BAB 35 Huda mundar-mandir
di ruang tamu rumah sambil cuba menalefon Lisa berkali-kali. Namun tidak
berjaya.
“Ke mana Lisa ni? Bukan nak telefon aku
pun? Dah siap ke pengambaran tu?” Bertubi-tubi soalan menerjah ke dalam
fikirannya. Huda termenung panjang sambil matanya menatap kaca televisyen yang
sedang menyiarkan berita.
Tidak lama kemudian, telefon Huda berbunyi.
“Eh, Lisa!” Huda segera menjawab panggilan
tersebut.
“Ini kenapa susah sangat nak angkat call ni?
Sekejap dapat, sekejap tak dapat!!” tanya Huda geram.
“Amboi, cik kak… Assalamualaikum!”kata
Lisa.
“Waalaikumussalammm…”
“Haa... Macam itulah... Sakit telinga tau tak dengar Huda menjerit macam ni... Lisa ada
di tengah-tengah Tasik Kenyir ni… Itu yang line
tak berapa elok ni,” kata Lisa gembira sambil memandang kepekatan malam
ditengah tasik. Bunyi simfoni semula jadi
daripada ungas hutan yang menyulami kepekatan malam menjadi peneman
setia bagi penghuni bot ini.
“Tasik Kenyir?? Kau buat apa dekat situ?”
“Ini haa... Adik aku... Sibuk dia nak
memancing…”
“Ya ke? Habis tu dia buat apa sekarang?”
“Tengah makan... Kami semua tunggu ikan
dia pancing... Tapi, satu ekor pun tak dapat... Bukan main cakap besar. Lisa
dan Irfan pergi beli ikan dekat pasar pagi tadi bukan main dia ketawakan... Katanya, Tasik Kenyir tu, banyak ikan! Tak payah bawa ikan
pergi sana… Nasib baik kami bawa ikan-ikan tu. Kalau tak kebulurlah perut kami
ni...”
“Hahahaha... Nanti dapatlah tu ikan...
Dekat sana dengar cerita ikan besar-besar... Ikan Naga pun ada tau!”
“Eh, engkau ni… Janganlah cakap macam tu...
Dahlah sekarang ni, aku duduk ditengah-tengah tasik ni…”
“Tak ada orang lain ke dekat situ?”
“Ada juga... Bot rumah macam kami... Tapi
jauhlah...”
“Tadi kau ada cakap kau pergi pasar dengan
Irfan kan?”
“Haa... Kenapa?”
“Irfan tidur kampung kau?”
“Yes!”jawab
Lisa.
“Habislah engkau...”
“Kenapa?” Lisa hairan.
“Mesti emak dan ayah kau sukakan dia!”
Huda mengusik.
Lisa memandang ke arah Irfan. Bukan main
mesra lagi berbual dengan emak dan ayahnya.
“Aku pun rasa macam tu...” Lisa sudah
mulai curiga tentang layanan yang diberikan oleh emak dan ayahnya kepada Irfan.
“Eh, tak ada nyamuk ke dekat situ?”
“Aahh... Kau tanya ni baru aku perasan! Tak
ada nyamuklah...” Lisa melihat disekelilingnya.
“Eh, Huda call ni kenapa?” setelah agak lama berbual, Lisa bertanyakan
tentang tujuan Huda menalefonnya.
“Tak ada apalah... Kau bukannya nak callaku pun...”
“Hahaha... Maaflah...”
“Aku ada benda nak cakap dengan engkau ni...
Pasal Ustaz Saiful.” Bibir Huda mula menguntum senyuman.
“Haa... Apa dia?”
“Ustaz Saiful, ajak Huda kahwin!”
“Haaa… Apa dia??” Lisa seakan tidak
percaya.
“Ustaz Saiful ajak Huda kahwin!”
“Alhamdulillah… Tahniah aku ucapkan…”
“Janganlah ucap tahniah dulu… Dia baru nak
hantar rombongan merisik je pun...”
Kegembiraan yang bersarang dihati Huda,
diluahkan kepada Lisa. Lisa tumpang gembira untuk Huda. Nampaknya dirinya
sahaja yang masih berteka-teki. Apakah perasaan Dr.Haikal terhadap dirinya?
Jejaka itu sudah menyepi sejak meninggalkan tanah air.
******************************************************************
“Macam
mana? Selesa tak meja ni Ain?” tanya Maria sambil duduk disisi adiknya yang
sedang tekun mengulangkaji pelajaran.
“Selesa! Meja doktor kan?” Ain tersenyum.
