BAB
26Irfan melihat
surat permohonan cuti yang telah diluluskan. Lega hatinya. Keputusan yang
ditunggu sejak seminggu yang lalu akhirnya berjawab. Tempoh pengambaran itu
mungkin hanya mengambil masa 4 hari sahaja tetapi Irfan sengaja mengambil cuti
lebih iaitu selama 10 hari. Fikirannya mahu direhatkan buat sementara daripada
memikirkan masalah orang lain dan jauh daripada dunia guaman. Terengganu negeri
yang tidak pernah dilawatinya. Tetapi, untuk kali ini dia berjaya menjejakkan
kaki ke negeri yang terkenal dengan jolokan negeri cantik, budaya menarik itu.
“Lisa… Dia dapat
cuti tak ni?” Irfan memikirkan tentang model butik mamanya. Lupa untuk dia
bertanya perihal cuti gadis tersebut.
Telefon pintarnya
dicapai. Perkataan SINGA BETINA dicari. Irfan menunggu panggilan diangkat
dengan sabar. Kali ini sudah empat panggilan dibuat.
“Haa.... Tak
reti-reti nak angkat telefon?” sergah Irfan sebaik sahaja panggilannya dijawab.
“Haa.... Tak
reti-reti nak bagi salam dulu? Assalamualaikum!”Lisa geram apabila tidurnya
diganggu. Penat berkerja di wad tadi masih terasa.
“Waalaikummussalam…
Tak dengar ke aku call? Lain kali korek tahi telinga tu… Tak pun kuatkan volume
ringtone tu!”marah Irfan. Pantang benar kalau dia call, panggilannya lambat
dijawab.
“Awak ni kenapa?
Membebel mengalahkan mak nenek ni? Datang bulan ke?!” tanya Lisa panas hati.
“Lain kali angkat
cepat bila aku call! Faham?!” panggilan dimatikan.
“Dia ni kenapa?Hishh....
Ganggu betullah…” Lisa kembali memeluk bantal goleknya. Tidur petang ini sungguh
melenakan ditambah pula hujan lebat diluar.
“Baru pukul 3.50
petang…” Lisa melihat jam loceng dibirai katil. Pukul 5.00 petang dia mesti
bangun untuk menonton siri drama yang selalu tertinggal dek kerana bekerja pada
shiff petang.
Telefon Lisa bedering
lagi. Kali ini Lisa hanya membiarkan sahaja umpama nada dering itu mengulit
lenanya. Lisa kembali tenggelam di dalam tidur yang lena.
“Perempuan ni
memang sengaja nak buat aku marah!” bebel Irfan sambil menekan minyak kereta.
Kereta dipecut laju. Lisa dicall lagi tetapi masih tidak dijawab. Jalanraya
mulai sesak dengan deretan kereta. Waktu kemuncak telah pun bermula iaitu waktu
pekerja mulai pulang dari pejabat. Irfan mengeluh sendirian. Jam ditangannya
dilihat. Pukul 5.20 petang. Mujurlah kelmarin keretanya telah diservis untuk
keselamatan perjalanan jarak jauh esok pagi. Hanya pakaiannya sahaja belum
dikemaskan lagi.
Hon kereta
dibunyikan sebaik sahaja tiba dihadapan rumah Lisa. Hujan lebat telah pun reda.
“Dia ni ada di
rumah tak ni? Tingkap tertutup rapat. Kereta ada, mesti tuannya ada…” Irfan
mengintai rumah Lisa dari dalam kereta. Panggilan kali ke 14 dibuat. Masih
tidak berjawab.
Irfan keluar dari
kereta Audi TT-RS Roadsternya. Loceng rumah Lisa ditekan berkali-kali.
“Hah!! Drama
aku!” Lisa melatah di katil apabila dikejutkan dengan bunyi-bunyi yang
mengganggu lenanya. Lisa sepantas kilat bagun dari katil. Laju Lisa menuruni
anak tangga untuk menonton televisyen. Televisyen dihidupkan.
Loceng rumah
dibunyikan lagi oleh Irfan.
“Haishhh Huda ni!! Lupa bawa kunci rumah
lagilah ni!!” marah Lisa apabila diganggu daripada menatap skrin televisyen.
Pintu rumah dibuka tanpa Lisa menoleh keluar. Lisa terus menerpa ke sofa supaya
tidak terlepas daripada menonton hero pujaannya di kaca televisyen.
“Aik? Pintu
dibuka.... Tapi mana orangnya? Assalamualaikum....” Irfan hairan. Pintu pagar
yang tidak berkunci ditolak. Irfan melangkah masuk ke dalam halaman rumah.
