BAB 44
Lisa melangkah keluar dari kereta. Tiupan
angin pagi mula menerpa lembut pada
wajahnya yang mula nampak serinya. Masjid Kristal yang tersergam indah kini
berdiri gah di hadapan mata Lisa dan tetamu yang lain. Deruan air pancut dihadapan masjid menyejukkan mata
memandang. Terbitnya mentari pagi itu mempamerkan kilauan masjid yang mampu
mententeramkan hati Lisa. Senyuman nipis diukir diwajahnya. Seusai Solat Subuh
pagi tadi, hati Lisa lebih tenang dan telah menerima hakikat yang dia akan hidup bersama Irfan.
Ketibaan rombongan kereta Irfan, menambah
debar dihati Lisa. Tangan Huda dipegang bagi mendapatkan sedikit kekuatan.
“Kau takut ke?” Huda bertanya lembut.
“Tak takut... Aku berdebar Huda...” Lisa
menatap wajah Huda. Puan Raudah dan Encik Hamid mula mendapatkan Puan Elinna
sekeluarga sementara Lisa masih berdiri di tepi kereta sambil ditangkap gambar
oleh fotografer yang telah ditempah Irfan.
Huda hanya tersenyum sambil mengeratkan
lagi genggaman tangan.
“Kacaknya,” bisik hati Lisa sebaik sahaja
Irfan keluar dari kereta.
Senyuman yang indah dihadiahkan Irfan
kepada Lisa. Cantiknya Lisa pagi ini, sungguh memikat kalbu.
Lisa berbalas senyuman. Senyuman yang
paling bahagia cuba diukir. Dari jauh, Irfan mampu mengagak bahawa Lisa tidak
akan mengelak untuk menjadi isterinya yang sah. Senyuman Lisa mampu
menghilangkan debar di hati Irfan yang sangat kronik sejak semalam.
Beberapa orang fotografer yang ditugaskan
untuk mengambil gambar dan video majlis perkahwinan mereka mula mengambil tugas
masing-masing. Mujurlah Irfan telah memilih fotografer yang perlu dipilih oleh
mereka tempoh hari. Kalau tidak, tiada gambarlah mereka nanti.
Alunan selawat mula berkumandang. Irfan
melangkah terlebih dahulu ke dalam masjid sementara diikuti Lisa dari belakang.
“Bismillahirrahmanirrahim… Berkatilah
perkahwinan kami Ya Allah,” bisik hati Irfan sebaik kakinya melangkah masuk
pintu masjid. Seni bina masjid yang indah, sedikit sebanyak dapat
mententeramkan hati Irfan yang sedikit berdebar. Sungguh, hati Lisa berdegup
kencang saat ini. Langkah diatur sebaik yang mungkin memasuki ruang masjid yang
sangat indah. Tatapan mata Irfan yang sudah duduk ditempat yang disediakan
mampu meyakinkan Lisa bahawa inilah jodohnya. Perihal Dr.Haikal, Lisa tolak ke
tepi... Mungkin betul kata Huda, Irfan adalah jodohnya dan Lisa tidak boleh
melawan ketentuan Ilahi.
Sedikit tazkirah diberi oleh juru nikah
sebelum akad nikah berlangsung. Lisa dan Irfan menghayati dan akan mengingati
panduan ini untuk melayari bahtera rumah tangga yang akan dibina beberapa minit
sahaja lagi nanti. Adam sebagai wali Lisa turut mendengar penjelasan yang
diberikan oleh juru nikah dengan teliti. Semoga kakaknya akan bahagia bersama
Irfan.
Suasana mula sunyi seketika sementara juru
nikah memulakan upacara ijab dan qabul. Tangan Irfan dan juru nikah bertautan.
Lisa gementar disuatu sudut.
“Bismillahirramanirrahim... Wahai Tuan
Muhammad Harith Irfan bin Tuan Iskandar,
aku kahwinkan dan aku nikahkan dikau akan Lisa Amira Natasya bt Abdul Hamid yang telah berwakilkan oleh walinya kepada
saya supaya menikahkannya dengan dikau dengan maskahwin sebanyak 30 dinar emas
tunai...”