“Ya... Meja doktor...” Maria meneliti meja
kepunyaan Dr.Haikal yang kini sudah menjadi milik adiknya Ain. Kebetulan siang
tadi, doktor baru yang menghuni bilik Dr.Haikal tidak mahukan meja ini
disebabkan doktor tersebut mempunyai citarasa tersendiri. Lagipun meja ini
sudah sampai masanya untuk ditukar baru. Kebetulan, adiknya memerlukan meja. Jadi,
atas kebenaran daripada ketua jururawat, Maria berjaya membawa meja ini pulang
ke rumah atas bantuan seorang rakan. Kalau tidak, meja ini akan dilupuskan
begitu sahaja.
“Bolehlah Ain ambil berkat...”
“Hahahaha… Macam-macam Ain ni... Belajar
sungguh-sungguh tau... Nanti lepas habis belajar nanti bolehlah kerja
bagus-bagus...”
“Insya-Allah... Kak Maria doakan tau...
Lagipun, Ain nak buat emak dan Kak Maria bangga dengan Ain!”
Maria tersenyum mendengar semangat yang
diutarakan adiknya.
“Kak Maria, laci meja ni tak boleh buka
ke?”
“Tak boleh buka... Kak Maria dah cari
kunci tu tadi, tapi tak jumpa…”
“Kak Maria, nanti kalau Kak Maria ada
masa, Kak Maria tolonglah usahakan buka laci meja ni ya... Tadi Ain dah cuba,
tapi tak boleh…”
“Ok, tak ada masalah… Sekarang ni Ain baca
buku dulu tau... Kak Maria nak tidur... Letih sangat… Kaki ni rasanya macam dah
tak boleh nak bergerak... Esok Kak Maria kerja pagi... Kena bangun awal... Good night...”
“Good
night...Kasihan Kak Maria... Baru balik, esok pagi-pagi lagi dah kena
pergi kerja...”
“Nak buat macam mana Ain... Dah tugas Kak
Maria macam ni...” Maria tersenyum kelat.
Maria terus merebahkan badannya di katil.
Lampu bilik dibiarkan terpasang bagi memudahkan adiknya mengulangkaji
pelajaran. Maria memperbetulkan kakinya yang
diletakkan di atas bantal yang sedikit ditinggikan bagi merehatkan kaki
yang keletihan. Tidak sampai lima minit, Maria lena di dalam kepenatan.
Ain memandang kaki Kak Maria. Simpati pada
kakaknya mula bersarang di lubuk hati. Urat-urat biru jelas kelihatan pada kaki
Kak Maria menandakan banyak berdiri sewaktu bekerja. Sejak Kak Maria menjadi
jururawat, berat badannya secara mendadak menurun. Waktu makannya tidak
menentu. Kadang-kadang bila pulang kerja pada waktu malam, Kak maria tidak
sempat pun menjamah makanan. Selepas mandi, pasti Kak Maria akan terus tertidur
kerana keletihan. Tugas jururawat bukanlah tugas yang ringan. Sesiapa yang kuat
mental dan fizikal sahaja yang mampu bertahan dengan kerjaya ini. Itulah,
masyarakat tidak pandai menghargainya. Bila nampak jururawat duduk dikaunter
dikatakan jururawat duduk membesarkan lemak. Padahal, jururawat itu baru sahaja
duduk. Manalah tahu kalau ada laporan yang nak ditulis. Bila memikirkan hal
itu, Ain naik geram.
Ain
kembali menyambung mengulangkaji pelajaran.
Lampu bilik ditutup dan Ain hanya menyalakan lampu meja agar tidak
menganggu lena kakaknya.
********************************************************************
Puan Elinna meneliti satu persatu gambar
di skrin komputer riba di bilik pejabatnya. Gambar yang ditatap kelihatan
sangat sempurna dengan berlatarkan keindahan pulau. Busana pengantin yang
digayakan Irfan dan Lisa nampak begitu menyerlah dan sangat eksklusif dalam
gambar ini.
“Wanda, saya nak gambar-gambar ini
dijadikan poster secepat yang mungkin... Cantik kan?”
“Cantik, puan... Saya pasti ramai yang
akan tergilakan dengan rekaan baju terbaru ini...”
“Tak sia-sia kita pilih Lisa sebagai model
butik kita... Tak sangka dia dapat membawa watak baju ini dengan begitu
berkesan!” Puan Elinna menatap wajah Lisa yang disukainya.
“Macam mana Lisa dan Irfan di sana?”
“Maksud puan, macam mana?”
“Maksud saya, mereka berkawan rapat tak?”
“Puan, terus terang saya cakap mereka ni
suka sangat bergaduh! Tiap-tiap kali sesi pengambaran, ada sahaja topik yang
nak digaduhkan!” jelas Wanda tanpa berahsia lagi.
