BAB
25Jam sudah
menunjukkan pukul 2.00 petang. Dr.Haikal bergegas ke kaunter jururawat untuk
mencari kelibat Lisa. Ada sesuatu yang ingin dikhabarkan sebelum Lisa bercuti
selama 10 hari. Atas alasan apa Lisa bercuti, Dr.Haikal tidak mengetahuinya.
Sepanjang Lisa bekerja disitu tidak pernah Lisa mengambil cuti walaupun demam
kecualilah cuti itu diberikan kepadanya. 10 hari adalah tempoh cuti yang
panjang. Mungkin disebabkan Lisa seorang jururawat yang jarang mengambil cuti,
jadi ketua jururawat tidak teragak-agak untuk memberikan cuti tersebut.
“Haa… Lisa inipun
awak. Ingatkan awak dah balik,” tegur Dr.Haikal sebaik sahaja tombol pintu
bilik simpanan barang-barang staf dibuka. Stetoskop dibahunya digulung lalu
dimasukkan ke dalam kot putih yang tersarung kemas dibadan tegapnya.
“Ada apa doktor?”
Lisa hairan. Seperti ada sesuatu yang ingin disampaikan Dr.Haikal.
“Esok awak dah
cutikan?”
Lisa
menganggukkan kepala. Lisa sudah tidak sabar untuk bertolak ke Terengganu esok.
Tidak pasti sama ada dia gembira untuk menjalani sesi pengambaran atau pulang
ke kampung halaman.
“Jadi, hari ini
adalah hari terakhir kita berjumpalah.” Nada suara Dr.Haikal sedikit sayu.
“Terakhir??” Lisa
mengerutkan dahinya. Hairan.
“Nasib baik saya
tahu tentang awak nak ke Terengganu ni. Mujurlah saya ada sedikit masa untuk
memberitahu awak sesuatu yang selama ini awak tidak tahu.”
“Kenapa hari ini
hari terakhir?”Lisa mula bertanya.
“Selasa ini saya akan berangkat ke United Kingdom untuk
menyertai program penyelidikan bersama
Profesor Ajib. Penyelidikan tentang sel-sel kanser. Mungkin mengambil masa 2
tahun, 3 tahun, 4 tahun atau lebih.... Tidak pasti lagi…”
Lisa sedikit
tersentap. Maknanya dia akan berpisah dengan Dr.Haikal untuk tempoh yang agak
lama. Hatinya sedikit sebak. Perasaan itu datang dengan sendirinya. Lisa
menundukkan wajahnya. Cuba melindungi perubahan air mukanya.
“Saya ada sesuatu
untuk awak! Hajatnya saya nak ajak awak keluar makan hari ni. Memandangkan awak
akan pulang ke Terengganu esok pagi dan malam ini saya masih oncall, jadi tidak
dapatlah saya meneruskan hajat saya tu. Jadi, saya sediakan sesuatu untuk awak.”
Mata Dr.Haikal cuba menyatakan sesuatu. Namun perasaan itu tidak harus
dinyatakan lagi memandangkan dia akan tinggalkan Malaysia entah untuk berapa
tahun. Biarlah gadis ini bebas dan tidak terikat dengan dirinya. Biarlah waktu
yang akan memberitahu tentang perasaannya terhadap gadis ini.
“Sesuatu untuk
saya?” Lisa tersenyum dalam perasaan yang begitu berat. Dia sendiri keliru
tentang perasaanya terhadap Dr.Haikal. Adakah ini cinta atau hanya perasaan
sebagai kawan. Ada perasaan asing yang cuba untuk membelit tangkai hatinya dan
perasaan itu sukar untuk dimengertikan. Dadanya terasa begitu sesak. Biarlah Dr.Haikal menuturkan bicaranya
terlebih dahulu dan dia tidak akan sesekali bertindak seperti perigi mencari
timba dan dikatakan syok sendiri. Pangkat dirinya tidaklah setanding dengan Dr.Haikal.
Dia doktor yang bijaksana dan berkaliber. Dia hanyalah jururawat yang hanya memegang
segulung diploma. Tengoklah sekarang Dr.Haikal layak ke United Kingdom untuk
melakukan penyelidikan. Namun suatu hari nanti diri ini pasti akan menyambung
pelajaran ke peringkat yang lebih
tinggi.
Dr.Haikal
mengeluarkan kunci dari poket seluarnya dan diberikan kepada Lisa. Lisa
menyambut pemberian Dr.Haikal.
“Kunci apa ni?”
Lisa memegang kunci tersebut. Nak kata kunci kereta, bukan. Kunci motosikal pun
bukan.
“Kunci pejabat
saya…” Dr.Haikal berterus terang.
“Kunci pejabat
doktor? Untuk apa?” Lisa hairan.