“Aku terima akan nikahnya dengan maskahwin
seperti yang tersebut itu.”
“Sah?” juru nikah memandang kedua orang
saksi.
“Sah…”
“Sah, Alhamdulillah...”
Irfan berpaling kepada Lisa yang sedang
menyeka air matanya. Senyuman dihadiahkan kepada isterinya. Mata mereka
bertautan. Lisa hanya membalas senyuman nipis sambil menyeka air matanya dengan
tisu. Sesudah Irfan melafazkan lafaz
nikah, Lisa rasakan hatinya cukup terharu. Hatinya begitu
tersentuh. Dari suatu sudut Lisa
memandang kasih terhadap suaminya.
Doa selamat dibacakan dengan penuh syahdu.
Sebuah masjid lagi telah dibina dan semoga ia akan kukuh buat selama-lamanya.
“Tahniah, sayang..,” peluk Puan Raudah.
“Terima kasih...” Lisa tersenyum manis.
Puan Elinna turut memeluk Lisa.
“Selamat datang ke dalam keluarga kami...”
Puan Elinna tersenyum mesra.
“Terima kasih, ma...”
Irfan berjalan mendekati Lisa dengan
senyuman yang paling kacak yang pernah Lisa lihat. Lisa turut membalas senyuman
Irfan.
“Jom,” ajak Irfan.
Lisa menuruti Irfan di suatu sudut. Mereka
sama-sama mendirikan solat sunat selepas akad nikah. Ini adalah untuk pertama
kalinya Irfan menjadi imam Lisa. Di belakang, Lisa yakin Irfan akan menjadi
suami yang baik kepadanya. Solat sunat dua rakaat didirikan dengan penuh
kekusyukan dan dituruti dengan Sujud Syukur selepasnya. Seusai solat, Lisa bersalaman dengan Irfan.
Lama kucupan tangannya. Setitis air mata gugur.
Sesudah bersalaman, Irfan meletakkan tapak
tangannya pada ubun-ubun kepala Lisa. Lisa menundukkan pandangannya.
“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang, Ya Allah, daku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikannya
yang Dikau ciptakan padanya, dan daku berlindung kepada-Mu daripada
keburukannya dan dari keburukan yang Dikau ciptakan pada dirinya...” ubun-ubun
Lisa dikucup Irfan lalu mata Lisa dipejam rapat. Hatinya cukup tersentuh.
Setitis dua gugur jua air matanya. Cahaya daripada kamera tidak putus-putus berhenti
menyinar bagi merakam detik manis ini.
“Terima kasih sayang kerana sudi menjadi
isteri abang,” bisik Irfan sambil matanya menikam lembut ke dalam anak mata
Lisa yang sedikit berlinangan dengan air mata. Lisa terkedu dengan ucapan
Irfan. Tiada lagi bahasa kau dan aku? Lisa hanya mengangguk perlahan. Tiada
kata yang boleh keluar dari mulutnya saat ini. Bagaikan di alam mimpi. Pada
mulanya tidak mahu berkahwin dan sekarang Irfan berhadapan dengannya sebagai
seorang suami, bukan lagi sebagai seorang musuh, kawan biasa atau tunang...
Tapi, sebagai seorang suami! Betulkah? Ya, ini realiti Lisa! Realiti!
“Ini cincinya...” Puan Elinna mencelah. Irfan
memandang mamanya. Senyuman paling bahagia terpancar pada wajahnya saat ini.
Sejuk hati Tuan Iskandar dan Puan Elinna melihat kebahagian anaknya. Tuan
Iskandar menepuk-nepuk bahu Hairul Ikhwan. Hairul Ikhwan faham benar apa maksud
papanya. Tentu papanya mahu jawapan daripadanya bila dia mahu berkahwin. Wanda
yang duduk bersebelahan dengan Iffa dikerlingnya. Moga ada jodoh antara mereka
berdua.
Sebentuk cincin disarungkan pada jari
Lisa. Cincin yang ditempah khas oleh Irfan untuk insan yang bernama Lisa Amira
Natasya kelihatan bersinar dan bergemerlapan. Seutas gelang emas putih juga
dihadiahkan kepada Lisa. Kini, giliran Lisa pula menyarungkan cincinnya kepada
Irfan. Gementar tangannya, memegang jejari Irfan yang tidak pernah disentuhnya
sebelum ini. Sekali lagi mereka bersalaman. Kali ini lebih lama atas permintaan
fotografer. Senyuman bahagia jelas terpancar di wajah kedua-dua belah keluarga
mempelai.