“Engkau ni Huda
tak habis-habis lupa bawa kunci rumahkan? Ini kenapa lambat sangat masuk ni?
Cepatlah masuk, silau aku nak tengok tv ni. Tutup pintu tu cepat,” bebel Lisa
sebaik sahaja nampak bayang-bayang seseorang diluar.
Irfan berdehem di
muka pintu tetapi masih tidak didengari oleh Lisa.
“Silaulah Huda… Kenapa
lambat sangat ni?” Lisa bingkas bangun daripada duduknya untuk menutup pintu.
Sebaik sahaja berpaling ke belakang, terbeliak mata Lisa memandang Irfan yang sedang
berdiri di muka pintu.
“Awak??!” Lisa
mencapai alas meja ditepi untuk menutup rambutnya yang panjang mengurai.
“Assalamualaikumm,”
ucap Irfan.
“Baru nak bagi
salam? Dah lama awak buat kerja ni?!” kata Lisa sambil memperbetulkan alas meja
di atas kepalanya.
“Lamalah juga....
Sampaikan cerita tu dah iklan balik,” kata Irfan jujur.
“Tak reti-reti
nak bagi salam?” Lisa menyambung amarahnya yang berbaki daripada panggilan
telefon Irfan sebentar tadi.
“Aku dah bagi
salam. Kau tu yang tak dengar. Aku call pun dah 14 kali.... Tapi kau tak jawab
pun… Pekak ke?”
“Amboi… Manisnya
bahasa. Muka tu nak kena make up ke dengan jari ni? Maaf, saya tidur tadi.”
“Kalau tidur pun agak-agaklah.”
“Ini kenapa
datang? Cepat, cerita saya dah nak main tu....” Lisa berpaling ke kaca televisyen
yang masih menyiarkan iklan.
“Dapat cuti tak?”
tanya Irfan. Air muka kelat sebentar tadi bertukar ceria.
“Eh, mestilah
dapat… 10 hari!”
“10 hari? Samalah
kita… Sengaja ambil cuti lebih. Rehatkan minda.”
“Baguslah....
Nanti bolehlah ronda-ronda Terengganu.”
“Esok aku datang
ambil kau dalam pukul 7.30 pagi. Kita berkumpul di Butik Elis terlebih dahulu
kemudian kita bertolak bersama yang
lain. Kau naik kereta akulah. Sebabnya kakitangan yang lain dah bergerak dalam
sebuah van. Jadi, ruang untuk kita sudah tidak ada.”
Lisa tidak
terfikirkan hal ini sebelum ini. Sebelum ini kalau pulang ke Terengganu pasti
Huda yang memandu. Lisa tidak biasa untuk memandu jauh. Lisa gerun terutamanya
apabila melalui kawasan Janda Baik dan Genting Sepah yang mempunyai struktur
jalan raya yang agak berbukit tinggi dan bercerun. Naik kereta bersama Irfan
untuk perjalanan yang memakan masa selama 6 hingga 7 jam pasti merimaskan....
Berdua? Kalau mak dan ayah tahu, matilah… Bukannya mereka benarkan anak daranya
keluar berdua-duaan dengan lelaki lebih-lebih lagi berduan di dalam kereta
untuk perjalanan yang jauh.
“Kenapa Lisa?”
tanya Irfan sebaik sahaja melihat Lisa termenung jauh.
“Apa kata kalau saya
naik van bersama mereka dan salah seorang daripada mereka naik bersama awak?”
“Tak boleh…”
“Sebabnya?’
“Sebabnya mereka
semuanya lelaki… Kau seorang sahaja perempuan.”
“Wanda dan Mimi?”
“Wanda dan Mimi dah
bertolak pagi tadi untuk menguruskan tempat.”
Lisa mengangguk
perlahan tanda faham. Tiada lagi alasan yang boleh dikemukakan untuk tidak
menaiki kereta bersama Irfan.
“Oklah… Saya
tunggu awak esok. Saya namanya dah ada kereta, tapi tak berani bawa.”
“Aku tahu. Huda
dah beritahu aku tentang hal tu.”
“Huda beritahu?”
“Ya, Huda
beritahu. Oklah cerita kau dah main tu. Aku balik dululah. Apa pun cantik tudung kau tu… Ada class gitu...”
Irfan mengangkat ibu jarinya sambil
melangkah menuju ke arah keretanya
“Kurang asam....”
Lisa mengerling tajam.
“Pintu rumah tu
tutup. Bahaya! Jangan buat macam tadi!” jerit Irfan dari dalam kereta.
