BAB
20
Kini, Irfan dan
Lisa berada di hadapan Restoren Makanan Laut Warisan Melayu iaitu sebuah
restoren yang terkenal dengan makanan laut yang segar. Terletak berhampiran perkampungan
nelayan menyebabkan restoren ini tiada masalah untuk mendapatkan sumber
berkenaan.
Sebaik sahaja
melangkah ke dalam restoren, kelihatan begitu banyak aquarium yang menempatkan
puluhan jenis makanan laut seperti udang, ketam, pelbagai jenis ikan dan juga
kerang-kerangan.
Irfan mengajak
Lisa duduk di sebuah sudut meja yang agak jauh daripada orang ramai. Restoren
ini betul-betul melambangkan ciri-ciri kemelayuan.
“Kita nak makan
dekat sini ke?” tanya Lisa menampakkan kerisauan di wajahnya yang putih bersih.
Irfan mengangguk perlahan
sambil menarik kerusi untuk Lisa duduk.
“Tarik-tarik
kerusi pula.... Tadi bukakan pintu kereta,” bisik hati Lisa sedikit rimas
dengan kelakuan Irfan.
“Nak makan
makanan laut yang dalam aquarium tu ke?” Mata Lisa membulat sebaik sahaja
mengemukakan soalan.
“Ya… Nanti kita
pergi pilih ikan-ikan segar tu…” Irfan tidak sabar.
Lisa mula
menunjukkan muka risau dan kasihan.
“Ini kenapa ni?”
tanya Irfan lembut.
“Sebenarnya…”
“Kau tak makan
makanan laut?” Irfan meneka.
“Tak… Saya
makan…Suka sangat-sangat… Tapi mesti mahal kan?” Lisa cuba mencari alasan.
“Tak adalah mahal
sangat… Berpatutanlah.... Kenapa nak risau? Aku belanja....” Irfan tersenyum
melihat Lisa resah di hadapannya.
Lisa melihat para
pelanggan yang lain sibuk memilih udang-udang dan ikan-ikan yang masih hidup
untuk dimasak. Satu persatu ikan dan udang diangkat dengan menggunakan jaring
kecil. Kasihannya… Lisa tidak sampai hati.
“Awak tak kasihan
ke?”
“Kasihan?” Irfan
mengerutkan dahinya hairan dengan soalan Lisa.
“Maksud saya,
awak tak kasihan ke ikan tu kan masih hidup… Kerana kita, dia mati.”
“Itukan makanan
kita… Lagipun ikan-ikan yang kita beli dekat pasar tu kan asalnya masih hidup. Tapi
kerana kita, ikan tu mati juga kan?” kata Irfan sambil mengambil menu makanan
daripada pelayan yang baru tiba dimeja mereka.
“Nak makan apa?”
tanya Irfan.
“Apa-apa sahaja,”
ucap Lisa acuh tidak acuh. Dia sedang memikirkan bagaimana untuk tidak makan
makanan laut yang masih bernyawa itu. Irfan mula memesan makanan untuk mereka
berdua. Lisa sudah tidak menghiraukan tentang apa yang hendak diisi ke dalam
perutnya. Semuanya diserahkan kepada Irfan.
“Kalau macam tu
kita ambil nasi putih dan lauk tu nanti kita pilih....”
“Kita pilih?”
tanya Lisa sambil menunjukkan jarinya ke arah aquarium.
“Jom saya tunjukkan
makanan laut yang ada,” kata pelayan tersebut denggan mesra.
“Oh ya.... Tolong
tandakan tempat kami. Takut nanti ada orang lain yang ambil tempat kami,” mohon
Lisa.
“Baiklah… Kami
akan tandakan,” kata pelayan tersebut dan terus memberitahu rakan setugasnya.
“Saya dah beritahu
rakan saya. Jom saya tunjukkan makanan laut yang ada....”
Irfan dan Lisa
bangun mengikut langkah pelayan lelaki yang kemas beruniform. Satu persatu
aquarium yang menempatkan makanan laut ditunjukkan beserta dengan harga
untuk 100 gram.
“Adik, ada tak
makanan laut yang dah mati tapi masih segar?” tanya Lisa.
“Ada… Di sebelah
sana. Mari saya tunjukkan.”
“Saya tak sampai
hatilah…” Lisa membuat muka sedih di hadapan Irfan.