Majlis ringkas diadakan di rumah Lisa
sementara menunggu majlis persandingan keesokan hari. Esok ramai tetamu akan
hadir untuk meraikan majlis cinta mereka. Untuk hari ini, Irfan kembali dulu ke
hotel dan akan datang keesokan hari pada majlis persandingan yang akan diadakan
di rumah keluarga Lisa. Berat juga hati Irfan untuk meninggalkan isterinya
tetapi Lisa tidak kisah. Selamat dirinya daripada berkongsi bilik dengan Irfan
malam ini.
“Esok abang datang, ya...”
Kenapalah Lisa rasakan perkataan abang
begitu janggal pada telinganya. Dia sendiri merasa kekok untuk menyebut
perkataan itu.
“Oklah... Saya tunggu awak esok...”
“Ok, sayang... Jaga diri... Tidur biar
cukup tau... Esok ramai orang nak tengok
sayang... Kalau jadi mata panda, buruklah isteri abang. Maaflah abang tak boleh
temankan sayang malam ni...”
“Ok...”
“Huh, tak teman pun tak apa… Hatiku lagi senang...
Selamat..,” bisik Lisa di dalam hati.
Irfan menghulurkan tangan. Lisa mengangkat
kedua belah keningnya. Hairan.
“Kenapa?” tanya Lisa.
“Salamlah...”
“Oh, ya... Lupa...” Tangan Irfan dicium
Lisa.
“Mengada-ngadalah dia ni,” bisik hati Lisa
lagi.
Selepas bersalaman Irfan dan keluarganya
bertolak meninggalkan rumah Lisa dan
akan kembali keesokan harinya.
Setelah semua orang melarang Lisa menolong
mengemas apa yang patut, Lisa mengambil keputusan untuk masuk ke dalam bilik.
Tudungnya dibuka lalu Lisa berbaring di atas katil. Kipas yang ligat berpusing
dilihatnya.
“Betul ke ni aku dah kahwin?” Lisa melihat
cincin yang tersarung kemas di jarinya. Macam tidak percaya.
“Irfan dah jadi suami kau Lisa...” Mukanya
ditekup ke bantal. Menyesal sekarang pun dah tak guna. Rindunya pada Dr.Haikal
bertamu lagi. Lisa keliru. Siapakah sebenarnya dihatinya? Irfan yang kini sudah
bergelar suami pada dirinya atau Dr.Haikal yang dicintainya? Lisa tersepit.
Perkahwinan ini pada mulanya dirancang dengan baik, tapi dek kerana kembangnya
Mawar, hati Lisa beralih arah. Hatinya menunggu kepulangan Dr.Haikal. Tapi, apa
yang dirancang tidak boleh dimusnahkan kerana Lisa perlu memikirkan orang
diselilingnya yang begitu mengharapkan perkahwinan ini terjadi dan Allah juga
tidak mengizinkan ia terjadi.
“Berdosakah aku kerana merindui lelaki
lain selain suamiku?” Lisa beristighfar panjang. Ah, berdosanya dirinya! Lisa
meraut wajahnya dengan telapak tangan. Jam didinding ditatapnya. Solat Zohor
masih belum dilaksanakan. Lisa segera bangun untuk mengerjakan solat fardu itu.
Lisa mahu memohon pada Allah, moga hatinya tidak beralih arah dan menjadi
isteri yang taat dan setia pada suami.
Suasana
meriah menghiasi majlis persandingan Lisa dan Irfan hari ini. Pertunjukan silat
dan tari menari daripada persembahan kanak-kanak begitu menarik perhatian
tetamu yang hadir. Ustaz Saiful di ruang makan tidak habis-habis melihat Huda
diatas pelamin sebagai pengapit Lisa. Cantik sungguh tunangnya. Ustaz Saiful
membalas senyuman Huda sebaik mata mereka bertembung.
