ada apa-apa berita beritahu Huda ya...”
“Insya-Allah....
Oklah doktor memanggil saya tu. Kalau ada apa-apa saya akan beritahu Huda...
Assalamualaikum...”
“Waalaikumussalam.”
“Macam mana?”
tanya Irfan risau.
“Haziq cakap, Ustaz
Saiful stabil… Cuma dia perlukan rehat. Sebentar lagi doktor akan menjahit luka
tikamannya. Nasib baiklah tikaman tu tidak mengenai organ-organ penting.”
“Alhamdulillah,”
kata Lisa dan Irfan
“Haa… Lisa, kita
nak kemaskan rumah tu bila?”tanya Huda.
“Sekaranglah…
Sebab ada darah kan. Nanti darah tu mengering susah kita nak mencucinya nanti,”jelas
Lisa.
“Darah? Lisaa...
Aku tak boleh la tengok darah.... Engkaulah yang cucikan…”
“Aarhh... Tak ada...
Sama-sama kita cuci…” Lisa bertegas. Dia pun agak seram untuk mencuci darah
hasil daripada perbuatan jenayah. Nasib baik Ustaz Saiful tidak apa-apa.
“Irfan, awak nak
balik dulu baliklah,” beritahu Lisa. Kasihan Irfan, esok nak bekerja.
“Risau pula aku
nak tinggalkan kau berdua ni… Rumah Ustaz Saiful kosong, rumah sebelah ni pun
kosong. Macam mana kalau ada apa-apa berlaku lagi?”
“Tak apa Irfan… Dr.Haikal
ada dibelakang rumah,” kata Huda.
“Dr.Haikal oncall
hari ni Huda,” beritahu Lisa. Ada benar juga kata Irfan.
“Habis tu macam
mana?”tanya Huda.
“Aku temankan kau
berdua....”
“Temankan? Habis
tu awak nak tidur dekat mana?” Lisa sedikit terkejut.
“Dalam keretalah.
Atau kau nak ajak aku tidur dalam rumah kau?” Irfan mengusik Lisa.
“Tak apa ke awak
tidur dalam kereta?” tanya Lisa untuk kepastian.
“Boleh, tak ada
masalah… Jomlah kita kemas rumah sama-sama... Dah dekat pukul 11.30 malam ni,”
ajak Irfan.
Mereka bertiga
memulakan proses pembersihan. Satu persatu perabot disusun semula dan serpihan
kaca disapu dengan berhati-hati. Kesan darah dicuci sebersihnya dengan sabun
pencuci.
Setelah beberapa
jam…
“Alhamdulillah....
Siap pun. Penatnya,” keluh Huda setelah beberapa jam mereka bergotong-royong
membersihkan rumah.
Mereka bertiga
duduk di sofa melepaskan penat. Kipas ligat berpusing. Malam ini terasa panas
sekali.
“Haus tak?”tanya
Lisa.
“Haus juga,” kata
Huda.
“Jom Huda,
temankan aku pergi dapur buatkan air. Takutlah nak pergi sendiri.”
“Jom,” ajak Huda
dan terus bangkit dari sofa.
Irfan teringat
ikan pari bakar di dalam kereta. Dia terus keluar dari rumah untuk mengalihkan
keretanya agar lebih dekat dengan rumah Lisa. Kereta diletakkan betul-betul
dihadapan rumah Lisa. Selesai mengalihkan kenderaan, Irfan mengambil ikan pari
bakar dan di bawa keluar dari keretanya.
“Kita duduk
diluarlah. Panaslah dekat dalam rumah ni…” Lisa mengibas wajahnya dengan
kertas.
“Ok juga… Ini
ikan pari bakar untuk Huda.”
“Waa.... Macam
tahu-tahu sahaja perut ni dah lapar kan? Malam ni belum sempat pun makan... Jomlah
kita makan sama-sama...” kata Huda sambil menghidu bungkusan ditangannya.
“Tak apalah...
Kami dah makan tadi.... Kenyang pun lagi,” kata Irfan.
“Terima kasih tau...”
“Sama-sama....”
Huda membuka
bungkusan makanan. Tanpa berlengah lagi dia terus menyuapkan nasi goreng cina
berlaukkan Ikan Pari Bakar ke dalam mulutnya. Terasa nikmat sekali. Ditambah
pula dengan minuman Milo Ais. Fuhhh… Kalau perut dah lapar, bagi apa pun
semuanya sedap...
Irfan dan Lisa
mengunyah perlahan-laham biskut di dalam mulut. Sesekali mereka mengerling pada
Huda yang sedang menikmati makan malamnya.
“Wongggg!!”
“Wongggg!!”
Irfan terkejut.
“Apa benda tu?”
Irfan mengintai disebalik pasu.
“Katak,” kata
Lisa selamba sambil menghirup Milo Ais ditangan.