Irfan kalah
dengan raut wajah dihadapanya. Untuk kali ini dia hanya dapat melihat ikan-ikan
segar di dalam aquarium tersebut sambil kakinya menuruti langkah pelayan
tersebut. Udang pun kelihatan besar-besar! Irfan hanya menelan air liurnya.
“Ini makanan
lautnya. Masih segar! Baru diambil dari jeti nelayan petang tadi,” jelas
pelayan tersebut.
“Wahh… Banyaknya…
Petang tadi? Kira baru lagilah,” kata Irfan.
“Jemput pilih ya...
Kalau ada apa-apa panggil saya disana ya,” kata pelayan tersebut memberikan
privasi kepada pasangan tersebut untuk memilih.
“Jom pilih, Lisa....”
Keinginannya untuk makan makanan laut yang masih hidup ditinggalkan begitu
sahaja sebaik melihat makanan laut dihadapannya masih segar-segar. Ini pasti
menjamin keenakan isinya.
“Kita nak masak
apa ni?” tanya Lisa sebelum meletakkan makanan laut tersebut di dalam bakul
kecil.
“Kita masak steambotlah...
Ok tak?” tanya Irfan sambil matanya masih melilau melihat lambakan makanan laut
dihadapannya.
“Ok juga...” Lisa
menganggukkan kepala.
Setengah kilo
udang ditimbang terlebih dahulu. Empat ekor ketam dimasukkan ke dalam bakul
satu persatu. Sesekali terdengar gelak ketawa mereka.
“Sotong nak tak?”
tanya Irfan sambil mengangkat seekor sotong dengan penyepit untuk ditunjukkan
kepada Lisa.
“Ermm... Ambillah...
Kita masak merah....”
“Masak merah?
Masak hijau ada tak?”Irfan cuba berjenaka.
“Tak ada....
Sedap ni kalau buat sotong masak merah.”
“Ok, kita ambil…”
Irfan memasukkan beberapa ekor sotong ke dalam bakul.
“Saya nak ikan
pari boleh?” tanya Lisa.
“Nak masak apa?”
“Ikan pari bakar...”
“Wahh... Good
idea....” Irfan menyokong cadangan Lisa.
“Oh ya... Kawan
awak tu.... Huda?”
“Kenapa dengan
dia?.”
“Dia suka makan
apa? Kita bungkuskan untuk dia sekali....”
“Wahh… Baiknya
hati awak!” Lisa terharu.
“Untuk Huda kita
bungkuskan ikan pari bakarlah.... Dia suka!”
“Ok… Tiada
masalah. Ambil lebih sikit.” Irfan menunjukkan muka keikhlasan.
Tak sangka Irfan
masih mengingati kawannya yang berada dirumah. Tidak pentingkan diri sendiri.
“Untuk parents awak?”
tanya Lisa.
“Parents aku?
Mereka dengan Iffa tak ada dirumah. Bercuti di Cameron Highland. Teman Iffa yang
nak sangat pergi kesana.”
“Kenapa awak tak
ikut sekali?” tanya Lisa sambil menunggu pilihan makanan laut mereka ditimbang.
“Kerja banyak
dekat pejabat tu....”
“Awak kerja dekat
mana?”
“Firma Guaman Mustafa....”
“Jadi, awak ni… Kerja
apa?”
“Cuba teka,”
Irfan tersenyum.
“Ermm...” Lisa
cuba meneka didalam fikirannya. Tak kan kerani… Kereta pun mahal-mahal… Tapi
kalau peguam... Peguam berapa gajinya? Mahal ke? Kereta Audi TT-RS Roadster kan
mahal harganya…
“Dapat teka tak?”
“Kalau kerja
firma guaman mestilah peguam kan… Tak kan bomba pula....” Lisa meneka.
“Pandai pun.”
“Jadi, awak kerja
peguam? Sama dengan Ustaz Saiful?”
Irfan mengiyakan
kata-kata Lisa.
“Encik, semua ni
dah siap ditimbang… Nak kami masakkan menu macam mana?” tanya wanita yang sudah
agak berusia yang berpakaian chef. Senyuman tidak lokek dari wajahnya.
“Ermm.... Ok,
untuk ikan pari buatkan ikan pari bakar. Satu untuk makan dekat sini. Satu lagi
dibungkus… Untuk sotong buatkan sotong masak merah… Ketam dan udang buatkan
steamboat,” beritahu Irfan.