“Bergaduh?” Puan Elinna mengerutkan
wajahnya. Hairan kenapa Irfan dan Lisa bergaduh. Selama ini elok sahaja dihadapannya.
“Entahlah... Saya pun tak faham apa
masalah mereka. Tapi, bila kita tengok gambar ni, macam tak ada apa-apa kan?
Tapi, belakang tabir macam nak runtuh set pengambaran!” Wanda berani
melontarkan kata-kata.
“Irfan ada dirumah Lisa kan?” tanya Puan
Elinna untuk kepastian.
“Ya, puan... Saya memang betul-betul tak
faham dengan Encik Irfan. Bergaduh, tapi masih berpura-pura demam semata-mata
mahu bertandang ke rumah Lisa…”
“Berpura-pura demam?” Puan Elinna
bertambah hairan.
Segala peristiwa yang berlaku diceritakan
Wanda sepenuhnya. Puan Elinna mendengar dengan penuh perhatian. Sekali-sekala
bibirnya mengukirkan senyuman. Tak sangka anaknya berbakat untuk menipu. Nama
sahaja belajar undang-undang tapi masih lagi menipu. Ini namanya ilmu yang
tidak diamalkan!
“Daripada gaya cerita awak ni kan Wanda...
Saya rasa anak lelaki saya tu sukakan Si Lisa tu!” Puan Elinna membuat andaian.
“Mungkin juga puan... Tak kan dia sanggup
berpura-pura demam semata-mata nak mendapatkan simpati Lisa... Tapi, saya
mushkillah puan... Kenapa mereka ni selalu bergaduh?”
Puan Elinna tersenyum penuh rahsia. Dia
tahu sangat perangai anaknya. Kalau bab-bab memikat perempuan anaknya bukan
pakar. Tetapi, kalau dalam bab-bab menyakitkan hati perempuan, anaknya adalah
juara. Kadang-kala Puan Elinna akui Irfan sengaja mencetuskan hal demikian
semata-mata mahu melihat bagaimana reaksi gadis yang mahu dipikatnya. Kalau
reaksi gadis tersebut, tergedik-gedik, menangis, merajuk pasti Irfan tidak akan
berusaha mendapatkan gadis tersebut. Mungkin perwatakan Lisa berbeza. Sebab
itulah Irfan masih mengekori gadis ini sampai ke kampung halamannya.
“Kita
doakan baik-baik sahaja untuk mereka... Lagipun saya ini dah tak sabar nak
bermenantu! Nak harapkan Alongnya? Sampai tualah saya tak bermenantu...”
Darah merah tiba-tiba sahaja menyerbu ke
muka Wanda. Wanda faham, nama Along yang disebutkan Puan Elinna adalah Hairul
Ikhwan iaitu jejaka yang telah lama
membawa diri bekerja di Australia. Kalaulah, Puan Elinna tahu Wanda adalah
kekasih anaknya. Apa agaknya reaksi beliau? Wanda tidak berani membayangkannya.
Biarlah ia menjadi hubungan rahsia buat
masa ini. Wanda selesa begini.
*********************************************************************
Syafiq Rayyan tidak sabar menunggu
kedatangan Maria di perkarangan rumahnya. Syafiq Rayyan menunggu dengan penuh
debar. Begitu juga dengan Datuk Abdul Hamid dan Datin Faridah. Wajah mereka
kelihatan begitu gelisah. Perasaan geram
dan perasaan ingin tahu mula bersilih ganti menguasai diri mereka. Apakah
berita penting yang mahu disampaikan Maria? Mereka masih tertanya-tanya
disebabkan Maria tidak mahu bercerita melalui telefon.
“Haa... Itu pun Maria!” kata Datin Faridah
sambil kakinya melulu ke arah pintu utama setelah lampu kereta Maria mula muncul
di perkarangan rumah. Kereta Myvi ungu Maria diletakkan betul-betul di hadapan
pintu utama.
“Assalamualaikum, mama...” Maria bersalaman
dengan Datin Faridah sambil sebelah tangannya lagi memegang sampul surat besar.
“Waalaikumussalam,
Maria... Jom masuk, sayang,” kata Datin Faridah mesra. Maria adalah anak kepada
bekas orang gaji yang disayanginya kerana ibu Maria begitu patuh dan sangat
memegang rahsia. Datin Faridah tidak kisah jika Maria menjadi pilihan Syafiq
Rayyan kerana dia juga amat menyukai gadis ini. Perwatakan gadis ini dikira sebulu
dengannya. Mulut yang tak ada insyuran, suka bergaya, suka membeli-belah dan
yang ketara sekali adalah sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa
yang dihajati.
Maria melangkah masuk kedalam mahligai
Datuk Abdul Hamid sambil bibir merahnya menguntum senyuman. Maria pasti berita
yang ingin disampaikannya ini akan membuatkan ahli keluarga ini bertambah
sayang kepadanya.