“Wongggggg!!”
“Katak apa bunyi
macam tu? Kuat benar bunyinya....” Irfan bertambah hairan.
“Katak yang awak
hadiahkan itulah....” Lisa merenung wajah Irfan. Perasaan geram mulai menguasai
dirinya apabila teringatkan peristiwa semasa dia menerima hadiah pemberian
Irfan.
Irfan hanya mampu
tersengih. Hairan, kenapa katak ini dibela. Tak sangka! Ingatkan Lisa akan
membuangnya.
“Nasib baik saya
tak sakit jantung tau!!” Lisa menjegilkan matanya.
“Hehehe… Kau
marah ke?” tanya Irfan takut.
“Tak pun…
Bolehlah saya ceriakan taman saya ni. Kalau diperdengarkan sedap juga suara
katak ni. Ini mesti nak hujan malam ni. Biasanya macam itulah.... Kalau katak
ni berbunyi mesti akan hujan… Ada baik juga katak ni… Terima kasih sebab
hadiahkan katak ni...”
“Aik... Dia ni
memang berterima kasih atau hanya menyindir?” fikir Irfan.
“Sama-sama....”
jawab Irfan acuh tidak acuh.
Huda cuba menahan ketawanya. Irfan dah
terkena. Padan muka! Ada ke patut hadiahkan katak!
“Awak pasti ke
nak temankan kami malam ni? Hari nak hujan ni....”
“Mestilah.... Tak
kan aku nak tinggalkan kamu berdua. Bimbang juga kalau ada apa-apa berlaku lagi...
Tapi malam ini sahaja tau.”
“Kalau macam tu
saya alihkan kereta saya… Saya letakkan
kereta saya dekat luar pagar dan lepas tu awak masukkan kereta awak ni dekat dalam. Memang nak hujan ni… Kalau
tak, katak ni tak berbunyi,” terang Lisa.
Irfan bangun
untuk mengalihkan keretanya bagi memberi ruang kepada kereta Lisa untuk berundur
keluar. Kereta bertukar tempat. Kini, kereta Irfan berada didalam pagar rumah
manakala kereta Lisa berada diluar rumah. Disudut taman, Huda memberikan
sedikit isi ikan kepada Tuah. Lapar agaknya Tuah ni.
“Eh, macam kenal
kucing ni,” kata Irfan sambil memandang Lisa.
“Mestilah… Inikan
kucing yang awakk…” ayat Lisa tergantung. Sengaja membiarkan Irfan
menyambungnya
“Yang saya pukul
tu?” Irfan menaikkan keningnya.
“Haa… Mengaku pun
pukul kucing…”
“Alah.... Kau pun
apa kurangnya… Sampai lebam perut aku kau tumbuk.”
“Itu untuk
bayaran dendam Tuah,” kata Lisa sambil mendukung kucing kesayangannya.
“Tuah? Tuah,
Abang Irfan minta maaf ya… Pukul Tuah hari tu. Itulah Tuah nakal sangat sampai
calarkan kereta yang abang pinjam,” kata Irfan sambil menggosok kepala Tuah.
Huda di kerusi
tidak dapat mengawal tawanya lagi. Dia ketawa terkekek-kekek. Geli mendengar
ayat Irfan.
“Haa.... Sebagai
bayarannya, Tuah minta Abang Irfan belikan stok makanannya setiap bulan. Whiskas
ataupun Friskis.... Itu makanan kegemaran Tuah tu… Meowww,” ajuk Huda
mewakilkan Tuah.
“Amboi....
Lebih-lebih pula Tuah ni,” kata Irfan sambil ketawa menampakkan keramahannya.
“Lisa pun nak
minta maaf juga… Sebab dah tertumbuk perut awak tempoh hari...”
Irfan agak
terkejut dengan permintaan maaf daripada Lisa. Akhirnya… Dia meminta maaf! Biar
betul? Hatinya yang terbeban dengan perasaan sakit hati dengan perbuatan Lisa
akhirnya berakhir juga. Hati terasa tenang dan tiada lagi perasaan dendam.
“Samalah... Aku
pun nak minta maaf...” Irfan tersenyum.
“Baguslah macam
tu... Bukan main susah lagi kau nak meminta maafkan?”
Lisa hanya
tersenyum.
“Eh, aku nak
tumpang solat sekejap boleh?” tanya Irfan sebaik sahaja melihat Huda selesai
makan.
“Boleh....” jawab
Huda.
Hari sudah lewat
malam dan ada tanda-tanda hujan akan turun. Seusai solat Irfan terus memasuki
keretanya. Matanya terasa berat sekali. Jam sudah menunjukkan 2.15 pagi.
