BAB 5Lisa seperti biasa,
sebelum pulang dia akan melihat wajahnya pada cermin iaitu cermin yang selalu dilihatnya
sebelum memasuki wad. Dari situ dia dapat melihat aura penat mula menghiasi
wajahnya.
Walaupun penat, hati
Lisa tetap terasa puas kerana dapat membantu insan-insan yang memerlukan
bantuannya. Tanpa disangka, pintu bilik bersebelahan cermin itu telah dibuka
oleh seseorang lalu muncullah seorang jejaka yang segak berpakaian kot putih.
“Amboi, bukan main lagi
dia senyum! Kalau saya jadi cermin tu, dah lama saya ikut awak balik. Untung
cermin tu!” sergah Dr.Haikal.
“Eh, Dr.Haikal… Kenapa pula
cermin tu untung?” tanya Lisa kepelikan.
“Ialah, mana tak untungnya! Tiap-tiap hari ada orang
senyum padanya!”
Lisa tersipu-sipu malu.
Dalam otak pemikirannya dia hairan. Macam mana Dr.Haikal tahu dia senyum pada
cermin tu? Padahal dia baru sahaja membuka pintu.
“Hahaha… Macam-macamlah
doktor ni. Oklah saya minta diri dulu. Dah lewat ni nak merehatkan diri....”
“Jomlah jalan sekali.
Saya nak turun ke bawah juga ni. Nak beli makanan,” ajak Dr.Haikal.
Dr.Haikal menanggalkan
kot putih yang dipakai lalu dia masuk kembali ke dalam pejabat untuk meletakkan
kot putih miliknya itu.
Pintu wad dibuka dengan
kad identiti petugas. Kemudian mereka berjalan seiringan menuju ke arah lif. Sekali-sekala
terdengar ketawa kecil mereka berdua.
“Eh, doktor… Bukan ke
pihak hospital ada sediakan makanan untuk doktor yang betugas. Kenapa tak makan
makanan yang dah disediakan?”
“Lauk apa hari ni?”
tanya Dr.Haikal.
“Kalau tak silap saya,
lauk ketam masak lemak cili api!”
Pintu lif terbuka lalu
mereka berdua mula menapak masuk ke dalam lif. Butang G ditekan.
“Hahaha… Kalau macam tu
awak intailah lauk saya, ya?”
“Kan bekasnya lut sinar…
Nampaklah…”
“Cuba awak fikir secara
logik, tak kan lauk ketam masak lemak cili api kut? Buatnya tiba-tiba pesakit emergency, saya pula tengah meratah lauk
ketam. Hah! Teruk jadinya! Buatnya saya pula yang tercekik… Nak meratahnya pun
dah satu hal.”
“Hahaha... Tak adalah
doktor… Saya tipu sajalah… Saya pun tak tahu lauk apa yang disediakan,” jawab
Lisa tersengih-sengih.
“Dah agak dah… Untung awak
dah boleh balik masa ni… Saya petang esok baru boleh balik ke rumah.”
“Mestilah… Sayakan staffnurse…Bukan doktor.... Hahaha…”
Lisa tergelak kecil.
Dr.Haikal turut ketawa bersama menampakkan barisan gigi putih
yang tersusun rapi. Mereka berjalan menuju ke sebuah kedai makanan bersebelahan
dengan hospital tempat mereka bekerja. Menjadi kebiasaan Lisa untuk membeli
makanan di situ untuk juadah makan malamnya. Kalau hendak memasak selepas pulang
dari bertugas memang tak larat. Jadi, jalan mudahnya dengan membeli makanan
yang telah disiapkan.
Setelah mereka menunggu selama 15 minit, 2 bungkus nasi
goreng kampung bersama telur dadar telah disiapkan. Selain itu, Lisa juga
memesan seekor ikan goreng khas untuk ahli baru rumahnya iaitu Tuah.
“Mak cik, berapa semua
sekali ni ya?” tanya Dr.Haikal kepada peniaga tersebut.
“Semuanya RM 12.”