Lisa memandang
Irfan yang mula menggerakkan keretanya dengan perasaan malu.
“Nak cakap ni
sahaja pun.... Mesej sahaja kan senang.” Lisa mencampakkan alas meja yang
dipakainya.
Lisa membelokkan
keretanya memasuki pagar hospital. Bau burger dan Chicken chop yang baru dibelinya
tadi memenuhi ruang kereta. Sebaik sahaja kereta diberhentikan, Lisa mencapai
beg plastik disebelah lalu dibawa keluar
bersama. Telefon yang berada di dalam poket seluar jeansnya dikeluarkan .
“Assalamualaikum Dr.Haikal…
Doktor sibuk tak sekarang ni?” tanya Lisa sebaik sahaja panggilannya diangkat.
“Waalaikumussalam.
Sekarang ni saya tidak ada apa-apa kes. Kenapa Lisa?”
“Doktor boleh
turun ke lobi sekejap? Saya ada dekat bawah ni....”
“Oh ya ke....
Saya turun sekarang…”
Lisa senyum
sendirian. Hospital yang diterangi dengan limpahan cahaya ungu dan kuning ini
ditatap Lisa dari tempat letak kereta.
“Cantik juga
tempat aku kerja ni… Kenapa boleh tak perasan?” fikir Lisa.
Lisa melangkah ke
ruang lobi untuk bertemu Dr.Haikal. Kakitangan
yang bertugas di kaunter hanya melemparkan senyuman pada Lisa dan tidak
menghalang kemasukan Lisa ke dalam.
“Cik, kenapa dia
boleh masuk tapi saya tak boleh? Ini tidak adil!” tanya seorang wanita di
kaunter.
“Maafkan saya,
puan.... Dia adalah staf di hospital kami,
jadi dia dibenarkan masuk.”
Lisa mendengar
perbualan di kaunter dari jauh. Walaupun ia jauh tapi masih lagi dapat didengari
disebabkan ruang bawah agak sunyi. Lisa berpatah balik ke kaunter memandangkan Dr.Haikal
belum lagi muncul.
“Kenapa ni?”
tanya Lisa lembut.
“Cik, saya mahu
melawat anak saudara saya....”
“Kenapa dengan
anak saudara puan?”
“Anak saudara
saya kemalangan siang tadi. Saya belum berkesempatan untuk melawatnya. Esok
pagi saya sudah mahu berangkat ke Rusia. Jadi, malam ini sahaja saya dapat
melawat anak saudara saya tu… Tolong cik… Kalau cik tak percaya ini tiket
penerbangan saya untuk esok dan ini kad pengenalan saya.” Wanita ini berkata
dalam keresahan.
Tiket dan kad
pengenalan yang diberi ditatap Lisa.
“Anak saudara
puan berada di wad mana?”
“ICU cik...”
“Puan tunggu
sebentar… Nanti saya tanyakan pada kawan saya. Puan boleh duduk dulu, tapi saya
tak janji sama ada puan boleh masuk atau tidak… Peraturan melawat di ICU agak
ketat puan… Jadi sukar untuk membenarkan pelawat melawat jika bukan pada masa
waktu melawat.”
“Baiklah, saya
faham.... Tapi tolong ya cik. Kalau saya tak melawat dia sekarang, entah bila
lagi saya boleh jumpa dengan dia memandangkan esok saya akan ke luar negara.
Saya cuma berharap umurnya dipanjangkan.”
“Insya-Allah puan…
Kita serahkan segalanya pada Allah. Oklah puan, saya jumpa dengan kawan saya
sekejap. Tiket dan kad pengenalan ni saya pinjam sekejap ya sebagai bukti…”
Lisa meminta diri untuk bertemu Dr.Haikal sebaik sahaja melihat Dr.Haikal
keluar dari lif. Dr.Haikal melangkah menuju ke kaunter bersama senyuman di
bibir sebaik sahaja melihat kelibat Lisa ada di situ.
“Dr.Haikal.... Awak
boleh tolong tak?” tanya Lisa sebaik
sahaja mereka bertemu.
“Tolong apa?”
kata Dr.Haikal sambil bersandar di kaunter.
“Puan ni nak
melawat anak saudaranya di ICU.... Awak tahu kan peraturan ICU… Jadi, boleh tak
awak tolong bawakan puan ni naik ke atas untuk bertemu dengan anak saudaranya.
Malam ini sahaja dia boleh berjumpa dengan anak saudaranya tu.... Esok, dia dah
nak berangkat ke Rusia.... Ini buktinya....” Lisa menghulurkan tiket tersebut
kepada Dr.Haikal.