Diluar, hujan turun renyai-renyai dan mungkin akan lebat sebentar lagi kerana
katak sedang galak berbunyi. Tidak tahu sama ada memanggil hujan atau memanggil
pasangan untuk berteman. Irfan menguap. Dia memperbetulkan kedudukan kerusi
kereta. Tingkap kereta sedikit dibuka. Irfan teringat tentang pintu pagar. Dia
tidak pasti sama ada sudah berkunci atau tidak. Irfan keluar sebentar dari
kereta lalu menuju ke arah pintu pagar. Ternyata sudah berkunci.
Dimuka pintu Lisa
berdiri dengan membawa selimut.
“Awak, ini
selimut dan bantal,” hulur Lisa kepada Irfan.
“Terima kasih....”
Irfan menyambut huluran Lisa.
“Ada lagi…
Sekejap...” Lisa berlalu masuk ke dalam rumah.
Sementara
menunggu Lisa, Irfan memasukkan selimut dan bantal ke dalam kereta.
“Ini dia.... Air
masak, Air kotak Laici dan makanan ringan.... Manalah tahu kalau awak tak boleh
tidur atau lapar kan nanti, bolehlah
makan…”
“Hahahaha… Macam-macam…
Kalau macam ni, gemuklah saya esok pagi. Apa pun terima kasih....”
“Kalau tak ada
apa-apa saya masuk dululah,” kata Lisa.
“Kunci pintu tu,”
pesan Irfan.
“Hati-hati tidur
dekat luar tu,” kata Huda dari belakang sambil memegang Tuah.
Pintu rumah
ditutup. Lampu diluar rumah masih terpasang. Jadi tidaklah Irfan kegelapan. Dia
pun takut juga untuk tidur diluar rumah. Manalah tahu kalau perompak lain datang
balik ke... Fuhh.... Seram....
Malam ini, Lisa
dan Huda tidur sebilik. Sebelum mereka tidur sempat lagi mata mereka mengintai
Irfan di bawah. Nasib baiklah Irfan sudi temankan mereka untuk hari ini. Badan
terasa letih sekali. Sudah tiba masanya untuk mereka tidur.
Telefon Huda
berbunyi.
“Hello Huda....
Maaf meganggu.... Awak dah tidur ke?”
“Baru nak tidur....
Kenapa Haziq?”
“Saya nak beritahu,
Ustaz Saiful dalam keadaan kritikal… Dia banyak kehilangan darah dan darah yang
dimasukkan tidak boleh diterima oleh badan Ustaz Saiful. Jadi, Ustaz Saiful
mengalami kekejangan dan doktor sahkan dia dalam keadaan tidak stabil.
Bila-bila masa sahaja Ustaz Saiful boleh pergi.... Boleh tak Huda tolong
ambilkan mak dan ayah Ustaz Saiful di kampung? Tak jauh.... Cuma setengah jam
perjalanan. Saya dah beritahu mak dan ayah Ustaz Saiful. Tapi mereka tidak ada
kenderaan untuk datang.”
Huda mengucap
panjang. Tak sangka perkara ini boleh berlaku. Ada air hangat yang mengalir
dipipinya yang putih bersih.
“Boleh, nanti
Huda pergi ambilkan mak dan ayah Ustaz Saiful.... Nanti tolong hantarkan alamat
kampung Ustaz Saiful.... Oklah Huda akan gerak sekarang.” Huda sebak.
“Terima kasih
Huda... Hati-hati tau....” Haziq memberi pesan.
“Baiklah...
Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam....”
Huda menangis
semahu-mahunya.
Bahunya
digoyang-goyangkan Lisa agar Huda berhenti menangis. Ada ke patut Lisa
menggoyangkan bahu untuk memujuk. Sakitlah…
“Sabarlah Huda...
Macam mana kita nak gerak kalau kau terus menangis macam ni… Bertenang ok…”
Semakin kuat Huda
menangis.
Tiba-tiba sahaja
mukanya terasa sejuk.
“Huda! Huda! Huda!”
jerit Lisa.
Terasa nafasnya
sesak. Tidak mendapat oksigen yang sepatutnya. Kali ini ibu jari kakinya
ditarik dan terasa amat sakit sekali.
“Huda! Huda!”
Huda membuka
matanya. Tuala basah dimukanya dibuang dengan tangan.
“Kenapa ni....
Kau mengigau eaa?” tanya Lisa.
Huda mengerutkan
dahinya. Dia berfikir sebentar. Cepat-cepat telefon disisinya dicapai. Dia
memeriksa jika ada panggilan daripada Haziq. Ternyata rupanya dia hanya
bermimpi. Hanya panggilan dari Haziq ketika memberitahu keadaan Ustaz Saiful
stabil tertera di telefonnya.
“Aku bermimpi Ustaz
Saiful nazak Lisa,” kata Huda sambil memeluk bantal bentuk hati.