Maria duduk disebelah Syafiq Rayyan. Sampul
surat coklat diletakkan di atas meja dihadapannya.
“Apa berita penting yang Maria ingin
katakan tu?” tanya Datuk Abdul Hamid untuk kepastian.
“Begini papa... Hari tu, Maria ada
mengambil meja doktor yang bertugas di hospital Maria... Maria buat balik ke rumah
untuk Ain. Tapi, ada satu laci tu tak boleh dibuka. Macam-macam cara Maria
usahakan untuk buka laci tu disebabkan doktor tu tak tinggalkan kunci laci ni...
Maria geram, bila tak dapat buka laci tu dan hati Maria tetap bertekad untuk
mengetahui apa yang ada di dalam laci tersebut. Entah kenapa... Setelah laci tu
berjaya dibuka, rupa-rupanya ada rahsia yang amat kita perlukan! Patutlah Maria
teringin sangat nak buka laci tu...”
“Apa rahsia tu?” Adam Mukhlis mula
bersuara yang sejak dari tadi memasang telinga mendengar cerita Maria. Dia
pasti, ini tentu cerita tentang Kak Fatin.
“Ini...” Maria menolak sampul surat coklat
yang berada diatas meja ke arah Datuk Abdul Hamid.
Datuk Abdul Hamid memandang Maria dengan
penuh tanda tanya.
“Apa ni?”
“Wajah bekas suami Fatin Natasya...” Maria
menutur perlahan.
“Wajah bekas suami Fatin?” Datin Faridah
terkejut.
“Bukalah papa,” kata Maria setelah melihat
Datuk Abdul Hamid masih tidak melakukan tindakan sewajarnya.
Adam Mukhlis yang telah sedia maklum
tentang wajah suami Kak Fatin tidak begitu ambil kisah dengan gambar yang ingin
ditunjukkan Maria. Matanya tidak lepas daripada menatap ipad yang berada
ditangannya. Nampaknya rahsia Kak Fatin sudah semakin parah tahap kebocorannya.
“Siapa ni?” tanya Syafiq Rayyan setelah
melihat foto perkahwinan kakaknya di Kota London.
“Muhd Farish Haikal... Dr.Haikal...”
“Doktor? Maknanya ayah kepada cucu mama
adalah seorang doktor?”
Maria mengangguk perlahan.
“Muhd Farish Haikal… Fatia Alisya binti
Muhd Farish Haikal, Farid Danial bin Muhd Farish Haikal...” Syafiq Rayyan
menutur pelahan sambil otaknya mengingati nama anak saudaranya yang diketahui
melalui telefon. Itu pun setelah dipaksa, barulah kakaknya bersetuju
memberitahu nama penuh anaknya.
“Ya, memang sama! Mana lelaki ni?!” tanya
Syafiq Rayyan tegas.
“Buat masa sekarang, Dr.Haikal tidak ada
di Malaysia. Dia keluar negara untuk program penyelidikannya di London. Mungkin
mengambil masa yang agak lama. Maria tidak pasti...”
“Dr.Haikal ke London?” Adam Mukhlis
bertanya untuk kepastian.
“Aaah... Dia dah ada di sana sekarang,”
kata Maria serius.
“Kena beritahu Kak Fatin ni... Manalah
tahu Dr.Haikal akan mencari kelibat kakaknya di sana nanti,” bisik hati Adam
Mukhlis.
“Maria ada maklumat peribadi tentang
doktor ni?”
“Tak ada, mama...”
“Nanti Maria tolong siasatkan boleh?” tanya
Datin Faridah.
“Ermm... Mungkin susah sikit... Sebabnya
data pekerja amat dirahsiakan... Nantilah Maria cuba...”
“Tolong ya Maria,” rayu Datuk Abdul Hamid.
“Insya-Allah, Maria cuba... Tapi, Maria
tak janji. Oklah papa, mama... Maria balik dululah... Lagipun dah dekat pukul
11 malam ni...”
“Yalah... Hati-hati bawa kereta tu...
Itulah datang lambat sangat... Kalau tak boleh makan malam sekali tadi,” kata
Datuk Abdul Hamid kepada bakal menantunya.
“Tadi Ain ada hal... Maria temankan dia
pergi kedai buku... Itu yang lambat datang tu,”jelas Maria.
Maria bersalaman dengan bakal mentuanya
sebelum pulang. Maria gembira kerana dapat membantu. Dia sendiri pun tak sangka
Dr.Haikal yang begitu kacak orangnya pernah dimiliki oleh seseorang dan apa
yang orang lain tidak tahu Dr.Haikal berstatus duda.