“Untuk steamboat
mahu perisa tom yam atau original?”
“Buatkan dua-dua
sekali,” kata Irfan.
Irfan melihat
Lisa leka melihat pelbagai jenis cendawan dihadapannya. Pasti Lisa teringin,
fikirnya.
“Untuk steamboat
tambahkan kami cendawan butang, lobak dan bebola ketam dan bebola udang,”
tambah Irfan.
“Baiklah… Ada
apa-apa lagi?”
“Rasanya itu
sahaja....”
“Kalau tidak ada
apa-apa encik boleh duduk dulu... Nanti kami hantarkan. Meja berapa encik
duduk?” tanya wanita tersebut setelah selesai mencatat permintaan pelanggannya.
Irfan
terpinga-pinga dengan soalan itu. Lupa pula dia hendak melihat meja tempatnya
duduk sebentar tadi.
“No 24 Selatan,”
jawab Lisa.
“Ok... Terima
kasih. Kami akan siapkan secepatnya,” kata wanita berkenaan lalu berlalu ke
dalam dapur.
“Awak pasti No 24
Selatan?” tanya Irfan.
“Pasti bos!
Jomlah kaki saya dah lenguh ni...”
“Itulah… Pakai
lagi tumit tinggi macam ni.”
“Alaa.... Bukan
tinggi mana pun… 2 inci setengah sahaja,” jawab Lisa selamba.
Irfan
mengelengkan kepalanya. Tidak faham benar dia dengan orang perempuan ni. Badan sudah
tinggi nak juga pakai tumit tinggi. Tak sakit ke kaki tu? Lisa telah berjalan
meninggalkanya dibelakang. Irfan laju melangkah cuba untuk melangkah seiringan
dengan Lisa menuju ke mejanya tadi.
“Selamat engkau
ikan… Selamat engkau udang… Selamat engkau ketam…” Irfan mengetuk-ngetuk
jarinya perlahan-lahan sebaik sahaja mereka melalui kawasan aquarium. Lisa
hanya tersenyum mendengar kata-kata Irfan. Lisa memberhentikan langkahnya.
“Awak tengok tu…
Muka-muka ikan tu.... Muram sahaja. Hormon dia pun dah tak stabil tu… Jadi
isinya tak manis.” Lisa cuba melawak sambil jarinya mengikut pergerakan ikan di
dalam aquarium.
Irfan merenung
muka-muka ikan tersebut. Macam mana mahu melihat air muka ikan? Lisa ni biar
betul? Kawan dengan ikan ke? Oh ya.... Lisa berkawan dengan ikan emas....
“Amboi… Mentang-mentang
berkawan dengan ikan emas, pandai awak tengok air muka ikan,” Irfan mengusik.
“Ikan Emas?” Lisa
hairan. Kaki terus melangkah menuju ke arah meja makan.
“Kawan setugas
awak itulah…”
“Oh… Maria?” Lisa
ingat Irfan pernah berjumpa dengan Maria sebaik sahaja menjemput Lisa pulang
dari berkhursus beberapa bulan yang lepas.
“Kenapa awak
panggil dia ikan emas?” tanya Irfan cuba mengorek rahsia. Irfan membetulkan
kedudukan kerusinya agar lebih rapat dengan meja.
“Sebab.... Entahlah.... Senior-senior yang
bagi gelaran. Katanya mulutnya macam ikan Emas.... Awak tengok tak ikan emas
macam mana mulutnya? Kan selalu bergerak-gerak,” kata Lisa sambil mengajuk gaya
mulut ikan emas.
Ternganga mulut
Irfan melihat kelakuan Lisa. Biar betul? Dia melawak ke apa ni? Buruk benar…
“Opss...
Termengumpat… Astaghfirullahaladzim…” Lisa menekup mulutnya. Satu kelemahannya
bila bercakap mengenai Maria. Dia akan mengejeknya sungguh-sungguh. Musuh
tradisinya sejak dibangku universiti. Entah kenapa boleh pula bekerja satu
hospital dan lebih kejam satu wad.
“Boleh tak kau
buat sekali lagi gaya mulut ikan emas.... Aku nak ambil gambar ni.” Irfan
mengeluarkan telefon pintarnya.
“Eh, tak naklah…
Buat malu… Tadi tu tak sengaja…” Lisa cuba menutup malu.
“Tadi tu tak
malu? Ok, kita ambil gambar kenang-kenangan....”
“Boleh....”