Dr.Haikal
meneliti tiket tersebut. Dia berfikir sebentar.
“Baiklah. Kebetulan
malam ini saya bertugas di ICU. Tapi sekejap sahaja ya puan… Dalam 10 minit
sahaja. Tak boleh lama.”
“Itu pun sudah
dikira baik doktor. Terima kasih sangat-sangat. Terima kasih, cik.” terpancar
perasaan lega pada wajah wanita tersebut.
“Kalau macam tu
kita naik sekaranglah,” kata Dr.Haikal.
“Lisa, nanti saya
turun balik.” senyuman dilemparkan pada Lisa.
“Ok...”
Sementara
menunggu Dr.Haikal, Lisa menalefon emaknya di kampung. Berita tentang
kepulangannya ke kampung sudah diberitahu semalam. Hari ini dia bercakap
sekadar melaporkan jadual perjalanannya esok. Emak dan ayahnya agak berat untuk
membenarkan Lisa menaiki kereta bersama Irfan memandangkan mereka tidak mengenali
hati budi Irfan lagi. Lisa meyakinkan mereka bahawa Irfan adalah lelaki yang
baik ditambah pula dia bekerja sebagai seorang peguam. Jadi, tahap disiplinnya
tinggi. Agak sukar bagi seorang peguam untuk melakukan jenayah memandangkan
mereka telah dididik berkaitan hukuman undang-undang.
Akhirnya, mereka
membenarkan Lisa untuk pulang bersama dengan Irfan. Irfan juga dipelawa untuk
berkunjung ke rumah. Kata emak dan ayahnya, mahu berkenalan. Manalah tahu boleh
buat menantu… Haish.... Kesitu pula emak dan ayahnya. Nak buat menantu kan tak
pasal-pasal jadi hantu.
Pelbagai jenis
masakan yang diminta Lisa setibanya Lisa di kampung nanti. Terutamanya ayam
masak lemak cili api buatan tangan emaknya. Memang terangkat! Ditambah pula
dengan sambal belacan. Fuuhh! Lisa ketawa riang. Rindunya pada kampung akhirnya
bakal terubat.
“Kirim salam
dekat mak dan ayah awak tu....” tiba-tiba Dr.Haikal bersuara disebelah.
Lisa terkejut
dengan sapaan itu. Entah bila Dr.Haikal ada di situ. Kiriman salam Dr.Haikal
disampaikan pada emak dan ayahnya sebelum panggilan dimatikan.
“Seronok nampak
nak balik ke kampung esok?”
“Eh, mestilah…”
Lisa melemparkan senyuman.
“Ada apa nak
jumpa saya ni?”
“Haa… Ini, saya
belanja awak.... Ini dah makan ke belum?”
“Dah tadi....”
“Tak apalah kalau
dah makan. Simpanlah dulu, bila nak makan panaskan balik.... Mana tahu pukul 2
atau 3 pagi nanti awak lapar kan....”
“Macam tahu-tahu
sahajakan. Terima kasih....” Dr.Haikal menghidu bau makanan yang diberikan.
“Eh, macam mana
dengan pak cik tadi? Yang awak lakukan CPR tu, siang tadi.... Selamat tak?”
“Alhamdulillah…
Dia selamat.”
“Alhamdulillah…
Awak doktor yang hebat!”
“Bukan saya, tapi
Allah yang memanjangkan usianya.... Sekarang ini dia di bawah pantauan ICU.”
Lisa hanya
tersenyum.
“Eh, macam mana
awak tahu? Bukan ke awak dah balik tadi?”
“Memanglah saya
dah balik.... Tapi saya patah balik sebab geram!!”
“Hahahaha… Geram?
Kenapa?” Dr.Haikal buat-buat tanya walhal Dr.Haikal sudah dapat mengagak apa yang
terbuku di hati Lisa. Pasti pasal cermin tu.
“Selama ni....
Awak intai sayalah yer?”
“Intai?” Dr.Haikal
tersengih.
“Pasal cermin dekat
bilik awak tulah.... Kan saya selalu tersenyum-senyum dekat cermin tu. Awak
nampak semualah?”
“Awaklah yang
mengintai. Sebabnya awak yang datang dekat tingkap tu… Hahahaha…”
“Mana saya tahu
tu cermin tipu…” Lisa menunduk malu.
“Tak apa… Saya
suka senyuman awak tu.”