Dr.Haikal menghulurkan
wang kertas merah dan hijau. Lisa mula membuka dompet untuk membayar harga
makanannya kepada Dr.Haikal. Setelah mengambil baki wang, mereka bergerak meninggalkan
kedai tersebut.
“Doktor, ini wang untuk
bayaran doktor tadi,” kata Lisa sambil menghulurkan sejumlah wang kertas.
“Eh, tak apalahhh… Saya
belanja... Bukan selalu pun kan... Kita inikan rakan setugas di hospital ni…
Wad pun wad sama,” jawab Dr.Haikal ikhlas.
“Seganlah saya kalau
macam ni doktor,” kata Lisa sambil berlari anak mengejar langkah Dr.Haikal yang
kehadapan mendahuluinya.
“Tak payah segan-segan…
Anggap saja sebagai hadiah dari saya.” Dr.Haikal telah menghentikan langkahnya.
“Kalau macam tu, terima
kasih tau!” Lisa memasukkan kembali wang kertas ke dalam dompet.
“Sama-sama... Oklah saya tak boleh lama-lama dekat luar ni.
Takut saya diperlukan di wad.”
“Ialah... Terima kasih
sekali lagi!”
Dr.Haikal hanya
mengangguk dan dia terus melangkah ke dalam hospital manakala Lisa melangkah
menuju ke arah keretanya.
Irfan semakin merasai
kedinginan bilik yang dihuninya kini. Sejuknya sampai ke tulang! Tambahan lagi
ketika waktu senja hujan turun membasahi bumi jadi waktu malamnya sudah tentu
akan menjadi lebih sejuk. Irfan memikirkan cara untuk dia menghilangkan
sejuknya.
“Eh, tak kan aku nak
berkongsi selimut dengan papa kut.”Irfan memeluk tubuh yang dirasakan sudah
menggigil.
Tuan Iskandar sesekali
terjaga dek kerana batuk yang dialaminya. Walaupun terjaga, dia tidak
mempedulikan Irfan. Seolah-olah Irfan tiada di situ. Irfan tanpa berlengah lagi
bertindak mematikan suis penghawa dingin kerana suhu dirasakan semakin sejuk.
Irfan termenung seorang
diri. Pack ice tidak digunakan lagi.
Irfan mula membayangkan wajah jururawat Natasya. Sepertinya mereka pernah
bertemu sebelum ini.
“Daripada aku pening
memikirkan siapa gerangan jururawat tadi, baik aku ambil kamera aku dalam
kereta… Baru boleh pastikan dengan tepat!”
Irfan bingkas bangun
dari tempat duduknya seperti tidak sabar untuk melihat kebenaran tekaan
pemikirannya. Sebelum keluar, dia sempat memberitahu Tuan Iskandar untuk keluar
sebentar. Papanya hanya mengangguk.
Irfan mengosok-gosokkan kedua belah tapak
tangannya lalu ditekapkan di kedua-dua belah pipi. Rasa hangat mula menjalar. Hilang
rasa sejuknya.
Diluar, kelihatan para
petugas hospital begitu tenang melakukan tugas masing-masing.
“Encik mahu keluar ke?”
sapa seorang jururawat.
“Ya, saya nak turun ke
bawah sekejap. Kenapa staffnurse?”
“Encik jangan lupa bawa
kad menunggu sekali. Bimbang kalau pengawal keselamatan tidak membenarkan encik
naik ke atas semula. Encik boleh tunjukkan kad menunggu jika mereka tidak
membenarkan encik masuk.”
“Ooo… Ok,” kata Irfan
sambil memeriksa poket seluarnya.
“Saya ada membawanya,”
kata Irfan sambil menunjukkan kad menunggu tersebut.
“Kalau macam tu
baguslah… Pintu keluar dikunci, bila saya angkat tangan encik boleh tarik pintu
untuk keluar.”
“Kenapa macam tu pula?
Kenapa awak perlu angkat tangan?” tanya Irfan sedikit pelik.