Irfan meminta
pelayan yang berdiri berhampiran dengan meja mereka untuk mengambil gambar
mereka berdua.
“Satu, dua,
tiga…”
Sekeping gambar
diambil...
“One more,” kata
pelayan itu.
“Satu, dua,
tiga…”
“Ok, cantik
gambar ni,” ucap pelayan tersebut sambil menghulurkan telefon kepada Irfan.
“Terima kasih....”
“Sama-sama,” kata
pelayan tersebut lalu melangkah pergi dari meja mereka.
“Eh, cantik pula
gambar ni Lisa… Baru perasan sedondon warna baju kita. Macam mana kau tahu aku
nak pakai baju biru laut ni?”
“Tengok…”
Telefon bertukar
tangan.
“Aaah... Cantik
gambar ni… Itu dinamakan naluri... Bluetooth...”
“Bluetoothlah....
Naluri? Maksud kau naluri kita sama? Macam tu?” tanya Irfan.
“Amboi… Seriusnya
dia… Itu dinamakan kebetulan…”
“Dan itu juga
dinamakan jodoh,” sambung Irfan.
“Eh, cepatlah
tolong bluetoothkan....” Lisa cuba menukar topik. Lagi dilayan lagi
menjadi-jadi nanti.
Irfan mengambil
kembali telefonya.
“Whatsapplah Lisa…
Senang sikit,” ujar Irfan.
“Aaahh… Lupa pula
saya…”
Lisa membuka
aplikasi Whatsapp.
“Awak kata, ada
pekara penting yang hendak dibincangkan… Apa tu?”
“Oh ya… Nasib
baik kau tanya… Aku dah lupa. Tengok makanan laut dekat sini aku dah tak fikir
benda lain dah… Dalam otak aku makan, makan dan makan… Begini, kau berminat tak
untuk menjalani sesi fotografi?”
“Fotografi? Macam
menarik! Saya memang gilakan ambil gambar. Tapi untuk apa?”
“Menjadi model....”
“Model?!” Lisa
teruja. Telinganya dipekakan untuk menerima setiap butir kata-kata Irfan. Perkara
itulah yang diimpikan sejak dibangku sekolah lagi. Tapi masih tiada peluang dan
tidak ada pun orang yang sudi untuk menjadikannya model. Lagipun dia tidak tahu
bagaimana caranya untuk menceburi bidang tersebut.
“Ya, model… Model
baju pengantin untuk butik mama aku...” Irfan sudah dapat meneka pasti Lisa
akan bersetuju. Tidak perlulah dia bersusah-payah memerah otak lagi untuk
memikirkan model butik pengantin mamanya. Masih banyak kerja lain dipejabat
yang perlu difikirkan. Tapi, calon menantu? Irfan buntu… Takkan perempuan yang
tidak pernah meminta maaf diatas kelakuan menumbuknya suatu ketika dahulu mahu
dijadikan isteri? Ciri-ciri isteri yang mahu dicarinya haruslah perempuan yang
mudah untuk meminta maaf jika melakukan kesalahan. Barulah harmoni rumah
tangga. Saling bertolak ansur.
“Tapi, saya tak pandai
nak bergaya depan kamera. Saya tak pernah jadi model....”
“Tapi itu impian
kau kan?”
“Impian? Macam
mana awak tahu?”
“Alamak...
Terlepas cakap la pula,” kesal Irfan di dalam hati.
“Err… Tak, aku
boleh nampak dari reaksi kau tu....”
“Yalah kan....
Awak kan peguam. Mesti faham dengan lenggok bahasa badan kan. Tapi, memang
menjadi model impian saya dari zaman sekolah lagi....”
“Inilah peluang
untuk kau mengasah bakat…”
“Boleh ke ni?
Nanti saya fikirkan balik....”
“Tak payah nak
fikir-fikirkan… Terima sahaja…”
“Segan saya nak
menerimanya… Lagipun saya tak pandai nak posing-posing ni… Itu cuma impian
saya.”
“Takkan kau nak mengalah
macam tu… Tak apa.... Fotografer semuanya baik-baik. Mereka akan beritahu macam
mana nak posing nanti.... Percayalah… Aku pun tak pandai...”
“Awak pernah ke
jadi model?”
“Pernah… Sebab
mama dah paksa... Hahahaha… Kekok juga depan kamera tu…”
“Ok, kalau macam
tu saya terima,” jawab Lisa bersungguh-sungguh.