“Di dalam bilik saya tu ada satu rahsia yang
saya ingin beritahu awak yang selama ini awak tidak mengetahuinya… Di dalam
bilik saya tu ada anak panah dan arahan yang telah saya tuliskan. Awak masuk ke
dalam, kemudian awak mesti mengikuti arahan dan anak panah tu.... Nanti awak akan tahu apa rahsia yang
saya ingin beritahu awak,” Dr.Haikal
mengukir senyuman penuh rahsia.
Lisa cuba
mentafsir kata-kata Dr.Haikal. Rahsia? Kepalanya bingung.
“Jangan
pening-pening.... Sekarang awak pergi ke bilik saya.... Saya masih ada kerja
yang ingin dilakukan... Saya pergi dulu,” kata Dr.Haikal lalu memusingkan
badannya untuk pergi dari bilik tersebut.
“Oh ya… Kunci tu awak tinggalkan sahaja di atas meja
saya… Nanti saya ambil.” Dr.Haikal berpaling semula lalu melangkah pergi menuju
ke tempat simpanan fail pesakit.
Doktor pujaan
hatinya, ada menyimpan rahsia? Lisa cuba meneka apakah rahsia yang ingin
disampaikan Dr.Haikal. Ada harta karun ke? Mana mungkin.... Lisa tidak sabar
untuk mengetahui rahsia tersebut.
Sebelum melangkah
pergi meninggalkan wad, sempat Dr.Haikal mengucapkan selamat bercuti pada
dirinya walaupun dari jarak yang agak jauh. Lisa hanya melambaikan tangannya
kepada Dr.Haikal sebelum melangkah keluar dari wad. Kakinya terus melangkah menuju
ke arah pejabat Dr.Haikal. Lisa memandang ke kiri dan ke kanan. Bimbang jika
ada mata lain yang melihat dirinya memasuki pejabat doktor dan mengatakan
dirinya telah menceroboh dan berniat jahat. Namun, tiada siapa disitu. Cermin
disebelah pintu dikerling Lisa. Sempat lagi Lisa membaiki tudungnya yang
sedikit senget.
Kemudian, Lisa
memasukkan kunci pada pintu kayu coklat yang tertera nama Dr.Haikal ( Pegawai
Perubatan ). Daun pintu mula ditolak. Lisa menapak kedalam lalu pintu ditutup.
Anak panah dan arahan yang diperkatakan Dr.Haikal dicari.
Lisa tersenyum
apabila memandang ke lantai. Kaki Lisa melangkah perlahan-lahan mengikuti anak
panah yang diconteng menggunakan kapur bewarna putih. Anak panah itu menuju ke
arah meja kerja Dr.Haikal. Terdapat satu notis dikerusi.
SILA DUDUK DI
KERUSI INI.
Tanpa berlengah
lagi, Lisa menarik kerusi beroda dihadapannya lalu melabuhkan punggungnya di
situ. Matanya memandang meja kerja yang dihias dengan arca organ jantung serta
sebuah komputer. Kemas susun aturnya. Kunci bilik yang diberikan tadi
diletakkan di dalam kotak kecil yang terdapat di sebelah telefon pejabat Dr.Haikal.
Terdapat satu
kertas yang dilekatkan dimeja yang ditulis:
SILA PANDANG
KEHADAPAN.
Lisa memandang ke
hadapan. Matanya memandang kearah pintu yang baru dimasukinya tadi. Kemudian
matanya beralih kepada tingkap kaca transparen disebelah pintu tersebut. Terdapat satu notis.
DI SINI.
Lisa terpana.
Jarinya ditekup ke bibir. Perlahan-lahan Lisa bangun dari kerusi lalu kakinya
melangkah ke tempat yang dimaksudkan. Matanya tidak berganjak melihat beberapa
orang jururawat lalu-lalang diluar. Lisa cepat-cepat membuka pintu bilik dan
memandang cermin diluar, kemudian dia masuk kembali ke dalam bilik dan ternyata
dia dapat melihat orang diluar!
“Maknanya…” Lisa
menggigit bibirnya.
“Aaaahhhh...
Cermin ni, cermin tipu!” Lisa menekup mukanya. Saat ini terasa mukanya seakan
disumbat ke dalam mangkuk tandas. Manakan tidak… Selama ini dia telah melaram di hadapan cermin ini. Senyuman yang
dilemparkan kepada cermin ini… Adakah Dr.Haikal telah melihatnya?
“Amboiiii, bukan main
lagi dia senyum! Kalau saya jadi cermin tu, dah lama saya ikut awak balik.
Untung cermin tu!” sergah Dr.Haikal.
“Eh, Dr.Haikal…Kenapa
pula cermin tu untung?” tanya Lisa sedikit hairan.
“Ialah, mana tak untungnya! Tiap-tiap hari ada orang
senyum padanya!”