“Sebabnya, kunci pintu
tu ada di kaunter saya ni… Jika saya dah angkat tangan, maknanya saya dah tekan
kunci untuk dibuka. Jadi, encik perlu menarik pintu tu secepat yang mungkin
sebelum ia terkunci kembali,” terang jururawat tersebut sambil tersenyum.
“Ooo… Macam tu… Baiklah.”
“Encik, bila encik nak
masuk, encik boleh tekan loceng diluar ya. Nanti petugas dari dalam akan
melihat encik dari skrin ini dan selepas itu kami akan membuka kunci seperti
yang telah diterangkan tadi.”
“Ok, canggih juga ya…”
Irfan terpegun dengan sistem keselamatan yang telah diaplikasikan oleh pihak
pengurusan hospital.
Jururawat bertugas hanya
tersenyum.
Irfan segera mengatur
langkah untuk keluar dari Wad Mawar. Setelah pintu dibuka, dia segera menarik
pintu untuk keluar. Langkah terus diatur untuk menuju ke lif. Hatinya tidak
sabar untuk mengetahui adakah jururawat Natasya adalah gadis yang telah
menumbuknya pagi tadi? Jika ya jururawat
Natasya adalah gadis tersebut, apakah yang bakal Irfan akan lakukan? Ligat
otaknya memikirkan rancangan jahat. Namun, hatinya berharap jururawat Natasya
bukanlah gadis yang ditemui pagi tadi. Ini kerana, hatinya sudah terpaut dengan
jururawat tersebut dan Irfan juga tidak akan pernah melupakan ikrar yang telah
dilafazkan pada gadis itu pagi tadi iaitu dia akan membalas dendam untuk semua
ini. Irfan seorang yang berpegang pada
kata-katanya. Jika itu yang telah dikatakanya, maka perkara itulah yang akan
dilakukannya.
Aturan langkahnya
diperkemaskan setelah keluar dari pintu lif. Suasana ditingkat bawah begitu
sepi. Masa ini jugalah kisah-kisah hantu mula menjengah otak pemikirannya. Langkahnya
semakin laju menuju ke pintu keluar. Nasib baiklah ada pengawal keselamatan di
luar pintu masuk. Irfan hanya melemparkan senyuman pada pengawal keselamatan
tersebut. Pengawal tersebut hanya mengangguk.
“Huhh... Selamat
ada pak cik ni… Seram pula rasanya,” ngomel
Irfan seorang diri.
Irfan memandang ke sekeliling.
Petak parkir telah banyak yang telah kosong. Suasana tidak sesibuk petang tadi.
Ini mungkin kerana waktu bekerja dan waktu melawat telah pun tamat. Lampu jalan
hanya menyinari sebahagian jalan sahaja. Melalui lampu jalan yang membiaskan
warna jingga itu, kelihatan renyai-renyai hujan membasahi tanah yang telah
bertar hitam itu.
Irfan bertindak meredah
hujan yang turun renyai-renyai itu menuju ke arah keretanya. Setelah memasuki
kereta, tangannya terus menyambar kamera yang diletakkan di bahagian belakang.
“Kenapalah aku letak
barang berharga seperti ini di dalam kereta. Jika dicuri orang, tak ke haru
jadinya?” Apa-apa pun dia harus mengambil peringatan untuk semua ini.
Kameranya terus dibuka.
Irfan melihat satu persatu gambar yang telah diambil pagi tadi. Sudah menjadi
kebiasaan Irfan untuk mengambil gambar ketika berjogging terutamanya jika dia berjogging
di Tasik Perdana pada waktu pagi. Suasana pagi di tasik itu memang
mempersonakan dengan kehadiran terbitnya sinar fajar.
Satu persatu gambar
dilihat Irfan. Sengaja dia memperlambatkan tayangan gambar. Hatinya kuat
berharap agar jururawat Natasya bukanlah gadis yang menumbuknya pagi tadi. Kini, muncullah gambar seorang gadis bersama
kucing.
“Eh, wajah dia macam
jururawat Natasya la… Aduiii… Tak mungkinnnn! Tak kan gadis kasar ni boleh jadi
jururawat? Jururawat Natasya lembut aku tengok, tak macam perempuan ni! Kasar!”