“Dahlah tu… Mimpi
sahaja tu... Nah minum air masak ni,” hulur Lisa.
Lisa turun dari
katil setelah menenangkan Huda. Langsir tingkap diselak. Lisa mengintai Irfan
dibawah.
“Lena nampaknya
dia tidur,” bisik hati Lisa.
Jam menunjukkan
pukul 4.30 pagi. Lambat lagi waktu untuk Subuh. Lisa dan Huda menyambung
kembali tidurnya.
Beberapa jam
kemudian, Azan Subuh berkumandang. Lisa bingkas bangun dari katil. Lisa masuk
ke dalam bilik air untuk mengambil wuduk. Selesai mengambil wuduk dia
menunaikan Solat Subuh. Terasa tenang sekali di Subuh hari. Alhamdulillah masih
diberikan nyawa untuk bernafas di bumi ini.
Selesai
menunaikan solat, Lisa mencapai selendang yang sudah tersangkut di penyakut
baju lalu disarungkan ke kepala untuk menemui Irfan dibawah.
“Huda aku turun
bawah sekejap,” beritahu Lisa sebaik sahaja melihat Huda keluar dari bilik air.
“Ok…”
Di bawah Irfan
sudah terjaga dari tidur. Dia menunggu Lisa membuka pintu untuk memulangkan
selimut dan bantal serta menunaikan solat disitu.
“Awak dah
bangun?” kata Lisa sebaik sahaja melihat Irfan sudah berdiri di luar kereta.
“Ia... Dah bangun....
Boleh aku tumpang solat?”
“Owh, boleh… Masuklah,”
pelawa Lisa.
Sebaik sahaja
Irfan memasuki rumah, Lisa membiarkan pintu terbuka luas. Bukan apa tidak manis
orang lelaki datang ke rumah anak dara begini. Tapi tak mengapalah, dia bukan
berdua pun tapi dia juga bersama Huda di rumah itu.
“Maaf, boleh aku
pinjam kain? Sebab aku rasa seluar aku ni terkena najis. Rasanya aku dah
terpijak tahi kucing....”
“Tahi kucing?”
tanya Lisa hairan.
“Aah… Sebab tadi
aku pergi duduk dekat bangku tu sementara tunggu kau bangun.... Lepas tu bau
semerbak... Hahaha... Rupanya tahi kucing.”
“Owhh… Dekat situ
memang kawasan Tuah tu... Maaflah... Sekejap saya naik atas ambilkan kain...”
Lisa tahu Irfan marah.
Lisa bergegas
naik ke atas.
“Alamak… Aku mana
ada kain batik... Kalau ada pun satu sahaja... Itupun aku dah guna....” Lisa
menggaru kepala.
Lisa berpaling
kepada Huda.
“Hurmm… Huda? Dia
lagilah tak ada kain batik. Bukan dia gemar pun pakai kain batik ni. Kain apa
aku nak bagi ni? Kain pelikat lagilah aku tak ada.” Lisa membelek-belek pakaian
didalam almarinya.
“Haaa... Yang ini
bolehlah…”
Lisa keluar bilik
cepat-cepat. Langkahnya terhenti.
“Eh, mana muat
kain skirt labuh ni dia nak pakai… Buatnya terbetas semua benang!”
Lisa masuk
kembali ke dalam biliknya. Kali ini dia mencapai kain yang tersangkut di rak
kain.
“Maaf lambat....
Ini kainnya. Maaf saya tak ada kain pelikat atau batik.... Ini tuala. Awak
masuklah dalam bilik tu... Saya ke dapur,” beritahu Lisa.
“Oklah... Terima
kasih...”
Irfan menukar
seluarnya didalam bilik yang teletak di tingkat bawah. Bilik air didalam bilik
itu digunakan untuk mengambil wuduk. Selesai mengambil wuduk…
“Kain apa putih
ni?” Irfan membelek-belek kain tersebut. Ada ke patut perempuan tak ada kain
batik. Apa, ingat dah tinggal dekat bandar kain batik tak perlu pakai. Ini
warisan nenek moyang kita. Sepatutnya diamalkan. Lagi manis dan sopan. Ala- ala
kampung begitu…”
“Ooo.... Kain
telekung sembahyang perempuan... Ermm… Pakai sahajalah...” Irfan menyarungkan
kain tersebut lalu menunaikan solat.
Jam menunjukkan
pukul 6.45 pagi. Irfan harus pulang sekarang bagi mengelakkan fitnah
jiran-jiran terdekat Lisa dan juga kesesakan jalan raya. Lisa dan Huda begitu
berterima kasih kepadanya. Sebelum pulang, sempat Lisa menyiapkan nasi goreng
untuk sarapan dirumahnya nanti. Oklah juga, lagipun Puan Elinna tiada dirumah
jadi adalah juga sarapan untuk dia makan pagi itu.