Tiba-tiba dialog yang
dibualkan suatu ketika dahulu bermain di fikiran Lisa. Lisa terduduk dilantai
cuba mengawal perasaan malu yang mula menyelubunginya. Apa motif Dr.Haikal
memberitahu rahsia ini? Sengaja mahu memalukan dirinya?
Pokok kecil yang berada
didalam pasu plastik putih berdiameter 20 cm dan berketinggian 15 cm menarik
perhatian Lisa. Lisa menghampiri pasu tersebut. Sekeping gambar yang terselit
di dalam pasu tersebut dicapai. Bagaikan nak terkeluar biji mata Lisa apabila
menatap wajah di dalam gambar tersebut.
“Gurauan apakah ini Dr.Haikal!!”
Lisa malu! Gambar membaiki tudung dengan mulut muncung ala-ala duck faceditekup Lisa ke lantai. Sebaik
sahaja gambar itu diterbalikkan ada satu notis dibelakang gambar tersesebut.
IZINKAN SAYA MENYIMPAN GAMBAR
INI SEBAGAI KENANGAN. SALINAN INI UNTUK AWAK.=P
Malunya semakin
menebal. Arrgghhhh!!!
“Pokok apa ni? Macam mana
nak hidup pokok ni kalau diletakkan ditempat yang jauh daripada cahaya
matahari? Dr.Haikal… Dr.Haikal...,” ngomel Lisa kesal dengan Dr.Haikal kerana
tidak pandai menjaga kebajikan pokok yang dibela.
“Kertas apa ni?”Sampul
bewarna putih dibawah pasu ditarik.
KEPADA : LISA
Sampul surat dibuka dan
sekeping kertas putih dikeluarkan.
Assalamualaikum
Lisa…
Inilah
rahsia yang saya maksudkan. Awak jangan marah. Nasihat saya, awak haruslah
berhati-hati apabila menatap cermin. Terutamanya ditempat awam. Awak tahukan
sekarang ini banyak kes yang menjatuhkan maruah seorang perempuan?
Lisa menjerit geram.
Kertas putih dilemparkan ke lantai. Dadanya berombak menahan marah. Kertas
dilantai dicapai semula dan matanya beralih kepada isi surat yang belum dibacanya.
Awak
nampakkan pokok bunga di dalam pasu ni? Pokok ini saya ikhlas hadiahkan kepada
awak. Melalui pokok ini ada satu rahsia yang saya ingin sampaikan.... Hanya
pokok ini sahaja yang dapat mengungkaikan rahsia yang saya maksudkan. Saya
berserah kepada waktu untuk membongkarkan rahsia ini.
Pokok
ini saya baru sahaja semai dan ia adalah pokok bunga pertama yang saya semai
sepanjang hidup saya. Khas buat insan bernama Lisa Amira Natasya binti Abdul
Hamid. Jaga pokok ini sebaiknya kerana pada bunga ini ada rahsianya. Saat pokok
ini membesar dan berbunga awak akan tahu apa rahsianya. Saya yakin sejurus saya
pulang dari United Kingdom nanti awak telah mengetahui apa rahsia yang ingin
saya sampaikan. Saya menunggu jawapan dari mulut awak... JAGA POKOK INI SEBAIKNYA.
Salam perpisahan,
HAIKAL
Kini, matanya
beralih pada pokok bunga yang dimaksudkan.
“Pokok apa ni?”
Lisa meneliti dahan kecil yang kelihatan baru sahaja dipacak ke tanah.
“Daun pun tak
ada… Batang semata-mata.” Lisa menyentuh lembut batang pokok yang telah di semai.
“Eh, ada duri…
Pokok apa ya ada duri?” Lisa berfikir seketika.
“Pokok Limau
Kasturi?” Lisa meneka. Lisa mencium jari yang telah memegang batang pokok tersebut.
Tiada bau seperti limau.
“Pokok bunga kertas!” Lisa meneliti lagi dahan pokok yang
telah disemai Dr.Haikal.
“Ermm.... Mesti
bunga kertas ni. Nantilah aku fikir.” Lisa bangun dari lantai. Matanya melihat
di sekeliling pejabat. Mengintai manalah tahu ada lagi anak panah yang diletakkan.
Ternyata sudah tiada.
Lisa mengangkat pasu untuk dibawa keluar.
Matanya beralih kepada tingkap kaca transparen di sebelah.
“Arrgghhhh!!”Lisa
menjerit geram.
Pintu bilik segera
dibuka lalu Lisa menapak keluar dari bilik tersebut. Cermin disebelah ditenung
lagi.
“Ah, malunya!” kata
Lisa.
Lisa melangkah
laju menuju ke arah Wad Mawar. Dr.Haikal harus disekolahkan. Pasu bunga diletakkan
di luar wad manakala kelibat Dr.Haikal dicari sebaik sahaja Lisa menapak ke
dalam wad.