Irfan menepuk stereng
keretanya tanda protes. Gadis yang mencuri hatinya sebentar tadi seiras betul
dengan gadis yang dia telah berjanji akan membalas dendam untuk apa yang telah
diperlakukan oleh gadis tersebut terhadapnya.
“Tak mungkin ni…
Jururawat Natasya ada lesung pipit. Tapi, perempuan ni tak ada pula aku
tengok,” kata Irfan sambil meneliti gambar tersebut.
“Eh, memanglah tak ada
lesung pipit… Ini kan dia tak senyum dalam gambar ni.... Macam mana lesung
pipit nak keluar…”
Gambar kedua dilihat
Irfan. Gambar kedua ini di zoom agar
lebih jelas.
“Owhh ok… Perempuan ni
ada tahi lalat kecil di hujung matanya. Jururawat Natasya? Alahai… tak perasan
pula aku… Nak tunggu esok ke? Takkan aku nak teliti tepat-tepat pada mukanya…
Nanti apa pula kata dia…”Irfan resah.
Irfan memandang keluar
tingkap kereta. Otaknya ligat memikirkan jalan penyelesaian. Hujan diluar kelihatan
tidak lagi renyai-renyai. Hujan mula menunjukkan tanda-tanda ia akan semakin
lebat membasahi bumi.
Irfan menyimpan kembali
kameranya di dalam beg yang telah dikhaskann untuk kamera tersebut. Kamera
tersebut dimasukkan ke dalam bajunya bimbang kalau terkena hujan yang semakin bertambah lebat. Setelah
keluar dari kereta, Irfan berlari
sepantas mungkin menuju kearah pintu masuk hospital. Sebaik sahaja sampai di
pintu masuk hospital, Irfan mencari kelibat pengawal keselamatan yang berada di
muka pintu tadi.
“Alamak! Pak cik tu tak
ada!” Irfan mula mengatur langkah selaju yang mungkin menuju ke arah lif. Di
hadapan pintu lif ada seorang jejaka berkot putih sedang sabar menunggu pintu
lif dibuka. Mereka berdua hanya berbalas senyuman.
Setelah pintu lif
dibuka, Dr.Haikal menekan nombor tingkat empat sama seperti tingkat yang ingin
dituju oleh Irfan. Mereka menuju ke arah wad yang sama.
“Maafkan saya doktor...
Doktor ini bertugas di Wad Mawar ke?” tanya Irfan di hadapan pintu masuk
Wad Mawar.
“Iya saya… Saya
bertugas di wad ini... Kenapa ya encik”
“ Owh… Kebetulan papa saya dirawat di wad ini...
Bilik Mawar 25. Namanya Tuan Iskandar
bin Tuan Abdul Malik… Diagnose as injured
of left radius…Boleh saya tahu bila papa saya boleh discaj?
“Tuan Iskandar… Ermmm
kalau mengikut pemerhatian saya, beliau mungkin boleh discaj lusa.... Untuk masa
sekarang ini, Tuan Iskandar telah pulih dari demam, cuma batuknya sahaja masih
belum hilang. Jika demamnya berlarutan mungkin beliau telah terkena jangkitan
kuman. Tapi alhamdulillah beliau tidak lagi demam… Insya-Allah lusa beliau
boleh discaj,” jawab Dr.Haikal dengan
penuh penjelasan.
“Baguslah kalau macam
tu…”
Terbayang di mata Irfan
bagaimana kemalangan itu berlaku. Ianya bermula ketika mereka sekeluarga sedang
berbual ditaman dan ketika itu Tuan Iskandar meminta izin untuk keluar ke stesen
minyak. Baru sahaja motosikal melepasi pagar rumah mereka, tiba-tiba papanya
rebah tersungkur di bahu jalan. Tuan Iskandar telah dihempap motosikal. Katanya
mahu mengelak kucing yang tiba-tiba sahaja melintas dihadapannya. Mujurlah
tiada kecederaan yang serius berlaku. Padahnya, tangan kiri Tuan Iskandar
patah.