Senyuman itulah
yang membuka hatinya untuk menerima kehadiran wanita setelah hatinya merajuk
dengan insan yang pernah menjadi permaisuri hatinya. Namun, Dr.Haikal
membiarkan waktu untuk menentukan berputikkah cinta antara dia dan Lisa. Dr.Haikal
hanya berserah. Bukan dia tidak mahu berusaha, tetapi pengalaman lalu
mengajarnya agar menyerahkan semuanya kepada Yang Maha Esa. Cinta yang disemai
ketika di zaman universiti telah pun membeku di bawah timbunan salji.
“Bukannya lawa
pun bila saya senyum…” Lisa merendah diri.
“Siapa kata tak
lawa? Ini kalau jadi model ni, mesti boleh jadi model iklan ubat gigi tak pun
model lipstick....” Dr.Haikal berkata ikhlas. Senyuman inilah yang mampu
mengubat hati mana-mana insan yang sedang berduka. Senyuman inilah juga yang
dinantikan oleh pesakit-pesakit di wad. Sejuk hati melihat.
“Haa… Pokok bunga
apa yang awak bagi tu?” Lisa menukar topik. Terasa malu apabila dipuji.
“Kalau awak nak
tahu, jaga pokok tu dengan penuh kasih sayang. Tunggu sampai pokok tu bertunas
dan berbunga… Barulah awak dapat tahu jenis pokok tu. Apabila pokok tu dah
besar, awak tukarlah pasu. Pasu yang saya tanam tu kecil... Nanti awak tahulah
apa rahsia yang saya nak sampaikan. ”
“Main teka-teki
pula.... Entah sempat ke tidak pokok tu bertunas. Entah-entah batang yang awak
semai tu kering macam tu sahaja.”
“Saya tahu macam
mana awak ambil berat tentang pokok. Jadi, saya yakin pokok tu akan sihat
dibawah jagaan tuan barunya!” Dr.Haikal berkata yakin.
“Baiklah… Insya-Allah
saya akan jaga sebaiknya. Kalau tidak saya tak akan tahu apa rahsianya kan?” Lisa mengangkat keningnya.
“Nampak gayanya
macam itulah…” Dr.Haikal ketawa kecil.
“Ermm… Nampaknya
malam ini sahajalah kita bertemu. Orang tu dah nak tinggalkan Malaysia.” Lisa
bersuara sedih.
“Hahaha… Insya-Allah
kita bertemu 1, 2 atau 3 tahun lagi....” Dr.Haikal tersenyum kelat. Pasti rindu
akan bertamu dihati untuk melihat senyuman gadis ini.
“Ada facebook tak?”
tanya Lisa.
“Tak ada…”
“Apalah doktor
ni. Zaman sekarang nenek dekat kampung pun dah ada facebook sendiri. Buatlah
satu… Nanti kalau ada, add akaun Lisa Amira ya?”
“Saya tak minatlah
nak berfacebook macam tu.... Ok, nanti kalau saya ada akaun sendiri saya add awak...
.Oklah Lisa… Maafkan saya. Saya rasa saya perlu naik sekarang. Bimbang kalau ada
pesakit memerlukan saya....” masa agak mencemburui mereka. Tugasan sebagai
doktor haruslah dilakukan sebaiknya.
“Baiklah doktor....
Selamat bekerja dan selamat berangkat ke luar negara.”
“Terima kasih....
Selamat bertemu kembali… Jaga pokok tu baik-baik ya. Saya tanamkan sepenuh
perasaan saya pada pokok tu…” kata Dr.Haikal sambil melangkah beriringan dengan
Lisa menuju ke pintu lif.
“Selamat bertemu
kembali....” terasa sebak untuk melakukan perpisahan.
“Jaga diri
baik-baik… Terima kasih untuk makanan ni. Bila saya pulang nanti saya akan
belanja awak!” kata Dr.Haikal.
“Sama-sama... ”
Lisa menghantar Dr.Haikal
ke pintu lif. Tembok pintu besi telah pun memisahkan pandangan mereka berdua.
Lisa tidak faham dengan perasaan ini. Sepertinya ada sesuatu perkara asing
telah meresap ke dalam hatinya… Entahlah… Dia sendiri pun tidak faham. Dia
keliru antara Dr.Haikal atau Irfan yang sudah berkali-kali melamar dirinya
untuk menjadi teman wanitanya. Bukan itu yang ditunggu Lisa. Lisa menunggu
seorang lelaki yang terus melamar dirinya untuk dijadikan isteri bukan sebagai
teman wanita atau calon isteri. Lisa tidak mahu membuang masa melayan perasaan
yang mungkin dipengaruhi dengan bisikan syaitan. Tetapi hatinya seperti lebih
terbuka kepada Dr.Haikal. Namun, itu mungkin hanya perasaan Lisa seorang dan
tidak bagi Dr.Haikal.