“Baguslah… Macam
inilah…Ok, esok kau kerja tak?”
“Mestilah kerja… Shiff
malam…”
“Owh, malam...
Siang tu kau freelah?”
“Free....”
“Kalau macam tu
esok kau datang ke Butik Pengantin Elis.... Antara jam 12.30 tengahari.”
“Butik Pengantin
Elis? Butik yang selalu masuk tv tu?”
Irfan mengangguk.
Lisa mengetap
bibirnya. Rasa cuak mula menyelubungi hatinya. Rasanya mahu sahaja dibatalkan
niatnya tadi. Dia yang selama ini tidak
pernah menjadi model, tiba-tiba telah bersetuju untuk menjadi model untuk butik
yang terkenal. Alamaknya nanti takut huru-hara jadinya set pengambaran tu
nanti.
“Tak perlu
temuduga ke?”
“Tak....” Irfan
ketawa kecil mendengar soalan Lisa.
Lisa seperti
masih memikirkan tawaran tersebut.
“Tak payah nak difikirkan.
Bukan senang tau nak dapat peluang ni… Terima sahaja ok… Esok aku tunggu dekat butik tu… Datang tau…”
Irfan mengharap.
Lisa mengangguk
perlahan-lahan... Antara setuju atau tidak setuju… Apa kata cuba sahajalah. Lisa
tersenyum.
“Baiklah....”
“Haa.... Macam
itulah…”
Mereka berdua
memberi ruang untuk pelayan menghidangkan makanan yang telah siap dimasak. Hidangan
yang masih panas dan berasap sungguh membangkitkan selera. Laju sahaja tangan
Lisa mencapai sudu dan garfu. Tidak sabar rasanya untuk merasai makanan
dihadapannya kini. Belum sempat nasi disentuh, Irfan menadah tangan dan bacaan
doa makan dibacakan. Lisa meletakkan kembali sudu dan garfu yang dipegang.
Terasa malu sendiri dengan sikapnya yang gelojoh. Tangannya turut diangkat
untuk mengaminkan bacaan doa yang
dibacakan oleh Irfan. Tak sangka lelaki yang kelihatan moden ini tidak lupa
adab di meja makan. Sejuk hati ibu yang mengandung. Suka Lisa melihatnya.
“Eh, jemputlah
makan Lisa,” kata Irfan apabila melihat Lisa masih menadah tangan dan matanya
masih melihat dirinya. Apa kena dengan perempuan ni? Irfan melambai-lambaikan
tangannya dihadapan mata Lisa. Lisa tersedar.
“Apa?” tanya Lisa
terpinga-pinga.
“Jemput makan…”
“Oh, ya…
Makan-makan,” kata Lisa. Perasaan malu mula bertapak diwajahnya. Macam mana dia
boleh terleka dengan bacaan doa Irfan tadi. Padahal bukanlah panjang sangat doa
tu. Tapi, fikirannya masih sempat melayang lagi.
Geli hati Irfan
melihat telatah wanita dihadapanya. Sekejap garang, sekejap lucu…
“Dia jatuh hati
ke?” teka Irfan. Kempas-kempis terasa hidungnya.
“Ermm… Ya Allah...
Sedapnya!” kata Lisa sebaik sahaja makanan disuapkan ke dalam mulutnya.
Irfan senang
dengan gelagat Lisa. Kalau bab makan mesti bersungguh-sungguh. Pertemuan
pertama di kedai makan berhampiran hospital dan jamuan Hari Lahir Huda tempoh
hari sudah memperlihatkan tabiat Lisa
yang sangat menggemari makanan. Tidak akan ada satu pun yang bersisa kecuali
tulang-belulang. Tak cover depan orang terutamanya lelaki. Ini sesetengah
perempuan kalau keluar makan dengan mana-mana lelaki mesti tak habiskan semua
makanan dalam pinggan. Kononnya dah
kenyang tak pun makanan ini tak sedaplah… Entah-entah dalam hati nak sahaja
simpan peha ayam tu dalam beg. Boleh sambung makan dekat rumah. Padahal kalau
dekat rumah siap menambah berpinggan-pinggan. Semua lauk diratah termasuklah
tulang-tulang. Sampaikan kucing pun menangis bila tengok tulang memang tinggal
tulang. Tidak ada pun isi yang tinggal. Macam inilah baru tidak membazir.