Sebaik sahaja
menapak ke dalam wad, suasana wad bertukar menjadi kelam-kabut. Trolley
emergency merah ditarik oleh rakan setugas Lisa menuju ke arah katil pesakit
yang telah ditutup dengan langsir bewarna ungu lembut. Lisa berlari anak
mengikuti langkah rakan setugas. Lisa menyelak sedikit langsir untuk melihat keadaan
di dalam. Di situ, Dr.Haikal berusaha melakukan cardiopulmonary resuscitation (CPR)
kepada pak cik yang sudah 2 minggu
menjalani rawatan di wad tersebut.
Bunyi mesin mengesan denyutan jantung
kedengaran begitu membingitkan telinga. Bunyi abnormal tersebut membuatkan
semua hati resah. Mesin SPO2 juga menunjukkan kadar oksigen kurang di dalam
badan dan turut membunyikan penggera. Jururawat yang membantu berusaha
memberikan oksigen dengan menggunakan Bag Valve Mask.
Aliran tranfusi gelafundin jugadialirkan kepada pesakit untuk meningkatkan intravascular
volume disebabkan pesakit mengalami hypovolaemia. Hypovolaemia ialah penurunan
jumlah darah yang beredar di dalam badan.
Pesakit tersebut hanya kaku di tilam dengan
mata tidak tertutup rapat. Sesekali
tubuhnya terhenjut-henjut menerima tekanan CPR yang dilakukan di bahagian dada.
Untuk saat ini, bacaan Electrocardiogram (ECG) tidak menunjukkan tanda-tanda perubahan
yang positif. Tekanan darahnya juga berada pada paras yang membimbangkan.
Lisa
menutup kembali langsir. Matanya dipejam. Lisa melangkah perlahan meninggalkan
katil tersebut.
“Eh, Lisa belum balik
lagi?” sapa rakan setugas.
“Dah nak balik ni....
Ada barang tertinggal. Itu yang berpatah balik ni…” Lisa berbohong. Rakan
setugasnya hanya tersenyum sambil menolak troli ubat ke dalam bilik prosedur.
Dari luar tabir, kuat kedengaran suara Dr.Haikal membilang kiraan CPR.
Begitulah suasana wad. Sekejap tenang, sekejap mencemaskan. Setiap masa
kakitangan sentiasa berada didalam keadaan bersedia tidak kira dari segi
mental, fizikal ataupun peralatan.
Pertemuan kali
pertama diimbas kembali.
“Assalamualaikum,
pak cik... Saya Jururawat Natasya.... Hari
ini rekod kesihatan pak cik lebih baik dari semalam. Alhamdulillah…
Sekarang ini sudah pukul 8.00 pagi. Jadi, masa untuk pak cik makanlah.... Saya
tolong pak cik ya.... Lepas makan nanti saya berikan ubat pada pak cik....”
Lisa memandang simpati pada wajah tua yang tidak sedarkan diri disebabkan ubat
sedatif yang telah diberikan. Pernafasan pak cik ini dibantu dengan mesin
ventilator manakala makanan hanya diberikan melalui tiub nasogastrik yang telah
dimasukkan melalui hidung hingga ke perut.
Sebelum susu khas diberikan melalui tiub
nasogastrik, Lisa membaca doa makan untuk pak cik dihadapannya. Sebaik sahaja
doa makan habis dibacakan, linangan air jernih mengalir melalui hujung mata
insan tua ini. Betullah orang kata, walaupun secara fizikal pesakit ini tidak
sedarkan diri, tetapi dia masih mampu merasai dan mendengar apa orang sekeliling
perkatakan. Jika kita berhadapan dengan pesakit yang koma, kita haruslah
suntikkan kata-kata positif kepadanya ini kerana dia masih mampu untuk
mendengar dan akalnya mampu untuk memproses setiap kata yang kita perkatakan.
Malah pesakit ini mampu untuk mengenal suara insan yang selalu bersamanya
ketika dia tidak sedarkan diri apabila mereka sedar dari koma nanti.
“Ya Allah, engkau
selamatkanlah pesakit ini Ya Allah… Panjangkanlah umur pak cik ini Ya Allah… Ringankanlah sakit
beliau Ya Allah...” Lisa berdoa di dalam hati sementara kakinya melangkah
keluar dari wad. Bukan Lisa tidak mahu turut serta menolong pesakit tersebut,
tetapi memandangkan bilangan staf yang berusaha menyelamatkan pak cik tersebut telah
pun agak ramai, jadi Lisa rasa tidak perlu dia mengambil bahagian. Jika terlalu
ramai ia akan membuatkan ruang menjadi sesak dan terlalu banyak tangan. Hanya
doa Lisa titipkan untuk pesakitnya. Pasu bunga yang diletakkan diluar tadi
diangkat untuk dibawa pulang.