Maria dan rakan-rakan sekerja Lisa pula tidak
melepaskan peluang untuk merakam aksi persembahan kanak-kanak comel ini. Mereka
datang dari jauh semata-mata untuk meraikan majlis cinta Lisa dan lain tidak
bukan mereka juga mahu melancong ke negeri ini. Maria akui Lisa dan Irfan
begitu sepadan duduk di atas pelamin itu bersama-sama. Maria tidak cemburu tapi
hatinya tumpang bahagia. Dia pun hairan kenapa perasaan itu tidak ada lagi pada
dirinya.
Tiba-tiba mata Maria beralih pada wajah
yang begitu dikenalinya. Setiap kelakuan lelaki itu menarik perhatian Maria
untuk memerhatikannya lebih dekat. Lelaki itu sibuk menambah lauk untuk tetamu
yang hadir. Apa yang kurang di tempat hidangan, lelaki itu akan menambahkannya
agar cukup untuk para tetamu.
Maria menghampiri lelaki itu.
“Hai,” sapa Maria.
“Hai,” lelaki dihadapan Maria cuba
mengecam Maria. Sepertinya wajah ini begitu biasa pada penglihatannya suatu
masa dahulu.
“Muaz kan? Maria... Ingat lagi tak?” Maria
mengukir senyuman.
“Maria!! Ya... Ingat-ingat... Awak apa
khabar sekarang?” Lelaki ini teruja melihat Maria. Tak sangka gadis yang tergilakan
dirinya suatu ketika dahulu muncul kembali.
“Macam inilah... Sihat... Awak buat apa
dekat sini?” Maria melihat baldi kecil yang disaluti dengan kuah gulai yang
dibawa Muaz.
“Oh... Inikan sepupu saya... Jadi saya
tolonglah apa yang patut...”
“Sepupu??” Bulat mata Maria mendengarnya.
Terkejut.
“Ya... Saya anak saudara emak Lisa...”
“Oh, patutlah...”
“Patutlah apa?”
“Patutlah awak berdua rapat selama ni...
Saya fikir awak sukakan Lisa...”
Muaz hanya tersenyum. Dia sendiri tahu
kisah perbalahan antara Maria dan Lisa tetapi dia malas masuk campur tentang
hal perempuan.
“Papa!” jerit seorang kanak-kanak lelaki
kecil.
“Ya, sayang… Papa dekat sini...”
“Papa, Amir nak ayam,” renget anak kecil
dihadapan Maria.
“Anak awak?” Maria sedikit terkejut.
“Aaah... Anak sayalah ni... Itu isteri
saya...” Mata Maria beralih kepada apa yang ditunjukkan Muaz. Jelas dimata
Maria seorang perempuan cantik yang sedang sarat kandungannya.
“Oh, jadi awak dah berkahwinlah...” Maria
tersenyum. Alahai, melepas lagilah dirinya nak memikat Muaz. Mujurlah dia masih
ada Rayyan.
“Dah... Dah kahwin... Maria?”
“Insya-Allah tak lama lagi...” Maria
menyentuh lembut dagu anak Muaz yang kelihatan begitu comel dimatanya.
“Papa… Nak ayam...”
“Ok... Nanti papa ambilkan... Salam dengan
auntie... Ini kawan papa tau...”
“Hai, auntie...”
Tangan Maria dicium.
“Oklah saya pergi dululah... Nanti
menangis pula Si Amir ni...”
“Ok... Kirim salam dekat isteri awak...
Cantik orangnya...”
“Insya-Allah... Nanti saya akan sampaikan.”
Maria memandang kemesraan antara Muaz dan
anaknya. Kini, barulah Maria tahu Muaz merupakan sepupu Lisa. Mungkin ini apa
yang mahu dijelaskan Lisa suatu ketika dahulu tetapi Maria menolak untuk
menerima penjelasan Lisa. Dia terlalu beremosi ketika itu.
Acara merenjis telah dimulakan. Maria
tidak akan melepaskan peluang untuk merenjis Lisa dan mengucapkan tahniah
kepada musuhnya. Mungkin istilah musuh perlu ditukar kepada kawan. Selama ini
Maria telah salah faham terhadap Lisa. Dia patut meminta maaf.